Isnin, 27 Mac 2023

Kegiatan Perdagangan Melaka Pada Abad ke-15

Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada awal abad ke-15. Menurut O.W Wolters, Melaka dibuka sekitar tahun 1399/1400. Tidak berapa lama, kerajaan Melayu ini menjadi sebuah negeri yang maju dan berjaya hampir satu abad lamanya. Catatan Tome Pires dalam tulisannya Suma Oriental mengakui kekayaan dan kegemilangan kerajaan Melayu ini. Terdapat beberapa faktor yang menjadi pasak kejayaan Melaka, antaranya ialah kebolehan dan kepimpinan yang dimiliki oleh Parameswara. Malah, kedudukannya yang strategik terletak di antara laluan perdagangan Barat dan Timur semacam memberi satu jaminan kepada masa depan Melaka. Ini terbukti benar, apabila Melaka menjadi sebuah kerajaan yang dikunjungi oleh ramai pedagang dan pelabuhannya sibuk didatangi orang sama ada dari kepulauan Melayu atau bangsa-bangsa luar. Pun begitu, Parameswara serta penggantinya berdepan cabaran dalam mengendalikan urusan perdagangan ini secara bijaksana. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk membincangkan kegiatan perdagangan Melaka serta rakan dagang Melaka dan bahan-bahan yang diperdagangkan di sini.

            Sebelum dibincangkan sistem atau kaedah perdagangan yang dijalankan di Melaka, elok ditinjau terlebih dahulu fungsi atau peranan yang dimainkan oleh pelabuhan Melaka. Muhammad Yusoff Hashim (2015) menyatakan bahawa pelabuhan Melaka berfungsi sebagai tempat pengumpulan, penyaluran dan pertukaran barang dagangan menerusi sistem entrepot. Ini dipersetujui oleh Joginder Singh Jessy (1964) bahawa pelabuhan Melaka mempunyai kemudahan yang elok dan juga kerana keselamatan yang terjamin untuk saudagar-saudagar yang melawati Melaka membantu negeri ini berkembang dengan baik. Katanya lagi, Melaka menjadi pusat “perdagangan tiga jurusan” di antara negeri India, China dan Asia Tenggara. Di Melaka, pelabuhannya disinggahi oleh kapal-kapal dari beberapa banyak negeri membawa barang untuk dijual dan diperdagangankan di sini. B.W. Andaya & L. Andaya (1982) menyebutkan bahawa elemen penting kejayaan Melaka terletak pada kebolehan pelabuhannya memainkan dua fungsi utama iaitu sebagai pusat pengumpulan dan pusat penyebaran barang. Daripada pandangan mereka ini, dapat disimpulkan Melaka memainkan tiga peranan utama iaitu, pertama tempat pengumpulan barang atau transit, kedua pusat jual beli dan terakhir sebagai pembekal dan penyebar barang dagangan di antara beberapa buah wilayah atau negeri yang berurusan di Pelabuhan Melaka.

            Sebagai sebuah pelabuhan entrepot, Melaka memerlukan satu sistem perdagangan yang dapat menyokong dan melicinkan urus niaga di pelabuhan ini. Ma Huan & Fei Hsin di dalam Muhd Yusoff Hashim (2015) menyebutkan bahawa perancangan ekonomi mesti terlebih dahulu dilengkapkan dengan perancangan pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun. Sistem ini meliputi kaedah jual beli, sistem mata wang, penentuan jumlah cukai, kebenaran berniaga dan beberapa perkara lain. Aktiviti perniagaan di pelabuhan Melaka diuruskan oleh syahbandar yang berfungsi untuk meneliti dan mengawal aktiviti perdagangan supaya berjalan dengan lancar dan licin. Menurut Muhd Yusof Ibrahim (1992) Syahbandar ialah istilah Parsi yang bererti seorang pemerintah di pelabuhan yang berfungsi sebagai ketua organisasi di pelabuhan dan wakil saudagar asing daripada kalangan pelbagai etnik peniaga. Terdapat empat orang syahbandar mengikut kawasan atau wilayah pedagang yang datang berlabuh dan berdagang di Melaka. Selain itu, syahbandar menjadi perantara di antara pedagang dan Bendahara dalam meminta kebenaran untuk berniaga setelah urusan cukai dijelaskan. Bagi pedagang dari Tanah Arab, India dan Pegu dikehendaki membayar sebanyak 6% cukai daripada jumlah nilah barang dagangan mereka. Berbeza dengan pedagang dari kepulauan Melayu seperti Pulau Jawa dan Maluku yang hanya harus memberikan persembahan (gift) kepada sultan.

            Menurut Muhd Yusoff Hashim, urusan perniagaan di pelabuhan Melaka mempunyai dua bentuk iaitu pertama melalui sistem tukar barang atau sistem barter dan kedua menerusi proses penjualan dan pembelian. Kaedah pertama iaitu melalui sistem tukar barang merupakan sistem ekonomi tradisional. Ini kerana, sebelum wujudnya satu sistem mata wang, masyarakat menukarkan barangan mereka untuk mendapatkan sesuatu barangan lain yang diperlukan jika kedua-dua pihak bersetuju atas transaksi tersebut. Sebagai contoh, jika seorang pembeli ingin mendapatkan beras, dan dia ingin menukarkannya dengan ikan, jika dipersetujui di antara kedua buah pihak, maka, sahlah transaksi yang mereka jalankan. Pun begitu, sistem tukar barang ini mempunyai beberapa kelemahan apabila melibatkan soal kesamaan nilai. Kedua, ialah sistem jual beli menerusi penggunaan mata wang. Sistem ini digunakan sampai hari ini apabila wang kertas dan syiling digunakan. Menurut K.G Tregonning (1964), emas, perak dan timah semuanya digunakan sebagai mata wang di Melaka. Ini dipersetujui oleh Muhd Yusof Ibrahim bahawa menjelang pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, wang emas telah digunakan bagi tujuan perniagaan. Di kepingan wang tersebut tertulis nama pemerintah pada ketika itu. Wang ini dibuat atau dikeluarkan di Melaka.

            Melaka menjalinkan hubung dagang dengan pelbagai jenis suku bangsa dan bahasa. Tome Pires menyebutkan bahawa di Melaka sewaktu zaman kegemilangannya terdapat 84 jenis bahasa yang dituturkan. Catatan Tome Pires ini membuktikan betapa ramainya pedagang yang datang atau singgah di Pelabuhan Melaka. Bagi pedagang di alam Melayu atau Nusantara, Melaka dikunjungi oleh pedagang dari Pulau Jawa. Pulau Jawa menjadi pembekal utama bahan makanan seperti beras, gula, berbagai-bagai jenis rempah dan kayu kayan. Selain itu, menurut Ahmad Dahlan (2017), Para pedagang dari kawasan Asia Tenggara (Maluku, Sulawesi, Jawa, Borneo atau Kalimantan, Sumatera dan Sulu Mindanao di Filipina membawa rempah ratus, antaranya lada, buah pala, kulit kayu manis serta hasil hutan, misalnya kapur barus, damar, gaharu dang gading gajah. Di Melakalah barang-barang itu diperdagangkan antara sesama saudagar untuk kemudian dibawa ke negeri masing-masing. Selain itu, Pegu menjadi rakan dagang Melaka yang penting kerana selain membekalkan beras, Pegu membekalkan kapal-kapal dagang kerana di sini terdapat perusahaan membina kapal. Selain itu, Melaka turut menakluk beberapa wilayah penting seperti Siak dan Kampar yang dapat membekalkan emas dan lada. Malah, gugusan Riau-Lingga membekalkan Orang Laut yang menjadi penyokong kepada kejayaan pelabuhan di Melaka.

            Seterusnya, aktiviti perdagangan di Melaka juga melibatkan pedagang daripada Barat seperti Koromandel. Tome Pires dalam Muhd Yusoff Hashim menganggarkan terdapat antara empat hingga lima buah kapal besar datang ke Melaka setiap tahun dengan nilai dagangan antara 12,000 hingga 15,000 Cruzados dari Koromandel. Muhd Yusoff Hashim juga menjelas-kan bahawa barangan yang dibawa dari Koromandel ditukar ataupun digunakan untuk membeli gaham, permata, lada, cengkih, kayu manis dan buah pala. Saudagar Kalinga pula membeli perak, emas, bijih dan sutera mentah yang dibawa dari China. Tambahnya lagi, Saudagar yang terdiri daripada pedagang Arab dan Parsi, Turki dan Absinia membentuk sebuah syarikat untuk berdagang di Melaka. Mereka membawa bahan makanan, beras, gula, daging kering, berbagai-bagai jenis buah-buahan, kain India dan sayur-sayuran kering. Bahan-bahan ini kemudiannya ditukar dan digunakan di Melaka untuk membeli lada, jagung, cengkih, sutera dari China, tembikar dari Jepun, senjata dari Jawa, tembaga, bijih, kapur barus, garam dan berbagai bahan dagangan mentah dari Nusantara.

            Selanjutnya, aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka juga melibatkan pedagang dari negara China. China, sebelum menukar dasarnya menutup pintu menyediakan pasaran yang dapat memberi keuntungan kepada pedagang yang berdagang di sana. Hubungan baik di antara China-Melaka membuka ruang kepada Melaka untuk mendapatkan beberapa barangan penting dan mempunyai nilai yang tinggi. Antaranya ialah kain sutera, berbagai-bagai jenis tembikar atau seramik produk sulaman dan tenunan, kain satin, tembaga, barang perhiasan dan teh. Selain itu, pedagang China membawa pulang barang dagangan seperti lada, gaharu, candu, rempah dan bahan hutan. Namun begitu, aktiviti perniagaan dengan China tidak dapat diterus-kan apabila China menukar dasarnya iaitu menutup pintunya dan mengasingkan dirinya daripada aktiviti luar. Ini tentulah merugikan Melaka. Selepas itu, rekod-rekod daripada China untuk dijadikan rujukan sejarah Kesultanan Melayu Melaka sukar didapati apabila pasukan pengawal China yang sering belayar di Alam Melayu ini tidak kelihatan lagi.

            Kejayaan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Melaka didorong oleh peranan yang telah dimainkan oleh Orang Laut. Menurut Muhammad Yusoff Hashim, dengan kehadiran Orang Laut yang mengiringi Parameswara ketika berundur dari Singapura (Temasik) ke Melaka sebelum tahun 1400 telah dapat membantu menjaga pertahanan dan perairan. Tambahnya lagi, tenaga Orang Laut jugalah yang telah digunakan oleh pemerintah Srivijaya sebelum ini untuk meningkatkan kegiatan ekonomi dan perdagangan mereka. Orang Laut juga dapat membantu menentang lanun di Selat Melaka kerana lanun boleh menjejaskan keselamatan di perairan dan keselamatan para pedagang. Oleh itu, kawalan keselamatan menjadi perkara yang utama bagi Melaka untuk menjamin kegiatan perdagangan dan kedatangan pedagang asing. B.W Andaya & L. Andaya mengakui peranan Orang Laut ini apabila menyebutkan bahawa ciri menarik yang ada di Melaka sebagai pelabuhan entrepot ialah kebolehannya untuk memastikan keselamatan pedagangnya. Pemerintah Melaka, seperti Srivijaya, memerlukan persetiaan Orang Laut untuk melindungi klien Melaka iaitu pedagang yang berniaga di pelabuhan Melaka. Jaminan Orang Laut ini penting untuk menjadikan Melaka sebagai pelabuhan persinggahan pilihan pedagang berbanding pelabuhan-pelabuhan yang ada di perairan Selat Melaka.

            Rumusannya, aktiviti perdagangan merupakan nadi penting kepada kejayaan dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Sistem pentadbiran dan urus niaga yang sistematik membolehkan Melaka menguasai aktiviti perniagaan yang berjalan di perairan Selat Melaka. Malah, bantuan Orang Laut yang memberi jaminan keselamatan dan perlindungan menjadikan Melaka sebagai pilihan persinggahan dan perdagangan.


Isnin, 20 Mac 2023

6 Faktor Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Melaka, dahulunya sebuah perkampungan nelayan yang didiami oleh beberapa buah keluarga suku Orang Laut. Sebelum Parameswara dan pengikutnya sampai di sini, Melaka tidak begitu dikenali oleh orang luar sama ada pedagang atau pengembara. Namun, ketibaan Parameswara telah mengubah landskap dan wajah perkampungan ini menjadi sebuah negeri yang maju dan makmur hampir satu abad lamanya. Kejayaan ini dicapai hasil misi dan visi Parameswara untuk mendirikan sebuah negeri yang maju seperti Srivijaya dahulu. Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang telah menyumbang kepada kegemilangan dan kemakmuran Melaka seperti kedudukannya yang strategik, peranan Orang Laut, sistem pentadbiran yang tersusun dan beberapa faktor lain. Ini menyebabkan Melaka menjadi sebuah kesultanan Melayu yang telah menguasai semenanjung Tanah Melayu, sebahagian kepulauan Sumatera dan Riau. Sejak itu, Melaka menjadi sebuah bandar pelabuhan yang mahsyur sebelum ditawan oleh Portugis pada tahun 1511. Tulisan kali ini akan membincangkan faktor yang membawa kepada kegemilangan dan kejayaan Kesultanan Melayu Melaka sejak awal abad ke-15.

            Faktor pertama yang menyumbang kepada kegemilangan kesultanan Melayu ini ialah kepimpinan Parameswara dan penggantinya. Elemen ini menjadi faktor penting kerana sebuah kerajaan atau masyarakat memerlukan seorang pemimpin yang dapat memimpin mereka menuju ke satu tujuan atau matlamat untuk mencapai kejayaan. N.J Ryan (1962) menyatakan Parameswara ialah seorang “resourceful”. Kita dapat melihat bagaimana cara Parameswara memerintah Temasik. Pada masa ini, Parameswara telah melakukan hal yang sama kepada perkampungan nelayan di sini dan menjadikannya sebuah pelabuhan yang berkembang maju. Sifat Parameswara yang dikatakan “resourceful” seperti yang disebutkan oleh N.J Ryan tadi tentulah menyentuh soal kepimpinan dan kewibawaan diri Parameswara. Semasa Paramaeswara melarikan diri dari Palembang menuju ke Temasik, dia ditemani oleh pengikutnya sehingga mereka sampai di beberapa tempat seperti Biawak Busuk, Kota Buruk, Muar, Sungai Bertam dan Melaka. Ini menunjukkan Parameswara seorang yang mempunyai sifat kepimpinan. Sifat inilah yang telah membuka jalan kepada pengasasan Melaka dan menjadikannya sebuah kerajaan Melayu yang unggul pada abad ke-15. Selain itu, N.J Ryan menyebutkan imigran yang sampai di Melaka pada abad ke-15 memiliki budaya yang lebih tinggi dari penduduk asal, dan mereka telah memperkenalkan tanaman baru seperti tebu, tanaman rempah dan padi.

            Faktor seterusnya ialah kedudukan strategik Melaka dan peranan Selat Melaka. Kassim Thukiman (2002) menyatakan faktor penting kemajuan Kesultanan Melayu Melaka ditentukan oleh kedudukan Selat Melaka yang sangat strategik. Kapal dagang negara asing yang melewati Selat Melaka pasti singgah di pelabuhan Melaka dan cukai dikenakan kepada kapal dagang yang menjadi sumber kewangan utama. Joginder Singh Jessy (1964) juga bersetuju bahawa kedudukan Melaka yang terletak di tempat pertemuan semula jadi angin monsun dan dengan demikian dapat menjadi tempat persinggahan yang sangat dikehendaki oleh saudagar dari China dan India. Melalui kedudukan ini, Melaka dapat menguasai kapal-kapal yang melalui selat Melaka yang menjadi tempat istimewa terletak di tengah-tengah “kawasan rempah” yang mahsyur di Asia Tenggara B.W Andaya & L. Andaya (1982) menyatakan bahawa kedudukan Melaka mempunyai dua kelebihan utama iaitu, yang pertama terasing daripada Siam, dipisahkan daripada hutan tebal dan pergunungan, kedua menjadi tapak persinggahan yang sesuai sementara pertukaran angin monsun. Kedudukan strategik ini tidak berguna sekiranya pelabuhan tidak mempunyai kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan oleh pedagang. Ini diambil berat oleh Parameswara apabila beliau telah menyediakan pelbagai kemudahan di pelabuhan seperti gudang penyimpanan untuk kegunaan pedagang menyimpan barangan mereka sementara menunggu untuk berdagang atau belayar ke tempat lain. B.W Andaya & L. Andaya, menyebutkan bahawa gudang penyimpanan ini berfungsi untuk melindungi barangan pedagang daipada kerosakan atau kecurian.

            Fakor ketiga ialah sistem pemerintahan kerajaan Melaka yang sistematik. Pemerintahan yang dimaksudkan di sini ialah dari sudut penyusunan kuasa dan pentadbiran organisasi. Ini penting, kerana untuk menguruskan sesuatu masyarakat atau kerajaan, perlunya satu sistem pemerintahan yang sistematik dan tersusun. Kuasa tertinggi dipegang oleh Sultan. Menurut Kassim Thukiman, sultan atau raja mempunyai kedudukan paling tinggi lagi istimewa dan berkuasa mutlak. Mereka ialah pembuat undang-undang. Kedudukan mereka diperkukuhkan lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka dalam masyarakat. Selain itu, peranan raja atau sultan ini tidak hanya mentadbir kerajaannya, tetapi mencakupi fungsi meluaskan pengaruh Melaka dari aspek politik dan ekonomi. Ini dilakukan oleh pengganti Parameswara apabila Melaka menghantar utusan politik kepada jirannya untuk bersahabat. Hubungan China-Melaka di antara contoh terbaik bagaimana pemimpin Melaka menggunakan peluang yang ada untuk meluaskan pengaruh dan kewibawaan Melaka. Selain itu, sultan atau raja dibantu oleh pembesar yang terdiri daripada beberapa jawatan seperti Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana dan Syahbandar. Peranan dan fungsi pembesar ialah membantu sultan atau raja menguruskan pemerintahan.

            Faktor keempat ialah hubungan Melaka dengan China. Pada tahun awal penubuhan Melaka, Melaka terpaksa mengakui ketuanan Siam. Menurut Joginder Singh Jessy, terdapat satu rekod daripada Dinasti Ming menyatakan bahawa ketika Laksamana Ying Ching berkunjung ke Melaka dalam tahun 1403, negeri Melaka “di-punyai oleh Siam, dan Melaka menghantar bunga emas sa-banyak empat puloh tahil kepada-nya tiap-tiap tahun”. Catatan ini menunjukkan Melaka pernah dikuasai oleh Siam secara tidak langsung. Pun begitu, Melaka dapat berdiri sendiri apabila mendapat perlindungan keselamatan daripada Siam. Menurut Ahmad Dahlan (2017), pada tahun 1405 angkatan laut dari China di bawah pimpinan Laksamana Cheng Ho (yang dihantar oleh Maharaja Yung-Lo) pernah datang ke Melaka untuk menegaskan hubungan baik China-Melaka dan menghadiahkan penguasa Melaka pada masa itu atap genting yang dipakai untuk membina istana. Tambahnya lagi, ketika sultan Melaka dan keluarga berserta rombongan berjumlah 540 orang mengadakan kunjungan balas ke China pada tahun 1411, rombongan itu juga disambut dan diraikan dengan penuh hormat sebagaimana layaknya ketua negara dan rombongan pada masa itu. Ancaman Siam dapat didiamkan apabila Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka pada 1409 telah singgah dahulu ke Siam untuk memberi amaran kepada Siam supaya jangan melakukan serangan ke atas Melaka kerana Melaka sepertimana Siam, adalah sahabat China dan Siam terpaksa menurut. Hubungan ini memberi keuntungan kepada Melaka untuk terus mencapai kemajuan dan kejayaan.

            Faktor kelima ialah peranan yang dimainkan oleh Orang Laut. Sebagai sebuah kota pelabuhan, pemerintah Melaka telah bekerjasama dengan Orang Laut dalam memastikan Melaka dilindungi daripada ancaman yang mampu membahayakan keadaan Melaka. Menurut Leonard Y. Andaya (2008), Orang Laut ialah kumpulan yang terkenal di dalam sejarah Asia Tenggara kerana hubungan kumpulan ini dengan aktiviti perdagangan dan pelanunan. Tidak dapat disangkal, Orang Laut sangat bernilai kepada pemerintah Melayu kerana kebolehan Orang Laut dalam mempromosikan aktiviti perniagaan antarabangsa. Pengetahuan dan kepakaran Orang Laut dalam selok-belok lautan membolehkan mereka membantu dalam memudahkan kapal-kapal yang ingin singgah di Melaka selamat mendarat di pelabuhan. Ini kerana, Orang Laut memiliki pengetahuan tentang kedalaman laut, kawasan yang mempunyai terumbu karang dan memberi amaran sekiranya wujud tanda-tanda aktiviti pelanunan yang bakal berlaku. Mereka mempunyai satu jaringan komunikasi yang luas di antara mereka di kawasan laut menyebabkan Orang Laut sungguh penting di dalam membantu Melaka mengawal Selat Melaka serta melindungi kapal-kapal dagang yang ingin berlabuh dan singgah di pelabuhan Melaka. Oleh itu, Orang Laut menjadi elemen penting kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, lantaran kepakaran yang mereka miliki.

            Faktor yang terakhir ialah kedatangan dan pertapakan Islam di Melaka. Sejak abad ke-8, agama Islam telah tersebar di beberapa buah wilayah Semenanjung Arab. Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar Islam datang di Asia Tenggara lantaran pelbagai teori yang diberi oleh Sejarawan. Pun begitu, Islam telah sampai dan bertapak di Melaka di awal penubuhannya apabila pemerintahnya memeluk Islam. Ini memberi kesan dan pengaruh yang cukup hebat terhadap perkembangan Melaka apabila pedagang-pedagang Islam semakin bertambah ramai yang singgah dan berdagang di sini. Pertambahan bilangan pedagang di pelabuhan Melaka membolehkan kutipan cukai dapat ditingkatkan seterusnya meningkatkan lagi sumber kewangan Melaka. Pedagang ini ada yang datang dari India dan China. Tambahan lagi, ulama dan guru agama turut datang ke Melaka, mendirikan pusat-pusat pengajian agama. Ini membolehkan Melaka menjadi pusat penyebaran Islam. Malah, Melaka bersahabat baik dengan wilayah yang diperintah oleh seorang ketua yang beragama Islam. Hubungan baik ini secara tidak langsung meluaskan lagi pengaruh dan imej Melaka terhadap orang luar. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bagaimana pengaruh agama Islam memberi kesan positif terhadap perkembangan dan kemajuan kerajaan Melaka.

            Kesimpulannya, enam faktor yang dibincangkan di atas menjadi faktor yang penting terhadap kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Ada beberapa faktor lain yang telah membantu kepada kegemilangan Melaka misalnya kepimpinan Tun Perak dalam membantu meluaskan lagi kekuasaan Melaka dengan menawan dan berdiplomasi dengan wilayah-wilayah yang lain. Oleh itu, faktor ini telah menyebabkan Melaka menjadi sebuah negara atau wilayah thalasokrasi yang berjaya sepanjang abad ke-15 di Asia Tenggara atau alam Nusantara.

Isnin, 13 Mac 2023

Pengasasan Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka sentiasa mendapat perhatian ahli sejarah apabila membincangkan titik mula pensejarahan di negara ini. Ini tidak bermakna sebelum adanya Melaka kita kosong tentang sejarah, cuma kemunculan Melaka pada penghujung kurun ke-14 telah banyak membawa perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia Tenggara. Menurut Tome Pires, yang pernah tinggal di Melaka selama tiga tahun (1512-1515) menyatakan Melaka telah menjadi penting dan bernilai yang bagi dirinya tiada tolok bandingnya dengan wilayah lain di dunia ini. Selanjutnya, Melaka telah menjadi satu bentuk kerajaan dan cara hidup di mana diikuti oleh kerajaan Melayu seterusnya. Meskipun selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511 di tangan Portugis, Melaka telah kekal menjadi inspirasi dan punca kekuatan kepada kerajaan Melayu yang lain seperti Kesultanan Johor-Riau. Ini di antara sebab Melaka sentiasa menjadi tumpuan dalam membahaskan permulaan Sejarah Malaysia. Oleh itu, di tulisan ini saya cuba untuk membincangkan tentang pengasasan kesultanan Melayu ini.

            Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara sekitar penghujung abad ke-14 atau awal abad ke-15. Pengasas Melaka, iaitu Parameswara dikaitkan berasal dari Bukit si Guntang Mahameru dan jurai geneologinya daripada cucu Raja Iskandar Zulkarnain. Identiti ini diceritakan di dalam Sejarah Melayu. Pun begitu, dakwaan Sejarah Melayu ini begitu sukar untuk dipastikan kesahihannya. Seperti yang disebutkan oleh Kassim Thukimin identiti ini merupakan bahagian tokok tambah dalam Sejarah Melayu. Menurut Muhd Yusof Ibrahim, sebenarnya kisah asal-usul ini tidaklah mempunyai bukti sejarah yang benar dan kukuh. Selain itu, ada pendapat yang mengatakan Parameswara berasal dari Sri Vijaya (Palembang). Apabila kerajaannya mengalami keruntuhan akibat asakan dan serangan Majapahit, beliau telah pergi ke Temasik untuk menyelamatkan dirinya. Mungkin, asal-usul Parameswara dari Palembang itu lebih sesuai untuk diterima. Menurut beberapa pendapat, Parameswara juga dikenali sebagai ‘Prince-Consort’. Nama lain Parameswara ialah Pai-li-mi-sula menurut catatan Portugis dan China.

            Akibat serangan Majapahit, Parameswara telah melarikan dirinya bersama pengikutnya ke Temasik, atau hari ini dikenali sebagai Singapura. Di Temasik, kedatangan Parameswara bersama rombongan ini telah disambut baik oleh Tumagi sebagai wakil kerajaan Siam di sana. Pun begitu, dalam hanya lapan hari Parameswara duduk di Temasik, beliau telah membunuh Tumagi dan melakukan rampasan kuasa. Ini disebabkan Temasik tidak seharusnya menjadi kepunyaan Siam lantaran kedudukannya yang begitu jauh dari Siam. Majapahit lebih berhak mentadbir Temasik. Parameswara menjadi raja Singapura selama lima tahun. Beliau terpaksa melarikan diri sekali lagi apabila Temasik diserang oleh Majapahit. Parameswara bersama pengikutnya telah pergi ke arah utara dengan harapan akan dapat membuka sebuah negeri baharu. Rombongan ini telah berhenti di beberapa buah perkampungan seperti Muar, Biawak Busuk, Kota Buruk dan Sungai Ujong. Namun, tempat ini tidak sesuai untuk dijadikan negeri. Menurut Sejarah Melayu, Biawak Busuk mendapat nama disebabkan terlalu banyak biawak yang muncul meskipun telah dibunuh begitu banyaknya. Kota Buruk, terlihat indah di waktu pagi, namun menjadi buruk ketika malam. Ini menyebabkan Parameswara tidak ingin membuat negeri di kawasan ini.

            Setelah merantau di Muar beberapa lama, akhirnya Parameswara datang ke Melaka. Pada masa itu, Melaka hanya sebuah perkampungan kecil yang tiada terkenal didiami oleh perompak, lanun dan kaum nelayan (Seletar). Penduduk di kawasan ini terdiri daripada suku Orang Laut yang menjadikan laut sebagai sumber kehidupan mereka. Terdapat hampir 30 buah keluarga yang mendiami Melaka.  Pekerjaan utama mereka ialah menjadi nelayan, pedagang kecil dan juga merompak kapa-kapal dagang yang belayar di laut Selat Melaka. Ada juga penduduk asal Melaka ini yang tinggal di daratan bekerja sebagai petani, bercucuk tanam dan memungut hasil hutan. Perkampungan nelayan ini mungkin yang disebutkan oleh sesetengah sejarawan apabila menyatakan Melaka telah diasaskan lebih 250 hingga 700 tahun selepas ditewaskan oleh Portugis. Kedatangan Parameswara ke perkampungan ini telah mengubah kawasan ini menjadi sebuah tempat berdirinya kerajaan Melayu yang unggul bermula awal abad ke-15. Pun begitu, ini mengambil beberapa waktu untuk Melaka bangkit menjadi sebuah kerajaan yang unggul seperti Srivijaya, Majapahit atau Funan. Oleh itu, dengan pertolongan daripada penduduk asal atau orang Laut, paramesrawa berjaya mendirikan sebuah kerajaan Melayu yang menguasai selat Melaka serta sumber ekonominya sebelum dijajah oleh Portugis pada 1511.

             Melaka mendapat nama melalui satu peristiwa aneh yang berlaku apabila Parameswara bersama pengikutnya keluar berburu di dalam hutan. Ketika berburu ini, anjing perburuan Parameswara terpelanting ditendang oleh seekor pelanduk berwarna putih. Menurut pemikiran logik, pelanduk menjadi mangsa kepada haiwan yang liar atau ganas seperti anjing, harimau atau singa. Dalam kisah ini, kebalikan yang berlaku. Dan ini merupakan sesuatu yang aneh dan pelik. Ketika itu, Parameswara sedang duduk bersandar di sebatang pokok, lalu bertanya nama pohon tersebut lalu dijawab “Melaka” oleh pengikutnya. Maka, Parameswara pun berkata “Melakalah nama negeri ini”. Pun begitu, nama Melaka berdasarkan pokok Melaka ini masih belum dapat dimuktamadkan kebenarannya ekoran ada sesetengah pengkaji sejarah meragui perkara ini. Seperti yang disebutkan oleh Muhd Yusof Hashim, kerajaan ini dinamakan Melaka kononnya mengikut sebatang pokok tempat bersandar ketika baginda serta pengikutnya mula sampai ke tempat itu. Namun, secara tradisinya, masyarakat Melayu memiliki kebiasaan untuk menamakan sesuatu tempat berdasarkan keadaan geografi atau ciri-ciri alamiahnya.

Perkara yang sering mengganggu ahli sejarah ialah soal pentarikhan kesultanan Melayu ini. Ada banyak versi tentang tarikh penubuhan kesultanan Melayu Melaka. Antaranya ialah Tome Pires seorang penulis berbangsa Portugis menyatakan bahawa Melaka telah ada seratus tahun selepas ia dikalahkan oleh Portugis pada 1511. Ini bermakna Melaka telah didirikan pada sekitar awal abad ke-15. De Barros menyatakan Melaka telah pun ada 250 tahun terlebih dahulu daripada itu. Ini satu pandangan yang berbeza daripada apa yang lazim yang ditemui. Misalnya, O.W Wolters sendiri hampir bersetuju dengan Tome Pires apabila menjelaskan Raja Iskandar Shah telah mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira tahun 1399/1400. Pada kurun ini, sejarawan bersetuju Melaka diasaskan pada hujung kurun ke-14. Oleh itu, Kesultanan Melayu Melaka dapat dikatakan telah diasaskan pada tahun 1399/1400, mengambil pandangan O.W Wolters tadi. Malah, sebelum itu, pengembara seperti Marco Polo yang melalui Selat Melaka dalam tahun 1292 tidak menyebutkan tentang negeri Melaka. Ibn Batuta pergi ke negeri China dalam tahun 1345 tiada juga menyebut negeri Melaka. Ini menunjukkan Melaka masih belum wujud atau cuma hanya perkampungan nelayan sahaja yang kurang signifikan.

            Kesimpulannya, Parameswara menjadi tokoh penting dalam membentuk dan membina sebuah kerajaan Melayu yang menjadi sebuah kerajaan unggul hampir satu kurun lamanya. Seterusnya, Melaka menjadi pemain penting dalam aspek politik dan ekonomi di alam Melayu sehingga kemakmuran ekonominya diakui oleh pendatang dari luar alam Melayu.

Isnin, 6 Mac 2023

Siapakah Sejarawan?

Siapakah sejarawan? Satu persoalan yang begitu berat untuk saya jelaskan di sini secara terperinci. Ini kerana maksud sejarawan itu berbeza-beza apabila diperhatikan merentasi zaman dan keadaan. Namun begitu, setiap sejarawan mempunyai beberapa persamaan yang ketara khususnya dari segi tugasan atau kegiatan yang mereka lakukan iaitu mengkaji sejarah. Mengkaji di sini bermaksud menjalankan kegiatan menyelidik dan menyiasat peristiwa sejarah yang telah dipilih untuk mem-bentangkan fakta-fakta sejarah yang sahih kepada masyarakat umum menerusi kaedah penyelidik-an sejarah yang sesungguhnya. Perkembangan ilmu sejarah yang dibawa oleh ahli sejarah ini men-yebabkan sifat-sifat ‘sejarawan’ itu sendiri secara terus menerus menerima perubahan sesuai deng-an perkembangan zaman. Hatta, pada hari ini wujud beberapa kriteria atau syarat-syarat untuk me-layakkan diri seseorang itu digelar sebagai sejarawan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, tidak layaklah seseorang itu dikatakan sebagai seorang ahli sejarah. Tulisan pada kali ini akan membincangkan secara ringkas dan mudah tentang maksud sejarawan itu bagi menjawab persoalan di atas iaitu “Siapakah sejarawan?”.

            Secara umumnya, sejarawan merujuk kepada individu yang menjalankan penyelidikan atau penyiasatan sejarah untuk mengkaji peristiwa atau kejadian sejarah yang berlaku dalam kehidupan manusia. Penyelidikan yang dijalankan oleh mereka bertujuan untuk mencari kebenaran sejarah yang dipersembahkan melalui fakta-fakta sejarah dalam laporan atau hasil kajian mereka. Menurut Muhd. Yusof Hashim (2016), sesiapa yang melakukan penyelidikan dan menulis sejarah, walau dalam apa-apa bidang sekalipun, maka lazimnya mereka boleh dianggap sebagai sejarawan. Kajian yang dilakukan oleh sejarawan tidak hanya berfokus kepada kebenaran fakta sejarah, tetapi ke-bolehan atau keupayaan ahli sejarah ini mempertahankan fakta-fakta yang dikemukakannya. Dia haruslah mampu untuk menghadapi sebarang kritikan yang diberikan oleh orang ramai. Jika dia gagal melakukan sedemikian, maka dapat dianggap hasil kajian sejarahnya itu lemah dan boleh dipertikaikan dan diragukan kebenarannya. E.H Carr (1984) menyatakan bahawa sejarawan menulis sejarah untuk mencari kebenaran sejarah itu sendiri. Oleh itu, tugas getir seseorang sejarawan ialah menjalankan penyelidikan sejarah secara sistematik dan sentiasa kritis serta berhati-hati di setiap langkah kajian yang dilakukannya.

            Selain daripada tugas utama melakukan kajian atau penyelidikan, sejarawan turut berpera-nan untuk menyebarkan hasil kajiannya kepada masyarakat umum melalui penulisan yang diterbit-kan dalam bentuk buku, makalah, monograf atau jurnal. Tujuannya supaya diketahui oleh orang ramai tentang kajian-kajian yang telah dilaksanakannya. Pada masa yang sama, hasil kajian ini penting bagi sesetengah individu kerana ia mempunyai perkaitan rapat dengan identiti bangsanya yang perlu dijaga dan dipelihara daripada lupus ditelan masa. Misalnya, tentang pembentukan ne-gara Malaysia pada tanggal 16 September 1963. Peristiwa ini begitu penting untuk diingati oleh seluruh rakyat Malaysia di mana Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak disatukan di bawah satu nama dan satu identiti yang sama iaitu ‘Malaysia’. Peristwa sebegini harus diketengahkan kepada masy-arakat umum supaya mereka tahu sejarah negara serta membangkitkan perasaan cinta mereka ter-hadap negara. Kajian-kajian yang dijalankan oleh sejarawan perlu diterbitkan dan disebarkan untuk tatapan umum. Jika tidak, manfaat atau faedah yang terdapat dalam kajian sejarawan ini akan sia-sia sahaja. Oleh itu, telah menjadi tugas utama seseorang ahli sejarah untuk menerbitkan hasil kajiannya kepada masyarakat umum supaya dapat digunakan dan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang menerimanya.

            Seterusnya, setiap sejarawan perlu mempunyai kriteria tertentu untuk melayakkan dirinya digelar atau dipanggil sebagai sejarawan ataupun ahli sejarah. Perkara ini melibatkan latar belakang akademik serta kelulusan yang dimilikinya. Ramai ahli sejarah pada hari ini mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana. Rata-rata daripada mereka telah mencapai status sebagai Doktor Falsafah (Doctor of Philosophy, PhD) berdasarkan pengkhususan tertentu dalam disiplin ilmu sejarah yang mereka ceburi. Pencapaian seperti ini menunjukkan kepakaran, ilmu pengetahuan serta kebolehan yang mereka miliki dalam ilmu sejarah. Tidak semua individu dapat mencapai status sebegini kerana ia memerlukan usaha yang gigih, belajar dalam tempoh masa yang lama dan kemahuan yang kuat untuk menjadi seorang sejarawan yang profesional. Selain itu, seorang sarjana sejarah atau sejarawan sentiasa menghasilkan buku-buku sejarah yang bersifat ilmiah dan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan dunia pada hari ini. Seterusnya, seorang sejarawan yang hebat mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kajian sejarah ataupun disiplin ilmu sejarah itu sendiri.

            Selain daripada perkara yang telah saya sebutkan di atas, sejarawan memiliki satu tugas kemasyarakatan iaitu mendidik masyarakat melalui disiplin sejarah yang diketahuinya. Ini bukan bermaksud menjadikan masyarakat sebagai ahli sejarah atau sejarawan, tetapi berkongsi kisah-kisah sejarah yang dapat dijadikan iktibar dan panduan. Menurut E.H Carr (1984) Sejarawan sebagai anggota masyarakatnya, haruslah juga mempunyai fungsi kemasyarakatannya. Jika tidak, pengetahuan sejarah yang didapati itu akan berakhir di situ sahaja. Banyak peristiwa sejarah yang berpotensi untuk dijadikan contoh atau ikutan yang berguna dalam kehidupan manusia pada hari ini. Malah, ada kisah-kisah sejarah yang wajib untuk diketahui dan disebarkan kepada orang ramai supaya mereka memiliki perasaan patriotisme yang tinggi. Misalnya, peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957, penjajahan Portugis di Melaka pada tahun 1511, kolonialisme Inggeris di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pada tahun 1826 serta pendudukan Jepun 1941-1945 merupakan peristiwa penting untuk diambil tahu. Selanjutnya, peristiwa 13 Mei 1969, rusuhan kaum yang perit untuk ditelan berlaku dalam masyarakat kita yang mencabar kedaulatan negara serta perpaduan kaum pada ketika itu. Oleh itu, sejarawan sebagai seorang manusia sejarah perlu sentiasa membantu mendidik masyarakat supaya tidak akan berlaku lagi penjajahan di negara kita sama ada secara fizikal ataupun mental, menyedarkan kepentingan mengetahui sejarah, memelihara khazanah sejarah yang bernilai untuk tatapan generasi akan datang.

            Di perenggan akhir ini saya akan memuatkan tentang sejarawan ulung di negara kita, Malaysia. Ada banyak ahli sejarah yang telah memberi sumbangan begitu besar kepada perkembangan ilmu sejarah di negara kita sejak zaman Merdeka lagi. Mereka ini menjadi tokoh penting yang menggerakkan atau menghidupkan semula sejarah negara untuk tatapan generasi akan datang. Antaranya ialah Khoo Kay Kim, seorang sarjana sejarah yang tersohor di negara kita. Begitu banyak buku-buku yang beliau terbitkan berhubung pensejarahan di negara ini. Sumbangannya tidak hanya berlegar di sekitar kajian sejarah, tetapi ketegasan beliau untuk menjaga dan memelihara sejarah di negara ini. Pada masa yang sama azam dan tekad yang tinggi untuk membangkitkan kesedaran terhadap masyarakat di negara ini yang semakin lama hilang atau luntur perasaan patriotiknya. Selain itu, ada beberapa orang sarjana sejarah yang unggul di negara kita seperti Muhd. Yusof Ibrahim. Seorang sarjana yang telah menghasilkan banyak karya sejarah. Antaranya ialah Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan. Sebuah buku wajib baca kepada peminat sejarah, kerana menyediakan asas yang perlu dikuasai oleh seorang yang ingin menjadi sejarawan. Ada banyak lagi sejarawan tersohor di negara kita seperti Buyong Adil, Abdullah Zakaria Ghazali, Shahrom Husain, Syed Naquib Al-Attas, Ramlah Adam, A. Aziz Deraman dan banyak lagi.

            Rumusannya, sejarawan merupakan seorang individu yang menjalankan kajian sejarah serta menerbitkan hasil kajian sejarahnya untuk dibaca oleh masyarakat umum. Untuk menjadi seorang sejarawan memerlukan kelulusan seperti ijazah sarjana atau doktor falsafah yang mem-punyai ilmu pengetahuan yang luas dan pengalaman yang banyak. Seorang sejarawan juga perlu mempunyai beberapa sikap seperti jujur dan berani untuk menyatakan fakta-fakta sejarah meski-pun ia bakal menerima kritikan dan kontroversi daripada orang ramai.


Isnin, 27 Februari 2023

Kekuatan dan Kelemahan Sumber Lisan

Kajian sejarah memerlukan sumber yang sahih dan benar. Setiap sumber yang dipilih harus mem-punyai darjah keaslian dan ketulenan yang tinggi dan dipercayai. Dalam setiap kajian sejarah yang dilakukan oleh ahli sejarah, pemilihan sumber merupakan proses yang sangat kritikal. Ini kerana, sumber sejarah akan menentukan kualiti kajian, seterusnya penulisan hasil kajian tersebut. Oleh itu, sumber primer atau utama menjadi penting kerana ia bersifat belum ditafsir atau diolah. Pun begitu, sumber sekunder atau kedua tetap memiliki kepentingannya. Selain itu, terdapat satu lagi sumber sejarah yang dapat membantu kajian sejarah iaitu sumber lisan. Sumber lisan dapat dikate-gorikan sebagai sumber pertama dan kedua bergantung kepada individu yang ditembual serta pen-yaksian individu tersebut terhadap sebuah peristiwa sejarah. Secara umumnya, sumber lisan dapat difahami sebagai koleksi memori tentang pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang yang mempunyai kaitan dengan peristiwa sejarah. Peristiwa sejarah yang dimaksudkan di sini ialah peristiwa yang mempunyai kepentingan dan keperluan terhadap masyarakat atau negara. Sumber lisan diperoleh melalui sesi temu bual yang dijalankan oleh pengkaji sejarah dan informan yang telah dipilih lebih awal. Oleh itu, penulisan kali ini akan membincangkan secara ringkas tentang penggunaan sumber lisan dalam penulisan sejarah yang akan menyentuh tentang kekuatan dan ke-lemahan sumber ini.

            Sebelum itu, dibincangkan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan dengan sumber lisan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sumber lisan dapat diertikan sebagai koleksi memori sese-orang tentang pengalaman hidup yang dilaluinya. Menurut Muhd. Yusof Ibrahim (2016), sumber lisan ialah sumber yang didapati daripada pertuturan atau perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Sumber ini menjadi rujukan asas kepada suatu cabang sejarah yang dikena-li sebagai sejarah lisan. Pertuturan atau perkhabaran di sini bermaksud sesuatu maklumat sejarah itu diperoleh melalui aktiviti temu bual di antara pengkaji (ahli sejarah) dengan informan (individu yang dikaji). Sesi temu bual ini bertujuan mendapatkan maklumat yang dimiliki oleh informan, di mana mereka ini terlibat secara langsung atau tidak langsung menyaksikan peristiwa sejarah. Mak-lumat ini diperlukan bagi menjawab persoalan kajian sejarah. Ahli sejarah atau pengkaji ini akan mengemukakan soalan-soalan kepada informan untuk diberi jawapan dan penjelasan. Naratif yang diberikan oleh informan akan diproses oleh pengkaji sejarah setelah sesi rakaman suara selesai di-jalankan. Hasil rakaman suara ini akan dipindahkan dalam bentuk teks supaya maklumat atau data daripada tembual ini dapat dianalisis serta diinterpretasi oleh pengkaji sejarah. Penggunaan sumber lisan banyak dipakai dalam mengkaji tentang seseorang tokoh-tokoh sejarah. Ini kerana, melalui maklumat temu bual, pengkaji sejarah dapat membina satu kisah tokoh tersebut dengan lengkap serta tepat.

            Penggunaan sumber lisan dalam kajian sejarah memiliki kekuatan dan kelemahannya. Ini kerana sumber lisan mempunyai sifat yang berbeza daripada sumber primer yang terdapat dalam bentuk dokumen, manuskrip, atau kitab-kitab sejarah. Segalanya telah dicatatkan dan didokumen-tasikan. Oleh itu, maklumat yang terdapat di dalamnya terus kekal dan dapat dipercayai. Di sini, dibincangkan terlebih dahulu kekuatan sumber lisan dalam pengkajian dan penulisan sejarah. Per-tama, sumber lisan dapat memberikan maklumat sejarah yang tepat apabila informan yang ditemu bual mempunyai perkaitan secara langsung dengan sesuatu peristiwa sejarah. Pengalaman pertama yang dimiliki oleh informan dapat dikelaskan sebagai sumber primer. Penyaksian secara langsung informan tersebut dapat memberikan data yang tepat kepada pengkaji sejarah. Perkara ini dapat diperhatikan apabila pengkaji sejarah terlibat dalam kajian tentang penubuhan UMNO (United Malay National Organization). UMNO telah ditubuhkan pada Mei 1946 oleh beberapa tokoh yang penting seperti Dato’ Onn Jaafar. Sejarah perjuangan UMNO telah ditulis dengan banyak sekali oleh ahli sejarah. Bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang sejarah awal penubuhan UMNO Dato’ Onn Jaafar menjadi watak penting atau informan yang dapat memberikan maklumat. Ini kerana beliau merupakan pengasas kepada pertubuhan ini. Segala maklumat yang diberikan begitu diperlukan dalam kita mengkaji sejarah awal penubuhan UMNO. Begitu juga tokoh-tokoh Melayu yang meneruskan perjuangan UMNO dalam menjaga kepentingan orang Melayu pada awal era kemerdekaan Tanah Melayu.

            Seterusnya, sumber lisan dapat memberikan gambaran yang lengkap tentang sesuatu per-istiwa sejarah. Gambaran lengkap di sini bermaksud menceritakan pelbagai aspek sesuatu kejadian sejarah yang belum sempat didokumentasikan. Misalnya, peristiwa pendudukan Jepun di negara kita pada tahun 1941 sehingga 1945. Telah banyak buku ditulis tentang pendudukan Jepun sama ada berkisar tentang propanganda Jepun atau strategi mereka menguasai negara ini. Pun begitu, kepentingan sumber lisan dalam membina semula sejarah pendudukan Jepun ini dapat dilihat apabila penduduk yang masih hidup di zaman tersebut mampu untuk memberi maklumat tentang situasi yang berlaku pada ketika itu. Penglibatan informan (penduduk) ketika pendudukan Jepun itu mampu memberi gambaran tentang kehidupan yang dilalui oleh mereka. Melalui temu bual bersama informan tersebut, pengkaji dapat bertanya tentang keganasan yang dilakukan oleh tentera Jepun terhadap penduduk Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, informan dapat memberikan maklumat tentang cara atau gaya kehidupan orang Jepun, cara pakai yang ditunjukkan oleh mereka serta bagaimana orang Jepun ini melayani orang-orang Melayu. Secara tidak langsung, satu gambaran yang lengkap dapat diberikan oleh informan untuk menggambarkan sifat dan sikap orang Jepun pada ketika itu di Tanah Melayu. Seterusnya, informan juga dapat memberikan maklumat tentang situasi kehidupan yang terpaksa mereka tempuhi akibat cara pemerintahan tentera Jepun yang ber-tindak ganas dan pentingkan diri mereka sendiri.

            Pun begitu, sumber lisan ini memiliki kelemahannya yang perlu diambil berat oleh peng-kaji sejarah. Penggunaan sumber lisan perlu dilakukan secara berhati-hati. Jika tidak, pengkaji sejarah boleh terperangkap untuk menerima maklumat yang palsu atau sengaja dipalsukan oleh pemberi maklumat iaitu mereka yang sedang ditemu bual. Menurut Muhd Yusof Hashim, sumber ini seolah-olah dan boleh merupakan suatu putar belit, gambaran sewenang-wenangnya atau ref-leksi imaginatif para penyaksi atau pelaku itu sahaja. Tambahnya lagi, apatah lagi jika penyaksi atau yang terlibat itu hanya seorang atau tinggal seorang, sedangkan beberapa orang yang lain sudah tiada lagi. Perkara yang ingin disampaikan oleh beliau ialah sumber lisan boleh dipersoal tentang kewibawaan pemberi maklumat atau individu yang ditemu bual. Setiap individu boleh ter-pengaruh atau terdedah kepada sikap tidak jujur dengan melakukan interpolasi terhadap fakta-fakta sejarah yang ingin didapatkan oleh pengkaji sejarah. Apatah lagi apabila informan ini sahaja yang masih lagi hidup. Dia boleh secara sambil lewa memutar belitkan fakta sejarah dengan tujuan menonjolkan dirinya sebagai seorang yang gagah perkasa dan sebagainya. Malah, dia boleh dengan sengaja untuk menjatuhkan imej dan wibawa seseorang yang dibencinya. Oleh itu, peng-gunaan sumber lisan harus dilakukan dengan menilai sumber ini bersama sumber sejarah yang lain khususnya sumber yang telah direkodkan atau didokumentasikan. Malah, kejujuran informan da-lam temu bual sangat diperlukan oleh pengkaji sejarah.

            Seterusnya, kelemahan yang terdapat di dalam sumber lisan apabila pemberi maklumat gagal mempamerkan kejituan maklumat yang diperlukan oleh pengkaji atau sejarawan. Ini berkait rapat dengan keupayaan manusia dalam sistem ingatan dan memori. Tidak semua manusia mem-punyai keupayaan untuk mengingati keseluruhan cerita atau peristiwa sejarah yang dialaminya. Apabila usia telah meningkat, maka kekuatan memeori seseorang manusia itu akan berkurangan. Perkara ini akan mempengaruhi jalan cerita yang dikisahkan oleh informan. Malah, kemungkinan informan terlupa fakta-fakta penting serta tersalah beri maklumat tentang nama-nama atau tarikh yang diperlukan oleh pengkaji sejarah. Keadaan ini mampu menyumbang kepada kepalsuan yang timbul dalam penulisan sejarah. Oleh itu, pengkaji sejarah harus berhati-hati apabila bertemu dan menemu bual seseorang individu. Apatah lagi jika individu yang ingin ditemu bual itu telah men-jangkau usia 80-an atau 90-an. Apabila kisah yang ingin dikaji mempunyai pertalian yang sangat jauh dengan memori seseorang individu, boleh terjadi kelupaan di sana sini. Pun begitu, situasai seperti ini harus ditangani dengan baik oleh pengkaji sejarah. Dan, tidak semua pemberi maklumat itu yang telah berusia lupa segala kisah sejarah yang pernah disaksikannya atau terlibat dengan-nya.

            Rumusannya, penggunaan sumber lisan dalam pengkajian sejarah memerlukan ketelitian pengkaji. Ini kerana bagi mengelakkan daripada berlaku kesilapan ataupun penyelewangan terhadap peristiwa sejarah. Selain itu, diharapkan sumber lisan dapat membantu untuk memberikan penerangan serta gambaran yang jelas dan sahih tentang sesuatu peristiwa sejarah. Oleh itu, sumber lisan memiliki beberapa kelemahan seperti yang dijelaskan di atas, pun begitu sumber ini memiliki beberapa kekuatan yang harus dimanfaatkan sebaiknya oleh pengkaji sejarah.

Isnin, 20 Februari 2023

Dapatkah Sejarah Bersifat Objektif?

Dapatkah sejarah bersifat objektif? Ini antara persoalan yang menghantui sejarawan. Persoalan ini merupakan sesuatu yang begitu sulit untuk diberikan satu jawapan yang muktamad. Setiap sejarawan mempunyai jawapan yang berbeza-beza apabila membahaskan tentang isu ini. Ada yang bersetuju bahawa sejarah itu sebagai disiplin ilmu yang dapat mencapai sifat objektif. Namun, tidak kurang juga yang tidak bersetuju atau kurang bersetuju untuk menyamakan ilmu sejarah ini seperti ilmu sains yang telah dianggap pada hari ini sebagai ilmu pasti dan praktikal sifatnya. Ada juga sejarawan yang memberi jawapan alternatif bahawa, sejarah sebagai disiplin ilmu yang memiliki sifat objektif-subjektif-relatif. Keadaan ini telah mewujudkan kumpulan sejarawan yang dipanggil sebagai golongan ‘objektivis’ dan ‘subjektivis’. Oleh itu, mereka ini berbeza-beza pendapat dan pandangan dalam menjawab isu ini. Di sini saya akan cuba untuk mewacanakan tentang isu ini, membawa pandangan sejarawan yang bersetuju dan kurang bersetuju tentang perkara ini.

            Sebelum itu, elok kiranya diterangkan dahulu sifat objektif dan subjektif yang dipakai dalam perbincangan ini. Secara mudahnya, objektif dapat diertikan sebagai sasaran, matlamat atau tujuan seseorang, kumpulan atau organisasi. Misalnya, objektif sejarawan ialah mengkaji dan menulis sesuatu peristiwa sejarah yang dianggap penting untuknya dan masyarakat di sekelilingnya. Konsep objektif di sini tidaklah menimbulkan masalah di kalangan sejarawan. Perkara yang menjadi isu ialah apabila perkataan objektif ini difahami sebagai sesuatu yang pasti, benar ataupun tepat. Sejarah yang objektif mempunyai kriteria ini, seperti ilmu sains yang diterima kebenarannya sebagai ilmu pasti. Mengulas tentang isu ini, Muhd Yusof Ibrahim (2016) menyatakan bahawa, dengan menganggap sejarah itu sebagai sains, maka kebenaran sejarah itu seperti kebenaran sains yang tepat dan tidak menimbulkan banyak kritikan yang dapat ditimbulkannya. Ishak Saat (2010) menulis  konsep objektif dalam sejarah cuba untuk mempersembahkan sejarah yang tepat dan tiada penambahan atau unsur bias. Konsep subjektif ialah sesuatu yang berdasarkan pandangan, perasaan atau cita rasa peribadi. Oleh itu, sejarah yang subjektif ialah sejarah yang bersifat seperti di atas.

            Di perenggan ini, saya akan menjelaskan sifat objektif di dalam sejarah. Seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, sejarah yang objektif ialah sejarah yang pasti atau tepat. Ini seperti yang diungkapkan oleh Leopold Von Ranke, ‘seperti sebenarnya yang berlaku’. Ranke, seorang sejarawan Jerman yang terkenal ekoran kata hikmat yang diucapkan ini. Ahli sejarah semacam dilanda kebingungan untuk memahami hasrat Ranke ini. Dapatkah kita mencapai hasratnya itu? Ini antara soalan yang perlu dijawab jika kita ingin bersetuju dengannya. Tapi bagaimana? Padanya, sejarah yang objektif dapat dicapai melalui profesionalisasi ilmu sejarah seperti ilmu sains. Ilmu sejarah perlu diangkat menjadi ilmu pengetahuan yang setanding seperti ilmu sains. Sejarawan harus mempunyai kepakaran yang mendapat dalam pelbagai aspek seperti dalam mengkritik dan menilai sumber-sumber sejarah yang ada. Jika ini dapat dicapai, sejarawan dapat membuang segala kepalsuan dan keraguan yang munasabah di dalam sumber-sumber sejarah dan mengasingkan kebenaran. Usul yang dibawanya ini sesuatu yang positif pada perkiraan saya, untuk mencapai keobjektifan dalam sejarah. Cuma, hal yang menimbulkan isu kelak ialah soal sejauh mana dapat dipersetujui tentang sifat objektif sejarah itu?

            Selanjutnya, Lord Acton antara sejarawan berbangsa Inggeris yang mendukung konsep objektiviti di dalam sejarah. Acton di dalam Ishak Saat (2010) mengatakan biarlah gambaran para sejarawan tentang sesuatu peristiwa itu sama sahaja dan memuaskan hati setiap pihak, tanpa sebarang perasaan subjektif atau sikap berat sebelah. Di sini, Acton berkeinginan untuk melihat sejarah itu bersifat objektif dan tugas ini perlu dilaksanakan oleh para sejarawan dengan sebaik mungkin. Sejarawan perlu memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang objektif tanpa wujudnya unsur berat sebelah, bias dan mempunyai kepentingan sendiri (vested interest). Jika sejarawan dapat mengekalkan sikapnya ini, sejarah yang ditulis itu nanti tidak akan dikuasai oleh sesuatu pengaruh dan prasangka. Maka, di akhirnya nanti sejarah itu seperti yang diinginkan oleh Acton, sejarah itu ditulis untuk kepentingan ilmu sejarah. Inilah yang dapat kita sifatkan sebagai sejarah yang bersifat objektif. Sebenarnya, objektiviti di dalam ilmu sejarah itu dapat dicapai seperti yang dijelaskan oleh Acton, cuma tidak dalam semua perkara. Misalnya, rakyat Malaysia yang mengetahui tarikh pembentukan Malaysia pasti bersetuju pada 16 September 1963 negara ini dibentuk, bukan pada 17 atau 18 September 1963. Ini sesuatu yang telah kita persetujui.

            Pun begitu, sifat objektiviti di dalam sejarah sesuatu yang sukar untuk dipersetujui secara muktamad oleh semua sejarawan. Hal ini disebabkan ada banyak perkara di dalam ilmu sejarah itu menimbulkan debat yang berpanjangan atau masih belum diputuskan tentang realiti atau hakikatnya yang sebenar. Perkara ini dijelaskan oleh Michael Stanford (1994) bahawa sifat subjektif sejarah dapat dikategorikan di dalam empat bentuk. Pertama, peserta, penonton atau pemerhati kejadian sejarah bakal memberi pendapat dan penceritaan yang berbeza terhadap kejadian yang sama. Kedua, penulis atau pemberitahu tentang kejadian ini akan menulis di dalam bentuk yang berlainan terhadap kejadian yang sama. Ketiga, sejarawan tidak terkecuali di dalam perkara ini dan keempat, pembaca sejarah yang mempunyai kefahaman yang berbeza-beza tentang apa yang dibacanya di dalam buku-buku sejarah. Tambahnya lagi, tidak semua penyaksi sejarah bersetuju tentang sesuatu kejadian sejarah yang dilihatnya menyebabkan kajian sejarah dijalankan secara berterusan. Sifat objektif katanya, dapat dicapai jika konsensus di antara sejarawan dapat dicapai. Sifat subjektif yang dijelaskan oleh Stanford sesuatu yang munasabah untuk diterima

             Seterusnya, sejarah itu sesuatu yang relatif atau subjektif kerana ahli sejarah tidak bersetuju di dalam banyak perkara. W.H Walsh (1967) menjelaskan ada empat sebab timbulnya sikap tidak bersetuju di kalangan sejarawan iaitu, sifat individu yang lazimnya menyukai dan tidak menyukai sesuatu perkara, sifat prejudis yang dimiliki atau tidak dimiliki, konflik yang timbul dari sudut penjelasan dan interpretasi sejarah, dan kepercayaan moral dalam diri seseorang ahli sejarah. Empat kriteria ini menyebabkan sesuatu peristiwa sejarah atau cara untuk menulis peristiwa sejarah akan berbeza-beza apabila ditulis oleh sejarawan yang berbeza. Tambahnya lagi, ahli sejarawan sudah pasti membawa set minat, nilai dan kepercayaan apabila mendekati sesuatu kajian sejarah dan menimbangkan sejarah yang mana penting atau tidak penting untuk dipilihnya. Hal ini pernah dikatakan oleh A.J.P Taylor bahawa tiada sejarawan yang dapat memulakan sesuatu pengkajian sejarah dengan minda yang kosong dan hanya menunggu untuk diisi. Ahli sejarah sudah pasti telah mempunyai tanggapan dan pandangan yang mendahului sesuatu kejadian sejarah lantaran pengaruh sosial dalam dirinya. Ini sebagai sebab yang menyebabkan objektiviti sejarah terlalu sukar untuk dicapai sepenuhnya.

            M.H Dowell (2002) turut melahirkan pandangan yang serupa tentang perkara ini. Bagi Dowell, fakta di dalam sejarah itu tidak semestinya bebas nilai dan memiliki realiti yang objektif di mana ia sama pada setiap ahli sejarawan. Pemilihan dan penyusunan data sejarah mungkin akan membawa perbezaan yang ketara dari sudut penyeluruhan dan kesimpulan dari bukti yang sama. Katanya lagi, sejarawan tidak dapat sepenuhnya bersifat objektif kerana apabila mereka menganalisis perlakuan pelaku sejarah, di sini mesti akan ada semacam elemen subjektif kerana sifat semula jadi manusia itu sungguh berbeza dan tidak serupa. Pencarian sejarah yang objektif dikekang oleh pra-tanggapan, pengetahuan dan nilai yang berpunca daripada pemerhatian dan pengalaman ahli sejarah di masa lalu. Apa yang boleh dilakukan oleh ahli sejarah ialah mencari titik persamaan di dalam sesuatu peristiwa sejarah dan juga disandarkan kepada penyaksiaan dan fakta-fakta yang sudah diketahui.

            Timbul isu jika sejarah bersifat subjektif seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, dapatkah sejarawan mengelakkan unsur bias dan berat sebelah dalam penulisan mereka? Memang tidak dapat dinafikan unsur subjektif di dalam sejarah menyebabkan wujudnya unsur bias atau berat sebelah oleh seseorang sejarawan. Ini kerana, sifat atau personaliti sejarawan yang keterlaluan atau obsesi tentang sesuatu peristiwa sejarah akan menulis dan menceritakan kejadian ini secara melampau. Sebagai contoh, sejarawan yang begitu minat dengan tokoh sejarah X, akan cuba untuk memaparkan kisah-kisah yang baik dan positif sahaja tentang tokoh tersebut, perkara di sebaliknya tidak disentuh. Atau boleh jadi adanya unsur yang sengaja diada-adakan untuk melegitimasi perbuatan dan tingkah laku tokoh tersebut. Ini sesuatu yang tidak harus berlaku di dalam sejarah meskipun unsur subjektiviti di dalam peristiwa sejarah itu sesuatu yang pasti berlaku. Sebolehnya, sejarawan perlu bersikap jujur apabila mengkaji atau menulis sesuatu peristiwa sejarah. Selain itu, unsur bias dan berat sebelah ini dapat dielakkan seandainya sejarawan tersebut dapat berfikir secara kritikal dan tidak terlalu memihak kepada sesuatu kumpulan.

Rumusannya, sejarah mempunyai sifat objektif di dalam beberapa perkara dan juga bersifat subjektif di beberapa perkara yang lain. Untuk mengakhiri wacana ini saya memetik kata-kata Louis Gottschalk ‘bahawa untuk mengkaji sesuatu itu sebagai objektif, sesuatu itu harus bersifat objek dan wujud secara bebas di dalam minda manusia. Ingatan, katanya tidak wujud di luar daripada minda manusia dan kebanyakan sejarah bergantung kepada ingatan yang tertulis atau diucapkan oleh penyaksi sejarah’.

 

Buku Dirujuk:-


Isnin, 13 Februari 2023

Sumber Sejarah: Kritikan Luaran dan Dalaman

Sejarah satu disiplin ilmu yang mengutamakan kebenaran dan kesahihan fakta. Fakta sejarah diperoleh melalui analisis dan interpretasi terhadap sumber sejarah seperti rekod bertulis, runtuhan bangunan, artifak, prasasti, candi atau tembikar. Menurut Muhd. Yusof Hashim (2016), sumber dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang boleh menjadi punca kepada sesuatu lahiran pemikiran atau penulisan. Sumber ini menjadi kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan oleh pengkaji untuk menyelidik sesuatu perkara. Oleh itu, ahli sejarah mencari dan menyelamat mana-mana sumber sejarah yang penting untuk manusia pada hari ini dan kegunaan generasi di masa akan datang. Sungguhpun begitu, untuk mencapai tahap kebenaran fakta, ahli sejarah tidak dapat lari untuk menilai sumber sejarah sama ada ia dapat dikategorikan sebagai sumber yang sah ataupun palsu. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (2009), golongan objektif dan saintifik menerima sumber empirikal untuk mencapai keyakinan dalam pengetahuan sejarah melalui proses kritikan sumber. Oleh itu, tugas mengkritik sumber sejarah dijalankan melalui dua proses iaitu kritikan luaran dan dalaman. Saya akan cuba untuk membincangkan tentang perkara ini di dalam tulisan saya kali ini.

            Sebelum itu, elok dijelaskan dahulu tujuan kritikan sumber sejarah. G.R Elton (1969) menjelaskan bahawa kritikan sumber (evidence) membawa dua tujuan iaitu untuk mewujudkan ketulenan dan keaslian sumber dan untuk mentaksir dan menilai signifikan sumber tersebut. Baginya, ahli sejarah perlu untuk membina satu bentuk penilaian yang membolehkan mereka mengenal pasti kepalsuan yang berada di dalamya. Selain itu, tujuan kritikan ini dilaksanakan adalah untuk mendapatkan sumber yang berkualiti dan dipercayai. W.H McDowell (2002) memberi pandangan bahawa semua ahli sejarah perlu mengambil kaedah yang fleksibel di dalam mentaksir dan menilai kualiti dan kepercayaan sumber dan bahan. Tambahnya lagi, nilai sesuatu sumber bergantung kepada beberapa perkara. Antaranya ialah masa yang berlalu di antara peristiwa dan ingatan tentang peristiwa tersebut. Kedua, tujuan sumber dan audien yang ditujukan. Ketiga, kedekatan di antara peristiwa dan pemerhati peristiwa tersebut. Semakin dekat pemerhati atau penyaksi sesuatu peristiwa, semakin tinggi nilainya. Keempat ialah perspektif dan kekuatan pemerhatian dan ingatan yang ada pada penyaksi tersebut. Oleh itu, kebolehpercayaan sesuatu sumber juga bergantung kepada kompetensi penulis atau penyaksi sesuatu peristiwa sejarah.

            Di dalam mengkritik sumber sejarah, perkara pertama yang dilaksanakan oleh ahli sejarah ialah mengkritik atau menilai sumber ini secara luaran. Secara umumnya, kritikan luaran ini merangkumi aktiviti menilai sumber sejarah dari sudut sifat luaran sumber tersebut. Ini termasuklah ciri-ciri sumber seperti asal-usul sumber, kandungan yang konsisten dengan fakta-fakta yang diketahui sebelumnya, bentuk rupa dokumen tersebut dan ujian kimia bagi menentusahkan keaslian dan ketulenan sumber tersebut. Ciri ini dibentangkan oleh John Tosh dalam bukunya The Pursuit of History. Pertama, tentang asal-usul (provenance), ialah berkaitan rapat dengan pengeluar sumber tersebut sama ada dapat kita jejaki semula. Tentang asal-usul, sumber sejarah dapat dijejaki melalui pengeluar sumber tersebut. Sebagai contoh, dalam konteks sejarah negara kita, pada abad ke-19, sumber-sumber sejarah tentang ekonomi, politik dan kegiatan sosial masyarakat di negara ini, dikeluarkan dan diterbitkan oleh institusi tertentu seperti Pejabat Kolonial Inggeris atau pegawai yang bertugas dan berkhidmat di Tanah Melayu, di Sabah dan Sarawak pada waktu itu. Rekod-rekod kerajaan Inggeris ada menyimpan dan memelihara sumber ini dan ada yang dapat kita rujuk sendiri di Arkib Negara Malaysia atau di arkib negeri.

 Setelah dipastikan tentang asal-usul sesuatu sumber itu, maka langkah seterusnya ialah melihat kepada konsistensi kandungan dengan fakta yang telah diketahui. Jika timbul keraguan atau kemusykilan dalam proses ini, sudah tentu sumber ini perlu dibuang dan tidak sah untuk dipakai. Dalam situasi ini, ahli sejarah tidak dapat mengelakkan tentang kepelbagaian sumber sejarah yang ada. Oleh itu, sumber sejarah perlu dinilai dengan fakta-fakta sejarah yang telah diketahui. Konsistensi di sini bermaksud, fakta yang ditulis itu selari atau tidak bercanggah dengan fakta-fakta yang lain. Langkah ketiga ialah menilai sumber ini dari aspek bentuk dan jenisnya. Ini berkait rapat dengan bentuk tulisan yang digunakan, bahasa yang dipakai dan cop yang sesuai dengan keadaan ia dikeluarkan. Ahli sejarah perlu mendapat bantuan ahli filologi dan paleografi dalam menjalankan aktiviti ini. Ini kerana, sumber atau rekod bertulis yang bahasanya ada yang tidak lagi dapat difahami dan memerlukan ahli bahasa yang pakar untuk menentukan sama ada bahasa yang digunakan ini benar dan wujud. Selain itu, bantuan ahli paleografi dapat dipakai di dalam meneliti jenis tulisan yang digunakan. Langkah yang terakhir ialah menjalankan ujian kimia untuk menentukan dan memeriksa usia bahan, dakwat serta jenis kertas.

            Setelah kritikan secara luaran disempurnakan, proses seterusnya yang dilalui oleh ahli sejarah ialah menilai sumber secara dalaman iaitu kritikan dalaman. Langkah ini melibatkan beberapa aktiviti yang penting. Menurut Arba’iyah Mohd Noor (2006), kritikan dalaman pula bertujuan untuk menentukan kemunasabahan ataupun kewarasan (kerasionalan) tentang isi kandungan sumber sejarah. Tambahnya lagi, walaupun sumber itu asli jika dilihat dari sudut kritikan luaran, tetapi jika kandungannya tidak munasabah, maka sumber itu tidak wajar untuk dijadikan sumber rujukan sejarah. Ini seperti yang dikongsikan oleh G.R Elton (1969) bahawa dalam isu ini, peraturannya sungguh mudah, jika dapat dibuktikan keaslian sumber melalui kritikan dalaman dan luaran, maka gunakan ia. Jika meragui, lupakan ia. Antara aktiviti dalam proses kritikan sumber secara dalaman ialah meneliti kebolehpercayaan (reliability) terhadap penulis sumber tersebut. Ini berkait rapat dengan siapa yang mencipta sumber ini dan sejauh mana individu ini berkelayakan untuk berbuat demikian. Arthur Marwick dalam isu ini, menggalakkan ahli sejarah untuk bertanya sejauhmana penulis sesuatu sumber itu benar-benar dapat menyediakan informasi secara langsung tentang sesuatu topik yang menjadi tumpuan dan perhatian ahli sejarah.

            Selanjutnya, kritikan dalaman melibatkan usaha ahli sejarah mengkaji dan meneliti tentang ‘bila’ dan ‘di mana’ penulis sumber itu berada. Ini bertujuan untuk menilai sama ada penulis ini menceritakan atau menzahirkan sesuatu yang benar dan sesuai dengan pengalaman yang dilaluinya. Sebagai contoh, seorang individu yang pernah terlibat dalam peristiwa Pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekitar awal tahun 1940-an, menceritakan dan menulis pengalamannya ini di sebuah buku atau diari. Keterangan yang diberikan oleh individu ini lebih sahih dan dipercayai apabila mengkaji tentang sejarah Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ini berbeza bagi individu yang tidak pernah mengalami keadaan ini dan hanya mendengar cerita daripada orang lain. Oleh itu, dua persoalan ini penting untuk diberi perhatian supaya kandungan di dalam sumber sejarah ini sesuai dengan masa dan tempatnya. Seperti yang dijelaskan oleh Arba’iyah Mohd. Noor bahawa persoalan bila sejarawan itu terlibat dan di mana beliau tinggal pada masa kejadian tersebut berlaku dirasakan cukup penting sekali kerana fakta yang diterima daripadanya akan lebih bersifat objektif dan jelas.

             Rumusannya, proses kritikan sumber sejarah merupakan peringkat yang kritikal bagi ahli sejarah. Ini kerana, kebenaran dan kesahihan sesuatu fakta itu amat bergantung kepada proses ini. Jika ini dapat disempurnakan dengan baik, maka kebenaran sesuatu kisah sejarah sukar untuk diragukan lagi. Pun begitu, saya bersetuju dengan pendapat Arthur Marwick bahawa sumber sejarah yang digunakan oleh sejarawan biasanya dijumpai dalam keadaan yang tidak lengkap, berpecah-pecah dan sukar untuk dikesan. Ini adalah satu cabaran yang perlu diatasi oleh sejarawan dalam menghasilkan tulisan-tulisan dan karangan yang berkualiti dan mempunyai kredibiliti yang tinggi.


Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...