Pada abad ke-15, Kesultanan Melayu Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang kuat, menguasai kegiatan perdagangan di laluan Selat Melaka. Pelabuhan Melaka terlalu ramai dikunjungi oleh pedagang dari Timur dan Barat sehingga pelabuhannya begitu sibuk hampir sepanjang tahun. Kejayaan kerajaan Melayu ini didorong oleh kedudukannya yang strategik, kepimpinan cemerlang raja/sultan Melaka serta disokong oleh kepakaran Orang Laut dalam menjaga keselamatan Melaka dari ancaman musuh. Namun, kegemilangan ini tidak kekal lama apabila di penghujung abad ke-15, Melaka berdepan cabaran pergolakan politik dalaman serta ancaman serangan Portugis yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu ini. Maka, pada 24 Ogos 1511, jatuhnya sebuah kerajaan Melayu iaitu Kesultanan Melayu Melaka. Di sini, saya akan membincangkan faktor kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka yang dapat dibahagikan kepada dua bahagian yang penting iaitu faktor dalaman dan juga faktor luaran.
Faktor utama kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah kelemahan sultan/raja yang mentadbir Melaka iaitu Sultan Mahmud Syah. Baginda menggantikan Sultan Alauddin Riayat Shah dan menduduki takhta kerajaan pada tahun 1488. Menurut Ahmad Dahlan (2017), Sultan Mahmud Syah ialah seorang sultan yang sungguh berbeza daripada ayahnya dari segi sikap iaitu Sultan Mahmud Syah seorang yang berpawatakan tegas namun memiliki sikap menurut hawa nafsunya sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud Syag membunuh saudaranya iaitu Raja Zainal kerana telah menjatuhkan moral keluarga diraja apabila Raja Zainal menggunakan kuasa dan ketampanannya untuk menggoda dan menodai gadis-gadis Melaka. Selain itu, Sultan Mahmud Syah sanggup merampas Tun Teja tunangan Raja Pahang. Dikatakan lagi Sultan Mahmud Syah sering didapati curang dengan isteri-isteri menteri baginda. Perwatakan seperti ini memberi gambaran buruk terhadap imej Sultan Mahmud Syah dan mengganggu kejayaan yang telah dicapai oleh Melaka selama ini. Muhammad Yusoff Ibrahim menggambarkan watak Sultan Mahmud Syah sebagai seorang yang suka berfoya-foya dan menyalahgunakan kuasa yang dimilikinya. Ini mungkin disebabkan kemewahan yang dicapai oleh Melaka membuatkan Sultan menjadi lalai dan alpa.
Seterusnya, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan kehilangan Bendahara Tun Perak yang meninggal dunia pada tahun 1498. Tun Perak seorang bendahara Melaka yang memiliki karisma dan pemimpin yang tulen. Ketika menjadi bendahara di bawah empat orang sultan/raja, Melaka telah mencapai pelbagai kejayaan dari aspek kemakmuran ekonomi dan keselamatan Melaka daripada ancaman Siam. Muhammad Yusof Ibrahim menyatakan bahawa kehilangan Tun Perak bagaikan kehilangan Aria Pateh Gajah Mada bagi Majapahit pada kurun ke-14. Kehilangan Tun Perak yang dianggap sebagai pemilih raja (kingmaker) dan pembentuk empayar Melaka membawa kepada kemerosotannya. Namun, kehilangan Bendahara Tun Perak tidak dapat dielakkan. Cuma, ia membawa satu cabaran yang perlu diatasi oleh sultan Melaka dalam mencari pengganti yang dapat memainkan peranan seperti yang dibawa oleh Tun Perak sendiri. Dan ini dapat diatasi oleh kerajaan Melaka apabila pada tahun 1500 Tun Mutahir telah dilantik menjadi Bendahara Melaka. Dikatakan bahawa Tun Mutahir ialah seorang bendahara yang terlalu saksama, serta adil dengan murahnya, dan terlalu sangat pada memeliharakan segala dagang.
Namun, pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir membawa kesan yang cukup besar terhadap kelangsungan hidup Kesultanan Melayu Melaka. Peristiwa ini menyebabkan Melaka terpaksa kehilangan seorang bendahara yang dapat menggantikan tempat Tun Perak. Pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir berlaku disebabkan timbulnya fitnah yang telah dicetuskan oleh Si Kitul. Kisah ini bermula apabila Nina Sura Dewana dan Raja Mendaliar bertelagah sesama mereka. Oleh itu, mereka datang kepada Tun Mutahir untuk dibicarakan dan mencari kata pemutus terhadap pertelagahan yang sedang berlaku. Pun begitu, Tun Mutahir meminta mereka pulang dahulu kerana hari telah lewat petang. Namun, Nina Sura Dewana telah datang berjumpa bendahara Tun Mutahir dengan membawa hadiah pada sebelah malamnya. Ini bertujuan untuk memujuk bendahara Tun Mutahir memihak kepada beliau apabila hari perbicaraan berlangsung nanti. Kejadian ini disedari oleh Si Kitul, iaitu saudara kepada Nina Sura Dewana sendiri. Memandangkan dirinya mempunyai hutang terhadap Raja Mendaliar, inilah peluang untuk melangsaikan hutang tersebut dengan memberi maklumat perbuatan Nina Sura Dewana tersebut.
Setelah mengetahui kejadian tersebut, Raja Mendaliar telah berpakat dengan Si Kitul untuk merasuah Laksamana Khoja Hassan supaya memberitahu sultan bahawa Tun Mutahir sedang merancang untuk memberontak dan merampas kuasa. Laksamana Khoja Hassan telah memberitahu Sultan Mahmud Syah. Dengan itu, Sultan sendiri telah memerintahkan supaya keluarga Tun Mutahir dibunuh kecuali Tun Fatimah. Maka, terbunuhlah Tun Mutahir dan Melaka kehilangan seorang bendahara. Perbuatan Sultan Mahmud Syah ini juga didorong oleh dendamnya terhadap Tun Mutahir yang tidak mempersembahkan anaknya iaitu Tun Fatimah yang cantik jelita. Ini menggambarkan sikap Sultan Mahmud Syah yang tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihan dan kebenaran fakta yang ada di dalamnya. Peristiwa pembunuhan keluarga bendahara Tun Mutahir ini memaksa Melaka mencari pengganti. Malah, sejak Sultan Mahmud Syah mengetahui fitnah Si Kitul, lantas baginda “membuang kerajaannya” dan digantikan oleh putera baginda iaitu Raja Ahmad. Ketika Melaka diserang Portugis, Bendahara Paduka Tuan juga digelar sebagai Bendahara Tepok tidak mampu mengetuai ancaman Portugis kerana dirinya sudah tua.
Faktor lain kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah pergolakan politik dalaman di antara pembesar Melaka. Ini dapat dilihat apabila Syahbandar yang bertugas di pelabuhan tidak lagi menghiraukan kebajikan pedagang yang datang ke pelabuhan Melaka. Mereka telah meng-enakan cukai yang tinggi kepada pedagang. Lebihan cukai ini dimasukkan ke dalam poket mereka sendiri. Keadaan ini menyebabkan pelabuhan Melaka tidak lagi menjadi pilihan utama pedagang untuk berniaga dan berdagang di sini. Cukai yang tidak munasabah mungkin akan merosotkan pendapatan mereka. Perkara ini seperti yang ditegaskan oleh Ahmad Dahlan bahawa para pegawai kerajaan Melaka pada masa itu sedang dibuai mimpi dan tidak memanfaatkan sepenuhnya potensi kedudukan pelabuhan mereka yang lebih strategik dan telah teruji berabad-abad lamanya. Situasi ini membawa kepada pengalihan tumpuan pedagang ke arah pelabuhan-pelabuhan lain yang terdapat di Alam Melayu seperti Acheh, Bantam, Patani dan Brunei. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka didorong oleh kesibukan pedagang yang berniaga di pelabuhan Melaka. Jika kegiatan ini terganggu, Melaka akan berdepan dengan ancaman keruntuhan dan kejatuhan.
Faktor kelima yang membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah serangan Portugis yang menyebabkan Melaka diambil dan diperintah oleh bangsa Portugis. Pada awalnya, kedatangan bangsa Portugis ke Melaka adalah untuk berdagang sama seperti pedagang-pedagang lain yang ada di pelabuhan Melaka. Angkatan laut ini diketuai oleh Lopez De Squiera dan mereka telah disambut dengan baik oleh bendahara Tun Mutahir. Namun, desakan dari pedagang yang tidak menyukai Portugis berdagang di sini menyebabkan mereka telah ditangkap dan dipenjarakan. Peristiwa ini menyebabkan bangsa Portugis yang dipimpin oleh Alfonso Albuquerque datang ke Melaka untuk menyerang Melaka dan membalas dendam. Kelebihan tentera Portugis dari segi kelengkapan ketenteraan menyebabkan tentera Melaka dapat dikalahkan. Maka, pada 25 Ogos 1511, Melaka secara rasminya jatuh di tangan Portugis. Dan berakhirnya sebuah kerajaan Melayu Melaka. Namun, ini tidak bermakna Melaka lenyap dalam sejarah. Malah, raja-raja keturunan Melaka dahulu meneruskan legasi Kesultanan Melayu Melaka apabila Kesultanan Johor-Riau ditubuhkan pada tahun 1528.
Faktor akhir yang menyebabkan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah kecurang-an yang dilakukan oleh para saudagar yang membantu Portugis menawan Melaka. Menurut Joginder Singh Jessy, dalam perang yang berikutnya, “orang-orang Melayu berjuang dengan berani, tetapi Melaka jatuh kerana orang-orang Jawa, India dan China di bandar itu, iaitu golongan saudagar atau ahli-ahli peniaga yang terbesar di situ tidak menghiraukan langsung atau mendiamkan diri atau pun bertarung masuk ke sebelah pihak Portugis. Kecurangan yang dilakukan oleh para saudagar asing ini disebabkan kelangsungan hidup perdagangan mereka. Mereka perlu menyokong para pemerintah Melaka ketika sultan/rajanya memerintah dan menukar sokongan kepada Portugis kerana kemenangan Portugis membolehkan mereka diberi kebenaran untuk berdagang. Jika mereka mereka menyokong pemerintah Melaka dan Melaka tewas dalam peperangan tersebut, timbul kemungkinan para pedagang ini disisihkan dan tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka. Oleh itu, pilihan yang mereka ada adalah memilih untuk melihat sahaja bangsa Portugis-Melaka berperang atau memilih satu pihak dengan mempertimbangkan hayat perniagaan mereka di pelabuhan Melaka. Namun, ini menunjukkan khinat pedagang kepada Melaka.
Rumusannya, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 menyebabkan Alam Melayu kehilangan lagi sebuah kerajaan yang unggul dan kuat seperti Srivijaya dan Majapahit dahulu. Kelemahan pemimpin menjadi punca terbesar kejatuhan sesebuah kerajaan seperti Melaka. Ini dapat dilihat di dalam beberapa buah kerajaan Melayu yang lain apabila pengganti raja tersebut tidak mempunyai kebolehan untuk menguruskan kerajaanya dengan bijaksana. Ini membawa kepada pergolakan politik di dalam istana Melaka di kalangan para pembesar dan menteri. Akhirnya, pada tahun 1511 Portugis menjadi bangsa pertama Eropah yang berjaya datang dan menjajah di Alam Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan