Isnin, 27 Mac 2023

Kegiatan Perdagangan Melaka Pada Abad ke-15

Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada awal abad ke-15. Menurut O.W Wolters, Melaka dibuka sekitar tahun 1399/1400. Tidak berapa lama, kerajaan Melayu ini menjadi sebuah negeri yang maju dan berjaya hampir satu abad lamanya. Catatan Tome Pires dalam tulisannya Suma Oriental mengakui kekayaan dan kegemilangan kerajaan Melayu ini. Terdapat beberapa faktor yang menjadi pasak kejayaan Melaka, antaranya ialah kebolehan dan kepimpinan yang dimiliki oleh Parameswara. Malah, kedudukannya yang strategik terletak di antara laluan perdagangan Barat dan Timur semacam memberi satu jaminan kepada masa depan Melaka. Ini terbukti benar, apabila Melaka menjadi sebuah kerajaan yang dikunjungi oleh ramai pedagang dan pelabuhannya sibuk didatangi orang sama ada dari kepulauan Melayu atau bangsa-bangsa luar. Pun begitu, Parameswara serta penggantinya berdepan cabaran dalam mengendalikan urusan perdagangan ini secara bijaksana. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk membincangkan kegiatan perdagangan Melaka serta rakan dagang Melaka dan bahan-bahan yang diperdagangkan di sini.

            Sebelum dibincangkan sistem atau kaedah perdagangan yang dijalankan di Melaka, elok ditinjau terlebih dahulu fungsi atau peranan yang dimainkan oleh pelabuhan Melaka. Muhammad Yusoff Hashim (2015) menyatakan bahawa pelabuhan Melaka berfungsi sebagai tempat pengumpulan, penyaluran dan pertukaran barang dagangan menerusi sistem entrepot. Ini dipersetujui oleh Joginder Singh Jessy (1964) bahawa pelabuhan Melaka mempunyai kemudahan yang elok dan juga kerana keselamatan yang terjamin untuk saudagar-saudagar yang melawati Melaka membantu negeri ini berkembang dengan baik. Katanya lagi, Melaka menjadi pusat “perdagangan tiga jurusan” di antara negeri India, China dan Asia Tenggara. Di Melaka, pelabuhannya disinggahi oleh kapal-kapal dari beberapa banyak negeri membawa barang untuk dijual dan diperdagangankan di sini. B.W. Andaya & L. Andaya (1982) menyebutkan bahawa elemen penting kejayaan Melaka terletak pada kebolehan pelabuhannya memainkan dua fungsi utama iaitu sebagai pusat pengumpulan dan pusat penyebaran barang. Daripada pandangan mereka ini, dapat disimpulkan Melaka memainkan tiga peranan utama iaitu, pertama tempat pengumpulan barang atau transit, kedua pusat jual beli dan terakhir sebagai pembekal dan penyebar barang dagangan di antara beberapa buah wilayah atau negeri yang berurusan di Pelabuhan Melaka.

            Sebagai sebuah pelabuhan entrepot, Melaka memerlukan satu sistem perdagangan yang dapat menyokong dan melicinkan urus niaga di pelabuhan ini. Ma Huan & Fei Hsin di dalam Muhd Yusoff Hashim (2015) menyebutkan bahawa perancangan ekonomi mesti terlebih dahulu dilengkapkan dengan perancangan pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun. Sistem ini meliputi kaedah jual beli, sistem mata wang, penentuan jumlah cukai, kebenaran berniaga dan beberapa perkara lain. Aktiviti perniagaan di pelabuhan Melaka diuruskan oleh syahbandar yang berfungsi untuk meneliti dan mengawal aktiviti perdagangan supaya berjalan dengan lancar dan licin. Menurut Muhd Yusof Ibrahim (1992) Syahbandar ialah istilah Parsi yang bererti seorang pemerintah di pelabuhan yang berfungsi sebagai ketua organisasi di pelabuhan dan wakil saudagar asing daripada kalangan pelbagai etnik peniaga. Terdapat empat orang syahbandar mengikut kawasan atau wilayah pedagang yang datang berlabuh dan berdagang di Melaka. Selain itu, syahbandar menjadi perantara di antara pedagang dan Bendahara dalam meminta kebenaran untuk berniaga setelah urusan cukai dijelaskan. Bagi pedagang dari Tanah Arab, India dan Pegu dikehendaki membayar sebanyak 6% cukai daripada jumlah nilah barang dagangan mereka. Berbeza dengan pedagang dari kepulauan Melayu seperti Pulau Jawa dan Maluku yang hanya harus memberikan persembahan (gift) kepada sultan.

            Menurut Muhd Yusoff Hashim, urusan perniagaan di pelabuhan Melaka mempunyai dua bentuk iaitu pertama melalui sistem tukar barang atau sistem barter dan kedua menerusi proses penjualan dan pembelian. Kaedah pertama iaitu melalui sistem tukar barang merupakan sistem ekonomi tradisional. Ini kerana, sebelum wujudnya satu sistem mata wang, masyarakat menukarkan barangan mereka untuk mendapatkan sesuatu barangan lain yang diperlukan jika kedua-dua pihak bersetuju atas transaksi tersebut. Sebagai contoh, jika seorang pembeli ingin mendapatkan beras, dan dia ingin menukarkannya dengan ikan, jika dipersetujui di antara kedua buah pihak, maka, sahlah transaksi yang mereka jalankan. Pun begitu, sistem tukar barang ini mempunyai beberapa kelemahan apabila melibatkan soal kesamaan nilai. Kedua, ialah sistem jual beli menerusi penggunaan mata wang. Sistem ini digunakan sampai hari ini apabila wang kertas dan syiling digunakan. Menurut K.G Tregonning (1964), emas, perak dan timah semuanya digunakan sebagai mata wang di Melaka. Ini dipersetujui oleh Muhd Yusof Ibrahim bahawa menjelang pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, wang emas telah digunakan bagi tujuan perniagaan. Di kepingan wang tersebut tertulis nama pemerintah pada ketika itu. Wang ini dibuat atau dikeluarkan di Melaka.

            Melaka menjalinkan hubung dagang dengan pelbagai jenis suku bangsa dan bahasa. Tome Pires menyebutkan bahawa di Melaka sewaktu zaman kegemilangannya terdapat 84 jenis bahasa yang dituturkan. Catatan Tome Pires ini membuktikan betapa ramainya pedagang yang datang atau singgah di Pelabuhan Melaka. Bagi pedagang di alam Melayu atau Nusantara, Melaka dikunjungi oleh pedagang dari Pulau Jawa. Pulau Jawa menjadi pembekal utama bahan makanan seperti beras, gula, berbagai-bagai jenis rempah dan kayu kayan. Selain itu, menurut Ahmad Dahlan (2017), Para pedagang dari kawasan Asia Tenggara (Maluku, Sulawesi, Jawa, Borneo atau Kalimantan, Sumatera dan Sulu Mindanao di Filipina membawa rempah ratus, antaranya lada, buah pala, kulit kayu manis serta hasil hutan, misalnya kapur barus, damar, gaharu dang gading gajah. Di Melakalah barang-barang itu diperdagangkan antara sesama saudagar untuk kemudian dibawa ke negeri masing-masing. Selain itu, Pegu menjadi rakan dagang Melaka yang penting kerana selain membekalkan beras, Pegu membekalkan kapal-kapal dagang kerana di sini terdapat perusahaan membina kapal. Selain itu, Melaka turut menakluk beberapa wilayah penting seperti Siak dan Kampar yang dapat membekalkan emas dan lada. Malah, gugusan Riau-Lingga membekalkan Orang Laut yang menjadi penyokong kepada kejayaan pelabuhan di Melaka.

            Seterusnya, aktiviti perdagangan di Melaka juga melibatkan pedagang daripada Barat seperti Koromandel. Tome Pires dalam Muhd Yusoff Hashim menganggarkan terdapat antara empat hingga lima buah kapal besar datang ke Melaka setiap tahun dengan nilai dagangan antara 12,000 hingga 15,000 Cruzados dari Koromandel. Muhd Yusoff Hashim juga menjelas-kan bahawa barangan yang dibawa dari Koromandel ditukar ataupun digunakan untuk membeli gaham, permata, lada, cengkih, kayu manis dan buah pala. Saudagar Kalinga pula membeli perak, emas, bijih dan sutera mentah yang dibawa dari China. Tambahnya lagi, Saudagar yang terdiri daripada pedagang Arab dan Parsi, Turki dan Absinia membentuk sebuah syarikat untuk berdagang di Melaka. Mereka membawa bahan makanan, beras, gula, daging kering, berbagai-bagai jenis buah-buahan, kain India dan sayur-sayuran kering. Bahan-bahan ini kemudiannya ditukar dan digunakan di Melaka untuk membeli lada, jagung, cengkih, sutera dari China, tembikar dari Jepun, senjata dari Jawa, tembaga, bijih, kapur barus, garam dan berbagai bahan dagangan mentah dari Nusantara.

            Selanjutnya, aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka juga melibatkan pedagang dari negara China. China, sebelum menukar dasarnya menutup pintu menyediakan pasaran yang dapat memberi keuntungan kepada pedagang yang berdagang di sana. Hubungan baik di antara China-Melaka membuka ruang kepada Melaka untuk mendapatkan beberapa barangan penting dan mempunyai nilai yang tinggi. Antaranya ialah kain sutera, berbagai-bagai jenis tembikar atau seramik produk sulaman dan tenunan, kain satin, tembaga, barang perhiasan dan teh. Selain itu, pedagang China membawa pulang barang dagangan seperti lada, gaharu, candu, rempah dan bahan hutan. Namun begitu, aktiviti perniagaan dengan China tidak dapat diterus-kan apabila China menukar dasarnya iaitu menutup pintunya dan mengasingkan dirinya daripada aktiviti luar. Ini tentulah merugikan Melaka. Selepas itu, rekod-rekod daripada China untuk dijadikan rujukan sejarah Kesultanan Melayu Melaka sukar didapati apabila pasukan pengawal China yang sering belayar di Alam Melayu ini tidak kelihatan lagi.

            Kejayaan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Melaka didorong oleh peranan yang telah dimainkan oleh Orang Laut. Menurut Muhammad Yusoff Hashim, dengan kehadiran Orang Laut yang mengiringi Parameswara ketika berundur dari Singapura (Temasik) ke Melaka sebelum tahun 1400 telah dapat membantu menjaga pertahanan dan perairan. Tambahnya lagi, tenaga Orang Laut jugalah yang telah digunakan oleh pemerintah Srivijaya sebelum ini untuk meningkatkan kegiatan ekonomi dan perdagangan mereka. Orang Laut juga dapat membantu menentang lanun di Selat Melaka kerana lanun boleh menjejaskan keselamatan di perairan dan keselamatan para pedagang. Oleh itu, kawalan keselamatan menjadi perkara yang utama bagi Melaka untuk menjamin kegiatan perdagangan dan kedatangan pedagang asing. B.W Andaya & L. Andaya mengakui peranan Orang Laut ini apabila menyebutkan bahawa ciri menarik yang ada di Melaka sebagai pelabuhan entrepot ialah kebolehannya untuk memastikan keselamatan pedagangnya. Pemerintah Melaka, seperti Srivijaya, memerlukan persetiaan Orang Laut untuk melindungi klien Melaka iaitu pedagang yang berniaga di pelabuhan Melaka. Jaminan Orang Laut ini penting untuk menjadikan Melaka sebagai pelabuhan persinggahan pilihan pedagang berbanding pelabuhan-pelabuhan yang ada di perairan Selat Melaka.

            Rumusannya, aktiviti perdagangan merupakan nadi penting kepada kejayaan dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Sistem pentadbiran dan urus niaga yang sistematik membolehkan Melaka menguasai aktiviti perniagaan yang berjalan di perairan Selat Melaka. Malah, bantuan Orang Laut yang memberi jaminan keselamatan dan perlindungan menjadikan Melaka sebagai pilihan persinggahan dan perdagangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...