Isnin, 10 Julai 2023

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struktur organisasi, kurikulum dan bahan pengajarannya agak berbeza jika dibandingkan dengan sistem pendidikan tradisional. Perubahan ini telah membuka peluang dan alternatif kepada masyarakat tempatan untuk memilih pendidikan yang sesuai buat anak-anak mereka. Namun, perbezaan tetap wujud apabila sekolah-sekolah yang didirikan hanya tertumpu di kawasan tertentu seperti kawasan bandar. Sudah pasti kita dapat menggambarkan keadaan masyarakat di kawasan pedalaman yang tercicir dari dunia pendidikan di peringkat awal perkembangannya. Kelompangan ini berterusan sehinggalah ada usaha pihak tertentu untuk mendirikan sekolah. Perlu ditegaskan di sini bahawa kemunculan sistem pendidikan moden ini tidak bermakna bahawa pendidikan tradisional dilupakan. Ada ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan madrasah. Wujud pelbagai jenis sekolah moden menjelang abad ke-19 & 20. Oleh itu, penulisan artikel ini akan membincangkan berkenaan sistem pendidikan moden dan perkembangannya di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

            Kerajaan Inggeris telah memperkenalkan sistem pendidikan lebih teratur, formal dan lebih luas kurikulumnya kepada masyarakat tempatan. Pembukaan Sekolah Melayu telah dibuka pada tahun 1855 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada peringkat permulaan, sekolah-sekolah ini ditubuhkan atas usaha orang perseorangan, persatuan-persatuan agama dan daya usaha masyarakat setempat. Pelbagai reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat tempatan terhadap pembukaan Sekolah Melayu di tempat mereka. Pada awalnya, masyarakat memberi sambutan yang begitu dingin dan enggan menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan. Kebimbangan ini turut dipengaruhi oleh pengasas sekolah berkenaan iaitu individu yang beragama Kristian. Ibu bapa tidak ingin anak-anak mereka menukar agama disebabkan sekolah yang baru dibuka ini. Pada masa yang sama, anak-anak lelaki misalnya diperlukan oleh keluarga untuk membantu mencari pendapatan dan menolong ibu bapa mereka melakukan aktiviti penanaman padi. Namun, masyarakat Melayu mengubah pendirian terhadap perkara ini apabila melihat anak-anak lain yang berpendidikan berpeluang untuk bekerja di dalam perkhidmatan awam. Selaras dengan dasar pihak Inggeris memberi keutamaan kepada masyarakat Melayu untuk menjawat jawatan perkhidmatan awam. Di Sabah, pembukaan sekolah ini agak perlahan kerana sikap penjajah iaitu Charted Company yang tidak memberi perhatian terhadap perkara ini. Berbeza halnya dengan di Sarawak di mana pembukaan sekolah Melayu ini mendapat tempat dalam masyarakatnya.

            Seterusnya, masyarakat Cina turut mendirikan sekolah untuk keperluan sosial anak-anak mereka. Wujud perbezaan yang ketara dari aspek kurikulum, formaliti dan bahan pengajaran jika hendak dibandingkan dengan sekolah Melayu. Pendidikan yang diterapkan kepada pelajar-pelajarnya berkiblatkan kepada negara China. Mungkin saja hal ini dipengaruhi oleh semangat patriotisme masih kekal terpaut ke negara asal dan masih lemah bertapak ke atas Tanah Melayu. Seperti sekolah Melayu, sekolah vernakular Cina ini diasaskan oleh orang perseorangan pertubuhan agama dan masyarakat setempat. Selain daripada kurikulum sekolah yang berorientasikan pendidikan di sekolah China, guru-guru yang mengajar turut dibawa masuk ke Tanah Melayu bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sikap kerajaan Inggeris yang tidak masuk campur terhadap pendidikan ini telah memberi kebebasan kepada pendukung sekolah ini untuk menentukan kurikulum yang perlu dimuatkan dalam sekolah ini. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan sekolah-sekolah berkenaan menjadi medan politik komunis ketika fahaman ini berkembang luas pada pertengahan abad ke-20. Sejak dari itu, pihak Inggeris berusaha untuk mengawal aktiviti berkenaan dengan mengarahkan sekolah-sekolah ini didaftarkan. Selain itu, pihak Inggeris menawarkan bantuan kewangan seperti geran khusus kepada sekolah-sekolah Cina. Namun, kawalan ini masih dianggap lemah kerana kerajaan masih tidak campur tangan dalam menentukan guru-guru yang mengajar dan bahan pengajarannya. Keadaan ini berubah setelah meletusnya Perang Dunia ke-2 dan sekembalinya pihak Inggeris ke Tanah Melayu. Mereka telah membuat kawalan rapi terhadap sekolah ini.

            Selain daripada sekolah Melayu dan Cina, sekolah vernakular Tamil turut didirikan di Tanah Melayu. Seperti sekolah yang lain, sekolah ini bermula dengan wujudnya sekolah-sekolah persendirian yang diusahakan oleh pertubuhan dakwah Kristian ataupun kumpulan tertentu dalam komuniti mereka. Bezanya di sini ialah kewujudan sekolah ini agak terkemudian dan bilangannya agak kecil. Hal ini bersabit dengan bilangan penduduk yang tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan imigran Cina di Tanah Melayu. Pembukaan sekolah ini tidak dapat dipastikan tarikh yang khusus dan dipercayai sekolah Tamil ini menjalankan operasinya pada tahun 1870-an. Seperti sekolah Cina, sekolah Tamil tidak mendapat perhatian daripada kerajaan Inggeris. Hal ini sudah pasti mempengaruhi perkembangan sekolah dari sudut infrastruktur dan kurikulum yang agak perlahan. Sekolah Tamil ini diwujudkan atas kesedaran pentingnya aspek pendidikan dalam kehidupan masyarakat. Kerajaan India turut meminta kerajaan Inggeris mendirikan sekolah kepada anak-anak buruh agar mereka tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan. Oleh itu, pihak Inggeris telah mengggubal akta buruh pada tahun 1923 yang menetapkan bahawa setiap pengusaha ladang perlu mendirikan sekolah di ladang masing-masing jika terdapat sepuluh atau lebih anak-anak pada usia persekolahan iaitu enam hingga dua belas tahun. Implementasi daripada dasar ini, makan banyaklah sekolah yang didirikan. Namun, pada peringkat awal pembukaan sekolah ini, keadaannya amat menyedihkan hati apabila pengusaha ladang tidak begitu prihatin soal kebajikan sekolah ini. Pembukaan sekolah hanya bertujuan memenuhi keperluan dasar British.

            Kesimpulannya, sistem pendidikan moden telah membuka peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan ilmu-ilmu baharu. Pada masa yang sama, ilmu tersebutlah dapat digunakan untuk tujuan hidup dan mencari pekerjaan yang diminati. Pendidikan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak begitu berbeza jika kita menilai dari sudut tempoh dan perkembangannya. Mungkin perkara ini disebabkan oleh tindakan atau dasar pihak kolonial British yang tidak menghiraukan pendidikan di negara kita. Namun, memasuki abad ke-20, pendidikan semakin berkembang dengan baik. Atas usaha masyarakat dan persatuan-persatuan tertentu, masyarakat kita mampu menikmati pendidikan moden. Oleh itu, sistem pendidikan ini haruslah berkembang seiring dengan keperluan semasa dan selaras dengan peredaran zaman yang semakin mencabar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...