Kesultanan
Melayu Melaka sentiasa mendapat perhatian ahli sejarah apabila membincangkan
titik mula pensejarahan di negara ini. Ini tidak bermakna sebelum adanya Melaka
kita kosong tentang sejarah, cuma kemunculan Melaka pada penghujung kurun ke-14
telah banyak membawa perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia
Tenggara. Menurut Tome Pires, yang pernah tinggal di Melaka selama tiga tahun
(1512-1515) menyatakan Melaka telah menjadi penting dan bernilai yang bagi
dirinya tiada tolok bandingnya dengan wilayah lain di dunia ini. Selanjutnya,
Melaka telah menjadi satu bentuk kerajaan dan cara hidup di mana diikuti oleh
kerajaan Melayu seterusnya. Meskipun selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511
di tangan Portugis, Melaka telah kekal menjadi inspirasi dan punca kekuatan
kepada kerajaan Melayu yang lain seperti Kesultanan Johor-Riau. Ini di antara
sebab Melaka sentiasa menjadi tumpuan dalam membahaskan permulaan Sejarah
Malaysia. Oleh itu, di tulisan ini saya cuba untuk membincangkan tentang
pengasasan kesultanan Melayu ini.
Kesultanan Melayu Melaka diasaskan
oleh Parameswara sekitar penghujung abad ke-14 atau awal abad ke-15. Pengasas
Melaka, iaitu Parameswara dikaitkan berasal dari Bukit si Guntang Mahameru dan
jurai geneologinya daripada cucu Raja Iskandar Zulkarnain. Identiti ini
diceritakan di dalam Sejarah Melayu. Pun begitu, dakwaan Sejarah Melayu
ini begitu sukar untuk dipastikan kesahihannya. Seperti yang disebutkan oleh Kassim
Thukimin identiti ini merupakan bahagian tokok tambah dalam Sejarah Melayu.
Menurut Muhd Yusof Ibrahim, sebenarnya kisah asal-usul ini tidaklah mempunyai
bukti sejarah yang benar dan kukuh. Selain itu, ada pendapat yang mengatakan
Parameswara berasal dari Sri Vijaya (Palembang). Apabila kerajaannya mengalami
keruntuhan akibat asakan dan serangan Majapahit, beliau telah pergi ke Temasik
untuk menyelamatkan dirinya. Mungkin, asal-usul Parameswara dari Palembang itu
lebih sesuai untuk diterima. Menurut beberapa pendapat, Parameswara juga
dikenali sebagai ‘Prince-Consort’. Nama lain Parameswara ialah Pai-li-mi-sula
menurut catatan Portugis dan China.
Akibat serangan Majapahit,
Parameswara telah melarikan dirinya bersama pengikutnya ke Temasik, atau hari
ini dikenali sebagai Singapura. Di Temasik, kedatangan Parameswara bersama rombongan
ini telah disambut baik oleh Tumagi sebagai wakil kerajaan Siam di sana. Pun
begitu, dalam hanya lapan hari Parameswara duduk di Temasik, beliau telah
membunuh Tumagi dan melakukan rampasan kuasa. Ini disebabkan Temasik tidak
seharusnya menjadi kepunyaan Siam lantaran kedudukannya yang begitu jauh dari
Siam. Majapahit lebih berhak mentadbir Temasik. Parameswara menjadi raja
Singapura selama lima tahun. Beliau terpaksa melarikan diri sekali lagi apabila
Temasik diserang oleh Majapahit. Parameswara bersama pengikutnya telah pergi ke
arah utara dengan harapan akan dapat membuka sebuah negeri baharu. Rombongan
ini telah berhenti di beberapa buah perkampungan seperti Muar, Biawak Busuk,
Kota Buruk dan Sungai Ujong. Namun, tempat ini tidak sesuai untuk dijadikan
negeri. Menurut Sejarah Melayu, Biawak Busuk mendapat nama disebabkan
terlalu banyak biawak yang muncul meskipun telah dibunuh begitu banyaknya. Kota
Buruk, terlihat indah di waktu pagi, namun menjadi buruk ketika malam. Ini
menyebabkan Parameswara tidak ingin membuat negeri di kawasan ini.
Setelah merantau di Muar beberapa
lama, akhirnya Parameswara datang ke Melaka. Pada masa itu, Melaka hanya sebuah
perkampungan kecil yang tiada terkenal didiami oleh perompak, lanun dan kaum
nelayan (Seletar). Penduduk di kawasan ini terdiri daripada suku Orang Laut yang
menjadikan laut sebagai sumber kehidupan mereka. Terdapat hampir 30 buah
keluarga yang mendiami Melaka. Pekerjaan
utama mereka ialah menjadi nelayan, pedagang kecil dan juga merompak kapa-kapal
dagang yang belayar di laut Selat Melaka. Ada juga penduduk asal Melaka ini
yang tinggal di daratan bekerja sebagai petani, bercucuk tanam dan memungut
hasil hutan. Perkampungan nelayan ini mungkin yang disebutkan oleh sesetengah
sejarawan apabila menyatakan Melaka telah diasaskan lebih 250 hingga 700 tahun
selepas ditewaskan oleh Portugis. Kedatangan Parameswara ke perkampungan ini telah
mengubah kawasan ini menjadi sebuah tempat berdirinya kerajaan Melayu yang
unggul bermula awal abad ke-15. Pun begitu, ini mengambil beberapa waktu untuk
Melaka bangkit menjadi sebuah kerajaan yang unggul seperti Srivijaya, Majapahit
atau Funan. Oleh itu, dengan pertolongan daripada penduduk asal atau orang
Laut, paramesrawa berjaya mendirikan sebuah kerajaan Melayu yang menguasai
selat Melaka serta sumber ekonominya sebelum dijajah oleh Portugis pada 1511.
Melaka mendapat nama melalui satu peristiwa
aneh yang berlaku apabila Parameswara bersama pengikutnya keluar berburu di
dalam hutan. Ketika berburu ini, anjing perburuan Parameswara terpelanting
ditendang oleh seekor pelanduk berwarna putih. Menurut pemikiran logik,
pelanduk menjadi mangsa kepada haiwan yang liar atau ganas seperti anjing,
harimau atau singa. Dalam kisah ini, kebalikan yang berlaku. Dan ini merupakan
sesuatu yang aneh dan pelik. Ketika itu, Parameswara sedang duduk bersandar di
sebatang pokok, lalu bertanya nama pohon tersebut lalu dijawab “Melaka” oleh
pengikutnya. Maka, Parameswara pun berkata “Melakalah nama negeri ini”. Pun
begitu, nama Melaka berdasarkan pokok Melaka ini masih belum dapat dimuktamadkan
kebenarannya ekoran ada sesetengah pengkaji sejarah meragui perkara ini.
Seperti yang disebutkan oleh Muhd Yusof Hashim, kerajaan ini dinamakan Melaka
kononnya mengikut sebatang pokok tempat bersandar ketika baginda serta
pengikutnya mula sampai ke tempat itu. Namun, secara tradisinya, masyarakat
Melayu memiliki kebiasaan untuk menamakan sesuatu tempat berdasarkan keadaan
geografi atau ciri-ciri alamiahnya.
Perkara
yang sering mengganggu ahli sejarah ialah soal pentarikhan kesultanan Melayu
ini. Ada banyak versi tentang tarikh penubuhan kesultanan Melayu Melaka.
Antaranya ialah Tome Pires seorang penulis berbangsa Portugis menyatakan bahawa
Melaka telah ada seratus tahun selepas ia dikalahkan oleh Portugis pada 1511.
Ini bermakna Melaka telah didirikan pada sekitar awal abad ke-15. De Barros
menyatakan Melaka telah pun ada 250 tahun terlebih dahulu daripada itu. Ini
satu pandangan yang berbeza daripada apa yang lazim yang ditemui. Misalnya, O.W
Wolters sendiri hampir bersetuju dengan Tome Pires apabila menjelaskan Raja
Iskandar Shah telah mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira tahun 1399/1400.
Pada kurun ini, sejarawan bersetuju Melaka diasaskan pada hujung kurun ke-14.
Oleh itu, Kesultanan Melayu Melaka dapat dikatakan telah diasaskan pada tahun 1399/1400,
mengambil pandangan O.W Wolters tadi. Malah, sebelum itu, pengembara seperti
Marco Polo yang melalui Selat Melaka dalam tahun 1292 tidak menyebutkan tentang
negeri Melaka. Ibn Batuta pergi ke negeri China dalam tahun 1345 tiada juga
menyebut negeri Melaka. Ini menunjukkan Melaka masih belum wujud atau cuma
hanya perkampungan nelayan sahaja yang kurang signifikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan