Siapakah sejarawan? Satu persoalan yang begitu berat untuk saya jelaskan di sini secara terperinci. Ini kerana maksud sejarawan itu berbeza-beza apabila diperhatikan merentasi zaman dan keadaan. Namun begitu, setiap sejarawan mempunyai beberapa persamaan yang ketara khususnya dari segi tugasan atau kegiatan yang mereka lakukan iaitu mengkaji sejarah. Mengkaji di sini bermaksud menjalankan kegiatan menyelidik dan menyiasat peristiwa sejarah yang telah dipilih untuk mem-bentangkan fakta-fakta sejarah yang sahih kepada masyarakat umum menerusi kaedah penyelidik-an sejarah yang sesungguhnya. Perkembangan ilmu sejarah yang dibawa oleh ahli sejarah ini men-yebabkan sifat-sifat ‘sejarawan’ itu sendiri secara terus menerus menerima perubahan sesuai deng-an perkembangan zaman. Hatta, pada hari ini wujud beberapa kriteria atau syarat-syarat untuk me-layakkan diri seseorang itu digelar sebagai sejarawan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, tidak layaklah seseorang itu dikatakan sebagai seorang ahli sejarah. Tulisan pada kali ini akan membincangkan secara ringkas dan mudah tentang maksud sejarawan itu bagi menjawab persoalan di atas iaitu “Siapakah sejarawan?”.
Secara umumnya, sejarawan merujuk kepada individu yang menjalankan penyelidikan atau penyiasatan sejarah untuk mengkaji peristiwa atau kejadian sejarah yang berlaku dalam kehidupan manusia. Penyelidikan yang dijalankan oleh mereka bertujuan untuk mencari kebenaran sejarah yang dipersembahkan melalui fakta-fakta sejarah dalam laporan atau hasil kajian mereka. Menurut Muhd. Yusof Hashim (2016), sesiapa yang melakukan penyelidikan dan menulis sejarah, walau dalam apa-apa bidang sekalipun, maka lazimnya mereka boleh dianggap sebagai sejarawan. Kajian yang dilakukan oleh sejarawan tidak hanya berfokus kepada kebenaran fakta sejarah, tetapi ke-bolehan atau keupayaan ahli sejarah ini mempertahankan fakta-fakta yang dikemukakannya. Dia haruslah mampu untuk menghadapi sebarang kritikan yang diberikan oleh orang ramai. Jika dia gagal melakukan sedemikian, maka dapat dianggap hasil kajian sejarahnya itu lemah dan boleh dipertikaikan dan diragukan kebenarannya. E.H Carr (1984) menyatakan bahawa sejarawan menulis sejarah untuk mencari kebenaran sejarah itu sendiri. Oleh itu, tugas getir seseorang sejarawan ialah menjalankan penyelidikan sejarah secara sistematik dan sentiasa kritis serta berhati-hati di setiap langkah kajian yang dilakukannya.
Selain daripada tugas utama melakukan kajian atau penyelidikan, sejarawan turut berpera-nan untuk menyebarkan hasil kajiannya kepada masyarakat umum melalui penulisan yang diterbit-kan dalam bentuk buku, makalah, monograf atau jurnal. Tujuannya supaya diketahui oleh orang ramai tentang kajian-kajian yang telah dilaksanakannya. Pada masa yang sama, hasil kajian ini penting bagi sesetengah individu kerana ia mempunyai perkaitan rapat dengan identiti bangsanya yang perlu dijaga dan dipelihara daripada lupus ditelan masa. Misalnya, tentang pembentukan ne-gara Malaysia pada tanggal 16 September 1963. Peristiwa ini begitu penting untuk diingati oleh seluruh rakyat Malaysia di mana Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak disatukan di bawah satu nama dan satu identiti yang sama iaitu ‘Malaysia’. Peristwa sebegini harus diketengahkan kepada masy-arakat umum supaya mereka tahu sejarah negara serta membangkitkan perasaan cinta mereka ter-hadap negara. Kajian-kajian yang dijalankan oleh sejarawan perlu diterbitkan dan disebarkan untuk tatapan umum. Jika tidak, manfaat atau faedah yang terdapat dalam kajian sejarawan ini akan sia-sia sahaja. Oleh itu, telah menjadi tugas utama seseorang ahli sejarah untuk menerbitkan hasil kajiannya kepada masyarakat umum supaya dapat digunakan dan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang menerimanya.
Seterusnya, setiap sejarawan perlu mempunyai kriteria tertentu untuk melayakkan dirinya digelar atau dipanggil sebagai sejarawan ataupun ahli sejarah. Perkara ini melibatkan latar belakang akademik serta kelulusan yang dimilikinya. Ramai ahli sejarah pada hari ini mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana. Rata-rata daripada mereka telah mencapai status sebagai Doktor Falsafah (Doctor of Philosophy, PhD) berdasarkan pengkhususan tertentu dalam disiplin ilmu sejarah yang mereka ceburi. Pencapaian seperti ini menunjukkan kepakaran, ilmu pengetahuan serta kebolehan yang mereka miliki dalam ilmu sejarah. Tidak semua individu dapat mencapai status sebegini kerana ia memerlukan usaha yang gigih, belajar dalam tempoh masa yang lama dan kemahuan yang kuat untuk menjadi seorang sejarawan yang profesional. Selain itu, seorang sarjana sejarah atau sejarawan sentiasa menghasilkan buku-buku sejarah yang bersifat ilmiah dan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan dunia pada hari ini. Seterusnya, seorang sejarawan yang hebat mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kajian sejarah ataupun disiplin ilmu sejarah itu sendiri.
Selain daripada perkara yang telah saya sebutkan di atas, sejarawan memiliki satu tugas kemasyarakatan iaitu mendidik masyarakat melalui disiplin sejarah yang diketahuinya. Ini bukan bermaksud menjadikan masyarakat sebagai ahli sejarah atau sejarawan, tetapi berkongsi kisah-kisah sejarah yang dapat dijadikan iktibar dan panduan. Menurut E.H Carr (1984) Sejarawan sebagai anggota masyarakatnya, haruslah juga mempunyai fungsi kemasyarakatannya. Jika tidak, pengetahuan sejarah yang didapati itu akan berakhir di situ sahaja. Banyak peristiwa sejarah yang berpotensi untuk dijadikan contoh atau ikutan yang berguna dalam kehidupan manusia pada hari ini. Malah, ada kisah-kisah sejarah yang wajib untuk diketahui dan disebarkan kepada orang ramai supaya mereka memiliki perasaan patriotisme yang tinggi. Misalnya, peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957, penjajahan Portugis di Melaka pada tahun 1511, kolonialisme Inggeris di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pada tahun 1826 serta pendudukan Jepun 1941-1945 merupakan peristiwa penting untuk diambil tahu. Selanjutnya, peristiwa 13 Mei 1969, rusuhan kaum yang perit untuk ditelan berlaku dalam masyarakat kita yang mencabar kedaulatan negara serta perpaduan kaum pada ketika itu. Oleh itu, sejarawan sebagai seorang manusia sejarah perlu sentiasa membantu mendidik masyarakat supaya tidak akan berlaku lagi penjajahan di negara kita sama ada secara fizikal ataupun mental, menyedarkan kepentingan mengetahui sejarah, memelihara khazanah sejarah yang bernilai untuk tatapan generasi akan datang.
Di perenggan akhir ini saya akan memuatkan tentang sejarawan ulung di negara kita, Malaysia. Ada banyak ahli sejarah yang telah memberi sumbangan begitu besar kepada perkembangan ilmu sejarah di negara kita sejak zaman Merdeka lagi. Mereka ini menjadi tokoh penting yang menggerakkan atau menghidupkan semula sejarah negara untuk tatapan generasi akan datang. Antaranya ialah Khoo Kay Kim, seorang sarjana sejarah yang tersohor di negara kita. Begitu banyak buku-buku yang beliau terbitkan berhubung pensejarahan di negara ini. Sumbangannya tidak hanya berlegar di sekitar kajian sejarah, tetapi ketegasan beliau untuk menjaga dan memelihara sejarah di negara ini. Pada masa yang sama azam dan tekad yang tinggi untuk membangkitkan kesedaran terhadap masyarakat di negara ini yang semakin lama hilang atau luntur perasaan patriotiknya. Selain itu, ada beberapa orang sarjana sejarah yang unggul di negara kita seperti Muhd. Yusof Ibrahim. Seorang sarjana yang telah menghasilkan banyak karya sejarah. Antaranya ialah Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan. Sebuah buku wajib baca kepada peminat sejarah, kerana menyediakan asas yang perlu dikuasai oleh seorang yang ingin menjadi sejarawan. Ada banyak lagi sejarawan tersohor di negara kita seperti Buyong Adil, Abdullah Zakaria Ghazali, Shahrom Husain, Syed Naquib Al-Attas, Ramlah Adam, A. Aziz Deraman dan banyak lagi.
Rumusannya, sejarawan merupakan seorang individu yang menjalankan kajian sejarah serta menerbitkan hasil kajian sejarahnya untuk dibaca oleh masyarakat umum. Untuk menjadi seorang sejarawan memerlukan kelulusan seperti ijazah sarjana atau doktor falsafah yang mem-punyai ilmu pengetahuan yang luas dan pengalaman yang banyak. Seorang sejarawan juga perlu mempunyai beberapa sikap seperti jujur dan berani untuk menyatakan fakta-fakta sejarah meski-pun ia bakal menerima kritikan dan kontroversi daripada orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan