Sebelum
itu, elok kiranya diterangkan dahulu sifat objektif dan subjektif yang dipakai
dalam perbincangan ini. Secara mudahnya, objektif dapat diertikan sebagai
sasaran, matlamat atau tujuan seseorang, kumpulan atau organisasi. Misalnya,
objektif sejarawan ialah mengkaji dan menulis sesuatu peristiwa sejarah yang
dianggap penting untuknya dan masyarakat di sekelilingnya. Konsep objektif di
sini tidaklah menimbulkan masalah di kalangan sejarawan. Perkara yang menjadi
isu ialah apabila perkataan objektif ini difahami sebagai sesuatu yang pasti,
benar ataupun tepat. Sejarah yang objektif mempunyai kriteria ini, seperti ilmu
sains yang diterima kebenarannya sebagai ilmu pasti. Mengulas tentang isu ini,
Muhd Yusof Ibrahim (2016) menyatakan bahawa, dengan menganggap sejarah itu
sebagai sains, maka kebenaran sejarah itu seperti kebenaran sains yang tepat
dan tidak menimbulkan banyak kritikan yang dapat ditimbulkannya. Ishak Saat (2010)
menulis konsep objektif dalam sejarah
cuba untuk mempersembahkan sejarah yang tepat dan tiada penambahan atau unsur
bias. Konsep subjektif ialah sesuatu yang berdasarkan pandangan, perasaan atau
cita rasa peribadi. Oleh itu, sejarah yang subjektif ialah sejarah yang
bersifat seperti di atas.
Di
perenggan ini, saya akan menjelaskan sifat objektif di dalam sejarah. Seperti
yang telah dijelaskan sebelumnya, sejarah yang objektif ialah sejarah yang
pasti atau tepat. Ini seperti yang diungkapkan oleh Leopold Von Ranke, ‘seperti
sebenarnya yang berlaku’. Ranke, seorang sejarawan Jerman yang terkenal
ekoran kata hikmat yang diucapkan ini. Ahli sejarah semacam dilanda kebingungan
untuk memahami hasrat Ranke ini. Dapatkah kita mencapai hasratnya itu? Ini
antara soalan yang perlu dijawab jika kita ingin bersetuju dengannya. Tapi
bagaimana? Padanya, sejarah yang objektif dapat dicapai melalui
profesionalisasi ilmu sejarah seperti ilmu sains. Ilmu sejarah perlu diangkat
menjadi ilmu pengetahuan yang setanding seperti ilmu sains. Sejarawan harus
mempunyai kepakaran yang mendapat dalam pelbagai aspek seperti dalam mengkritik
dan menilai sumber-sumber sejarah yang ada. Jika ini dapat dicapai, sejarawan
dapat membuang segala kepalsuan dan keraguan yang munasabah di dalam
sumber-sumber sejarah dan mengasingkan kebenaran. Usul yang dibawanya ini
sesuatu yang positif pada perkiraan saya, untuk mencapai keobjektifan dalam
sejarah. Cuma, hal yang menimbulkan isu kelak ialah soal sejauh mana dapat
dipersetujui tentang sifat objektif sejarah itu?
Selanjutnya,
Lord Acton antara sejarawan berbangsa Inggeris yang mendukung konsep
objektiviti di dalam sejarah. Acton di dalam Ishak Saat (2010) mengatakan
biarlah gambaran para sejarawan tentang sesuatu peristiwa itu sama sahaja dan
memuaskan hati setiap pihak, tanpa sebarang perasaan subjektif atau sikap berat
sebelah. Di sini, Acton berkeinginan untuk melihat sejarah itu bersifat
objektif dan tugas ini perlu dilaksanakan oleh para sejarawan dengan sebaik
mungkin. Sejarawan perlu memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang objektif
tanpa wujudnya unsur berat sebelah, bias dan mempunyai kepentingan sendiri (vested
interest). Jika sejarawan dapat mengekalkan sikapnya ini, sejarah yang
ditulis itu nanti tidak akan dikuasai oleh sesuatu pengaruh dan prasangka.
Maka, di akhirnya nanti sejarah itu seperti yang diinginkan oleh Acton, sejarah
itu ditulis untuk kepentingan ilmu sejarah. Inilah yang dapat kita sifatkan
sebagai sejarah yang bersifat objektif. Sebenarnya, objektiviti di dalam ilmu
sejarah itu dapat dicapai seperti yang dijelaskan oleh Acton, cuma tidak dalam
semua perkara. Misalnya, rakyat Malaysia yang mengetahui tarikh pembentukan
Malaysia pasti bersetuju pada 16 September 1963 negara ini dibentuk, bukan pada
17 atau 18 September 1963. Ini sesuatu yang telah kita persetujui.
Pun
begitu, sifat objektiviti di dalam sejarah sesuatu yang sukar untuk
dipersetujui secara muktamad oleh semua sejarawan. Hal ini disebabkan ada
banyak perkara di dalam ilmu sejarah itu menimbulkan debat yang berpanjangan
atau masih belum diputuskan tentang realiti atau hakikatnya yang sebenar.
Perkara ini dijelaskan oleh Michael Stanford (1994) bahawa sifat subjektif
sejarah dapat dikategorikan di dalam empat bentuk. Pertama, peserta, penonton
atau pemerhati kejadian sejarah bakal memberi pendapat dan penceritaan yang
berbeza terhadap kejadian yang sama. Kedua, penulis atau pemberitahu tentang
kejadian ini akan menulis di dalam bentuk yang berlainan terhadap kejadian yang
sama. Ketiga, sejarawan tidak terkecuali di dalam perkara ini dan keempat,
pembaca sejarah yang mempunyai kefahaman yang berbeza-beza tentang apa yang
dibacanya di dalam buku-buku sejarah. Tambahnya lagi, tidak semua penyaksi
sejarah bersetuju tentang sesuatu kejadian sejarah yang dilihatnya menyebabkan
kajian sejarah dijalankan secara berterusan. Sifat objektif katanya, dapat
dicapai jika konsensus di antara sejarawan dapat dicapai. Sifat subjektif yang
dijelaskan oleh Stanford sesuatu yang munasabah untuk diterima
Seterusnya, sejarah itu sesuatu yang relatif
atau subjektif kerana ahli sejarah tidak bersetuju di dalam banyak perkara. W.H
Walsh (1967) menjelaskan ada empat sebab timbulnya sikap tidak bersetuju di
kalangan sejarawan iaitu, sifat individu yang lazimnya menyukai dan tidak
menyukai sesuatu perkara, sifat prejudis yang dimiliki atau tidak dimiliki,
konflik yang timbul dari sudut penjelasan dan interpretasi sejarah, dan
kepercayaan moral dalam diri seseorang ahli sejarah. Empat kriteria ini
menyebabkan sesuatu peristiwa sejarah atau cara untuk menulis peristiwa sejarah
akan berbeza-beza apabila ditulis oleh sejarawan yang berbeza. Tambahnya lagi,
ahli sejarawan sudah pasti membawa set minat, nilai dan kepercayaan apabila
mendekati sesuatu kajian sejarah dan menimbangkan sejarah yang mana penting
atau tidak penting untuk dipilihnya. Hal ini pernah dikatakan oleh A.J.P Taylor
bahawa tiada sejarawan yang dapat memulakan sesuatu pengkajian sejarah dengan
minda yang kosong dan hanya menunggu untuk diisi. Ahli sejarah sudah pasti
telah mempunyai tanggapan dan pandangan yang mendahului sesuatu kejadian
sejarah lantaran pengaruh sosial dalam dirinya. Ini sebagai sebab yang
menyebabkan objektiviti sejarah terlalu sukar untuk dicapai sepenuhnya.
M.H
Dowell (2002) turut melahirkan pandangan yang serupa tentang perkara ini. Bagi
Dowell, fakta di dalam sejarah itu tidak semestinya bebas nilai dan memiliki realiti
yang objektif di mana ia sama pada setiap ahli sejarawan. Pemilihan dan
penyusunan data sejarah mungkin akan membawa perbezaan yang ketara dari sudut
penyeluruhan dan kesimpulan dari bukti yang sama. Katanya lagi, sejarawan tidak
dapat sepenuhnya bersifat objektif kerana apabila mereka menganalisis perlakuan
pelaku sejarah, di sini mesti akan ada semacam elemen subjektif kerana sifat
semula jadi manusia itu sungguh berbeza dan tidak serupa. Pencarian sejarah
yang objektif dikekang oleh pra-tanggapan, pengetahuan dan nilai yang berpunca
daripada pemerhatian dan pengalaman ahli sejarah di masa lalu. Apa yang boleh
dilakukan oleh ahli sejarah ialah mencari titik persamaan di dalam sesuatu
peristiwa sejarah dan juga disandarkan kepada penyaksiaan dan fakta-fakta yang
sudah diketahui.
Timbul
isu jika sejarah bersifat subjektif seperti yang telah dijelaskan sebelum ini,
dapatkah sejarawan mengelakkan unsur bias dan berat sebelah dalam penulisan
mereka? Memang tidak dapat dinafikan unsur subjektif di dalam sejarah
menyebabkan wujudnya unsur bias atau berat sebelah oleh seseorang sejarawan.
Ini kerana, sifat atau personaliti sejarawan yang keterlaluan atau obsesi
tentang sesuatu peristiwa sejarah akan menulis dan menceritakan kejadian ini
secara melampau. Sebagai contoh, sejarawan yang begitu minat dengan tokoh
sejarah X, akan cuba untuk memaparkan kisah-kisah yang baik dan positif sahaja
tentang tokoh tersebut, perkara di sebaliknya tidak disentuh. Atau boleh jadi
adanya unsur yang sengaja diada-adakan untuk melegitimasi perbuatan dan tingkah
laku tokoh tersebut. Ini sesuatu yang tidak harus berlaku di dalam sejarah
meskipun unsur subjektiviti di dalam peristiwa sejarah itu sesuatu yang pasti
berlaku. Sebolehnya, sejarawan perlu bersikap jujur apabila mengkaji atau
menulis sesuatu peristiwa sejarah. Selain itu, unsur bias dan berat sebelah ini
dapat dielakkan seandainya sejarawan tersebut dapat berfikir secara kritikal
dan tidak terlalu memihak kepada sesuatu kumpulan.
Rumusannya, sejarah mempunyai
sifat objektif di dalam beberapa perkara dan juga bersifat subjektif di
beberapa perkara yang lain. Untuk mengakhiri wacana ini saya memetik kata-kata
Louis Gottschalk ‘bahawa untuk mengkaji sesuatu itu sebagai objektif, sesuatu
itu harus bersifat objek dan wujud secara bebas di dalam minda manusia.
Ingatan, katanya tidak wujud di luar daripada minda manusia dan kebanyakan
sejarah bergantung kepada ingatan yang tertulis atau diucapkan oleh penyaksi
sejarah’.
Buku Dirujuk:-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan