Kajian sejarah memerlukan sumber yang sahih dan benar.
Setiap sumber yang dipilih harus mem-punyai darjah keaslian dan ketulenan yang
tinggi dan dipercayai. Dalam setiap kajian sejarah yang dilakukan oleh ahli
sejarah, pemilihan sumber merupakan proses yang sangat kritikal. Ini kerana,
sumber sejarah akan menentukan kualiti kajian, seterusnya penulisan hasil
kajian tersebut. Oleh itu, sumber primer atau utama menjadi penting kerana ia
bersifat belum ditafsir atau diolah. Pun begitu, sumber sekunder atau kedua
tetap memiliki kepentingannya. Selain itu, terdapat satu lagi sumber sejarah
yang dapat membantu kajian sejarah iaitu sumber lisan. Sumber lisan dapat
dikate-gorikan sebagai sumber pertama dan kedua bergantung kepada individu yang
ditembual serta pen-yaksian individu tersebut terhadap sebuah peristiwa
sejarah. Secara umumnya, sumber lisan dapat difahami sebagai koleksi memori
tentang pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang yang mempunyai kaitan
dengan peristiwa sejarah. Peristiwa sejarah yang dimaksudkan di sini ialah
peristiwa yang mempunyai kepentingan dan keperluan terhadap masyarakat atau
negara. Sumber lisan diperoleh melalui sesi temu bual yang dijalankan oleh
pengkaji sejarah dan informan yang telah dipilih lebih awal. Oleh itu,
penulisan kali ini akan membincangkan secara ringkas tentang penggunaan sumber
lisan dalam penulisan sejarah yang akan menyentuh tentang kekuatan dan
ke-lemahan sumber ini.
Sebelum
itu, dibincangkan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan dengan sumber lisan.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sumber lisan dapat diertikan sebagai
koleksi memori sese-orang tentang pengalaman hidup yang dilaluinya. Menurut
Muhd. Yusof Ibrahim (2016), sumber lisan ialah sumber yang didapati daripada
pertuturan atau perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa yang berlaku.
Sumber ini menjadi rujukan asas kepada suatu cabang sejarah yang dikena-li
sebagai sejarah lisan. Pertuturan atau perkhabaran di sini bermaksud sesuatu
maklumat sejarah itu diperoleh melalui aktiviti temu bual di antara pengkaji
(ahli sejarah) dengan informan (individu yang dikaji). Sesi temu bual ini
bertujuan mendapatkan maklumat yang dimiliki oleh informan, di mana mereka ini
terlibat secara langsung atau tidak langsung menyaksikan peristiwa sejarah. Mak-lumat
ini diperlukan bagi menjawab persoalan kajian sejarah. Ahli sejarah atau
pengkaji ini akan mengemukakan soalan-soalan kepada informan untuk diberi
jawapan dan penjelasan. Naratif yang diberikan oleh informan akan diproses oleh
pengkaji sejarah setelah sesi rakaman suara selesai di-jalankan. Hasil rakaman
suara ini akan dipindahkan dalam bentuk teks supaya maklumat atau data daripada
tembual ini dapat dianalisis serta diinterpretasi oleh pengkaji sejarah.
Penggunaan sumber lisan banyak dipakai dalam mengkaji tentang seseorang
tokoh-tokoh sejarah. Ini kerana, melalui maklumat temu bual, pengkaji sejarah
dapat membina satu kisah tokoh tersebut dengan lengkap serta tepat.
Penggunaan
sumber lisan dalam kajian sejarah memiliki kekuatan dan kelemahannya. Ini
kerana sumber lisan mempunyai sifat yang berbeza daripada sumber primer yang
terdapat dalam bentuk dokumen, manuskrip, atau kitab-kitab sejarah. Segalanya
telah dicatatkan dan didokumen-tasikan. Oleh itu, maklumat yang terdapat di
dalamnya terus kekal dan dapat dipercayai. Di sini, dibincangkan terlebih
dahulu kekuatan sumber lisan dalam pengkajian dan penulisan sejarah. Per-tama,
sumber lisan dapat memberikan maklumat sejarah yang tepat apabila informan yang
ditemu bual mempunyai perkaitan secara langsung dengan sesuatu peristiwa
sejarah. Pengalaman pertama yang dimiliki oleh informan dapat dikelaskan
sebagai sumber primer. Penyaksian secara langsung informan tersebut dapat
memberikan data yang tepat kepada pengkaji sejarah. Perkara ini dapat
diperhatikan apabila pengkaji sejarah terlibat dalam kajian tentang penubuhan
UMNO (United Malay National Organization). UMNO telah ditubuhkan pada Mei 1946
oleh beberapa tokoh yang penting seperti Dato’ Onn Jaafar. Sejarah perjuangan
UMNO telah ditulis dengan banyak sekali oleh ahli sejarah. Bagi mendapatkan
maklumat yang tepat tentang sejarah awal penubuhan UMNO Dato’ Onn Jaafar
menjadi watak penting atau informan yang dapat memberikan maklumat. Ini kerana
beliau merupakan pengasas kepada pertubuhan ini. Segala maklumat yang diberikan
begitu diperlukan dalam kita mengkaji sejarah awal penubuhan UMNO. Begitu juga
tokoh-tokoh Melayu yang meneruskan perjuangan UMNO dalam menjaga kepentingan
orang Melayu pada awal era kemerdekaan Tanah Melayu.
Seterusnya,
sumber lisan dapat memberikan gambaran yang lengkap tentang sesuatu per-istiwa
sejarah. Gambaran lengkap di sini bermaksud menceritakan pelbagai aspek sesuatu
kejadian sejarah yang belum sempat didokumentasikan. Misalnya, peristiwa
pendudukan Jepun di negara kita pada tahun 1941 sehingga 1945. Telah banyak
buku ditulis tentang pendudukan Jepun sama ada berkisar tentang propanganda
Jepun atau strategi mereka menguasai negara ini. Pun begitu, kepentingan sumber
lisan dalam membina semula sejarah pendudukan Jepun ini dapat dilihat apabila
penduduk yang masih hidup di zaman tersebut mampu untuk memberi maklumat
tentang situasi yang berlaku pada ketika itu. Penglibatan informan (penduduk)
ketika pendudukan Jepun itu mampu memberi gambaran tentang kehidupan yang
dilalui oleh mereka. Melalui temu bual bersama informan tersebut, pengkaji
dapat bertanya tentang keganasan yang dilakukan oleh tentera Jepun terhadap
penduduk Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, informan dapat memberikan maklumat
tentang cara atau gaya kehidupan orang Jepun, cara pakai yang ditunjukkan oleh
mereka serta bagaimana orang Jepun ini melayani orang-orang Melayu. Secara
tidak langsung, satu gambaran yang lengkap dapat diberikan oleh informan untuk
menggambarkan sifat dan sikap orang Jepun pada ketika itu di Tanah Melayu. Seterusnya,
informan juga dapat memberikan maklumat tentang situasi kehidupan yang terpaksa
mereka tempuhi akibat cara pemerintahan tentera Jepun yang ber-tindak ganas dan
pentingkan diri mereka sendiri.
Pun
begitu, sumber lisan ini memiliki kelemahannya yang perlu diambil berat oleh
peng-kaji sejarah. Penggunaan sumber lisan perlu dilakukan secara berhati-hati.
Jika tidak, pengkaji sejarah boleh terperangkap untuk menerima maklumat yang
palsu atau sengaja dipalsukan oleh pemberi maklumat iaitu mereka yang sedang
ditemu bual. Menurut Muhd Yusof Hashim, sumber ini seolah-olah dan boleh
merupakan suatu putar belit, gambaran sewenang-wenangnya atau ref-leksi
imaginatif para penyaksi atau pelaku itu sahaja. Tambahnya lagi, apatah lagi
jika penyaksi atau yang terlibat itu hanya seorang atau tinggal seorang,
sedangkan beberapa orang yang lain sudah tiada lagi. Perkara yang ingin
disampaikan oleh beliau ialah sumber lisan boleh dipersoal tentang kewibawaan
pemberi maklumat atau individu yang ditemu bual. Setiap individu boleh
ter-pengaruh atau terdedah kepada sikap tidak jujur dengan melakukan
interpolasi terhadap fakta-fakta sejarah yang ingin didapatkan oleh pengkaji
sejarah. Apatah lagi apabila informan ini sahaja yang masih lagi hidup. Dia
boleh secara sambil lewa memutar belitkan fakta sejarah dengan tujuan
menonjolkan dirinya sebagai seorang yang gagah perkasa dan sebagainya. Malah,
dia boleh dengan sengaja untuk menjatuhkan imej dan wibawa seseorang yang
dibencinya. Oleh itu, peng-gunaan sumber lisan harus dilakukan dengan menilai
sumber ini bersama sumber sejarah yang lain khususnya sumber yang telah
direkodkan atau didokumentasikan. Malah, kejujuran informan da-lam temu bual
sangat diperlukan oleh pengkaji sejarah.
Seterusnya,
kelemahan yang terdapat di dalam sumber lisan apabila pemberi maklumat gagal
mempamerkan kejituan maklumat yang diperlukan oleh pengkaji atau sejarawan. Ini
berkait rapat dengan keupayaan manusia dalam sistem ingatan dan memori. Tidak
semua manusia mem-punyai keupayaan untuk mengingati keseluruhan cerita atau
peristiwa sejarah yang dialaminya. Apabila usia telah meningkat, maka kekuatan
memeori seseorang manusia itu akan berkurangan. Perkara ini akan mempengaruhi
jalan cerita yang dikisahkan oleh informan. Malah, kemungkinan informan terlupa
fakta-fakta penting serta tersalah beri maklumat tentang nama-nama atau tarikh
yang diperlukan oleh pengkaji sejarah. Keadaan ini mampu menyumbang kepada
kepalsuan yang timbul dalam penulisan sejarah. Oleh itu, pengkaji sejarah harus
berhati-hati apabila bertemu dan menemu bual seseorang individu. Apatah lagi
jika individu yang ingin ditemu bual itu telah men-jangkau usia 80-an atau
90-an. Apabila kisah yang ingin dikaji mempunyai pertalian yang sangat jauh
dengan memori seseorang individu, boleh terjadi kelupaan di sana sini. Pun
begitu, situasai seperti ini harus ditangani dengan baik oleh pengkaji sejarah.
Dan, tidak semua pemberi maklumat itu yang telah berusia lupa segala kisah
sejarah yang pernah disaksikannya atau terlibat dengan-nya.
Rumusannya,
penggunaan sumber lisan dalam pengkajian sejarah memerlukan ketelitian
pengkaji. Ini kerana bagi mengelakkan daripada berlaku kesilapan ataupun
penyelewangan terhadap peristiwa sejarah. Selain itu, diharapkan sumber lisan
dapat membantu untuk memberikan penerangan serta gambaran yang jelas dan sahih
tentang sesuatu peristiwa sejarah. Oleh itu, sumber lisan memiliki beberapa
kelemahan seperti yang dijelaskan di atas, pun begitu sumber ini memiliki
beberapa kekuatan yang harus dimanfaatkan sebaiknya oleh pengkaji sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan