Isnin, 26 Jun 2023

Perjanjian Pangkor 1874 & Sistem Residen di Perak

Menjelang abad ke-19, kuasa British berjaya meluaskan pengaruhnya di Tanah Melayu apabila Perjanjian Pangkor 1874 ditandatangani. Perjanjian ini merupakan persetiaan di antara pihak British yang diwakili oleh Sir Andrew Clarke sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat dengan Raja Abdullah dan pembesar Melayu yang lain. Perjanjian ini ditandatangani di kapal HMS Pluto pada 20 Januari 1874. Di dalam perundingan ini, terdapat 14 fasal yang telah dipersetujui oleh beberapa orang pembesar dan sultan Perak. Perkara ke-6 di dalam Perjanjian Pangkor ini yang telah mengubah arena politik tradisional masyarakat Melayu apabila diperkenalkan ‘Sistem Residen’ yang telah melemahkan kuasa pemimpin Melayu. Di sebalik peristiwa ini, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Perjanjian Pangkor perlu ditandatangani. Sungguhpun begitu, terdapat dua perkara yang ingin dibincangkan dalam penulisan ini iaitu yang pertama berkenaan faktor termeterainya Perjanjian Pangkor dan implikasi perjanjian ini terhadap kuasa politik orang Melayu.

            Pihak kolonial Inggeris mempunyai kepentingan yang cukup besar terhadap lapangan ekonomi di Tanah Melayu bagi memenuhi keperluan bahan mentah di negara asal. Bagi menjaga kepentingan ini, pihak kolonial harus menjaga keamanan dan mengelakkan Tanah Melayu daripada sebarang kekacauan. Sungguhpun begitu, Perang Larut yang berlaku di antara kongsi-kongsi gelap membimbangkan pihak Inggeris kerana akan mengancam kedudukan mereka di Tanah Melayu. Perang Larut tercetus apabila berlakunya perebutan dan perbalahan di antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San terhadap pemilikan lombong bijih timah di Taiping. Malah, turut menjadi isu di antara Raja Abdullah dengan Ngah Ibrahim. Bukan itu sahaja, pelabur-pelabur yang mempunyai kepentingan terhadap sektor perlombongan mendesak kerajaan British untuk menyelesaikan masalah Perang Larut. Mohd Isa Othman (2000) menjelaskan bahawa Perang Larut membimbangkan Inggeris kerana boleh merebak ke Pulau Pinang dan Singapura. Ini kerana kongsi-kongsi gelap di Perak mempunyai hubungan dengan kongsi gelap di dua pelabuhan tersebut. Oleh itu, Lord Kimberley selaku Setiausaha Tanah Jajahan telah mengarahkan Sir Andrew Clarke menyiasat perkara ini dan seterusnya mencari solusi bagi mengatasi masalah ini.

            Bagi menyelesaikan permasalahan ini, Sir Andrew Clarke telah mengatur genjatan senjata antara kongsi-kongsi gelap yang bertelagah. Pada masa yang sama, Sir Andrew Clarke telah meminta pembesar-pembesar Melayu untuk berjumpa dengan beliau di Pangkor bagi berunding untuk menyelesaikan masalah mereka. Raja Abdullah, masih berharap baginda masih kekal memegang jawatan sebagai Sultan Perak. Oleh itu, Sultan Abdullah telah menulis kepada Sir Andrew Clarke untuk meletakan seorang residen di Perak dan sebagai balasannya, Sultan Abdullah kekal menjadi Sultan Perak. Bagi menjelmakan keinginan Sultan Perak ini, Sultan Abdullah harus menyetujui kandungan Perjanjian Pangkor di mana Sultan Abdullah harus menerima seorang Residen. Perkara ke-6 di dalam perjanjian ini menyebut bahawa:

 

‘Sultan akan menerima dan menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk seorang pegawai Bitish yang dikenali sebagai residen. Nasihat residen mesti diperoleh dan dilaksanakan dalam semua perkara melainkan dalam hal agama dan adat-istiadat Melayu’

 

Berdasarkan kepada kenyataan di dalam Perjanjian Pangkor ini, Sultan mesti mendapatkan nasihat daripada residen dan nasihat yang diberikan haruslah dilaksanakan. Secara tidak langsung, pihak Inggeris telah menceroboh sistem politik Tanah Melayu tanpa melakukan sebarang pertumpahan darah mahupun peperangan. Berbeza dengan tanah jajahan yang lain, apabila pihak British harus beradu tenaga untuk mendapatkan kuasa untuk menjalankan dasar dan polisi mereka.

Perlantikan seorang residen untuk membantu dan menasihat sultan dalam semua urusan pentadbiran secara tidak langsung telah mengubah landskap politik di Tanah Melayu yang bertunjangkan kepada kuasa mutlak seorang raja untuk memerintah. Sultan tidak lagi bergerak seorang diri untuk menjalankan tadbir urus wilayahnya selain dibantu oleh pembesarnya. Residen memainkan peranan untuk memberi nasihat yang harus dijalankan dalam perkara yang melibatkan pentadbiran di Tanah Melayu. Satu kepastian yang jelas di sini, hubungan pemerintah di Tanah Melayu dengan pihak Inggeris telah bermula setelah Perjanjian Pangkor dipersetujui. Walaupun tiada formula atau tugas yang spesifik tentang residen ini, namun sudah pasti pemerintahan cara barat mempunyai pertentangan dengan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh pemimpin Melayu sejak dahulu lagi. Sebagai contoh, di negeri Perak, J.W. Birch atau James Wheeler Woodfor Birch merupakan residen British yang pertama di Perak. J.W.W Birch telah melanggar norma dan kebiasaannya bagi sistem politik Tanah Melayu apabila beliau telah mengambil sebarang keputusan tanpa berunding terlebih dahulu dengan Sultan Abdullah. Malah, peraturan-peraturan baru tentang cukai misalnya telah menekan kuasa Sultan Abdullah sebagai seorang pemerintah.

Dari sudut ekonomi, Perjanjian Pangkor 1874 telah membuka ruang seluas-luasnya kepada pegawai Inggeris untuk memberikan nasihat kepada sultan dalam apa jua aspek ekonomi kerana dinyatakan dengan jelas bahawa Sultan harus menerima nasihat residen dan melaksanakan nasihat yang diberikan. Sebagai contoh di Perak, kehadiran J.W.W Birch sebagai seorang residen telah mengubah peraturan cukai yang selama ini diaplikasikan oleh pemimpin dan pembesar Melayu. J.W.W Birch telah mengeluarkan arahan agar cukai yang sebelum ini dikutip oleh pembesar Melayu akan dipungut oleh pegawai British dan menghukum sesiapa sahaja yang melanggar arahan ini. J.W.W Birch menggunakan alasan bahawa keadaan ini akan memulihkan aspek kewangan negeri Perak dan menjelaskan hutang-hutang yang tertunggak. Hakikatnya, pihak J.W.W Birch ingin berkuasa dalam pentadbiran agar segala peraturan yang membawa faedah kepada pihak Inggeris mudah untuk dilaksanakan. Walaupun begitu, masyarakat Melayu tidak mengendahkan tuntutan ini. Sebagai contoh, Raja Ngah tetap mengutip cukai menyebabkan rumahnya telah dibakar.

Seterusnya, penguasaan politik oleh pihak Inggeris melalui residen ini telah mengundang kemarahan bagi pemimpin Melayu apabila sistem perhambaan dihapuskan pada tahun 1883. Walaupun di dalam Perjanjian Pangkor tidak disebut tentang perhambaan, pihak Inggeris beranggapan bahawa institusi perhambaan ini bertentangan dengan kerajaan yang ‘bertamadun’ yang dicadangkan oleh Inggeris. Barbara Watson Andaya & Leonard Andaya Y (1983) menyatakan bahawa orang Eropah mendefinisikan perhambaan sebagai kumpulan yang tidak dibezakan yang hidup dalam kesengsaraan. Melihat kembali signifikan perhambaan ke atas sejarah politik di Tanah Melayu, perhambaan ini menjadi lambang kepada sumber kekayaan bagi seseorang. Dikatakan bahawa, semakin ramai hamba yang dimiliki oleh seseorang pembesar atau pemerintah, semakin tinggi kedudukan atau martabat yang dimiliki. Berdasarkan kepada kenyataan ini, wujud pertentangan yang jelas tentang definisi dan konotasi terhadap sistem perhambaan. Oleh itu, pihak kolonial Inggeris telah meminta Frank Swettenham, seorang yang fasih berbahasa Melayu untuk memenangi Sultan Abdul Samad untuk bersetuju menghapuskan sistem perhambaan di Tanah Melayu.

Kesimpulannya, Perjanjian Pangkor merupakan kunci kejayaan pihak British untuk menguasai sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Melalui sistem residen, pihak British berpeluang untuk memberikan nasihat kepada sultan agar nasihat ini dilaksanakan. Pada hakikatnya, residen yang dilantik bersikap berani untuk menjalankan peraturan baru tanpa memikirkan perimbangan dan keputusan daripada sultan. Sistem perhambaan yang cuba dihapuskan turut mengundang rasa tidak puas hati terhadap kuasa British ini. Sungguhpun begitu, kelemahan di dalam mencapai kata sepakat antara pentadbir Melayu dan kesukaran untuk menyelesaikan masalah dalaman negeri menyebabkan orang luar iaitu British mudah untuk mengambil kesempatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...