Sejarah satu disiplin ilmu yang mengutamakan kebenaran dan kesahihan fakta. Fakta sejarah diperoleh melalui analisis dan interpretasi terhadap sumber sejarah seperti rekod bertulis, runtuhan bangunan, artifak, prasasti, candi atau tembikar. Menurut Muhd. Yusof Hashim (2016), sumber dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang boleh menjadi punca kepada sesuatu lahiran pemikiran atau penulisan. Sumber ini menjadi kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan oleh pengkaji untuk menyelidik sesuatu perkara. Oleh itu, ahli sejarah mencari dan menyelamat mana-mana sumber sejarah yang penting untuk manusia pada hari ini dan kegunaan generasi di masa akan datang. Sungguhpun begitu, untuk mencapai tahap kebenaran fakta, ahli sejarah tidak dapat lari untuk menilai sumber sejarah sama ada ia dapat dikategorikan sebagai sumber yang sah ataupun palsu. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (2009), golongan objektif dan saintifik menerima sumber empirikal untuk mencapai keyakinan dalam pengetahuan sejarah melalui proses kritikan sumber. Oleh itu, tugas mengkritik sumber sejarah dijalankan melalui dua proses iaitu kritikan luaran dan dalaman. Saya akan cuba untuk membincangkan tentang perkara ini di dalam tulisan saya kali ini.
Sebelum itu, elok dijelaskan dahulu tujuan kritikan sumber sejarah. G.R Elton (1969) menjelaskan bahawa kritikan sumber (evidence) membawa dua tujuan iaitu untuk mewujudkan ketulenan dan keaslian sumber dan untuk mentaksir dan menilai signifikan sumber tersebut. Baginya, ahli sejarah perlu untuk membina satu bentuk penilaian yang membolehkan mereka mengenal pasti kepalsuan yang berada di dalamya. Selain itu, tujuan kritikan ini dilaksanakan adalah untuk mendapatkan sumber yang berkualiti dan dipercayai. W.H McDowell (2002) memberi pandangan bahawa semua ahli sejarah perlu mengambil kaedah yang fleksibel di dalam mentaksir dan menilai kualiti dan kepercayaan sumber dan bahan. Tambahnya lagi, nilai sesuatu sumber bergantung kepada beberapa perkara. Antaranya ialah masa yang berlalu di antara peristiwa dan ingatan tentang peristiwa tersebut. Kedua, tujuan sumber dan audien yang ditujukan. Ketiga, kedekatan di antara peristiwa dan pemerhati peristiwa tersebut. Semakin dekat pemerhati atau penyaksi sesuatu peristiwa, semakin tinggi nilainya. Keempat ialah perspektif dan kekuatan pemerhatian dan ingatan yang ada pada penyaksi tersebut. Oleh itu, kebolehpercayaan sesuatu sumber juga bergantung kepada kompetensi penulis atau penyaksi sesuatu peristiwa sejarah.
Di dalam mengkritik sumber sejarah, perkara pertama yang dilaksanakan oleh ahli sejarah ialah mengkritik atau menilai sumber ini secara luaran. Secara umumnya, kritikan luaran ini merangkumi aktiviti menilai sumber sejarah dari sudut sifat luaran sumber tersebut. Ini termasuklah ciri-ciri sumber seperti asal-usul sumber, kandungan yang konsisten dengan fakta-fakta yang diketahui sebelumnya, bentuk rupa dokumen tersebut dan ujian kimia bagi menentusahkan keaslian dan ketulenan sumber tersebut. Ciri ini dibentangkan oleh John Tosh dalam bukunya The Pursuit of History. Pertama, tentang asal-usul (provenance), ialah berkaitan rapat dengan pengeluar sumber tersebut sama ada dapat kita jejaki semula. Tentang asal-usul, sumber sejarah dapat dijejaki melalui pengeluar sumber tersebut. Sebagai contoh, dalam konteks sejarah negara kita, pada abad ke-19, sumber-sumber sejarah tentang ekonomi, politik dan kegiatan sosial masyarakat di negara ini, dikeluarkan dan diterbitkan oleh institusi tertentu seperti Pejabat Kolonial Inggeris atau pegawai yang bertugas dan berkhidmat di Tanah Melayu, di Sabah dan Sarawak pada waktu itu. Rekod-rekod kerajaan Inggeris ada menyimpan dan memelihara sumber ini dan ada yang dapat kita rujuk sendiri di Arkib Negara Malaysia atau di arkib negeri.
Setelah dipastikan tentang asal-usul sesuatu sumber itu, maka langkah seterusnya ialah melihat kepada konsistensi kandungan dengan fakta yang telah diketahui. Jika timbul keraguan atau kemusykilan dalam proses ini, sudah tentu sumber ini perlu dibuang dan tidak sah untuk dipakai. Dalam situasi ini, ahli sejarah tidak dapat mengelakkan tentang kepelbagaian sumber sejarah yang ada. Oleh itu, sumber sejarah perlu dinilai dengan fakta-fakta sejarah yang telah diketahui. Konsistensi di sini bermaksud, fakta yang ditulis itu selari atau tidak bercanggah dengan fakta-fakta yang lain. Langkah ketiga ialah menilai sumber ini dari aspek bentuk dan jenisnya. Ini berkait rapat dengan bentuk tulisan yang digunakan, bahasa yang dipakai dan cop yang sesuai dengan keadaan ia dikeluarkan. Ahli sejarah perlu mendapat bantuan ahli filologi dan paleografi dalam menjalankan aktiviti ini. Ini kerana, sumber atau rekod bertulis yang bahasanya ada yang tidak lagi dapat difahami dan memerlukan ahli bahasa yang pakar untuk menentukan sama ada bahasa yang digunakan ini benar dan wujud. Selain itu, bantuan ahli paleografi dapat dipakai di dalam meneliti jenis tulisan yang digunakan. Langkah yang terakhir ialah menjalankan ujian kimia untuk menentukan dan memeriksa usia bahan, dakwat serta jenis kertas.
Setelah kritikan secara luaran disempurnakan, proses seterusnya yang dilalui oleh ahli sejarah ialah menilai sumber secara dalaman iaitu kritikan dalaman. Langkah ini melibatkan beberapa aktiviti yang penting. Menurut Arba’iyah Mohd Noor (2006), kritikan dalaman pula bertujuan untuk menentukan kemunasabahan ataupun kewarasan (kerasionalan) tentang isi kandungan sumber sejarah. Tambahnya lagi, walaupun sumber itu asli jika dilihat dari sudut kritikan luaran, tetapi jika kandungannya tidak munasabah, maka sumber itu tidak wajar untuk dijadikan sumber rujukan sejarah. Ini seperti yang dikongsikan oleh G.R Elton (1969) bahawa dalam isu ini, peraturannya sungguh mudah, jika dapat dibuktikan keaslian sumber melalui kritikan dalaman dan luaran, maka gunakan ia. Jika meragui, lupakan ia. Antara aktiviti dalam proses kritikan sumber secara dalaman ialah meneliti kebolehpercayaan (reliability) terhadap penulis sumber tersebut. Ini berkait rapat dengan siapa yang mencipta sumber ini dan sejauh mana individu ini berkelayakan untuk berbuat demikian. Arthur Marwick dalam isu ini, menggalakkan ahli sejarah untuk bertanya sejauhmana penulis sesuatu sumber itu benar-benar dapat menyediakan informasi secara langsung tentang sesuatu topik yang menjadi tumpuan dan perhatian ahli sejarah.
Selanjutnya, kritikan dalaman melibatkan usaha ahli sejarah mengkaji dan meneliti tentang ‘bila’ dan ‘di mana’ penulis sumber itu berada. Ini bertujuan untuk menilai sama ada penulis ini menceritakan atau menzahirkan sesuatu yang benar dan sesuai dengan pengalaman yang dilaluinya. Sebagai contoh, seorang individu yang pernah terlibat dalam peristiwa Pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekitar awal tahun 1940-an, menceritakan dan menulis pengalamannya ini di sebuah buku atau diari. Keterangan yang diberikan oleh individu ini lebih sahih dan dipercayai apabila mengkaji tentang sejarah Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ini berbeza bagi individu yang tidak pernah mengalami keadaan ini dan hanya mendengar cerita daripada orang lain. Oleh itu, dua persoalan ini penting untuk diberi perhatian supaya kandungan di dalam sumber sejarah ini sesuai dengan masa dan tempatnya. Seperti yang dijelaskan oleh Arba’iyah Mohd. Noor bahawa persoalan bila sejarawan itu terlibat dan di mana beliau tinggal pada masa kejadian tersebut berlaku dirasakan cukup penting sekali kerana fakta yang diterima daripadanya akan lebih bersifat objektif dan jelas.
Rumusannya, proses kritikan sumber sejarah merupakan peringkat yang kritikal bagi ahli sejarah. Ini kerana, kebenaran dan kesahihan sesuatu fakta itu amat bergantung kepada proses ini. Jika ini dapat disempurnakan dengan baik, maka kebenaran sesuatu kisah sejarah sukar untuk diragukan lagi. Pun begitu, saya bersetuju dengan pendapat Arthur Marwick bahawa sumber sejarah yang digunakan oleh sejarawan biasanya dijumpai dalam keadaan yang tidak lengkap, berpecah-pecah dan sukar untuk dikesan. Ini adalah satu cabaran yang perlu diatasi oleh sejarawan dalam menghasilkan tulisan-tulisan dan karangan yang berkualiti dan mempunyai kredibiliti yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan