Isnin, 20 Mac 2023

6 Faktor Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Melaka, dahulunya sebuah perkampungan nelayan yang didiami oleh beberapa buah keluarga suku Orang Laut. Sebelum Parameswara dan pengikutnya sampai di sini, Melaka tidak begitu dikenali oleh orang luar sama ada pedagang atau pengembara. Namun, ketibaan Parameswara telah mengubah landskap dan wajah perkampungan ini menjadi sebuah negeri yang maju dan makmur hampir satu abad lamanya. Kejayaan ini dicapai hasil misi dan visi Parameswara untuk mendirikan sebuah negeri yang maju seperti Srivijaya dahulu. Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang telah menyumbang kepada kegemilangan dan kemakmuran Melaka seperti kedudukannya yang strategik, peranan Orang Laut, sistem pentadbiran yang tersusun dan beberapa faktor lain. Ini menyebabkan Melaka menjadi sebuah kesultanan Melayu yang telah menguasai semenanjung Tanah Melayu, sebahagian kepulauan Sumatera dan Riau. Sejak itu, Melaka menjadi sebuah bandar pelabuhan yang mahsyur sebelum ditawan oleh Portugis pada tahun 1511. Tulisan kali ini akan membincangkan faktor yang membawa kepada kegemilangan dan kejayaan Kesultanan Melayu Melaka sejak awal abad ke-15.

            Faktor pertama yang menyumbang kepada kegemilangan kesultanan Melayu ini ialah kepimpinan Parameswara dan penggantinya. Elemen ini menjadi faktor penting kerana sebuah kerajaan atau masyarakat memerlukan seorang pemimpin yang dapat memimpin mereka menuju ke satu tujuan atau matlamat untuk mencapai kejayaan. N.J Ryan (1962) menyatakan Parameswara ialah seorang “resourceful”. Kita dapat melihat bagaimana cara Parameswara memerintah Temasik. Pada masa ini, Parameswara telah melakukan hal yang sama kepada perkampungan nelayan di sini dan menjadikannya sebuah pelabuhan yang berkembang maju. Sifat Parameswara yang dikatakan “resourceful” seperti yang disebutkan oleh N.J Ryan tadi tentulah menyentuh soal kepimpinan dan kewibawaan diri Parameswara. Semasa Paramaeswara melarikan diri dari Palembang menuju ke Temasik, dia ditemani oleh pengikutnya sehingga mereka sampai di beberapa tempat seperti Biawak Busuk, Kota Buruk, Muar, Sungai Bertam dan Melaka. Ini menunjukkan Parameswara seorang yang mempunyai sifat kepimpinan. Sifat inilah yang telah membuka jalan kepada pengasasan Melaka dan menjadikannya sebuah kerajaan Melayu yang unggul pada abad ke-15. Selain itu, N.J Ryan menyebutkan imigran yang sampai di Melaka pada abad ke-15 memiliki budaya yang lebih tinggi dari penduduk asal, dan mereka telah memperkenalkan tanaman baru seperti tebu, tanaman rempah dan padi.

            Faktor seterusnya ialah kedudukan strategik Melaka dan peranan Selat Melaka. Kassim Thukiman (2002) menyatakan faktor penting kemajuan Kesultanan Melayu Melaka ditentukan oleh kedudukan Selat Melaka yang sangat strategik. Kapal dagang negara asing yang melewati Selat Melaka pasti singgah di pelabuhan Melaka dan cukai dikenakan kepada kapal dagang yang menjadi sumber kewangan utama. Joginder Singh Jessy (1964) juga bersetuju bahawa kedudukan Melaka yang terletak di tempat pertemuan semula jadi angin monsun dan dengan demikian dapat menjadi tempat persinggahan yang sangat dikehendaki oleh saudagar dari China dan India. Melalui kedudukan ini, Melaka dapat menguasai kapal-kapal yang melalui selat Melaka yang menjadi tempat istimewa terletak di tengah-tengah “kawasan rempah” yang mahsyur di Asia Tenggara B.W Andaya & L. Andaya (1982) menyatakan bahawa kedudukan Melaka mempunyai dua kelebihan utama iaitu, yang pertama terasing daripada Siam, dipisahkan daripada hutan tebal dan pergunungan, kedua menjadi tapak persinggahan yang sesuai sementara pertukaran angin monsun. Kedudukan strategik ini tidak berguna sekiranya pelabuhan tidak mempunyai kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan oleh pedagang. Ini diambil berat oleh Parameswara apabila beliau telah menyediakan pelbagai kemudahan di pelabuhan seperti gudang penyimpanan untuk kegunaan pedagang menyimpan barangan mereka sementara menunggu untuk berdagang atau belayar ke tempat lain. B.W Andaya & L. Andaya, menyebutkan bahawa gudang penyimpanan ini berfungsi untuk melindungi barangan pedagang daipada kerosakan atau kecurian.

            Fakor ketiga ialah sistem pemerintahan kerajaan Melaka yang sistematik. Pemerintahan yang dimaksudkan di sini ialah dari sudut penyusunan kuasa dan pentadbiran organisasi. Ini penting, kerana untuk menguruskan sesuatu masyarakat atau kerajaan, perlunya satu sistem pemerintahan yang sistematik dan tersusun. Kuasa tertinggi dipegang oleh Sultan. Menurut Kassim Thukiman, sultan atau raja mempunyai kedudukan paling tinggi lagi istimewa dan berkuasa mutlak. Mereka ialah pembuat undang-undang. Kedudukan mereka diperkukuhkan lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka dalam masyarakat. Selain itu, peranan raja atau sultan ini tidak hanya mentadbir kerajaannya, tetapi mencakupi fungsi meluaskan pengaruh Melaka dari aspek politik dan ekonomi. Ini dilakukan oleh pengganti Parameswara apabila Melaka menghantar utusan politik kepada jirannya untuk bersahabat. Hubungan China-Melaka di antara contoh terbaik bagaimana pemimpin Melaka menggunakan peluang yang ada untuk meluaskan pengaruh dan kewibawaan Melaka. Selain itu, sultan atau raja dibantu oleh pembesar yang terdiri daripada beberapa jawatan seperti Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana dan Syahbandar. Peranan dan fungsi pembesar ialah membantu sultan atau raja menguruskan pemerintahan.

            Faktor keempat ialah hubungan Melaka dengan China. Pada tahun awal penubuhan Melaka, Melaka terpaksa mengakui ketuanan Siam. Menurut Joginder Singh Jessy, terdapat satu rekod daripada Dinasti Ming menyatakan bahawa ketika Laksamana Ying Ching berkunjung ke Melaka dalam tahun 1403, negeri Melaka “di-punyai oleh Siam, dan Melaka menghantar bunga emas sa-banyak empat puloh tahil kepada-nya tiap-tiap tahun”. Catatan ini menunjukkan Melaka pernah dikuasai oleh Siam secara tidak langsung. Pun begitu, Melaka dapat berdiri sendiri apabila mendapat perlindungan keselamatan daripada Siam. Menurut Ahmad Dahlan (2017), pada tahun 1405 angkatan laut dari China di bawah pimpinan Laksamana Cheng Ho (yang dihantar oleh Maharaja Yung-Lo) pernah datang ke Melaka untuk menegaskan hubungan baik China-Melaka dan menghadiahkan penguasa Melaka pada masa itu atap genting yang dipakai untuk membina istana. Tambahnya lagi, ketika sultan Melaka dan keluarga berserta rombongan berjumlah 540 orang mengadakan kunjungan balas ke China pada tahun 1411, rombongan itu juga disambut dan diraikan dengan penuh hormat sebagaimana layaknya ketua negara dan rombongan pada masa itu. Ancaman Siam dapat didiamkan apabila Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka pada 1409 telah singgah dahulu ke Siam untuk memberi amaran kepada Siam supaya jangan melakukan serangan ke atas Melaka kerana Melaka sepertimana Siam, adalah sahabat China dan Siam terpaksa menurut. Hubungan ini memberi keuntungan kepada Melaka untuk terus mencapai kemajuan dan kejayaan.

            Faktor kelima ialah peranan yang dimainkan oleh Orang Laut. Sebagai sebuah kota pelabuhan, pemerintah Melaka telah bekerjasama dengan Orang Laut dalam memastikan Melaka dilindungi daripada ancaman yang mampu membahayakan keadaan Melaka. Menurut Leonard Y. Andaya (2008), Orang Laut ialah kumpulan yang terkenal di dalam sejarah Asia Tenggara kerana hubungan kumpulan ini dengan aktiviti perdagangan dan pelanunan. Tidak dapat disangkal, Orang Laut sangat bernilai kepada pemerintah Melayu kerana kebolehan Orang Laut dalam mempromosikan aktiviti perniagaan antarabangsa. Pengetahuan dan kepakaran Orang Laut dalam selok-belok lautan membolehkan mereka membantu dalam memudahkan kapal-kapal yang ingin singgah di Melaka selamat mendarat di pelabuhan. Ini kerana, Orang Laut memiliki pengetahuan tentang kedalaman laut, kawasan yang mempunyai terumbu karang dan memberi amaran sekiranya wujud tanda-tanda aktiviti pelanunan yang bakal berlaku. Mereka mempunyai satu jaringan komunikasi yang luas di antara mereka di kawasan laut menyebabkan Orang Laut sungguh penting di dalam membantu Melaka mengawal Selat Melaka serta melindungi kapal-kapal dagang yang ingin berlabuh dan singgah di pelabuhan Melaka. Oleh itu, Orang Laut menjadi elemen penting kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, lantaran kepakaran yang mereka miliki.

            Faktor yang terakhir ialah kedatangan dan pertapakan Islam di Melaka. Sejak abad ke-8, agama Islam telah tersebar di beberapa buah wilayah Semenanjung Arab. Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar Islam datang di Asia Tenggara lantaran pelbagai teori yang diberi oleh Sejarawan. Pun begitu, Islam telah sampai dan bertapak di Melaka di awal penubuhannya apabila pemerintahnya memeluk Islam. Ini memberi kesan dan pengaruh yang cukup hebat terhadap perkembangan Melaka apabila pedagang-pedagang Islam semakin bertambah ramai yang singgah dan berdagang di sini. Pertambahan bilangan pedagang di pelabuhan Melaka membolehkan kutipan cukai dapat ditingkatkan seterusnya meningkatkan lagi sumber kewangan Melaka. Pedagang ini ada yang datang dari India dan China. Tambahan lagi, ulama dan guru agama turut datang ke Melaka, mendirikan pusat-pusat pengajian agama. Ini membolehkan Melaka menjadi pusat penyebaran Islam. Malah, Melaka bersahabat baik dengan wilayah yang diperintah oleh seorang ketua yang beragama Islam. Hubungan baik ini secara tidak langsung meluaskan lagi pengaruh dan imej Melaka terhadap orang luar. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bagaimana pengaruh agama Islam memberi kesan positif terhadap perkembangan dan kemajuan kerajaan Melaka.

            Kesimpulannya, enam faktor yang dibincangkan di atas menjadi faktor yang penting terhadap kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Ada beberapa faktor lain yang telah membantu kepada kegemilangan Melaka misalnya kepimpinan Tun Perak dalam membantu meluaskan lagi kekuasaan Melaka dengan menawan dan berdiplomasi dengan wilayah-wilayah yang lain. Oleh itu, faktor ini telah menyebabkan Melaka menjadi sebuah negara atau wilayah thalasokrasi yang berjaya sepanjang abad ke-15 di Asia Tenggara atau alam Nusantara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...