Isnin, 8 Mei 2023

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, 1699

Pada tahun 1699, kerajaan Johor dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan raja/sultan mereka iaitu Sultan Mahmud Syah II oleh Megat Seri Rama atau juga dikenali sebagai Laksamana Bentan. Pembunuhan ini berlaku ketika Sultan Mahmud Syah II sedang duduk di atas julang (tandu), lalu Megat Seri Rama melemparkan senjata yang telah menikam diri Sultan Mahmud Syah II. Kemangkatan sultan menyebabkan terputuslah keturunan raja-raja Melaka keturunan Bukit Siguntang, kerana Sultan Mahmud Syah II sendiri tidak meninggalkan sebarang zuriat yang dapat menggantikan takhta kerajaan baginda. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk mem-bincangkan peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ini secara lebih terperinci dan lebih mendalam.

            Sultan Mahmud Syah II (Raja Mahmud) menggantikan takhta kerajaan Johor daripada ayahanda baginda iaitu Sultan Ibrahim Syah yang telah mangkat di Riau pada bulan Februari tahun 1685. Baginda memegang takhta kerajaan Johor sehingga tahun 1699 ketika berusia 30 tahun. Dari aspek perwatakan dan sifat peribadi, Ahmad Dahlan (2017) menjelaskan bahawa Sultan Mahmud Syah II ialah seorang yang cerdas, mahir dan teliti. Sebagai contoh, pada tahun 1691, Sultan Mahmud Syah II telah meneliti semula surat-surat perjanjian di antara pemerintah Johor dengan Belanda. Apabila didapati wujud kerugian bagi pihak kerajaan Johor di dalam surat perjanjian ini, baginda telah mengirim utusan ke Betawi (Batavia) untuk berunding serta meneliti semula isi perjanjian yang disepakati oleh pemerintah dahulu. Namun begitu, sisi lain Sultan Mahmud Syah II ialah baginda disifatkan sebagai seorang yang kejam dan sadis. Malah, Shahrom Husain (1995) menyatakan bahawa Sultan Mahmud Syah II seorang yang memiliki perangai ganjil, tidak mengenal kasihan dan berkelakuan bengis terhadap para pembesar dan juga rakyatnya. Sebagai contoh, pernah suatu ketika pada tahun 1695, seorang kapten dagang iaitu Alexander Hamilton dari Scotland datang menghadiahkan sepucuk pistol kepada Sultan Mahmud Syah II. Untuk menguji kualiti atau bagusnya pistol tersebut ditembak bahu seorang pengawalnya. Ini menggambarkan sifat Sultan Mahmud Syah II yang bertindak mengikut diri-nya sendiri.

            Selain itu, Sultan Mahmud Syah II memiliki sifat ganjil. Ini disebutkan oleh Buyong Adil (1980) bahawa sungguhpun Sultan Mahmud Syah II telah dewasa, tetapi baginda terus melakukan kegilaan dan kebengisan baginda dengan laku perangai baginda yang ganjil-ganjil itu,  sehingga orang-orang besar Johor tidak lagi mengindahkan taraf kesultanan baginda itu, segala hal pemerintahan negeri yang hendak dirundingkan oleh orang-orang besar itu, mereka bermuafakat dengan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil sahaja. Malah, Ahmad Dahlan juga menyebutkan bahawa Sultan Mahmud Syah II dikhabarkan mempraktikkan hubungan dengan alam kebatinan/mistik. Banyak babad Melayu yang menyebut perihal sultan/raja yang memiliki ‘isteri’ di alam ghaib/makhluk halus disebut peri/orang bunian. Selanjutnya, di dalam kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada tahun 1699 ini, rasanya perlu untuk dijelaskan sedikit tentang identiti Megat Seri Rama dan juga isterinya iaitu Dang Anum yang terlibat secara langsung. Megat Seri Rama merupakan laksamana Kesultanan Melayu Johor. Menurut Shahrom Husain, Megat Seri Rama bolehlah dikatakan seorang dari-pada hulubalang yang handal. Dia juga mempunyai anak buah serta kuatkuasa di dalam negeri Johor. Beliau memiliki seorang isteri iaitu Dang Anum yang sedang sarat mengandung anak sulung. Megat Seri Rama terpaksa meninggalkan isterinya apabila beliau menjaga perairan Riau.

            Peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ini bermula apabila Penghulu Bendahari sedang menatang talam berisi buah nangka yang akan dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah II. Pada ketika itu, Dang Anum sedang duduk di depan rumah, merindui suaminya. Ketika ternampak Penghulu Bendahari membawa nangka, menitis air liur Dang Anum yang sedang menunggu hari itu apabila tercium aroma buah nangka yang sedang ranum itu. Oleh itu, Dang Anum telah menyatakan hasratnya kepada Penghulu Bendahari untuk memberikan kepadanya seulas daripada nangka tersebut. Pada fikir Penghulu Bendahari, tidak elok rasanya membiar-kan seorang ibu yang sedang sarat mengandung mengidamkan buah nangka dan tidak baik membuat bayi di dalam perut ibunya itu menjadi kempunan. Maka, diberikan oleh Penghulu Bendahari seulas nangka. Lalu, dimakanlah oleh Dang Anum nangka tersebut. Namun, perkara ini tidak diketahui oleh Sultan Mahmud Syah II. Sejurus itu, Penghulu Bendahari pun beredar dan membawa nangka yang sudah susut seulas tersebut kepada sultan Mahmud Syah. Namun, Shahrom Husain menjelaskan bahawa nangka tersebut telah dipersembahkan kepada sultan, tetapi pada waktu tersebut Sultan Mahmud Syah II sedang beradu. Maka, pada waktu inilah Dang Anum datang kepada Penghulu Bendahari untuk meminta nangka tersebut.

            Apabila Sultan Mahmud Syah II bangkit, dipersembahkan oleh Penghulu Bendahari nangka yang sudah susut seulas. Hal ini ditanyakan oleh sultan. Lalu dijawab oleh Penghulu Bendahari bahawa seulas nangka yang tidak baik dan hendak dibuang telah diberikan kepada isteri Megat Seri Rama. Namun, tindakan ini menimbulkan kemarahan kepada sultan, kerana Sultan Mahmud Syah II tidak sudi menyantap makanan sisa, walaupun dari sebiji nangka yang sudah diambil cuma seulas oleh Dang Anum. Malah, perkara ini bukan sahaja melibatkan seulas nangka tersebut, tetapi berkaitan soal kehormatan dan darjat seorang sultan. Sebagai raja atau sultan, mereka dianggap layak mendapatkan hal yang terbaik. Memakan ‘sisa’ daripada seorang rakyat biasa, meskipun Dang Anum isteri kepada seorang laksamana, merupakan satu hal yang dianggap mencemar daulat seorang sultan/raja. Penghulu Bendahari memberitahu kepada sultan bahawa yang mengidam nangka tersebut bukanlah diri Dang Anum, tetapi bayi yang sedang dikandungkan oleh Dang Anum. Namun, hal ini telah menyebabkan sultan sendiri murka lalu memerintahkan Dang Anum segera menghadap bagi memastikan benarkah bahawa bayi di dalam perut Dang Anum itu yang mengidam nangka tersebut. Oleh itu, Dang Anum dipanggil menghadap sultan. Satu perbuatan keji Sultan Mahmud Syah II ialah membedah perut Dang Anum dan matilah isteri Megat Seri Rama bersama bayi sulungnya itu yang tidak sempat melihat dunia.

            Sekembalinya Megat Seri Rama dari berkhidmat di lautan, bertugas menjaga perairan Riau, beliau segera pulang ke Johor untuk melihat isterinya yang mungkin sudah melahirkan bayi sulungnya itu. Namun, sangkaannya itu meleset apabila didapati isteri dan anaknya sudah meninggal dunia. Ada yang bercerita kepada Megat Seri Rama peristiwa pembunuhan isteri dan anaknya itu oleh Sultan Mahmud Syah II gara-gara seulas nangka. Mendapat tahu berita ini membuatkan Megat Seri Rama berasa sedih, geram dan marah. Lantas, Megat Seri Rama sendiri datang menghadap Tun Abdul Jalil, Bendahara Paduka Raja menceritakan nasib yang telah menimpa dirinya itu. Juga, disampaikan niatnya yang sanggup menderhaka kepada sultan. Katanya lagi, jika Sultan Mahmud Syah II mangkat, maka sudah pasti Tun Abdul Jalil diangkat menjadi Sultan Johor yang baharu kerana baginda sultan tidak mempunyai zuriat. Maka, Tun Abdul Jalil pun bermesyuarat dengan saudaranya tentang segala maksud Megat Seri Rama itu. Kesemuanya sebulat suara membenarkan kerana langkah yang akan dilakukan oleh Megat Seri Rama itu seolah-olah pucuk dicita ulam mendatang kepada sekalian orang besar negeri Johor. Mereka sekalian memang tersangat benci dan bimbang akan kezaliman dan kebengisan yang dilakukan oleh sultan. Mereka sukakan Bendahara Abd. Jalil menjadi sultan negeri itu.

            Pada hari yang telah dirancang, Megat Seri Rama mengadang rombongan sultan. Pada ketika ini Sultan Mahmud Syah II sedang dijulang (ditandu) oleh pembantunya. Ada yang men-ceritakan bahawa Sultan Mahmud Syah II sedang dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Megat Seri Rama memandang wajah Sultan Mahmud Syah II dengan penuh rasa benci, geram dan marah. Lalu, beliau pun melompat dan menikam Sultan Mahmud Syah menggunakan keris beliau sendiri. Terkenalah Sultan Mahmud Syah akan keris Megat Seri Rama itu. Pun begitu, sebelum Sultan Mahmud Syah II itu mangkat, baginda sempat melontar keris tersebut kepada Megat Seri Rama. Maka, Megat Seri Rama juga turut meninggal dunia pada masa itu juga. Sejarah mencatatkan bahawa peristiwa yang menyedihkan ini telah berlangsung di Kota Tinggi, Johor pada tahun 1699. Baginda disebutkan marhum ‘Mangkat Dijulang’. Mengikut riwayat Tuhfat al-Nafis, baginda mangkat pada hari Jumaat, bulan Safar 1111 iaitu bersamaan dengan T.M 1699. Sultan Mahmud Syah II yang dibunuh itu tidak meninggalkan sebarang zuriat untuk mewariskan pemerintahan kerajaan negeri Johor. Maka, terputuslah jurai keturunan raja-raja Melaka yang dikatakan turun daripada Bukit Siguntang itu.

Rumusannya, Setelah Sultan Mahmud Syah II mangkat, putuslah keturunan anak cucu raja-raja Melayu Melaka yang berasal daripada titisan darah raja-raja Melayu yang turun di Bukit Siguntang iaitu keturunan daripada Iskandar Dzulkarnain yang telah memerintah dan berkerajaan di Johor. Oleh itu, kerajaan Johor diperintah oleh raja-raja berketurunan Bendahara sebelum Raja Kechil datang menuntut takhta kerajaan Johor atas kapasiti baginda anak kepada Sultan Mahmud Syah II yang identitinya masih diragui.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...