Pendidikan
merupakan komponen yang penting bagi membina sesuatu masyarakat yang bertamadun
dan memiliki nilai budaya yang tinggi sifatnya. Aspek ini berperanan dalam
mengekalkan kedaulatan dan keharmonian sesebuah negara. Jika perkara ini
diabaikan sudah pasti perkara buruk akan mendekati bangsa tersebut. Ini telah
jelas tercatat dalam sejarah peradaban manusia. Di Eropah misalnya, zaman “Dark Ages” menyaksikan kehidupan
masyarakat yang terbelenggu dengan kejahilan dan kemunduran. Begitu juga semasa
zaman jahiliah di Arab. Namun, bukannya kita hendak mencaci atau menghina
masyarakat berkenaan, tetapi dijadikan sebagai teladan. Dalam masyarakat di
Tanah Melayu, termasuk Sabah dan Sarawak, pendidikan ini telah berakar umbi
sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14. Sejak dari saat ini,
pendidikan telah berkembang sehinggalah kolonial British berjaya menjajah Tanah
Melayu, Sabah dan Sarawak. Memasuki era moden, sistem pendidikan turut
mengalami perubahan yang ketara sama ada dalam aspek kurikulum mahupun kaedah
pengajarannya. Namun, sebelum itu sistem pendidikan pada asalnya bersifat
tradisional. Penulisan ilmiah kali ini akan membicarakan sistem pendidikan
tradisional di negara kita.
Sistem pendidikan tradisional lebih
jelas kelihatan pada abad ke-18 &19. Namun begitu, kita tidak mengatakan
bahawa negara kita sunyi mengenai aktiviti berkaitan pendidikan. Hal ini kerana
saudagar-saudagar daripada Arab pernah singgah ke Melaka dan Sultan juga pernah
belajar daripada maulana Arab ini. Latar belakang pendidikan tradisional ini
bersandarkan kepada pendidikan agama khususnya di negeri-negeri Tanah Melayu.
Pengajian agama berkembang dengan begitu baik apabila guru-guru yang
berpengalaman membuka institusi pendidikan yang sifatnya tidak begitu formal.
Pusat pengajian ini tertumpu di rumah-rumah tok guru jika bilangan muridnya
sedikit dan jika ramai yang mengikuti pendidikan ini, maka surau-surau atau
masjid-masjid menjadi lokasinya. Oleh itu, apabila kita meneliti sistem
pendidikan agama pada zaman moden, Sekolah Agama Negeri telah banyak diwujudkan
yang berkembang daripada sistem pendidikan tradisional. Hatta, hingga ke hari
ini sistem pendidikan seperti ini masih lagi berjalan di kampung-kampung
walaupun berlaku perubahan dalam aspek kurikulum dan teknik pengajaran yang
diaplikasikan. Satu lagi ciri penting kepada sistem pendidikan tradisional ini
ialah penyertaan pelajar tidak mengikut had umur dan yuran pengajian yang
rendah bahkan diberikan secara percuma pada peringkat awal. Pendidikan
tradisional ini boleh kita kategorikan kepada tiga iaitu pengajian pondok,
madrasah dan sekolah rakyat.
Pengajian pondok lebih tertumpu di
negeri-negeri Tanah Melayu terutamanya di sebelah utara. Menjelang abad ke-18
dan 19, institusi pondok telah wujud di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan
Kedah. Sistem pengajian pondok ini dipengaruhi oleh pengajian pondok di Aceh,
Indonesia dan Patani, selatan Thailand. Sekolah ini berteraskan kepada
pengajian agama Islam seperti al-Quran dan hadis-hadis sahih. Pada peringkat
awal, sekolah pondok telah diasaskan oleh individu yang mendapat pendidikan di
Acheh atau Patani. Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Hussain Mohd Karim telah
datang dan membuka pondok di Bohor, Kedah. Selain itu, pendidikan pondok ini
diasaskan oleh golongan intelektual tempatan yang pernah melakukan pengajian di
sekolah pondok di kedua-dua tempat yang telah disebutkan. Kewujudan sekolah
pondok ini adalah disebabkan kesedaran masyarakat tempatan tentang betapa
pentingnya didirikan sekolah untuk anak-anak mereka mendapat ilmu pengetahuan
agama. Selain itu, masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu kebanyakannya
beragama Islam. Maka, tidak hairanlah jika sambutan menggalakkan diperoleh oleh
sekolah-sekolah ini. Namun, perkembangannya turut berkait rapat dengan pengasas
dan sumber kewangan institusi berkenaan. Antara pondok-pondok yang wujud di
Tanah Melayu ialah Pondok Haji Abbas, Tuk Jering, Pondok Padang Jelapang, Pasir
Mas dan Pondok Pokok Sena, Kedah.
Memasuki abad ke-20, pendidikan di
negara kita berkembang dengan wujudnya madrasah yang turut berperanan dalam
memberi pendidikan kepada masyarakat. Madrasah ini ditubuhkan oleh golongan
reformis Islam yang pernah menuntut dan menetap di Tanah Arab atau Mesir.
Pendidikan ini masih lagi diusahakan oleh orang perseorangan mahupun kumpulan
tertentu. Bezanya dengan pengajian pondok, madrasah ini memiliki sistem
pendidikan yang tersusun, lebih formal, dan penyusunan organisasinya lebih
sistematik. Kurikulum lebih teratur dan memiliki peperiksaan dan ujian bagi
menilai tahap dan kebolehan seseorang setelah mengikuti pengajian di Madrasah
ini. Seperkara lagi, terdapat dua peringkat pengajian iaitu rendah dan menengah
yang masing-masing dikenali sebagai ibtida’i
dan thanawi. Apabila pelajar madrasah
ini berjaya menamatkan pengajian, mereka layak diberikan sijil sebagai bukti
mereka pernah menuntut di madrasah berkenaan. Mata pelajaran umum turut
dimuatkan dalam pengajian madrasah ini seperti Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris. Apabila mereka memperoleh keputusan yang cemerlang,
mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
Hal ini kerana tenaga pengajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin mahir dengan
keperluan sistem pendidikan di tempat tersebut. Perkembangan institusi
pendidikan seperti ini terus mendapat sambutan dan antara madrasah yang
terkenal ialah Madrasah al-Masriyyah.
Selain daripada sekolah pondok dan
madrasah, sekolah rakyat turut termasuk dalam sistem pendidikan tradisional.
Sekolah rakyat ini diusahakan oleh masyarakat setempat yang begitu sedar peri
pentingnya pendidikan kepada anak-anak mereka. Sekolah ini bertujuan untuk
menyediakan peluang pendidikan yang sempurna kepada masyarakat. Penubuhan
Sekolah Melayu yang hanya tertumpu di Negeri-negeri Selat memungkinkan sekolah
rakyat ini ditubuhkan. Hal ini turut didorong oleh sikap pemerintah yang tidak
mampu memberi pertolongan terutamanya dalam bentuk kewangan kepada masyarakat.
Maka, tidak hairanlah jika sekolah ini ditubuhkan sebagai “Sekolah Rakyat”.
Dari aspek pedagogi yang diajar di sekolah ini berbeza dengan sekolah pondok
dan madrasah yang berfokus kepada pengajian agama Islam. Sekolah rakyat ini
mengikuti kurikulum sekolah Melayu yang menumpukan kepada aspek 3M iaitu
membaca, menulis dan mengira. Mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Ilmu Hisab,
Tawarikh dan Ilmu Alam turut disediakan kepada pelajar. Dari sudut kemudahan
yang terdapat di sekolah ini jauh lebih daif daripada sekolah Melayu kerajaan.
Keadaan ini disebabkan kekurangan sumber kewangan bagi melengkapi sekolah ini
dengan kemudahan yang lebih baik dan selesa kepada para pelajarnya. Di negeri
Kedah, pada tahun 1938 seramai 1742 orang murid yang menuntut di 24 buah
sekolah rakyat. Masyarakat setempat sememangnya begitu sedar akan pentingnya
pendidikan pada masa itu yang telah membawa kepada tertubuhnya sekolah rakyat
ini.
Bukan sahaja di Tanah Melayu, sistem
pendidikan turut didapati di Sabah dan Sarawak. Sistem pendidikan awal ini agak
kabur maklumatnya kerana mungkin berbeza dengan Tanah Melayu yang menerima
pengaruh pengajian agama Islam dari Indonesia dan selatan Thailand. Namun,
Sabihah Osman mengatakan bahawa sistem pendidikan tradisional di Sarawak adalah
berlandaskan pengajian al-Quran. Sistem pendidikan ini tertumpu di kawasan
penempatan Melayu seperti di Kuching dan kawasan pesisiran. Hal ini boleh juga
dikaitkan dengan pengaruh Kesultanan Brunei kerana Sarawak pernah terletak di
bawah pengaruh kesultanan ini sebelum kedatangan Brooke. Oleh itu, pendidikan
di Sarawak ini memiliki persamaan dengan sistem pendidikan di Tanah Melayu.
Berkenaan sistem pendidikan di Sabah, Azmah Abdul Manaf (2001) dalam bukunya
Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia memberitahu bahawa sistem pendidikan
bersifat tekaan sahaja sebelum kedatangan pihak penjajah Inggeris. Lebih-lebih
lagi masyarakat peribumi negeri berkenaan bukan beragama Islam. Bagi orang
Islam di Sabah, pendidikan agama diterapkan berasaskan kepada pengajian
al-Quran semata-mata. Hal ini turut sama berlaku di Sarawak kerana Sabah pernah
dipengaruhi oleh Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada suatu ketika dahulu
sebelum kehadiran pedagang asing Amerika dan penjajah British, Syarikat
Berpiagam Borneo Utara. Namun, kita tidak dapat menafikan pendidikan di rumah
turut dipraktikkan lebih-lebih lagi negara kita ini kaya dengan budaya ketimuran
yang sentiasa disanjung dan dihormati. Begitulah sistem pendidikan awal di
Sabah dan Sarawak, kajian lebih meluas lagi perlu dilakukan bagi menambah
maklumat tentang sistem pendidikan awal di dua buah negeri ini di masa akan
datang.
Kesimpulannya, sistem pendidikan
awal di negara kita lebih berfokus kepada pengajian agama. Sekolah rakyat turut
berkembang dengan baik akibat desakan masyarakat yang begitu sedar tentang
pentingnya pendidikan. Oleh itu, aspek ini begitu penting sejak dari dahulu
lagi sehinggalah ke hari ini. Pendidikan tradisional ini telah berubah kepada
moden apabila memasuki abad ke-20 dan 21 dengan kurikulum serta pendekatan yang
berbeza dalam menyampaikan ilmu. Sistem pendidikan awal ini turut memberi
gambaran bahawa sejak dari dulu lagi masyarakat kita begitu mengambil berat
soal pendidikan. Tuntasnya, tanpa pendidikan, sesebuah negara itu tidak mampu
untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu dan berkongsi nilai-nilai
kehidupan yang sama. Tanpa pendidikan, akan berlaku masalah sosial yang tidak
menguntungkan kepada kehidupan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan