Isnin, 27 Februari 2023

Kekuatan dan Kelemahan Sumber Lisan

Kajian sejarah memerlukan sumber yang sahih dan benar. Setiap sumber yang dipilih harus mem-punyai darjah keaslian dan ketulenan yang tinggi dan dipercayai. Dalam setiap kajian sejarah yang dilakukan oleh ahli sejarah, pemilihan sumber merupakan proses yang sangat kritikal. Ini kerana, sumber sejarah akan menentukan kualiti kajian, seterusnya penulisan hasil kajian tersebut. Oleh itu, sumber primer atau utama menjadi penting kerana ia bersifat belum ditafsir atau diolah. Pun begitu, sumber sekunder atau kedua tetap memiliki kepentingannya. Selain itu, terdapat satu lagi sumber sejarah yang dapat membantu kajian sejarah iaitu sumber lisan. Sumber lisan dapat dikate-gorikan sebagai sumber pertama dan kedua bergantung kepada individu yang ditembual serta pen-yaksian individu tersebut terhadap sebuah peristiwa sejarah. Secara umumnya, sumber lisan dapat difahami sebagai koleksi memori tentang pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang yang mempunyai kaitan dengan peristiwa sejarah. Peristiwa sejarah yang dimaksudkan di sini ialah peristiwa yang mempunyai kepentingan dan keperluan terhadap masyarakat atau negara. Sumber lisan diperoleh melalui sesi temu bual yang dijalankan oleh pengkaji sejarah dan informan yang telah dipilih lebih awal. Oleh itu, penulisan kali ini akan membincangkan secara ringkas tentang penggunaan sumber lisan dalam penulisan sejarah yang akan menyentuh tentang kekuatan dan ke-lemahan sumber ini.

            Sebelum itu, dibincangkan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan dengan sumber lisan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sumber lisan dapat diertikan sebagai koleksi memori sese-orang tentang pengalaman hidup yang dilaluinya. Menurut Muhd. Yusof Ibrahim (2016), sumber lisan ialah sumber yang didapati daripada pertuturan atau perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Sumber ini menjadi rujukan asas kepada suatu cabang sejarah yang dikena-li sebagai sejarah lisan. Pertuturan atau perkhabaran di sini bermaksud sesuatu maklumat sejarah itu diperoleh melalui aktiviti temu bual di antara pengkaji (ahli sejarah) dengan informan (individu yang dikaji). Sesi temu bual ini bertujuan mendapatkan maklumat yang dimiliki oleh informan, di mana mereka ini terlibat secara langsung atau tidak langsung menyaksikan peristiwa sejarah. Mak-lumat ini diperlukan bagi menjawab persoalan kajian sejarah. Ahli sejarah atau pengkaji ini akan mengemukakan soalan-soalan kepada informan untuk diberi jawapan dan penjelasan. Naratif yang diberikan oleh informan akan diproses oleh pengkaji sejarah setelah sesi rakaman suara selesai di-jalankan. Hasil rakaman suara ini akan dipindahkan dalam bentuk teks supaya maklumat atau data daripada tembual ini dapat dianalisis serta diinterpretasi oleh pengkaji sejarah. Penggunaan sumber lisan banyak dipakai dalam mengkaji tentang seseorang tokoh-tokoh sejarah. Ini kerana, melalui maklumat temu bual, pengkaji sejarah dapat membina satu kisah tokoh tersebut dengan lengkap serta tepat.

            Penggunaan sumber lisan dalam kajian sejarah memiliki kekuatan dan kelemahannya. Ini kerana sumber lisan mempunyai sifat yang berbeza daripada sumber primer yang terdapat dalam bentuk dokumen, manuskrip, atau kitab-kitab sejarah. Segalanya telah dicatatkan dan didokumen-tasikan. Oleh itu, maklumat yang terdapat di dalamnya terus kekal dan dapat dipercayai. Di sini, dibincangkan terlebih dahulu kekuatan sumber lisan dalam pengkajian dan penulisan sejarah. Per-tama, sumber lisan dapat memberikan maklumat sejarah yang tepat apabila informan yang ditemu bual mempunyai perkaitan secara langsung dengan sesuatu peristiwa sejarah. Pengalaman pertama yang dimiliki oleh informan dapat dikelaskan sebagai sumber primer. Penyaksian secara langsung informan tersebut dapat memberikan data yang tepat kepada pengkaji sejarah. Perkara ini dapat diperhatikan apabila pengkaji sejarah terlibat dalam kajian tentang penubuhan UMNO (United Malay National Organization). UMNO telah ditubuhkan pada Mei 1946 oleh beberapa tokoh yang penting seperti Dato’ Onn Jaafar. Sejarah perjuangan UMNO telah ditulis dengan banyak sekali oleh ahli sejarah. Bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang sejarah awal penubuhan UMNO Dato’ Onn Jaafar menjadi watak penting atau informan yang dapat memberikan maklumat. Ini kerana beliau merupakan pengasas kepada pertubuhan ini. Segala maklumat yang diberikan begitu diperlukan dalam kita mengkaji sejarah awal penubuhan UMNO. Begitu juga tokoh-tokoh Melayu yang meneruskan perjuangan UMNO dalam menjaga kepentingan orang Melayu pada awal era kemerdekaan Tanah Melayu.

            Seterusnya, sumber lisan dapat memberikan gambaran yang lengkap tentang sesuatu per-istiwa sejarah. Gambaran lengkap di sini bermaksud menceritakan pelbagai aspek sesuatu kejadian sejarah yang belum sempat didokumentasikan. Misalnya, peristiwa pendudukan Jepun di negara kita pada tahun 1941 sehingga 1945. Telah banyak buku ditulis tentang pendudukan Jepun sama ada berkisar tentang propanganda Jepun atau strategi mereka menguasai negara ini. Pun begitu, kepentingan sumber lisan dalam membina semula sejarah pendudukan Jepun ini dapat dilihat apabila penduduk yang masih hidup di zaman tersebut mampu untuk memberi maklumat tentang situasi yang berlaku pada ketika itu. Penglibatan informan (penduduk) ketika pendudukan Jepun itu mampu memberi gambaran tentang kehidupan yang dilalui oleh mereka. Melalui temu bual bersama informan tersebut, pengkaji dapat bertanya tentang keganasan yang dilakukan oleh tentera Jepun terhadap penduduk Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, informan dapat memberikan maklumat tentang cara atau gaya kehidupan orang Jepun, cara pakai yang ditunjukkan oleh mereka serta bagaimana orang Jepun ini melayani orang-orang Melayu. Secara tidak langsung, satu gambaran yang lengkap dapat diberikan oleh informan untuk menggambarkan sifat dan sikap orang Jepun pada ketika itu di Tanah Melayu. Seterusnya, informan juga dapat memberikan maklumat tentang situasi kehidupan yang terpaksa mereka tempuhi akibat cara pemerintahan tentera Jepun yang ber-tindak ganas dan pentingkan diri mereka sendiri.

            Pun begitu, sumber lisan ini memiliki kelemahannya yang perlu diambil berat oleh peng-kaji sejarah. Penggunaan sumber lisan perlu dilakukan secara berhati-hati. Jika tidak, pengkaji sejarah boleh terperangkap untuk menerima maklumat yang palsu atau sengaja dipalsukan oleh pemberi maklumat iaitu mereka yang sedang ditemu bual. Menurut Muhd Yusof Hashim, sumber ini seolah-olah dan boleh merupakan suatu putar belit, gambaran sewenang-wenangnya atau ref-leksi imaginatif para penyaksi atau pelaku itu sahaja. Tambahnya lagi, apatah lagi jika penyaksi atau yang terlibat itu hanya seorang atau tinggal seorang, sedangkan beberapa orang yang lain sudah tiada lagi. Perkara yang ingin disampaikan oleh beliau ialah sumber lisan boleh dipersoal tentang kewibawaan pemberi maklumat atau individu yang ditemu bual. Setiap individu boleh ter-pengaruh atau terdedah kepada sikap tidak jujur dengan melakukan interpolasi terhadap fakta-fakta sejarah yang ingin didapatkan oleh pengkaji sejarah. Apatah lagi apabila informan ini sahaja yang masih lagi hidup. Dia boleh secara sambil lewa memutar belitkan fakta sejarah dengan tujuan menonjolkan dirinya sebagai seorang yang gagah perkasa dan sebagainya. Malah, dia boleh dengan sengaja untuk menjatuhkan imej dan wibawa seseorang yang dibencinya. Oleh itu, peng-gunaan sumber lisan harus dilakukan dengan menilai sumber ini bersama sumber sejarah yang lain khususnya sumber yang telah direkodkan atau didokumentasikan. Malah, kejujuran informan da-lam temu bual sangat diperlukan oleh pengkaji sejarah.

            Seterusnya, kelemahan yang terdapat di dalam sumber lisan apabila pemberi maklumat gagal mempamerkan kejituan maklumat yang diperlukan oleh pengkaji atau sejarawan. Ini berkait rapat dengan keupayaan manusia dalam sistem ingatan dan memori. Tidak semua manusia mem-punyai keupayaan untuk mengingati keseluruhan cerita atau peristiwa sejarah yang dialaminya. Apabila usia telah meningkat, maka kekuatan memeori seseorang manusia itu akan berkurangan. Perkara ini akan mempengaruhi jalan cerita yang dikisahkan oleh informan. Malah, kemungkinan informan terlupa fakta-fakta penting serta tersalah beri maklumat tentang nama-nama atau tarikh yang diperlukan oleh pengkaji sejarah. Keadaan ini mampu menyumbang kepada kepalsuan yang timbul dalam penulisan sejarah. Oleh itu, pengkaji sejarah harus berhati-hati apabila bertemu dan menemu bual seseorang individu. Apatah lagi jika individu yang ingin ditemu bual itu telah men-jangkau usia 80-an atau 90-an. Apabila kisah yang ingin dikaji mempunyai pertalian yang sangat jauh dengan memori seseorang individu, boleh terjadi kelupaan di sana sini. Pun begitu, situasai seperti ini harus ditangani dengan baik oleh pengkaji sejarah. Dan, tidak semua pemberi maklumat itu yang telah berusia lupa segala kisah sejarah yang pernah disaksikannya atau terlibat dengan-nya.

            Rumusannya, penggunaan sumber lisan dalam pengkajian sejarah memerlukan ketelitian pengkaji. Ini kerana bagi mengelakkan daripada berlaku kesilapan ataupun penyelewangan terhadap peristiwa sejarah. Selain itu, diharapkan sumber lisan dapat membantu untuk memberikan penerangan serta gambaran yang jelas dan sahih tentang sesuatu peristiwa sejarah. Oleh itu, sumber lisan memiliki beberapa kelemahan seperti yang dijelaskan di atas, pun begitu sumber ini memiliki beberapa kekuatan yang harus dimanfaatkan sebaiknya oleh pengkaji sejarah.

Isnin, 20 Februari 2023

Dapatkah Sejarah Bersifat Objektif?

Dapatkah sejarah bersifat objektif? Ini antara persoalan yang menghantui sejarawan. Persoalan ini merupakan sesuatu yang begitu sulit untuk diberikan satu jawapan yang muktamad. Setiap sejarawan mempunyai jawapan yang berbeza-beza apabila membahaskan tentang isu ini. Ada yang bersetuju bahawa sejarah itu sebagai disiplin ilmu yang dapat mencapai sifat objektif. Namun, tidak kurang juga yang tidak bersetuju atau kurang bersetuju untuk menyamakan ilmu sejarah ini seperti ilmu sains yang telah dianggap pada hari ini sebagai ilmu pasti dan praktikal sifatnya. Ada juga sejarawan yang memberi jawapan alternatif bahawa, sejarah sebagai disiplin ilmu yang memiliki sifat objektif-subjektif-relatif. Keadaan ini telah mewujudkan kumpulan sejarawan yang dipanggil sebagai golongan ‘objektivis’ dan ‘subjektivis’. Oleh itu, mereka ini berbeza-beza pendapat dan pandangan dalam menjawab isu ini. Di sini saya akan cuba untuk mewacanakan tentang isu ini, membawa pandangan sejarawan yang bersetuju dan kurang bersetuju tentang perkara ini.

            Sebelum itu, elok kiranya diterangkan dahulu sifat objektif dan subjektif yang dipakai dalam perbincangan ini. Secara mudahnya, objektif dapat diertikan sebagai sasaran, matlamat atau tujuan seseorang, kumpulan atau organisasi. Misalnya, objektif sejarawan ialah mengkaji dan menulis sesuatu peristiwa sejarah yang dianggap penting untuknya dan masyarakat di sekelilingnya. Konsep objektif di sini tidaklah menimbulkan masalah di kalangan sejarawan. Perkara yang menjadi isu ialah apabila perkataan objektif ini difahami sebagai sesuatu yang pasti, benar ataupun tepat. Sejarah yang objektif mempunyai kriteria ini, seperti ilmu sains yang diterima kebenarannya sebagai ilmu pasti. Mengulas tentang isu ini, Muhd Yusof Ibrahim (2016) menyatakan bahawa, dengan menganggap sejarah itu sebagai sains, maka kebenaran sejarah itu seperti kebenaran sains yang tepat dan tidak menimbulkan banyak kritikan yang dapat ditimbulkannya. Ishak Saat (2010) menulis  konsep objektif dalam sejarah cuba untuk mempersembahkan sejarah yang tepat dan tiada penambahan atau unsur bias. Konsep subjektif ialah sesuatu yang berdasarkan pandangan, perasaan atau cita rasa peribadi. Oleh itu, sejarah yang subjektif ialah sejarah yang bersifat seperti di atas.

            Di perenggan ini, saya akan menjelaskan sifat objektif di dalam sejarah. Seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, sejarah yang objektif ialah sejarah yang pasti atau tepat. Ini seperti yang diungkapkan oleh Leopold Von Ranke, ‘seperti sebenarnya yang berlaku’. Ranke, seorang sejarawan Jerman yang terkenal ekoran kata hikmat yang diucapkan ini. Ahli sejarah semacam dilanda kebingungan untuk memahami hasrat Ranke ini. Dapatkah kita mencapai hasratnya itu? Ini antara soalan yang perlu dijawab jika kita ingin bersetuju dengannya. Tapi bagaimana? Padanya, sejarah yang objektif dapat dicapai melalui profesionalisasi ilmu sejarah seperti ilmu sains. Ilmu sejarah perlu diangkat menjadi ilmu pengetahuan yang setanding seperti ilmu sains. Sejarawan harus mempunyai kepakaran yang mendapat dalam pelbagai aspek seperti dalam mengkritik dan menilai sumber-sumber sejarah yang ada. Jika ini dapat dicapai, sejarawan dapat membuang segala kepalsuan dan keraguan yang munasabah di dalam sumber-sumber sejarah dan mengasingkan kebenaran. Usul yang dibawanya ini sesuatu yang positif pada perkiraan saya, untuk mencapai keobjektifan dalam sejarah. Cuma, hal yang menimbulkan isu kelak ialah soal sejauh mana dapat dipersetujui tentang sifat objektif sejarah itu?

            Selanjutnya, Lord Acton antara sejarawan berbangsa Inggeris yang mendukung konsep objektiviti di dalam sejarah. Acton di dalam Ishak Saat (2010) mengatakan biarlah gambaran para sejarawan tentang sesuatu peristiwa itu sama sahaja dan memuaskan hati setiap pihak, tanpa sebarang perasaan subjektif atau sikap berat sebelah. Di sini, Acton berkeinginan untuk melihat sejarah itu bersifat objektif dan tugas ini perlu dilaksanakan oleh para sejarawan dengan sebaik mungkin. Sejarawan perlu memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang objektif tanpa wujudnya unsur berat sebelah, bias dan mempunyai kepentingan sendiri (vested interest). Jika sejarawan dapat mengekalkan sikapnya ini, sejarah yang ditulis itu nanti tidak akan dikuasai oleh sesuatu pengaruh dan prasangka. Maka, di akhirnya nanti sejarah itu seperti yang diinginkan oleh Acton, sejarah itu ditulis untuk kepentingan ilmu sejarah. Inilah yang dapat kita sifatkan sebagai sejarah yang bersifat objektif. Sebenarnya, objektiviti di dalam ilmu sejarah itu dapat dicapai seperti yang dijelaskan oleh Acton, cuma tidak dalam semua perkara. Misalnya, rakyat Malaysia yang mengetahui tarikh pembentukan Malaysia pasti bersetuju pada 16 September 1963 negara ini dibentuk, bukan pada 17 atau 18 September 1963. Ini sesuatu yang telah kita persetujui.

            Pun begitu, sifat objektiviti di dalam sejarah sesuatu yang sukar untuk dipersetujui secara muktamad oleh semua sejarawan. Hal ini disebabkan ada banyak perkara di dalam ilmu sejarah itu menimbulkan debat yang berpanjangan atau masih belum diputuskan tentang realiti atau hakikatnya yang sebenar. Perkara ini dijelaskan oleh Michael Stanford (1994) bahawa sifat subjektif sejarah dapat dikategorikan di dalam empat bentuk. Pertama, peserta, penonton atau pemerhati kejadian sejarah bakal memberi pendapat dan penceritaan yang berbeza terhadap kejadian yang sama. Kedua, penulis atau pemberitahu tentang kejadian ini akan menulis di dalam bentuk yang berlainan terhadap kejadian yang sama. Ketiga, sejarawan tidak terkecuali di dalam perkara ini dan keempat, pembaca sejarah yang mempunyai kefahaman yang berbeza-beza tentang apa yang dibacanya di dalam buku-buku sejarah. Tambahnya lagi, tidak semua penyaksi sejarah bersetuju tentang sesuatu kejadian sejarah yang dilihatnya menyebabkan kajian sejarah dijalankan secara berterusan. Sifat objektif katanya, dapat dicapai jika konsensus di antara sejarawan dapat dicapai. Sifat subjektif yang dijelaskan oleh Stanford sesuatu yang munasabah untuk diterima

             Seterusnya, sejarah itu sesuatu yang relatif atau subjektif kerana ahli sejarah tidak bersetuju di dalam banyak perkara. W.H Walsh (1967) menjelaskan ada empat sebab timbulnya sikap tidak bersetuju di kalangan sejarawan iaitu, sifat individu yang lazimnya menyukai dan tidak menyukai sesuatu perkara, sifat prejudis yang dimiliki atau tidak dimiliki, konflik yang timbul dari sudut penjelasan dan interpretasi sejarah, dan kepercayaan moral dalam diri seseorang ahli sejarah. Empat kriteria ini menyebabkan sesuatu peristiwa sejarah atau cara untuk menulis peristiwa sejarah akan berbeza-beza apabila ditulis oleh sejarawan yang berbeza. Tambahnya lagi, ahli sejarawan sudah pasti membawa set minat, nilai dan kepercayaan apabila mendekati sesuatu kajian sejarah dan menimbangkan sejarah yang mana penting atau tidak penting untuk dipilihnya. Hal ini pernah dikatakan oleh A.J.P Taylor bahawa tiada sejarawan yang dapat memulakan sesuatu pengkajian sejarah dengan minda yang kosong dan hanya menunggu untuk diisi. Ahli sejarah sudah pasti telah mempunyai tanggapan dan pandangan yang mendahului sesuatu kejadian sejarah lantaran pengaruh sosial dalam dirinya. Ini sebagai sebab yang menyebabkan objektiviti sejarah terlalu sukar untuk dicapai sepenuhnya.

            M.H Dowell (2002) turut melahirkan pandangan yang serupa tentang perkara ini. Bagi Dowell, fakta di dalam sejarah itu tidak semestinya bebas nilai dan memiliki realiti yang objektif di mana ia sama pada setiap ahli sejarawan. Pemilihan dan penyusunan data sejarah mungkin akan membawa perbezaan yang ketara dari sudut penyeluruhan dan kesimpulan dari bukti yang sama. Katanya lagi, sejarawan tidak dapat sepenuhnya bersifat objektif kerana apabila mereka menganalisis perlakuan pelaku sejarah, di sini mesti akan ada semacam elemen subjektif kerana sifat semula jadi manusia itu sungguh berbeza dan tidak serupa. Pencarian sejarah yang objektif dikekang oleh pra-tanggapan, pengetahuan dan nilai yang berpunca daripada pemerhatian dan pengalaman ahli sejarah di masa lalu. Apa yang boleh dilakukan oleh ahli sejarah ialah mencari titik persamaan di dalam sesuatu peristiwa sejarah dan juga disandarkan kepada penyaksiaan dan fakta-fakta yang sudah diketahui.

            Timbul isu jika sejarah bersifat subjektif seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, dapatkah sejarawan mengelakkan unsur bias dan berat sebelah dalam penulisan mereka? Memang tidak dapat dinafikan unsur subjektif di dalam sejarah menyebabkan wujudnya unsur bias atau berat sebelah oleh seseorang sejarawan. Ini kerana, sifat atau personaliti sejarawan yang keterlaluan atau obsesi tentang sesuatu peristiwa sejarah akan menulis dan menceritakan kejadian ini secara melampau. Sebagai contoh, sejarawan yang begitu minat dengan tokoh sejarah X, akan cuba untuk memaparkan kisah-kisah yang baik dan positif sahaja tentang tokoh tersebut, perkara di sebaliknya tidak disentuh. Atau boleh jadi adanya unsur yang sengaja diada-adakan untuk melegitimasi perbuatan dan tingkah laku tokoh tersebut. Ini sesuatu yang tidak harus berlaku di dalam sejarah meskipun unsur subjektiviti di dalam peristiwa sejarah itu sesuatu yang pasti berlaku. Sebolehnya, sejarawan perlu bersikap jujur apabila mengkaji atau menulis sesuatu peristiwa sejarah. Selain itu, unsur bias dan berat sebelah ini dapat dielakkan seandainya sejarawan tersebut dapat berfikir secara kritikal dan tidak terlalu memihak kepada sesuatu kumpulan.

Rumusannya, sejarah mempunyai sifat objektif di dalam beberapa perkara dan juga bersifat subjektif di beberapa perkara yang lain. Untuk mengakhiri wacana ini saya memetik kata-kata Louis Gottschalk ‘bahawa untuk mengkaji sesuatu itu sebagai objektif, sesuatu itu harus bersifat objek dan wujud secara bebas di dalam minda manusia. Ingatan, katanya tidak wujud di luar daripada minda manusia dan kebanyakan sejarah bergantung kepada ingatan yang tertulis atau diucapkan oleh penyaksi sejarah’.

 

Buku Dirujuk:-


Isnin, 13 Februari 2023

Sumber Sejarah: Kritikan Luaran dan Dalaman

Sejarah satu disiplin ilmu yang mengutamakan kebenaran dan kesahihan fakta. Fakta sejarah diperoleh melalui analisis dan interpretasi terhadap sumber sejarah seperti rekod bertulis, runtuhan bangunan, artifak, prasasti, candi atau tembikar. Menurut Muhd. Yusof Hashim (2016), sumber dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang boleh menjadi punca kepada sesuatu lahiran pemikiran atau penulisan. Sumber ini menjadi kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan oleh pengkaji untuk menyelidik sesuatu perkara. Oleh itu, ahli sejarah mencari dan menyelamat mana-mana sumber sejarah yang penting untuk manusia pada hari ini dan kegunaan generasi di masa akan datang. Sungguhpun begitu, untuk mencapai tahap kebenaran fakta, ahli sejarah tidak dapat lari untuk menilai sumber sejarah sama ada ia dapat dikategorikan sebagai sumber yang sah ataupun palsu. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (2009), golongan objektif dan saintifik menerima sumber empirikal untuk mencapai keyakinan dalam pengetahuan sejarah melalui proses kritikan sumber. Oleh itu, tugas mengkritik sumber sejarah dijalankan melalui dua proses iaitu kritikan luaran dan dalaman. Saya akan cuba untuk membincangkan tentang perkara ini di dalam tulisan saya kali ini.

            Sebelum itu, elok dijelaskan dahulu tujuan kritikan sumber sejarah. G.R Elton (1969) menjelaskan bahawa kritikan sumber (evidence) membawa dua tujuan iaitu untuk mewujudkan ketulenan dan keaslian sumber dan untuk mentaksir dan menilai signifikan sumber tersebut. Baginya, ahli sejarah perlu untuk membina satu bentuk penilaian yang membolehkan mereka mengenal pasti kepalsuan yang berada di dalamya. Selain itu, tujuan kritikan ini dilaksanakan adalah untuk mendapatkan sumber yang berkualiti dan dipercayai. W.H McDowell (2002) memberi pandangan bahawa semua ahli sejarah perlu mengambil kaedah yang fleksibel di dalam mentaksir dan menilai kualiti dan kepercayaan sumber dan bahan. Tambahnya lagi, nilai sesuatu sumber bergantung kepada beberapa perkara. Antaranya ialah masa yang berlalu di antara peristiwa dan ingatan tentang peristiwa tersebut. Kedua, tujuan sumber dan audien yang ditujukan. Ketiga, kedekatan di antara peristiwa dan pemerhati peristiwa tersebut. Semakin dekat pemerhati atau penyaksi sesuatu peristiwa, semakin tinggi nilainya. Keempat ialah perspektif dan kekuatan pemerhatian dan ingatan yang ada pada penyaksi tersebut. Oleh itu, kebolehpercayaan sesuatu sumber juga bergantung kepada kompetensi penulis atau penyaksi sesuatu peristiwa sejarah.

            Di dalam mengkritik sumber sejarah, perkara pertama yang dilaksanakan oleh ahli sejarah ialah mengkritik atau menilai sumber ini secara luaran. Secara umumnya, kritikan luaran ini merangkumi aktiviti menilai sumber sejarah dari sudut sifat luaran sumber tersebut. Ini termasuklah ciri-ciri sumber seperti asal-usul sumber, kandungan yang konsisten dengan fakta-fakta yang diketahui sebelumnya, bentuk rupa dokumen tersebut dan ujian kimia bagi menentusahkan keaslian dan ketulenan sumber tersebut. Ciri ini dibentangkan oleh John Tosh dalam bukunya The Pursuit of History. Pertama, tentang asal-usul (provenance), ialah berkaitan rapat dengan pengeluar sumber tersebut sama ada dapat kita jejaki semula. Tentang asal-usul, sumber sejarah dapat dijejaki melalui pengeluar sumber tersebut. Sebagai contoh, dalam konteks sejarah negara kita, pada abad ke-19, sumber-sumber sejarah tentang ekonomi, politik dan kegiatan sosial masyarakat di negara ini, dikeluarkan dan diterbitkan oleh institusi tertentu seperti Pejabat Kolonial Inggeris atau pegawai yang bertugas dan berkhidmat di Tanah Melayu, di Sabah dan Sarawak pada waktu itu. Rekod-rekod kerajaan Inggeris ada menyimpan dan memelihara sumber ini dan ada yang dapat kita rujuk sendiri di Arkib Negara Malaysia atau di arkib negeri.

 Setelah dipastikan tentang asal-usul sesuatu sumber itu, maka langkah seterusnya ialah melihat kepada konsistensi kandungan dengan fakta yang telah diketahui. Jika timbul keraguan atau kemusykilan dalam proses ini, sudah tentu sumber ini perlu dibuang dan tidak sah untuk dipakai. Dalam situasi ini, ahli sejarah tidak dapat mengelakkan tentang kepelbagaian sumber sejarah yang ada. Oleh itu, sumber sejarah perlu dinilai dengan fakta-fakta sejarah yang telah diketahui. Konsistensi di sini bermaksud, fakta yang ditulis itu selari atau tidak bercanggah dengan fakta-fakta yang lain. Langkah ketiga ialah menilai sumber ini dari aspek bentuk dan jenisnya. Ini berkait rapat dengan bentuk tulisan yang digunakan, bahasa yang dipakai dan cop yang sesuai dengan keadaan ia dikeluarkan. Ahli sejarah perlu mendapat bantuan ahli filologi dan paleografi dalam menjalankan aktiviti ini. Ini kerana, sumber atau rekod bertulis yang bahasanya ada yang tidak lagi dapat difahami dan memerlukan ahli bahasa yang pakar untuk menentukan sama ada bahasa yang digunakan ini benar dan wujud. Selain itu, bantuan ahli paleografi dapat dipakai di dalam meneliti jenis tulisan yang digunakan. Langkah yang terakhir ialah menjalankan ujian kimia untuk menentukan dan memeriksa usia bahan, dakwat serta jenis kertas.

            Setelah kritikan secara luaran disempurnakan, proses seterusnya yang dilalui oleh ahli sejarah ialah menilai sumber secara dalaman iaitu kritikan dalaman. Langkah ini melibatkan beberapa aktiviti yang penting. Menurut Arba’iyah Mohd Noor (2006), kritikan dalaman pula bertujuan untuk menentukan kemunasabahan ataupun kewarasan (kerasionalan) tentang isi kandungan sumber sejarah. Tambahnya lagi, walaupun sumber itu asli jika dilihat dari sudut kritikan luaran, tetapi jika kandungannya tidak munasabah, maka sumber itu tidak wajar untuk dijadikan sumber rujukan sejarah. Ini seperti yang dikongsikan oleh G.R Elton (1969) bahawa dalam isu ini, peraturannya sungguh mudah, jika dapat dibuktikan keaslian sumber melalui kritikan dalaman dan luaran, maka gunakan ia. Jika meragui, lupakan ia. Antara aktiviti dalam proses kritikan sumber secara dalaman ialah meneliti kebolehpercayaan (reliability) terhadap penulis sumber tersebut. Ini berkait rapat dengan siapa yang mencipta sumber ini dan sejauh mana individu ini berkelayakan untuk berbuat demikian. Arthur Marwick dalam isu ini, menggalakkan ahli sejarah untuk bertanya sejauhmana penulis sesuatu sumber itu benar-benar dapat menyediakan informasi secara langsung tentang sesuatu topik yang menjadi tumpuan dan perhatian ahli sejarah.

            Selanjutnya, kritikan dalaman melibatkan usaha ahli sejarah mengkaji dan meneliti tentang ‘bila’ dan ‘di mana’ penulis sumber itu berada. Ini bertujuan untuk menilai sama ada penulis ini menceritakan atau menzahirkan sesuatu yang benar dan sesuai dengan pengalaman yang dilaluinya. Sebagai contoh, seorang individu yang pernah terlibat dalam peristiwa Pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekitar awal tahun 1940-an, menceritakan dan menulis pengalamannya ini di sebuah buku atau diari. Keterangan yang diberikan oleh individu ini lebih sahih dan dipercayai apabila mengkaji tentang sejarah Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ini berbeza bagi individu yang tidak pernah mengalami keadaan ini dan hanya mendengar cerita daripada orang lain. Oleh itu, dua persoalan ini penting untuk diberi perhatian supaya kandungan di dalam sumber sejarah ini sesuai dengan masa dan tempatnya. Seperti yang dijelaskan oleh Arba’iyah Mohd. Noor bahawa persoalan bila sejarawan itu terlibat dan di mana beliau tinggal pada masa kejadian tersebut berlaku dirasakan cukup penting sekali kerana fakta yang diterima daripadanya akan lebih bersifat objektif dan jelas.

             Rumusannya, proses kritikan sumber sejarah merupakan peringkat yang kritikal bagi ahli sejarah. Ini kerana, kebenaran dan kesahihan sesuatu fakta itu amat bergantung kepada proses ini. Jika ini dapat disempurnakan dengan baik, maka kebenaran sesuatu kisah sejarah sukar untuk diragukan lagi. Pun begitu, saya bersetuju dengan pendapat Arthur Marwick bahawa sumber sejarah yang digunakan oleh sejarawan biasanya dijumpai dalam keadaan yang tidak lengkap, berpecah-pecah dan sukar untuk dikesan. Ini adalah satu cabaran yang perlu diatasi oleh sejarawan dalam menghasilkan tulisan-tulisan dan karangan yang berkualiti dan mempunyai kredibiliti yang tinggi.


Isnin, 6 Februari 2023

Sejarah Sebagai Satu Sains atau Bukan?

Timbul persoalan dalam kalangan ahli sejarah tentang ‘apakah sejarah dapat dianggap sebagai satu sains?’. Isu ini menimbulkan debat umum untuk menentukan sama ada ilmu sejarah ini dapat dikelaskan seperti ilmu sains yang ada pada hari ini. Ini kerana, pada hari ini ilmu sains telah banyak memberi kemudahan terhadap kehidupan manusia. Komputer, kereta, telefon pintar, mesin cetak, kapal terbang dan bermacam lagi produk yang lahir hasil daripada ilmu sains yang diusahakan oleh ahli sains. Lebih utama daripada itu ialah ilmu sains dianggap sebagai ilmu pengetahuan yang objektif dan praktikal. Ini membuatkan timbul cubaan untuk meletakkan ilmu sejarah sebagai satu sains. Paling tidak mempunyai kedudukan yang hampir sama seperti ilmu sains. Lantaran itu, ada ahli sejarah menyokong sejarah itu sebagai satu sains. Juga, ada sejarawan mempertahankan sejarah itu berdiri tanpa memerlukan sokongan dari luar. Di antara menyokong atau tidak, ada ahli sejarah bersetuju bahawa ciri-ciri sains ada pada ilmu sejarah. Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita merungkai pendapat serta pandangan mereka tentang isu ini.

            Sebelum itu, elok dijelaskan dahulu sifat ilmu sejarah dan ilmu sains sebagai suatu pengenalan. Sejarah, ilmu pengetahuan yang terbina melalui kajian sejarawan tentang peristiwa yang telah berlaku di masa lampau. Peristiwa ini tidak hanya kumpulan kejadian sahaja, tetapi melibatkan pengalaman manusia. Sejarawan tidak hanya mengetahui apa yang telah berlaku dan dialami oleh pelaku sejarah, tetapi menjelaskan sebab-akibat di dalamnya. Kajian sejarah ini dibuat melalui analisis rekod bertulis dan ilmu cari gali atau arkeologi. Sains, ilmu pengetahuan yang terbina melalui kajian ahli sains tentang fenomena alam. Ahli sains mencerap fenomena alam melalui kaedah saintifik. Penemuan ahli sains tentang hukum kejadian alam membolehkan mereka menggunakannya untuk tujuan kebaikan manusia dan alam sejagat. Ada pelbagai kategori ilmu sains seperti kimia, biologi, botani, fizik, dan zoologi. Oleh itu, ilmu sains dan ilmu sejarah mempunyai perbezaan yang ketara. Sungguhpun begitu, apakah perkara yang menyebabkan sejarah itu dianggap sebagai satu sains? Di sini saya akan cuba untuk memberi satu penjelasan mudah.

            Sejarah dianggap sebagai satu sains oleh sesetengah ahli sejarawan. Misalnya, J.B Bury seorang sejarawan Inggeris pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Sejarah itu sebagai sains tidak lebih dan tidak kurang’. Tambahnya lagi, sejarah yang ada pada hari ini tidak lagi dapat dianggap sebagai sebahagian daripada cabang sastera. Katanya, sejarah hanya dapat dianggap sebagai sains apabila ilmu sejarah mengadaptasi “developmental understanding” terhadap proses sejarah yang saling berhubungan di antara satu zaman dengan zaman yang lain sebagai kesatuan yang lebih besar termasuklah peristiwa yang sudah berlaku dan tentang masa depan . J.B Bury memberi pandangan bahawa adanya satu keperluan untuk sejarah menjadi relevan dan berguna kepada manusia hari ini, sejak manusia dapat memanfaatkan peristiwa sejarah untuk membentuk keadaan hari ini dan masa depan seandainya mereka menguasai kefahaman yang tepat di dalamnya. Objektiviti menjadi tujuan kepada sejarawan di masa akan datang yang perlu mereka capai, dia dan ahli sejarah kontemporari dapat mengumpulkan bahan sejarah untuk digunakan oleh generasi berikutnya.

            Selanjutnya Eileen Ka-May Cheng (2012) menyatakan di dalam bukunya bahawa sejarah dianggap sebagai satu sains di atas premis bahawa ilmu sejarah pada hari ini telah mengalami proses profesionalisasi. Proses ini telah meletakkan sejarah sebagai disiplin ilmu yang khusus, memerlukan latihan kepakaran dan pengetahuan yang diperoleh daripada institusi tertentu seperti ilmu sains. Ini bermakna, sejarah sebagai satu bidang yang tidak lagi hanya dapat dipelajari oleh masyarakat umum tanpa menjalani proses pemerolehan perakuan bahawa seseorang itu layak untuk dianggap sebagai sejarawan. Profesionalisasi sejarah dapat dilihat pada penghasilan jurnal-jurnal yang bertujuan untuk menerbitkan hasil penyelidikan sejarah yang telah dijalankan oleh ahli sejarah yang profesional. Melalui aktiviti penerbitan ini, ahli sejarah dapat berkongsi hasil penemuan mereka untuk digunakan oleh masyarakat atau negara untuk mencapai tujuan tertentu. Pada masa yang sama, ini menggambarkan bidang ini mempunyai standard yang dikongsi oleh ahli sejarah secara bersama. Secara ringkas, bidang sejarah telah menjadi satu pekerjaan profesional yang boleh diisi oleh mereka yang mempunyai kelayakan dan merit tertentu. Ini secara tidak langsung memerlukan ahli sejarah menumpukan masa dan tenaga mereka untuk mengembangkan lagi ilmu sejarah supaya ia benar-benar mempunyai standard yang tinggi dan diakui kepentingannya di dalam masyarakat.

            Seterusnya, sejarah dapat dianggap sebagai satu sains di dalam beberapa situasi dan konteks tertentu. Ini berkait rapat dengan sifat ilmu sejarah itu yang mempunyai persamaan yang jelas dengan ilmu sains daripada beberapa sudut. Misalnya, ilmu sejarah sebagai satu disiplin yang bertujuan untuk mencari dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Untuk mencapai tujuan ini, sejarah pada hari ini sudah mempunyai metodologinya yang tersendiri. Metod ini dipakai dan digunakan oleh ahli sejarah dalam menjalankan penyelidikan mereka. Ilmu sejarah dan sains juga tidak hanya bergerak di dalam ruang yang kosong. Ia telah wujud hampir ribuan tahun lamanya. Namun, kedua-duanya mengalami perubahan yang ketara sejak beberapa abad yang lalu. Sains dan sejarah sebagai disiplin ilmu yang memberatkan soal sumber ilmu dan kebenaran fakta serta kesahihannya. Di sini sejarah berusaha untuk mencapai sifat objektif di dalam bidang ini. Leopold Von Ranke pernah menyatakan sejarah itu seharusnya seperti sebenarnya yang berlaku. Ini menggambarkan sejarah bagi Ranke perlu bersifat objektif dan tidak bias dalam menjalankan kajian sejarah.

            Namun, ada ahli sejarah yang tidak bersetuju sejarah dianggap sebagai satu sains. Sejarah bagi mereka mempunyai sifat dan personaliti yang tersendiri dan ilmu pengetahuan yang sungguh berbeza daripada ilmu sains dalam banyak perkara. Arthur Marwick (1989) seorang sejarawan Inggeris di dalam bukunya The Nature of History memaparkan sepuluh sebab bahawa sejarah tidak seperti sains. Perkara yang paling utama ialah, subjek kajian di mana sains mengambil berat tentang fenomena alam sedangkan sejarah berkaitan dengan manusia dan masyarakat manusia yang telah lalu. Subjek kajian ini memberi satu garis pemisah yang ketara di antara ilmu sains dan ilmu sejarah. Sejarah tidak dapat seperti sains, begitu juga sains tidak dapat seperti sejarah. W.H Walsh (1967) turut mempunyai pandangan yang sama. Beliau mengutarakan bahawa cara yang terbaik untuk menjawab persoalan ini ialah dengan bertanya tentang perkara yang dicari oleh ahli sejarah dan penemuan yang diharapkan daripada pencarian ini. Tambahnya lagi, sains semula jadi secara mudahnya dianggap sebagai ilmu yang mengkaji persekitaran manusia, dan mereka bergantung kepada deria-pengamatan untuk mengumpul data mereka.

            Selain itu, Arthur Marwick memberitahu bahawa sejarawan tidak menjalankan kajian mereka di dalam bilik yang terkawal seperti yang dibuat oleh ahli sains. Meskipun ada disebut sebelum ini ada persamaan di antara matlamat sejarah dan sains iaitu untuk mencari ilmu pengetahuan, namun, di sini kajian sejarah tidak dapat dijalankan di dalam makmal sains. Ini kerana ahli sejarah menjalankan kajian mereka melalui penggunaan sumber bertulis yang kebanyakannya terletak di Arkib sebagai pusat simpanan dokumen lampau. Ahli sains mentadbir kajian mereka di dalam makmal yang dilengkapi peralatan seperti tiub kaca yang dapat dikawal dan ditentukan bahan ujian serta kuantitinya. Malah, ilmu sains ditadbir melalui hukum alam seperti hukum graviti, di mana mereka boleh menggunakan hukum alam ini untuk memanfaatkannya dalam kajian mereka. Sejarah tidak seperti itu, di mana ahli sejarah tidak dapat memberikan hukum seperti yang diberikan oleh ahli sains. Malah, ahli sains dapat mengulangi semula eksperimen yang mereka jalankan, tetapi, sejarah tidak dapat diperhatikan seperti itu kerana penyaksi sejarah tidak lagi hidup di muka bumi. Ini seperti yang diulas oleh Passmore:

 

“Ahli saintis menghadapi dunia di dalam keadaan yang jelas dan tampak, sedangkan ahli sejarah melihat sejarah selalunya melalui penyaksian dan keterangan orang lain”

 

            Seterusnya, kata Arthur Marwick, sains dapat memberi kegunaannya secara langsung kepada manusia, sejarah tidak mempunyai sifat itu. Apa yang cuba disampaikan oleh beliau ialah, ilmu sains pada hari ini dapat menawarkan sesuatu secara terus kepada manusia yang dapat dilihat melalui produk-produk sains seperti kereta yang memudahkan perjalanan manusia bergerak daripada satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Sejarah tidak seperti itu, di mana kegunaan sejarah tidak dapat dilihat secara langsung dan terang-terangan. Kebergunaan sejarah itu hanya dapat dirasai secara implisit. Ia boleh berlaku secara eksplisit, tetapi hanya di dalam situasi tertentu sahaja seperti sambutan hari kebangsaan dan hari Malaysia. Pada hari tersebut, rakyat Malaysia secara tiba-tiba mempunyai kesedaran dan bangkitan nasionalisme tinggi terhadap negara Malaysia yang disayangi. Namun, ini tidak bermakna sejarah itu sebagai ilmu yang tidak berguna atau bermanfaat, cuma peranan dan tanggungjawabnya tidak dapat kita samakan seperti ilmu sains.

            Selain itu, sifat objektif di dalam sejarah sukar untuk dicapai dalam kalangan sejarawan. Untuk menyahut cadangan Ranke di atas, sejarah seperti sebenarnya berlaku merupakan bukan tugas yang mudah. Sungguhpun begitu, cadangan ini pada saya merupakan tujuan akhir di dalam kajian sejarah. Ahli sejarawan sebolehnya mencapai sifat objektif di dalam penulisan mereka. Sejarah itu ditulis sebagaimana ia berlaku. Pun begitu, ahli sejarah sulit untuk tidak meletakkan sifat subjektif dalam penulisan mereka. Ini kerana, di dalam penulisan sejarah, ahli sejarah secara tidak langsung membuat pengadilan moral tentang peristiwa-peristiwa yang membuatkan diri mereka rasa perlu dilakukan sebegitu. Tidak seperti ahli sains, mereka dapat untuk bersikap neutral dalam kajian mereka. Sebagai contoh, dalam bidang kimia, ahli sains hanya mencampurkan dua jenis sebatian untuk mencapai satu bentuk sebatian yang baru. Ini tidak melibatkan soal pengadilan moral. Pun begitu, ahli sains sebenarnya mempunyai peranan dan obligasi yang cukup besar terhadap hasil kajian mereka untuk dipelihara dan digunakan secara baik dan menurut etika. Seandainya ini dibiarkan, pasti sains akan merosakkan kehidupan manusia.

            Selanjutnya Trevelyn di dalam A.L Rowse (1946) pernah memberitahu bahawa di dalam sejarah, kehidupan seseorang manusia tidak akan memberitahu anda tentang sejarah kehidupan manusia lainnya. Tidak seperti sains katanya, bahawa sifat atom itu akan tetap menunjukkan cirinya pada tempat dan keadaan yang lain. Sebagai contoh, bahan kimia seperti asid tetap memiliki sifatnya sebagai asid di mana pun ia berada. Di sini, ahli sejarah tidak seperti sains kerana ahli sejarah mempunyai perbezaan yang ketara dari sudut pemahaman tentang makna kata. Sebagai contoh, perkataan seperti keadilan, demokrasi, perjuangan, monarki atau diktator mempunyai makna yang berbeza di dalam sesuatu masyarakat dan di dalam period tertentu. Oleh itu, ilmu sejarah itu bersifat subjektif dan relatif. W.H McDowell (2002) turut menjelaskan bahawa menjadi satu falasi seandainya ahli sejarah mempercayai bahawa adanya sumber sejarah yang banyak yang tersedia bagi mana-mana subjek, dan ahli sejarah hanya mencarinya untuk menjalankan kajian mereka. Di sini, sejarah tidak seperti sains di mana sumber sejarah terkadang terhad untuk dirujuk. Malah, sumber yang ada tidak dapat menjelaskan keseluruhan masa lalu. Ini masih bersandarkan kepada penyaksian manusia di masa lalu.

            Oleh itu, sejarah dan sains mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Pada saya, kita tidak boleh untuk meletakkan sejarah itu sepenuhnya seperti sains. Ini kerana ilmu sejarah itu berdepan dengan keadaan yang tidak sama seperti ahli sains. Pun begitu, kita dapat melihat bahawa wujud ciri-ciri saintifik di dalam ilmu sejarah. Ini sesuatu yang positif bagi ilmu sejarah kerana nilai-nilai saintifik ini membuatkan ilmu sejarah itu tidak hanya bidang pengetahuan yang kosong dan tidak bermakna. Sejarah mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri dan saya kira fungsi ini sungguh penting di dalam kehidupan manusia (rujuk tulisan saya 10 Sebab Sejarah Harus Dipelajari). Saya bersetuju dengan kenyataan Arthur Marwick bahawa beliau tidak bersetuju sejarah itu tidak berguna berbanding ilmu sains, meskipun kajian sains telah menghasilkan sesuatu yang berguna, sedangkan sejarah tidak dapat berbuat seperti itu. Ada banyak perkara yang membuatkan sejarah itu satu badan pengetahuan yang berdiri di atas kakinya sendiri. Seperti kata R.G Collingwood (1964), sejarah mempunyai kriteria tersendiri, ia tidak bergantung kepada pengesahan daripada sesuatu di luar ilmu sejarah, ia memiliki autonomi tersendiri serta prinsip dan metod.

Rumusannya, sejarah sebagai satu sains tidak dapat dijawab melalui jawapan ‘Ya’ atau ‘Tidak’ kerana ia persoalan yang sukar untuk diletakkan di dalam keadaan yang sedemikian. Malah, ia bergantung kepada konteks dan keadaan di mana ia diperhatikan.

Isnin, 30 Januari 2023

Pengadilan Moral dalam Sejarah

Sejarah ialah tentang peristiwa yang telah berlaku di masa lampau. Peristiwa ini menjadi bahan kajian bagi ahli sejarah untuk merekonstruksi semula kejadian ini seperti sebenarnya ia berlaku. Ahli sejarah iaitu sejarawan akan sentiasa menggunakan kepakaran dimiliki bagi menghasilkan sejarah yang objektif dan benar. Namun, usaha ini menimbulkan beberapa kesulitan yang harus ditangani dengan bijak dan berhemah. Misalnya, dalam soal pengadilan moral dalam sejarah, ahli sejarah memberi pandangan yang berbeza. Ada yang menyokong sikap ini dan ada yang tidak bersetuju atas alasan-alasan tertentu. Perbezaan pendapat ini menunjukkan sejarah itu bersifat unik dan tidak hanya dikuasai oleh satu pandangan individu sahaja. Sungguhpun begitu pengadilan moral ini perlu diteliti baik buruknya kepada disiplin sejarah dan penggunanya. Oleh itu, saya akan cuba untuk mewacanakan isu ini berdasarkan pandangan sejarawan dan juga perspektif saya sendiri.

            Sebelum isu ini dibentangkan secara luas, eloklah difahami terlebih dahulu maksud pengadilan moral. Ini penting supaya jelas dan objektif definisi pengadilan moral yang dipakai di sini. Menurut Adrian Oldfield di dalam Ishak Saat, pernyataan moral khususnya pengadilan moral biasanya dibuat melalui bahasa yang memberi petunjuk benar atau salah. Tambahnya lagi, karakter moral yang disebut tadi iaitu benar atau salah merujuk kepada perbezaan standard yang diberi nama baik dan jahat. Qasim Ahmad (2004) menjelaskan pengadilan moral sebagai perlakuan menjatuhkan hukuman ataupun mengenakan penilaian tertentu terhadap sesuatu peristiwa sejarah, dan/atau kepada seseorang pelaku sejarah. Di sini, pengadilan moral dibuat oleh ahli sejarah terhadap pelaku sejarah sama ada perlakuan itu sesuatu dianggap baik atau jahat berdasarkan standard yang dipersetujui bersama. Sejarawan berperanan menjadi seorang hakim untuk melaksanakan hukuman seperti yang dijelaskan oleh Qasim Ahmad.

            Dalam perbahasan melibatkan pengadilan moral ini, ada dua kumpulan iaitu satu kumpulan menyokong dan satu lagi menolak atau tidak menyokong. Ini berdasarkan kepada alasan atau pandangan mereka tentang isu ini. Kumpulan yang pertama, iaitu ahli sejarah yang menyokong pengadilan moral memberi hujah bahawa ahli sejarah tidak akan membebaskan diri daripada menjatuhkan hukuman moral ke atas kajian dan penulis yang ditulisnya, kata Ishak Saat (2000). Yang dimaksudkan sebagai “tidak akan membebaskan diri” ialah ahli sejarah sebagai seorang manusia mempunyai pegangan atau prinsip moral yang diamalkan dalam dirinya. Apabila menjalankan kajian, ahli sejarah membaca kejadian-kejadian dalam sejarah yang membuatkan dirinya rasa seronok, gembira, sedih, marah atau kecewa. Malah, ahli sejarah dididik oleh persekitaran sosial dan pengalaman hidup yang membentuk watak dan sikapnya.

            Muhd Yusof Ibrahim mengulas isu ini memberitahu bahawa kemampuan untuk berbuat demikian (iaitu pengadilan moral) terletak pula kepada pengaruh dan pandangannya yang diterima dari masyarakatnya, pelajarannya, pengalamannya serta juga pemikirannya. Semua ini merupakan unsur-unsur yang menjadi tenaga pengaruh dalam penulisnya. Manusia melalui proses sosialisasi membentuk perangai dan sifat peribadi serta menerima pelajaran moral sama ada diperoleh daripada ahli keluarga, institusi sosial dan pengaruh agama. Ahli sejarah sebagai manusia sosial tidak terkecuali untuk menyentuh soal pengadilan moral di akhir sesuatu kajiannya apabila berdepan dengan kejadian yang membangkitkan emosinya. Qasim Ahmad di dalam bukunya Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan menggunakan kes Nazi di Jerman sebagai contoh untuk mengulas soal pengadilan moral. Sejarah Nazi di Jerman merupakan contoh yang baik untuk menggambarkan bagaimana tindakan pemimpin mereka iaitu Hitler telah melakukan banyak kerosakan kepada manusia

            Di dalam masyarakat kita pada hari ini, kita percaya kepada sistem undang-undang. Di dalam sistem ini, hakim atau juri mempunyai pelbagai interpretasi terhadap kes-kes yang cuba untuk diselesaikannya. Sebelum membuat sesuatu keputusan untuk menjatuhkan hukuman, juri atau hakim perlu mempunyai bukti yang munasabah dan tidak diragui kebenarannya. Ahli sejarah dapat disifatkan sebagai seorang hakim ketika menjalankan penyelidikannya. Di sini, sejarawan cuba untuk mendapatkan bukti dan sumber yang benar, melakukan interpretasi dan menilai tentang sesuatu peristiwa atau kejadian sejarah. Ada banyak peristiwa sejarah yang sukar bagi ahli sejarah untuk bersikap neutral atau memilih untuk mengerjakan sejarah hanya untuk kepentingan ilmu sejarah itu sendiri. Misalnya, peristiwa 16 Mei 1969 dianggap sebagai rusuhan kaum yang terburuk dalam sejarah negara kita membuatkan kita cuba untuk berusaha mengelakkan peristiwa seperti ini berulang kembali. Ini kerana, kita meletakkan nilai moral apabila membaca dan memahami peristiwa ini.

            Seterusnya, pihak yang kedua yang tidak menyokong pengadilan moral memberi hujah bahawa tindakan ini tidak sesuai untuk ahli sejarah. Peristiwa sejarah mempunyai autonominya yang tersendiri iaitu ia berlaku di satu masa yang sungguh berlainan dengan hari ini. Tugas ahli sejarah hanya untuk membina semula sejarah seperti sebenarnya ia berlaku. Qasim Ahmad menjelaskan bahawa terdapat mereka yang mengatakan tindakan pengadilan moral itu tidak patut dilakukan kerana di antara pengkaji (sejarawan) dengan pelaku sejarah atau masyarakat yang sedang dikajinya itu mungkin terdapat sistem yang berlainan. Ini bermaksud, nilai-nilai moral yang diamalkan oleh pelaku sejarah pada zaman dulu tidak boleh disamakan dengan nilai moral yang pada hari ini. Peristiwa sejarah perlu dinilai berdasarkan konteksnya yang tersendiri. Cubaan untuk mengubah keadaan sejarah menurut pengkajinya akan mengubah kebenaran sejarah itu. Misalnya, sistem hamba zaman dahulu, iaitu zaman sebelum dan selepas kerajaan Melayu Melaka membenarkan tindakan ini. Ini kerana, hamba menjadi lambang kekayaan dan kemegahan si pemiliknya.

            Selain itu, Herbert Butterfield seorang sejarawan Inggeris menyifatkan pengadilan moral tidak dianggap penting apabila menyelidik dan menyiasat peristiwa sejarah kerana ahli sejarah tidak mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melihat sesuatu peristiwa itu daripada sudut hati pelaku sejarah. Ini bermaksud, niat atau motif sesuatu tindakan pelaku sejarah itu adalah sesuatu yang sukar untuk difahami oleh ahli sejarah kerana ia mungkin berbeza dengan apa yang difahami pada hari ini. Malah, nilai baik atau buruk itu sesuatu yang relatif mengikut peredaran zaman. Manusia memilih nilai moral yang mengikut situasi dan keadaan yang sedang dialaminya dan pengaruh persekitaran pada waktu itu. Sebagai contoh, sistem perhambaan seperti yang disebut sebelumnya adalah sesuatu yang baik dan dibenarkan di dalam masyarakat pada zaman dahulu.

            Pada pandangan peribadi saya, pengadilan moral harus dilakukan oleh ahli sejarah. Ia sesuatu tindakan yang membawa kebaikan dengan syarat tindakan ini dilaksanakan secara berhati-hati dan teliti. Ini bermaksud, ahli sejarah tidak sesuka hati meletakkan sesuatu itu baik atau buruk secara keterlaluan dan bersikap prejudis tanpa menimbangkan pelbagai perkara. Ini seperti yang dijelaskan oleh March Bloch bahawa apabila keghairahan (passion) diadun dengan sikap prejudis, realiti manusia bakal menjadi gambar hitam dan putih. Malah, sikap ahli sejarah meminggirkan pengadilan akan membawa kepada kehilangan rasa untuk penjelasan dan kefahaman sesuatu kejadian sejarah.  Peristiwa sejarah yang dikaji oleh sejarawan bertujuan untuk mendapatkan kefahaman yang bakal disampaikan kepada orang ramai. Ahli sejarah tidak dapat untuk bebas emosi atau bersikap neutral sepenuhnya kerana sifat ini telah ada dalam diri manusia dalam apa jua keadaan.

            Selain itu, jika kita memilih untuk meletakkan sejarah hanya untuk kepentingan ilmu sejarah itu dan mengabaikan soal pengadilan moral, mungkin kita tidak dapat memanfaatkan ilmu sejarah untuk mengajar tentang nilai-nilai moral kepada masyarakat atau di sekolah dan di universiti. Malah, sejarah tanpa pengadilan moral yang sewajarnya tidak dapat digunakan untuk tujuan kebaikan manusia. Ini kerana, begitu banyak kisah sejarah yang memaparkan soal nilai moral yang baik dan buruk. Saya percaya, sejarah dapat membantu manusia untuk memberi satu garis panduan tentang tingkah laku yang perlu diikuti dan perlu ditinggalkan. Oleh itu, dari segi kegunaan sejarah untuk mengajar melalui contoh-contohnya akan sukar diaplikasikan.

            Bagi menjalankan tugas pengadilan moral ini, kemoralan sejagat perlu difahami dan diketahui dengan sebaiknya. Ini kerana, di dalam dunia ini wujud nilai moral yang sejagat dan diterima oleh hampir oleh semua manusia. Misalnya, perbuatan membunuh manusia lain tanpa sebab yang munasabah adalah sesuatu yang melanggar hak asasi manusia untuk hidup. Namun, ini perlu dijalankan secara teliti dan melalui sumber-sumber sejarah yang sahih. Mohd. Janib Johari (2000) menjelaskan kemoralan sejagat sebagai jenis moral yang dapat membawa kebahagiaan kepada semua orang mematuhinya. Ia merupakan satu peraturan umum yang ditentukan dan dapat diterima oleh masyarakat sejagat. Ahli sejarah juga perlu mempunyai luas pengetahuan tentang konsep moral yang wujud pada hari ini. Ini kerana nilai-nilai moral bagi setiap bangsa di dunia ini mempunyai perbezaan. Dengan ini, ahli sejarah tidak menjatuhkan hukuman moral tanpa memahami konteks pelaku sejarah dan nilai moral yang mereka amalkan. Namun, ini tugas yang cukup sulit dan mencabar. Oleh itu, pengadilan moral tidak sepatutnya diketepikan dalam pengkajian sejarah. Tetapi, tindakan pengadilan moral ini perlu dilaksanakan secara berhati-hati.

            Kesimpulannya, pengadilan moral adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan oleh pengkaji sejarah. Namun, pengadilan moral yang keterlaluan bakal membawa kesan yang buruk kepada bidang sejarah. 

Isnin, 23 Januari 2023

10 Sebab Sejarah Harus Dipelajari

Sejarah telah menjadi mata pelajaran wajib untuk dipelajari di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Di peringkat universiti, subjek sejarah dibuka kepada calon yang layak dan berminat untuk mempelajari bidang ini. Pun begitu, subjek sejarah diajar secara tidak langsung kepada pelajar universiti melalui beberapa kursus seperti Kenegaraan, Hubungan Etnik atau TITAS sebagai syarat untuk bergraduasi. Kita perlu bersetuju bahawa sejarah adalah ilmu pengetahuan yang perlu dimiliki oleh setiap warganegara Malaysia pada hari ini. Ini kerana, sejarah memberi banyak manfaat dan faedah kepada kita semua. Kalau ia diabaikan atau dilupakan, saya yakin generasi akan datang akan lupa siapa diri mereka yang sebenarnya. Pun begitu, ada beberapa sebab mengapa sejarah harus dipelajari. Di sini, saya akan cuba untuk membincangkan 10 sebab Sejarah ini harus dipelajari oleh kita semua.

 

1.     Untuk Mengenal Asal Usul / Identiti Diri

Saya tertarik dengan kata-kata R.G Collingwood iaitu ‘History is  for human self-knowledge’. Sejarah ini ditulis untuk manusia mengetahui tentang dirinya sendiri. Tambahnya lagi, melalui sejarah manusia dapat dua hal yang penting iaitu dapat mengetahui siapa dirinya, lalu apa ciri yang membezakan dirinya dengan orang lain. Kedua, dia dapat mengetahui fitrah manusia itu sendiri dan apa yang sudah manusia telah lakukan sebelum ini. Jika direnungi, sejarah sentiasa meminta kita melihat kembali kepada sesuatu yang sudah berlaku untuk mencari asal usul atau identiti kita sendiri. Sebagai contoh, di Malaysia ada pelbagai etnik dan bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau, Murut, Iban dan Dayak. Masing-masing memiliki asal usul yang tersendiri dan salasilah ini menjadi kebanggaan yang harus diraih. Ini hanya dapat diketahui melalui sejarah bangsa masing-masing. Tambahan lagi, ini bagi mengelakkan identiti bangsa kita daripada terhapus dan dilupakan disebabkan peredaran masa dan waktu.

 

2.     Untuk Menambah Ilmu Pengetahuan

Sejarah dapat menambah ilmu pengetahuan manusia pada hari ini. Walaupun sejarah itu dianggap usang atau lapuk oleh sesetengah orang, namun di dalam disiplin ilmu sejarah itu membekalkan ilmu yang bernilai apabila dituntut dan dipelajari. Jika kita mempelajari sejarah sesuatu bangsa atau tamadun, secara tidak langsung kita akan dapat meningkatkan pengetahuan kita tentang perkara-perkara yang belum kita ketahui. Sebagai contoh, melalui pembelajaran sejarah Jepun Moden, kita dapat mengetahui tentang usaha yang dilakukan oleh Maharaja Meiji untuk mengembalikan semula kegemilangan negara Jepun. Maharaja Meiji telah menghantar rakyatnya ke luar negara untuk mempelajari teknologi daripada Barat dan menggunakan ilmu itu untuk kepentingan negara Jepun. Dalam Sejarah Malaysia, Parameswara telah membuka dan mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka pada awal abad ke-15 sehingga menjadi sebuah kerajaan Melayu yang unggul sehingga abad ke-16. Kejayaan Melaka ini didorong oleh pelbagai faktor seperti kewibawaan dan kepimpinan Parameswara itu.

 

Selain itu, John Tosh menjelaskan Sejarah menawarkan sesuatu – meskipun tidak lengkap tetapi sangat diperlukan – apabila kita memasukinya akan dapat menjumpai pengalaman yang agak mustahil untuk kita sendiri mengalaminya. Melalui pembacaan pengalaman orang terdahulu kita dapat mengetahui sesuatu yang mungkin kita belum alami lagi.

 

3.     Untuk Mengambil Iktibar dan Pengajaran

Di sekolah dahulu, jika anda pernah membaca buku tentang cerita Sang Kancil dan Buaya, pasti anda mengakui bahawa di dalam kisah ini ada pengajaran atau ibrah yang dapat kita ambil tentang sikap Sang Kancil dan Buaya. Ini kisah yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Namun, sejarah mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyampaikan pengajaran kepada manusia. Seorang sarjana dari Barat iaitu Dionysuis pernah memberitahu bahawa sejarah ialah falsafah yang mengajar melalui contoh-contohnya. Ada banyak kisah-kisah sejarah yang dapat kita ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Dalam Sejarah Malaysia, satu peristiwa yang berlaku pada 31 Ogos 1957, membuatkan rakyat di Tanah Melayu khususnya, akhirnya bebas dan merdeka daripada penjajahan asing. Ini penting untuk diingati kerana pasti ramai nenek moyang kita yang sudah berkorban tenaga dan jiwa mempertahankan negara ini untuk mencapai kemerdekaan. Jika pengorbanan ini disia-siakan, mungkin ramai yang tidak begitu menghargai tanah air ini, iaitu Malaysia.

 

Malah, melalui sejarah kita akan dapat mengetahui bahawa manusia akan sentiasa berusaha untuk belajar daripada kesilapan mereka dan kejayaan yang sudah mereka perolehi.

 

4.     Untuk Membina Kemahiran Berfikir

Sejarah sentiasa mengajak kita untuk berfikir dan terus berfikir. Di setiap peristiwa sejarah ada pelbagai sebab dan akibat yang mendorong sesuatu itu berlaku. Untuk menjawab persoalan seperti ini, kita harus menjalankan aktiviti menyelidik dan menyiasat melalui sumber sejarah yang sahih dan asli. Jika ini dilaksanakan, secara tidak langsung mengasah budaya berfikir dalam diri seseorang itu. W.H McDowell memberitahu belajar sejarah akan membantu kita membina pertanyaan yang aktif, mempromosi penggunaan pemikiran kritikal dalam mengurus dan menilai pelbagai sumber dan bahan, dan mempersembahkannya dalam bentuk bertulis. Melalui penyelidikan sejarah yang dilalui, kemahiran berfikir aras tinggi dapat dicapai kerana di sini pelajar sejarah akan cuba untuk menyelesaikan masalah, mendapatkan sumber, memilih bahan-bahan yang sahih, dan memberi jawapan yang benar lagi dipercayai.

 

Saya percaya, ahli sejarah atau pembaca sejarah pasti mempunyai semacam sikap “sceptism” dan “criticism” yang membuatkan mereka sentiasa menilai sesuatu yang disampaikan dan mencari tahu siapa yang menyampaikannya untuk meneliti kebenarannya. Lalu, tidak hanya menerima sesuatu perkara itu tanpa usul dan sumber yang boleh dipercayai.

 

5.     Untuk Membentuk Sikap dan Nilai

Melalui peristiwa sejarah yang disampaikan oleh sejarawan sama ada dalam bentuk bertulis, lisan, video atau gambar, kita dapat mengembangkan sikap dan nilai yang perlu dan tidak perlu untuk diikuti. Misalnya, dalam sejarah Islam ada pelbagai kisah para sahabat yang perlu untuk kita ketahui dan ikuti. Hatta, Nabi Muhammad sendiri merupakan manusia yang mempunyai sikap dan peribadi yang unggul dan sempurna. Nabi Muhammad telah membina sebuah masyarakat Islam di Madinah melalui sikap yang terpuji. Pernah satu ketika Baginda SAW menyelesaikan masalah peletakan semula Hajar Aswad oleh para kabilah yang mendakwa lebih utama melakukan hal ini. Nabi Muhammad SAW telah meletakkan kain dan setiap ketua kabilah memegang kain tersebut dan menyimpan semula Hajar Aswad secara bersama. Dengan ini masalah dapat diselesaikan dengan cara bekerjasama tanpa sebarang pertelingkahan dan pergaduhan. Melalui kisah-kisah seperti ini dapat membentuk sikap dan nilai yang terpuji dan perlu menjadi amalan dalam hidup kita.

6.     Untuk Pendidikan Masyarakat

Sejarah sejak dulu diakui dapat mendidik masyarakat. Sejarah menghimpunkan kisah-kisah yang dapat mendidik masyarakat daripada mengulangi sesuatu kesilapan yang sama daripada berulang. Jika kita menoleh semula kisah Si Tanggang yang durhaka kepada ibunya menyebabkan dirinya telah bertukar menjadi sebuah batu. Kisah ini pernah difilemkan dan ditayangkan untuk mendidik masyarakat supaya setiap orang anak itu patuh dan taat pada kedua ibu bapanya. Sejarah pun begitu, ada banyak peristiwa yang seakan serupa dengan kisah si Tanggang itu tadi. Pada tahun 1941, Perang Dunia Kedua meletus, dan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah ditawan oleh Jepun dalam waktu yang sangat singkat. Pendudukan Jepun membuatkan masyarakat hidup menderita dan ketakutan. Siapa sangka, Jepun telah berjaya menguasai wilayah ini melalui propaganda palsu dan meyakinkan. Slogan Asia untuk Asia membuatkan rakyat percaya bahawa Jepun akan menjadi penyelamat daripada penjajahan Barat. Namun yang berlaku sebaliknya. Jika direnungi secara mendalam, peristiwa ini dapat mendidik masyarakat supaya berhati-hati dengan propaganda yang cuba mempengaruhi pemikiran kita.

 

Selain itu, sejarah dapat mengingatkan kita bahawa biasanya ada banyak cara untuk kita mentafsir sesuatu keadaan atau bergerak balas terhadap sesuatu situasi, dan ada banyak pilihan yang terbuka untuk kita daripada yang kita sangkakan.

 

7.     Untuk Memelihara Identiti

Identiti di sini dimaksudkan sebagai maruah atau harga diri. Sejarah perlu dipelajari supaya identiti diri tidak dicemari atau dirosakkan oleh bangsa lain yang iri hati atau ingin menghapuskan identiti kita daripada muka bumi ini. Ada banyak kisah dalam sejarah di mana sesuatu bangsa cuba untuk menindas bangsa yang lain. Lihat di Selatan Thailand atau Deep South apabila kerajaan Thailand cuba untuk menghapuskan sejarah, identiti dan budaya orang Melayu di sana, khususnya di Patani. Larangan untuk memakai songkok, kain sarung, baju Melayu atau cara pakai Melayu merupakan tindakan untuk menghapuskan budaya orang Melayu di sana. Oleh itu, sejarah perlu dipelajari agar identiti bangsa Malaysia yang ada pada hari ini dapat dipelihara dan dikekalkan untuk generasi kemudiannya. Peristiwa penjajahan tidak perlu berlaku lagi. Jika ini terjadi, sudah pasti bangsa Malaysia ini ditindas sekali lagi dan identiti mereka dipesongkan oleh penjajah yang bermotifkan mengubah identiti kita, termasuk budaya, bahasa, adat resam dan kepercayaan.

 

8.     Untuk Perpaduan dan Semangat Cintakan Akan Negara

Untuk hidup harmoni dan bersatu, masyarakat yang menduduki negara ini perlu belajar sejarah atau dari sejarah. Paling dekat dengan kita ialah peristiwa 16 Mei 1969, apabila nilai perpaduan antara kaum diambang keruntuhan. Ia satu peristiwa yang pahit untuk diingati. Di Kuala Lumpur berlaku kerosakan harta benda, nyawa tergadai, ekonomi terganggu dan lebih utama hilangnya sikap percaya antara bangsa Melayu dan Cina. Tunku Abdul Rahman ketika itu sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama menzahirkan rasa dukacita melihat peristiwa ini berlaku. Untuk mengelakkan kejadian ini berulang lagi, rakyat di negara ini perlu bersatu padu dan memupuk semangat cinta akan negara. Jika tidak, negara kita bakal berdepan dengan satu lagi peristiwa hitam yang membawa kesan buruk dan negatif. Melalui sejarah kita dapat mengenali bangsa-bangsa yang lain seperti Melayu, Cina, India dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Masing-masing mempunyai keunikan yang tersendiri. Oleh itu, sejarah mengajar kita untuk bersatu dan cinta pada negara.

 

9.     Untuk Mencintai Ilmu

Sejarah dapat mengajar kita untuk mencintai ilmu pengetahuan. Melalui pembelajaran sejarah dan menggunakan disiplin ilmu sejarah itu, (walaupun tidak ada jaminan) manusia dapat memperoleh nilai yang berharga yang selalu disebut oleh ahli falsafah sebagai “Kebenaran”, “Hikmat”, “Kearifan” dan “Kebijaksanaan”. Sejarah begitu memberatkan penggunaan sumber yang sahih dan benar. Ahli sejarah akan sentiasa menyoal dan bertanya tentang kebenaran sesuatu kisah sejarah yang ada. Sejarah tidak menerima sesuatu yang ditulis secara khayalan atau mimpi semata-mata. Manusia sejarah sering membuat penilaian di antara sesuatu yang baik dan yang buruk di dalam hubungan manusia. Malah, sejarah menawarkan kepada pembaca bahawa di dalam sejarah hidup manusia, perancangan manusia tidak sentiasa berjalan seperti mana yang diharapkan, dan keputusan selari dengan apa yang sudah diniatkan. Salah satu tabiat yang dapat ditanamkan jika kita mempelajari sejarah ialah kita akan suka untuk membaca dan mencari tahu. Melalui pembacaan ini, kita akan berfikir dan menimbang di antara perkara-perkara yang benar atau yang salah.

 

10.  Untuk Memberi Sumber Inspirasi dan Model Teladan

Sejarah tidak hanya berkisar tentang peristiwa yang sudah berlaku. Dalam sejarah, ada beberapa kumpulan manusia yang hebat dan berpengaruh. Sehingga ke hari ini pengaruh mereka kekal subur di dalam kehidupan kita. Jika kita rajin membaca buku-buku yang menceritakan tentang seorang tokoh, kita dapat menyelami sikap dan personaliti mereka yang dapat memberi sumber inspirasi dan contoh teladan. Saya yakin anda semua kenal dengan Hang Tuah yang begitu taat kepada rajanya. Hang Tuah ialah seorang manusia sejarah yang begitu dikagumi sifat dan perwatakannya yang kuat, gah, perkasa, taat, patuh, dan setia. Begitu juga dengan manusia sejarah iaitu Tun Perak, seorang laksamana Melayu yang memainkan peranan meluaskan pengaruh Kerajaan Melayu Melaka. Di alam Melayu ini, tokoh-tokoh atau pejuang-pejuang kemerdekaan telah banyak dilahirkan untuk menentang penjajahan. Pasti anda ingat peristiwa di Sungai Siput, seorang residen mati dibunuh oleh pembesar Melayu kerana sikapnya yang tidak menghormati budaya dan resam orang Melayu. Di dalam sejarah ada banyak tokoh-tokoh yang berjasa dan dapat memberi sumber inspirasi kepada kita semua pada hari ini.

 

Ringkasnya, mempelajari sejarah tidaklah menjadi satu kerugian. Ada pelbagai kebaikan dan faedah yang dapat kita ambil dan amalkan. Tun Sri Lanang berpesan dalam Sejarah Melayu, “hatta berolehlah mereka faedah” daripada Sejarah Melayu ini untuk anak cucu kemudian daripada mereka. George Santayana berkata “siapa yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya semula”.

 

Sekian, Terima Kasih. 

Isnin, 16 Januari 2023

Penulisan Sejarah: Peranan dan Fungsi Sumber Kedua/Sekunder

Sumber pertama, yang sudah dibincangkan di dalam artikel sebelum ini merupakan bahan yang  sungguh penting untuk menulis sejarah. Melalui penggunaan sumber pertama, sejarawan dapat menghasilkan satu tafsiran terhadap peristiwa sejarah. Ada banyak jenis sumber pertama, dan penggunaannya adalah diwajibkan untuk merekonstruksi semula peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di masa lampau. Maklumat yang diperoleh melalui sumber ini, bersama tafsiran dan ulasan sejarawan dikeluarkan dalam bentuk tulisan seperti artikel dalam jurnal, makalah, majalah atau buku. Bahan seperti ini dianggap sebagai sumber sekunder atau kedua di dalam penulisan sejarah. Ini kerana, bahan ini diproses melalui sumber yang diperoleh daripada sumber pertama yang digunakan oleh ahli sejarah. Proses yang dimaksudkan di sini ialah aktiviti atau kegiatan penyelidikan yang dilakukan oleh sejarawan untuk menjawab persoalan dipilih sebelum menjalankan kajiannya. Di tulisan kali ini, saya akan cuba untuk mewacanakan tentang sumber kedua atau “Secondary Sources” ini dari sudut fungsi, peranan dan juga tujuannya.

            Apakah sumber kedua? Menurut Muhd. Yusof Hashim (2016), sumber kedua ialah kajian-kajian ataupun penulisan yang dilaksanakan oleh seseorang mahupun kumpulan tentang sesuatu peristiwa, tokoh dan sebagainya. Tambahnya lagi, sumber ini boleh difahami sebagai tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan malahan andaian yang dibuat oleh seseorang pengkaji terhadap perkara-perkara yang dikajinya dengan bersandarkan sumber pertama yang berkaitan. Ishak Saat (2010) menjelaskan bahawa sumber kedua atau sekunder terdiri daripada bahan atau dokumen yang dikaji melalui pembacaan bertulis atau maklumat yang telah dicatatkan di tempat lain. Selain itu, sumber ini ialah sesuatu bahan yang telah diolah, dicetak, disebarkan serta ditafsirkan kepada umum. Di sini, sumber kedua dapat diringkaskan sebagai hasil daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh sejarawan, berpandukan kepada sumber pertama yang dirujuk dan digunakan. Perbezaan di antara dua sumber ini ialah, sumber kedua telah melalui proses tafsiran, pemberian makna, atau analisis oleh penulisnya atau sejarawan bagi membentuk semula kisah-kisah sejarah.

            W.H McDowel (2002) menyatakan definisinya tentang sumber sekunder ini sebagai sumber bertulis yang dibuat oleh sejarawan, di mana individu ini tidak menghadirkan dirinya ketika sesuatu kejadian atau peristiwa itu berlaku. Menurutnya lagi, kewujudan sumber pertama tidak akan dapat menambah atau melebarkan pengetahuan kita tentang sejarah jika ahli sejarah tidak meneliti dan memeriksa sumber pertama, dan melaluinya kita dapat membuat satu penyeluruhan dan kesimpulan tentang peristiwa sejarah bersama sumber pertama. Aktiviti ini yang menghasilkan sumber kedua. Namun tujuan utama ahli sejarah ialah membina semula peristiwa sejarah yang benar dan sahih. Pembinaan sumber kedua adalah hubungan yang tidak langsung dalam menyiapkan sesuatu penyelidikan bidang sejarah.

            Selain itu, perlu diakui bahawa peristiwa sejarah telah lama berlaku dan tidak akan berlaku sama seperti mana kejadian asalnya, cuma akan ada pola-pola persamaan sesuatu peristiwa sejarah dengan peristiwa masa kini. Ahli sejarah tidak mungkin dapat menghadirkan dirinya ke sesuatu kejadian lampau dan semua manusia pun begitu. Yang ditinggalkan oleh sesuatu kejadian sejarah ialah rekod-rekod bertulis yang masih kekal. Rekod ini yang dapat dikategorikan sebagai sumber pertama dipakai oleh ahli sejarawan untuk membolehkan mereka menulis semula peristiwa yang telah lama berlaku. Jadinya, hasil tulisan-tulisan yang bergantung kepada sumber pertama ini akan membentuk sumber kedua. Ini kerana, ahli sejarawan tidak menyaksikan bagaimana sesuatu kejadian yang sudah lama berlalu. Misalnya, penubuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 1399/1400, ahli sejarah pada masa kini tidak boleh ‘rewind’ semula peristiwa ini. Oleh itu penyaksian mereka melalui sumber pertama (testimoni yang dapat dianggap sezaman) yang ada dianggap sebagai sumber kedua.

            Peranan dan fungsi sumber kedua kepada pengkaji sejarah ialah untuk memberi idea dan inspirasi tentang sejarah yang sudah dikaji oleh ahli sejarawan yang terdahulu. Melalui buku misalnya, ahli sejarah dapat menemukan maklumat atau informasi tentang sesuatu kejadian yang telah berlaku. Ada banyak kategori pengkajian sejarah seperti sejarah ekonomi, politik dan kerajaan, sosial, agama dan kepercayaan, pendidikan dan pelbagai lagi. Juga, buku-buku sejarah yang sudah ditulis dapat dimasukkan di dalam kategori ini. Sebagai contoh, sejarah peperangan di Tanah Melayu pada abad ke-19 sehingga abad ke-20, ada banyak buku yang boleh dibaca dan dirujuk. Buku-buku ini menyediakan satu panduan jika dikumpulkan dan dianalisis setiap maklumat yang disediakan di dalamnya. Seterusnya, pengkaji sejarah dapat menyedari bahagian-bahagian yang sudah diterokai dan masih belum dikaji. Bahagian yang masih misteri, memerlukan kajian dan memberi idea terhadap permasalahan yang perlu diselesaikan. Ini juga bertujuan untuk mengelakkan pengkaji sejarah berada di dalam zon selesa tanpa membuat sorotan terhadap kajian sejarah yang sudah dibuat pada sebelumnya.

            Namun, dalam memilih sumber kedua untuk sesuatu kajian sejarah, pengkaji sejarah perlu menetapkan standard tentang jenis sumber kedua yang ada. Maksud standard di sini ialah kepelbagaian sumber kedua yang ada, maka akan wujud pelbagai jenis kualiti tentangnya. Pengkaji sejarah perlu mencari beberapa buah buku sebagai pembacaan awal bagi mendapatkan gambaran kajian yang bakal dibuat. Sebagai contoh, ada banyak buku yang ditulis tentang sejarah Melaka, namun ada di antaranya hanya memberi huraian dan analisis yang sedikit sahaja. Dan ada buku yang mengulas dengan terperinci tentang sejarah Melaka. Oleh itu, ciri buku (sumber kedua) yang perlu diteliti dahulu sebelum dibaca ialah dari segi penulisnya, topik-topik yang dibincangkan, tahun buku diterbitkan, jumlah halaman atau ketebalan buku tersebut, bibliografi dan senarai rujukan yang disertakan dan juga rumusan atau kesimpulan yang diberikan oleh penulis buku tersebut. Ini kerana, buku yang berkualiti dapat memberi maklumat yang berkualiti yang bakal menjamin kualiti kajian jika digunakan dengan teliti dan berhati-hati.

            Sebelum itu, sumber kedua yang tersedia untuk pembacaan pengkaji ini harus dikuasai oleh pengkaji sejarah. Mereka harus secara minimum membaca dan merujuk pelbagai jenis sumber kedua. Dan ini sebagai syarat untuk menyediakan satu kajian sejarah yang baik dan menambah lagi pengetahuan sejarah. Jika ini tidak dilakukan, manfaat yang dipunyai oleh sumber kedua ini akan hilang dan pengkaji sejarah tidak dapat mendalami sesuatu bidang itu secara meluas dan menyeluruh. Tidak mustahil akan ada bahagian yang tertinggal dan terlupa untuk dimasukkan oleh pengkaji sejarah. Pada masa yang sama, sumber-sumber pertama harus dicari dan ditemui, baik yang sudah diketahui umum atau yang masih belum terbongkar. Sebagai contoh, sejarah tentang Hang Tuah menimbulkan debat umum tentang identiti dan kewujudannya dalam kalangan pencinta sejarah di negara ini. Antara yang menarik ialah penulisan yang dilakukan oleh Prof. Ahmat Adam tentang Hang Tuah dan penggunaan Hikayat Hang Tuah versi Krusenstern yang baru dijumpai dan tidak pernah disebut di dalam wacana sejarah Hang Tuah sebelumnya.

            Fungsi sumber kedua yang seterusnya ialah untuk menambah dan mengisi ruang-ruang kosong tentang sejarah sesuatu bangsa atau negara. Secara umumnya, di sini hasil kajian yang dijalankan oleh pengkaji sejarah dapat digunakan oleh masyarakat secara meluas, baik di sekolah, di universiti atau di peringkat nasional. Tanpa disedari, buku-buku sejarah yang dirujuk oleh pembaca di perpustakaan dikategorikan sebagai sumber sekunder. Ini hubungan yang tidak langsung di antara sumber kedua dengan pembaca umum. Buku-buku yang ditulis oleh ahli sejarawan yang ditemui di perpustakaan misalnya digunakan oleh mereka untuk memahami peristiwa sejarah. Bukan itu sahaja, untuk tujuan yang meluas, buku bersifat sejarah ini dapat menyelamatkan identiti bangsa atau negara di masa sekarang dan di masa akan datang. Namun, penggunaan sumber kedua di dalam konteks ini bersifat minimum kerana wujud perbezaan keperluan di antara pengkaji sejarah dan pembaca bahan sejarah.

            Yang terakhir ingin dibincangkan di sini ialah berkenaan jenis-jenis sumber kedua yang ada di dalam disiplin ilmu sejarah. Antaranya ialah buku-buku yang telah diterbitkan dan dijual di pasaran. Hari ini, banyak penerbit yang mempromosikan buku seperti ini. Sebagai contoh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Publication Sdn. Bhd, Fajar Bakti adalah antara penerbit buku yang besar di Malaysia. Selain itu, ada hasil-hasil kajian diterbitkan di dalam bentuk artikel dan dikumpulkan di dalam sebuah jurnal. Jurnal ini memuatkan pelbagai artikel dan ditulis oleh beberapa orang penulis secara perseorangan atau berkumpulan. Di peringkat universiti juga ada banyak jurnal yang dikeluarkan saban tahun yang membawakan dapatan-dapatan terkini. Bentuk yang lain ialah seperti disertasi, atau kajian penyelidikan pelajar di universiti dapat dikategorikan sebagai sumber kedua. Ini kerana, penyelidikan mereka bersandarkan kepada sumber pertama yang diperolehi daripada arkib dan sumber kedua lain seperti buku yang ada di perpustakaan.

            Kesimpulannya, sumber sekunder merupakan sumber yang dihasilkan oleh ahli sejarawan dalam pelbagai jenis dan bentuk. Sumber ini sungguh penting kepada pengkaji sejarah bagi menerokai peristiwa sejarah yang sudah ataupun yang masih belum dikaji.


Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...