Sebelum itu, elok dijelaskan dahulu sifat ilmu sejarah dan ilmu sains sebagai suatu pengenalan. Sejarah, ilmu pengetahuan yang terbina melalui kajian sejarawan tentang peristiwa yang telah berlaku di masa lampau. Peristiwa ini tidak hanya kumpulan kejadian sahaja, tetapi melibatkan pengalaman manusia. Sejarawan tidak hanya mengetahui apa yang telah berlaku dan dialami oleh pelaku sejarah, tetapi menjelaskan sebab-akibat di dalamnya. Kajian sejarah ini dibuat melalui analisis rekod bertulis dan ilmu cari gali atau arkeologi. Sains, ilmu pengetahuan yang terbina melalui kajian ahli sains tentang fenomena alam. Ahli sains mencerap fenomena alam melalui kaedah saintifik. Penemuan ahli sains tentang hukum kejadian alam membolehkan mereka menggunakannya untuk tujuan kebaikan manusia dan alam sejagat. Ada pelbagai kategori ilmu sains seperti kimia, biologi, botani, fizik, dan zoologi. Oleh itu, ilmu sains dan ilmu sejarah mempunyai perbezaan yang ketara. Sungguhpun begitu, apakah perkara yang menyebabkan sejarah itu dianggap sebagai satu sains? Di sini saya akan cuba untuk memberi satu penjelasan mudah.
Sejarah dianggap sebagai satu sains oleh sesetengah ahli sejarawan. Misalnya, J.B Bury seorang sejarawan Inggeris pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Sejarah itu sebagai sains tidak lebih dan tidak kurang’. Tambahnya lagi, sejarah yang ada pada hari ini tidak lagi dapat dianggap sebagai sebahagian daripada cabang sastera. Katanya, sejarah hanya dapat dianggap sebagai sains apabila ilmu sejarah mengadaptasi “developmental understanding” terhadap proses sejarah yang saling berhubungan di antara satu zaman dengan zaman yang lain sebagai kesatuan yang lebih besar termasuklah peristiwa yang sudah berlaku dan tentang masa depan . J.B Bury memberi pandangan bahawa adanya satu keperluan untuk sejarah menjadi relevan dan berguna kepada manusia hari ini, sejak manusia dapat memanfaatkan peristiwa sejarah untuk membentuk keadaan hari ini dan masa depan seandainya mereka menguasai kefahaman yang tepat di dalamnya. Objektiviti menjadi tujuan kepada sejarawan di masa akan datang yang perlu mereka capai, dia dan ahli sejarah kontemporari dapat mengumpulkan bahan sejarah untuk digunakan oleh generasi berikutnya.
Selanjutnya Eileen Ka-May Cheng (2012) menyatakan di dalam bukunya bahawa sejarah dianggap sebagai satu sains di atas premis bahawa ilmu sejarah pada hari ini telah mengalami proses profesionalisasi. Proses ini telah meletakkan sejarah sebagai disiplin ilmu yang khusus, memerlukan latihan kepakaran dan pengetahuan yang diperoleh daripada institusi tertentu seperti ilmu sains. Ini bermakna, sejarah sebagai satu bidang yang tidak lagi hanya dapat dipelajari oleh masyarakat umum tanpa menjalani proses pemerolehan perakuan bahawa seseorang itu layak untuk dianggap sebagai sejarawan. Profesionalisasi sejarah dapat dilihat pada penghasilan jurnal-jurnal yang bertujuan untuk menerbitkan hasil penyelidikan sejarah yang telah dijalankan oleh ahli sejarah yang profesional. Melalui aktiviti penerbitan ini, ahli sejarah dapat berkongsi hasil penemuan mereka untuk digunakan oleh masyarakat atau negara untuk mencapai tujuan tertentu. Pada masa yang sama, ini menggambarkan bidang ini mempunyai standard yang dikongsi oleh ahli sejarah secara bersama. Secara ringkas, bidang sejarah telah menjadi satu pekerjaan profesional yang boleh diisi oleh mereka yang mempunyai kelayakan dan merit tertentu. Ini secara tidak langsung memerlukan ahli sejarah menumpukan masa dan tenaga mereka untuk mengembangkan lagi ilmu sejarah supaya ia benar-benar mempunyai standard yang tinggi dan diakui kepentingannya di dalam masyarakat.
Seterusnya, sejarah dapat dianggap sebagai satu sains di dalam beberapa situasi dan konteks tertentu. Ini berkait rapat dengan sifat ilmu sejarah itu yang mempunyai persamaan yang jelas dengan ilmu sains daripada beberapa sudut. Misalnya, ilmu sejarah sebagai satu disiplin yang bertujuan untuk mencari dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Untuk mencapai tujuan ini, sejarah pada hari ini sudah mempunyai metodologinya yang tersendiri. Metod ini dipakai dan digunakan oleh ahli sejarah dalam menjalankan penyelidikan mereka. Ilmu sejarah dan sains juga tidak hanya bergerak di dalam ruang yang kosong. Ia telah wujud hampir ribuan tahun lamanya. Namun, kedua-duanya mengalami perubahan yang ketara sejak beberapa abad yang lalu. Sains dan sejarah sebagai disiplin ilmu yang memberatkan soal sumber ilmu dan kebenaran fakta serta kesahihannya. Di sini sejarah berusaha untuk mencapai sifat objektif di dalam bidang ini. Leopold Von Ranke pernah menyatakan sejarah itu seharusnya seperti sebenarnya yang berlaku. Ini menggambarkan sejarah bagi Ranke perlu bersifat objektif dan tidak bias dalam menjalankan kajian sejarah.
Namun, ada ahli sejarah yang tidak bersetuju sejarah dianggap sebagai satu sains. Sejarah bagi mereka mempunyai sifat dan personaliti yang tersendiri dan ilmu pengetahuan yang sungguh berbeza daripada ilmu sains dalam banyak perkara. Arthur Marwick (1989) seorang sejarawan Inggeris di dalam bukunya The Nature of History memaparkan sepuluh sebab bahawa sejarah tidak seperti sains. Perkara yang paling utama ialah, subjek kajian di mana sains mengambil berat tentang fenomena alam sedangkan sejarah berkaitan dengan manusia dan masyarakat manusia yang telah lalu. Subjek kajian ini memberi satu garis pemisah yang ketara di antara ilmu sains dan ilmu sejarah. Sejarah tidak dapat seperti sains, begitu juga sains tidak dapat seperti sejarah. W.H Walsh (1967) turut mempunyai pandangan yang sama. Beliau mengutarakan bahawa cara yang terbaik untuk menjawab persoalan ini ialah dengan bertanya tentang perkara yang dicari oleh ahli sejarah dan penemuan yang diharapkan daripada pencarian ini. Tambahnya lagi, sains semula jadi secara mudahnya dianggap sebagai ilmu yang mengkaji persekitaran manusia, dan mereka bergantung kepada deria-pengamatan untuk mengumpul data mereka.
Selain itu, Arthur Marwick memberitahu bahawa sejarawan tidak menjalankan kajian mereka di dalam bilik yang terkawal seperti yang dibuat oleh ahli sains. Meskipun ada disebut sebelum ini ada persamaan di antara matlamat sejarah dan sains iaitu untuk mencari ilmu pengetahuan, namun, di sini kajian sejarah tidak dapat dijalankan di dalam makmal sains. Ini kerana ahli sejarah menjalankan kajian mereka melalui penggunaan sumber bertulis yang kebanyakannya terletak di Arkib sebagai pusat simpanan dokumen lampau. Ahli sains mentadbir kajian mereka di dalam makmal yang dilengkapi peralatan seperti tiub kaca yang dapat dikawal dan ditentukan bahan ujian serta kuantitinya. Malah, ilmu sains ditadbir melalui hukum alam seperti hukum graviti, di mana mereka boleh menggunakan hukum alam ini untuk memanfaatkannya dalam kajian mereka. Sejarah tidak seperti itu, di mana ahli sejarah tidak dapat memberikan hukum seperti yang diberikan oleh ahli sains. Malah, ahli sains dapat mengulangi semula eksperimen yang mereka jalankan, tetapi, sejarah tidak dapat diperhatikan seperti itu kerana penyaksi sejarah tidak lagi hidup di muka bumi. Ini seperti yang diulas oleh Passmore:
“Ahli saintis menghadapi dunia di dalam keadaan yang jelas dan tampak, sedangkan ahli sejarah melihat sejarah selalunya melalui penyaksian dan keterangan orang lain”
Seterusnya, kata Arthur Marwick, sains dapat memberi kegunaannya secara langsung kepada manusia, sejarah tidak mempunyai sifat itu. Apa yang cuba disampaikan oleh beliau ialah, ilmu sains pada hari ini dapat menawarkan sesuatu secara terus kepada manusia yang dapat dilihat melalui produk-produk sains seperti kereta yang memudahkan perjalanan manusia bergerak daripada satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Sejarah tidak seperti itu, di mana kegunaan sejarah tidak dapat dilihat secara langsung dan terang-terangan. Kebergunaan sejarah itu hanya dapat dirasai secara implisit. Ia boleh berlaku secara eksplisit, tetapi hanya di dalam situasi tertentu sahaja seperti sambutan hari kebangsaan dan hari Malaysia. Pada hari tersebut, rakyat Malaysia secara tiba-tiba mempunyai kesedaran dan bangkitan nasionalisme tinggi terhadap negara Malaysia yang disayangi. Namun, ini tidak bermakna sejarah itu sebagai ilmu yang tidak berguna atau bermanfaat, cuma peranan dan tanggungjawabnya tidak dapat kita samakan seperti ilmu sains.
Selain itu, sifat objektif di dalam sejarah sukar untuk dicapai dalam kalangan sejarawan. Untuk menyahut cadangan Ranke di atas, sejarah seperti sebenarnya berlaku merupakan bukan tugas yang mudah. Sungguhpun begitu, cadangan ini pada saya merupakan tujuan akhir di dalam kajian sejarah. Ahli sejarawan sebolehnya mencapai sifat objektif di dalam penulisan mereka. Sejarah itu ditulis sebagaimana ia berlaku. Pun begitu, ahli sejarah sulit untuk tidak meletakkan sifat subjektif dalam penulisan mereka. Ini kerana, di dalam penulisan sejarah, ahli sejarah secara tidak langsung membuat pengadilan moral tentang peristiwa-peristiwa yang membuatkan diri mereka rasa perlu dilakukan sebegitu. Tidak seperti ahli sains, mereka dapat untuk bersikap neutral dalam kajian mereka. Sebagai contoh, dalam bidang kimia, ahli sains hanya mencampurkan dua jenis sebatian untuk mencapai satu bentuk sebatian yang baru. Ini tidak melibatkan soal pengadilan moral. Pun begitu, ahli sains sebenarnya mempunyai peranan dan obligasi yang cukup besar terhadap hasil kajian mereka untuk dipelihara dan digunakan secara baik dan menurut etika. Seandainya ini dibiarkan, pasti sains akan merosakkan kehidupan manusia.
Selanjutnya Trevelyn di dalam A.L Rowse (1946) pernah memberitahu bahawa di dalam sejarah, kehidupan seseorang manusia tidak akan memberitahu anda tentang sejarah kehidupan manusia lainnya. Tidak seperti sains katanya, bahawa sifat atom itu akan tetap menunjukkan cirinya pada tempat dan keadaan yang lain. Sebagai contoh, bahan kimia seperti asid tetap memiliki sifatnya sebagai asid di mana pun ia berada. Di sini, ahli sejarah tidak seperti sains kerana ahli sejarah mempunyai perbezaan yang ketara dari sudut pemahaman tentang makna kata. Sebagai contoh, perkataan seperti keadilan, demokrasi, perjuangan, monarki atau diktator mempunyai makna yang berbeza di dalam sesuatu masyarakat dan di dalam period tertentu. Oleh itu, ilmu sejarah itu bersifat subjektif dan relatif. W.H McDowell (2002) turut menjelaskan bahawa menjadi satu falasi seandainya ahli sejarah mempercayai bahawa adanya sumber sejarah yang banyak yang tersedia bagi mana-mana subjek, dan ahli sejarah hanya mencarinya untuk menjalankan kajian mereka. Di sini, sejarah tidak seperti sains di mana sumber sejarah terkadang terhad untuk dirujuk. Malah, sumber yang ada tidak dapat menjelaskan keseluruhan masa lalu. Ini masih bersandarkan kepada penyaksian manusia di masa lalu.
Oleh itu, sejarah dan sains mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Pada saya, kita tidak boleh untuk meletakkan sejarah itu sepenuhnya seperti sains. Ini kerana ilmu sejarah itu berdepan dengan keadaan yang tidak sama seperti ahli sains. Pun begitu, kita dapat melihat bahawa wujud ciri-ciri saintifik di dalam ilmu sejarah. Ini sesuatu yang positif bagi ilmu sejarah kerana nilai-nilai saintifik ini membuatkan ilmu sejarah itu tidak hanya bidang pengetahuan yang kosong dan tidak bermakna. Sejarah mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri dan saya kira fungsi ini sungguh penting di dalam kehidupan manusia (rujuk tulisan saya 10 Sebab Sejarah Harus Dipelajari). Saya bersetuju dengan kenyataan Arthur Marwick bahawa beliau tidak bersetuju sejarah itu tidak berguna berbanding ilmu sains, meskipun kajian sains telah menghasilkan sesuatu yang berguna, sedangkan sejarah tidak dapat berbuat seperti itu. Ada banyak perkara yang membuatkan sejarah itu satu badan pengetahuan yang berdiri di atas kakinya sendiri. Seperti kata R.G Collingwood (1964), sejarah mempunyai kriteria tersendiri, ia tidak bergantung kepada pengesahan daripada sesuatu di luar ilmu sejarah, ia memiliki autonomi tersendiri serta prinsip dan metod.
Rumusannya, sejarah sebagai satu sains tidak dapat dijawab melalui jawapan ‘Ya’ atau ‘Tidak’ kerana ia persoalan yang sukar untuk diletakkan di dalam keadaan yang sedemikian. Malah, ia bergantung kepada konteks dan keadaan di mana ia diperhatikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan