Isnin, 16 Januari 2023

Penulisan Sejarah: Peranan dan Fungsi Sumber Kedua/Sekunder

Sumber pertama, yang sudah dibincangkan di dalam artikel sebelum ini merupakan bahan yang  sungguh penting untuk menulis sejarah. Melalui penggunaan sumber pertama, sejarawan dapat menghasilkan satu tafsiran terhadap peristiwa sejarah. Ada banyak jenis sumber pertama, dan penggunaannya adalah diwajibkan untuk merekonstruksi semula peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di masa lampau. Maklumat yang diperoleh melalui sumber ini, bersama tafsiran dan ulasan sejarawan dikeluarkan dalam bentuk tulisan seperti artikel dalam jurnal, makalah, majalah atau buku. Bahan seperti ini dianggap sebagai sumber sekunder atau kedua di dalam penulisan sejarah. Ini kerana, bahan ini diproses melalui sumber yang diperoleh daripada sumber pertama yang digunakan oleh ahli sejarah. Proses yang dimaksudkan di sini ialah aktiviti atau kegiatan penyelidikan yang dilakukan oleh sejarawan untuk menjawab persoalan dipilih sebelum menjalankan kajiannya. Di tulisan kali ini, saya akan cuba untuk mewacanakan tentang sumber kedua atau “Secondary Sources” ini dari sudut fungsi, peranan dan juga tujuannya.

            Apakah sumber kedua? Menurut Muhd. Yusof Hashim (2016), sumber kedua ialah kajian-kajian ataupun penulisan yang dilaksanakan oleh seseorang mahupun kumpulan tentang sesuatu peristiwa, tokoh dan sebagainya. Tambahnya lagi, sumber ini boleh difahami sebagai tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan malahan andaian yang dibuat oleh seseorang pengkaji terhadap perkara-perkara yang dikajinya dengan bersandarkan sumber pertama yang berkaitan. Ishak Saat (2010) menjelaskan bahawa sumber kedua atau sekunder terdiri daripada bahan atau dokumen yang dikaji melalui pembacaan bertulis atau maklumat yang telah dicatatkan di tempat lain. Selain itu, sumber ini ialah sesuatu bahan yang telah diolah, dicetak, disebarkan serta ditafsirkan kepada umum. Di sini, sumber kedua dapat diringkaskan sebagai hasil daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh sejarawan, berpandukan kepada sumber pertama yang dirujuk dan digunakan. Perbezaan di antara dua sumber ini ialah, sumber kedua telah melalui proses tafsiran, pemberian makna, atau analisis oleh penulisnya atau sejarawan bagi membentuk semula kisah-kisah sejarah.

            W.H McDowel (2002) menyatakan definisinya tentang sumber sekunder ini sebagai sumber bertulis yang dibuat oleh sejarawan, di mana individu ini tidak menghadirkan dirinya ketika sesuatu kejadian atau peristiwa itu berlaku. Menurutnya lagi, kewujudan sumber pertama tidak akan dapat menambah atau melebarkan pengetahuan kita tentang sejarah jika ahli sejarah tidak meneliti dan memeriksa sumber pertama, dan melaluinya kita dapat membuat satu penyeluruhan dan kesimpulan tentang peristiwa sejarah bersama sumber pertama. Aktiviti ini yang menghasilkan sumber kedua. Namun tujuan utama ahli sejarah ialah membina semula peristiwa sejarah yang benar dan sahih. Pembinaan sumber kedua adalah hubungan yang tidak langsung dalam menyiapkan sesuatu penyelidikan bidang sejarah.

            Selain itu, perlu diakui bahawa peristiwa sejarah telah lama berlaku dan tidak akan berlaku sama seperti mana kejadian asalnya, cuma akan ada pola-pola persamaan sesuatu peristiwa sejarah dengan peristiwa masa kini. Ahli sejarah tidak mungkin dapat menghadirkan dirinya ke sesuatu kejadian lampau dan semua manusia pun begitu. Yang ditinggalkan oleh sesuatu kejadian sejarah ialah rekod-rekod bertulis yang masih kekal. Rekod ini yang dapat dikategorikan sebagai sumber pertama dipakai oleh ahli sejarawan untuk membolehkan mereka menulis semula peristiwa yang telah lama berlaku. Jadinya, hasil tulisan-tulisan yang bergantung kepada sumber pertama ini akan membentuk sumber kedua. Ini kerana, ahli sejarawan tidak menyaksikan bagaimana sesuatu kejadian yang sudah lama berlalu. Misalnya, penubuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 1399/1400, ahli sejarah pada masa kini tidak boleh ‘rewind’ semula peristiwa ini. Oleh itu penyaksian mereka melalui sumber pertama (testimoni yang dapat dianggap sezaman) yang ada dianggap sebagai sumber kedua.

            Peranan dan fungsi sumber kedua kepada pengkaji sejarah ialah untuk memberi idea dan inspirasi tentang sejarah yang sudah dikaji oleh ahli sejarawan yang terdahulu. Melalui buku misalnya, ahli sejarah dapat menemukan maklumat atau informasi tentang sesuatu kejadian yang telah berlaku. Ada banyak kategori pengkajian sejarah seperti sejarah ekonomi, politik dan kerajaan, sosial, agama dan kepercayaan, pendidikan dan pelbagai lagi. Juga, buku-buku sejarah yang sudah ditulis dapat dimasukkan di dalam kategori ini. Sebagai contoh, sejarah peperangan di Tanah Melayu pada abad ke-19 sehingga abad ke-20, ada banyak buku yang boleh dibaca dan dirujuk. Buku-buku ini menyediakan satu panduan jika dikumpulkan dan dianalisis setiap maklumat yang disediakan di dalamnya. Seterusnya, pengkaji sejarah dapat menyedari bahagian-bahagian yang sudah diterokai dan masih belum dikaji. Bahagian yang masih misteri, memerlukan kajian dan memberi idea terhadap permasalahan yang perlu diselesaikan. Ini juga bertujuan untuk mengelakkan pengkaji sejarah berada di dalam zon selesa tanpa membuat sorotan terhadap kajian sejarah yang sudah dibuat pada sebelumnya.

            Namun, dalam memilih sumber kedua untuk sesuatu kajian sejarah, pengkaji sejarah perlu menetapkan standard tentang jenis sumber kedua yang ada. Maksud standard di sini ialah kepelbagaian sumber kedua yang ada, maka akan wujud pelbagai jenis kualiti tentangnya. Pengkaji sejarah perlu mencari beberapa buah buku sebagai pembacaan awal bagi mendapatkan gambaran kajian yang bakal dibuat. Sebagai contoh, ada banyak buku yang ditulis tentang sejarah Melaka, namun ada di antaranya hanya memberi huraian dan analisis yang sedikit sahaja. Dan ada buku yang mengulas dengan terperinci tentang sejarah Melaka. Oleh itu, ciri buku (sumber kedua) yang perlu diteliti dahulu sebelum dibaca ialah dari segi penulisnya, topik-topik yang dibincangkan, tahun buku diterbitkan, jumlah halaman atau ketebalan buku tersebut, bibliografi dan senarai rujukan yang disertakan dan juga rumusan atau kesimpulan yang diberikan oleh penulis buku tersebut. Ini kerana, buku yang berkualiti dapat memberi maklumat yang berkualiti yang bakal menjamin kualiti kajian jika digunakan dengan teliti dan berhati-hati.

            Sebelum itu, sumber kedua yang tersedia untuk pembacaan pengkaji ini harus dikuasai oleh pengkaji sejarah. Mereka harus secara minimum membaca dan merujuk pelbagai jenis sumber kedua. Dan ini sebagai syarat untuk menyediakan satu kajian sejarah yang baik dan menambah lagi pengetahuan sejarah. Jika ini tidak dilakukan, manfaat yang dipunyai oleh sumber kedua ini akan hilang dan pengkaji sejarah tidak dapat mendalami sesuatu bidang itu secara meluas dan menyeluruh. Tidak mustahil akan ada bahagian yang tertinggal dan terlupa untuk dimasukkan oleh pengkaji sejarah. Pada masa yang sama, sumber-sumber pertama harus dicari dan ditemui, baik yang sudah diketahui umum atau yang masih belum terbongkar. Sebagai contoh, sejarah tentang Hang Tuah menimbulkan debat umum tentang identiti dan kewujudannya dalam kalangan pencinta sejarah di negara ini. Antara yang menarik ialah penulisan yang dilakukan oleh Prof. Ahmat Adam tentang Hang Tuah dan penggunaan Hikayat Hang Tuah versi Krusenstern yang baru dijumpai dan tidak pernah disebut di dalam wacana sejarah Hang Tuah sebelumnya.

            Fungsi sumber kedua yang seterusnya ialah untuk menambah dan mengisi ruang-ruang kosong tentang sejarah sesuatu bangsa atau negara. Secara umumnya, di sini hasil kajian yang dijalankan oleh pengkaji sejarah dapat digunakan oleh masyarakat secara meluas, baik di sekolah, di universiti atau di peringkat nasional. Tanpa disedari, buku-buku sejarah yang dirujuk oleh pembaca di perpustakaan dikategorikan sebagai sumber sekunder. Ini hubungan yang tidak langsung di antara sumber kedua dengan pembaca umum. Buku-buku yang ditulis oleh ahli sejarawan yang ditemui di perpustakaan misalnya digunakan oleh mereka untuk memahami peristiwa sejarah. Bukan itu sahaja, untuk tujuan yang meluas, buku bersifat sejarah ini dapat menyelamatkan identiti bangsa atau negara di masa sekarang dan di masa akan datang. Namun, penggunaan sumber kedua di dalam konteks ini bersifat minimum kerana wujud perbezaan keperluan di antara pengkaji sejarah dan pembaca bahan sejarah.

            Yang terakhir ingin dibincangkan di sini ialah berkenaan jenis-jenis sumber kedua yang ada di dalam disiplin ilmu sejarah. Antaranya ialah buku-buku yang telah diterbitkan dan dijual di pasaran. Hari ini, banyak penerbit yang mempromosikan buku seperti ini. Sebagai contoh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Publication Sdn. Bhd, Fajar Bakti adalah antara penerbit buku yang besar di Malaysia. Selain itu, ada hasil-hasil kajian diterbitkan di dalam bentuk artikel dan dikumpulkan di dalam sebuah jurnal. Jurnal ini memuatkan pelbagai artikel dan ditulis oleh beberapa orang penulis secara perseorangan atau berkumpulan. Di peringkat universiti juga ada banyak jurnal yang dikeluarkan saban tahun yang membawakan dapatan-dapatan terkini. Bentuk yang lain ialah seperti disertasi, atau kajian penyelidikan pelajar di universiti dapat dikategorikan sebagai sumber kedua. Ini kerana, penyelidikan mereka bersandarkan kepada sumber pertama yang diperolehi daripada arkib dan sumber kedua lain seperti buku yang ada di perpustakaan.

            Kesimpulannya, sumber sekunder merupakan sumber yang dihasilkan oleh ahli sejarawan dalam pelbagai jenis dan bentuk. Sumber ini sungguh penting kepada pengkaji sejarah bagi menerokai peristiwa sejarah yang sudah ataupun yang masih belum dikaji.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...