Isnin, 23 Januari 2023

10 Sebab Sejarah Harus Dipelajari

Sejarah telah menjadi mata pelajaran wajib untuk dipelajari di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Di peringkat universiti, subjek sejarah dibuka kepada calon yang layak dan berminat untuk mempelajari bidang ini. Pun begitu, subjek sejarah diajar secara tidak langsung kepada pelajar universiti melalui beberapa kursus seperti Kenegaraan, Hubungan Etnik atau TITAS sebagai syarat untuk bergraduasi. Kita perlu bersetuju bahawa sejarah adalah ilmu pengetahuan yang perlu dimiliki oleh setiap warganegara Malaysia pada hari ini. Ini kerana, sejarah memberi banyak manfaat dan faedah kepada kita semua. Kalau ia diabaikan atau dilupakan, saya yakin generasi akan datang akan lupa siapa diri mereka yang sebenarnya. Pun begitu, ada beberapa sebab mengapa sejarah harus dipelajari. Di sini, saya akan cuba untuk membincangkan 10 sebab Sejarah ini harus dipelajari oleh kita semua.

 

1.     Untuk Mengenal Asal Usul / Identiti Diri

Saya tertarik dengan kata-kata R.G Collingwood iaitu ‘History is  for human self-knowledge’. Sejarah ini ditulis untuk manusia mengetahui tentang dirinya sendiri. Tambahnya lagi, melalui sejarah manusia dapat dua hal yang penting iaitu dapat mengetahui siapa dirinya, lalu apa ciri yang membezakan dirinya dengan orang lain. Kedua, dia dapat mengetahui fitrah manusia itu sendiri dan apa yang sudah manusia telah lakukan sebelum ini. Jika direnungi, sejarah sentiasa meminta kita melihat kembali kepada sesuatu yang sudah berlaku untuk mencari asal usul atau identiti kita sendiri. Sebagai contoh, di Malaysia ada pelbagai etnik dan bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau, Murut, Iban dan Dayak. Masing-masing memiliki asal usul yang tersendiri dan salasilah ini menjadi kebanggaan yang harus diraih. Ini hanya dapat diketahui melalui sejarah bangsa masing-masing. Tambahan lagi, ini bagi mengelakkan identiti bangsa kita daripada terhapus dan dilupakan disebabkan peredaran masa dan waktu.

 

2.     Untuk Menambah Ilmu Pengetahuan

Sejarah dapat menambah ilmu pengetahuan manusia pada hari ini. Walaupun sejarah itu dianggap usang atau lapuk oleh sesetengah orang, namun di dalam disiplin ilmu sejarah itu membekalkan ilmu yang bernilai apabila dituntut dan dipelajari. Jika kita mempelajari sejarah sesuatu bangsa atau tamadun, secara tidak langsung kita akan dapat meningkatkan pengetahuan kita tentang perkara-perkara yang belum kita ketahui. Sebagai contoh, melalui pembelajaran sejarah Jepun Moden, kita dapat mengetahui tentang usaha yang dilakukan oleh Maharaja Meiji untuk mengembalikan semula kegemilangan negara Jepun. Maharaja Meiji telah menghantar rakyatnya ke luar negara untuk mempelajari teknologi daripada Barat dan menggunakan ilmu itu untuk kepentingan negara Jepun. Dalam Sejarah Malaysia, Parameswara telah membuka dan mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka pada awal abad ke-15 sehingga menjadi sebuah kerajaan Melayu yang unggul sehingga abad ke-16. Kejayaan Melaka ini didorong oleh pelbagai faktor seperti kewibawaan dan kepimpinan Parameswara itu.

 

Selain itu, John Tosh menjelaskan Sejarah menawarkan sesuatu – meskipun tidak lengkap tetapi sangat diperlukan – apabila kita memasukinya akan dapat menjumpai pengalaman yang agak mustahil untuk kita sendiri mengalaminya. Melalui pembacaan pengalaman orang terdahulu kita dapat mengetahui sesuatu yang mungkin kita belum alami lagi.

 

3.     Untuk Mengambil Iktibar dan Pengajaran

Di sekolah dahulu, jika anda pernah membaca buku tentang cerita Sang Kancil dan Buaya, pasti anda mengakui bahawa di dalam kisah ini ada pengajaran atau ibrah yang dapat kita ambil tentang sikap Sang Kancil dan Buaya. Ini kisah yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Namun, sejarah mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyampaikan pengajaran kepada manusia. Seorang sarjana dari Barat iaitu Dionysuis pernah memberitahu bahawa sejarah ialah falsafah yang mengajar melalui contoh-contohnya. Ada banyak kisah-kisah sejarah yang dapat kita ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Dalam Sejarah Malaysia, satu peristiwa yang berlaku pada 31 Ogos 1957, membuatkan rakyat di Tanah Melayu khususnya, akhirnya bebas dan merdeka daripada penjajahan asing. Ini penting untuk diingati kerana pasti ramai nenek moyang kita yang sudah berkorban tenaga dan jiwa mempertahankan negara ini untuk mencapai kemerdekaan. Jika pengorbanan ini disia-siakan, mungkin ramai yang tidak begitu menghargai tanah air ini, iaitu Malaysia.

 

Malah, melalui sejarah kita akan dapat mengetahui bahawa manusia akan sentiasa berusaha untuk belajar daripada kesilapan mereka dan kejayaan yang sudah mereka perolehi.

 

4.     Untuk Membina Kemahiran Berfikir

Sejarah sentiasa mengajak kita untuk berfikir dan terus berfikir. Di setiap peristiwa sejarah ada pelbagai sebab dan akibat yang mendorong sesuatu itu berlaku. Untuk menjawab persoalan seperti ini, kita harus menjalankan aktiviti menyelidik dan menyiasat melalui sumber sejarah yang sahih dan asli. Jika ini dilaksanakan, secara tidak langsung mengasah budaya berfikir dalam diri seseorang itu. W.H McDowell memberitahu belajar sejarah akan membantu kita membina pertanyaan yang aktif, mempromosi penggunaan pemikiran kritikal dalam mengurus dan menilai pelbagai sumber dan bahan, dan mempersembahkannya dalam bentuk bertulis. Melalui penyelidikan sejarah yang dilalui, kemahiran berfikir aras tinggi dapat dicapai kerana di sini pelajar sejarah akan cuba untuk menyelesaikan masalah, mendapatkan sumber, memilih bahan-bahan yang sahih, dan memberi jawapan yang benar lagi dipercayai.

 

Saya percaya, ahli sejarah atau pembaca sejarah pasti mempunyai semacam sikap “sceptism” dan “criticism” yang membuatkan mereka sentiasa menilai sesuatu yang disampaikan dan mencari tahu siapa yang menyampaikannya untuk meneliti kebenarannya. Lalu, tidak hanya menerima sesuatu perkara itu tanpa usul dan sumber yang boleh dipercayai.

 

5.     Untuk Membentuk Sikap dan Nilai

Melalui peristiwa sejarah yang disampaikan oleh sejarawan sama ada dalam bentuk bertulis, lisan, video atau gambar, kita dapat mengembangkan sikap dan nilai yang perlu dan tidak perlu untuk diikuti. Misalnya, dalam sejarah Islam ada pelbagai kisah para sahabat yang perlu untuk kita ketahui dan ikuti. Hatta, Nabi Muhammad sendiri merupakan manusia yang mempunyai sikap dan peribadi yang unggul dan sempurna. Nabi Muhammad telah membina sebuah masyarakat Islam di Madinah melalui sikap yang terpuji. Pernah satu ketika Baginda SAW menyelesaikan masalah peletakan semula Hajar Aswad oleh para kabilah yang mendakwa lebih utama melakukan hal ini. Nabi Muhammad SAW telah meletakkan kain dan setiap ketua kabilah memegang kain tersebut dan menyimpan semula Hajar Aswad secara bersama. Dengan ini masalah dapat diselesaikan dengan cara bekerjasama tanpa sebarang pertelingkahan dan pergaduhan. Melalui kisah-kisah seperti ini dapat membentuk sikap dan nilai yang terpuji dan perlu menjadi amalan dalam hidup kita.

6.     Untuk Pendidikan Masyarakat

Sejarah sejak dulu diakui dapat mendidik masyarakat. Sejarah menghimpunkan kisah-kisah yang dapat mendidik masyarakat daripada mengulangi sesuatu kesilapan yang sama daripada berulang. Jika kita menoleh semula kisah Si Tanggang yang durhaka kepada ibunya menyebabkan dirinya telah bertukar menjadi sebuah batu. Kisah ini pernah difilemkan dan ditayangkan untuk mendidik masyarakat supaya setiap orang anak itu patuh dan taat pada kedua ibu bapanya. Sejarah pun begitu, ada banyak peristiwa yang seakan serupa dengan kisah si Tanggang itu tadi. Pada tahun 1941, Perang Dunia Kedua meletus, dan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah ditawan oleh Jepun dalam waktu yang sangat singkat. Pendudukan Jepun membuatkan masyarakat hidup menderita dan ketakutan. Siapa sangka, Jepun telah berjaya menguasai wilayah ini melalui propaganda palsu dan meyakinkan. Slogan Asia untuk Asia membuatkan rakyat percaya bahawa Jepun akan menjadi penyelamat daripada penjajahan Barat. Namun yang berlaku sebaliknya. Jika direnungi secara mendalam, peristiwa ini dapat mendidik masyarakat supaya berhati-hati dengan propaganda yang cuba mempengaruhi pemikiran kita.

 

Selain itu, sejarah dapat mengingatkan kita bahawa biasanya ada banyak cara untuk kita mentafsir sesuatu keadaan atau bergerak balas terhadap sesuatu situasi, dan ada banyak pilihan yang terbuka untuk kita daripada yang kita sangkakan.

 

7.     Untuk Memelihara Identiti

Identiti di sini dimaksudkan sebagai maruah atau harga diri. Sejarah perlu dipelajari supaya identiti diri tidak dicemari atau dirosakkan oleh bangsa lain yang iri hati atau ingin menghapuskan identiti kita daripada muka bumi ini. Ada banyak kisah dalam sejarah di mana sesuatu bangsa cuba untuk menindas bangsa yang lain. Lihat di Selatan Thailand atau Deep South apabila kerajaan Thailand cuba untuk menghapuskan sejarah, identiti dan budaya orang Melayu di sana, khususnya di Patani. Larangan untuk memakai songkok, kain sarung, baju Melayu atau cara pakai Melayu merupakan tindakan untuk menghapuskan budaya orang Melayu di sana. Oleh itu, sejarah perlu dipelajari agar identiti bangsa Malaysia yang ada pada hari ini dapat dipelihara dan dikekalkan untuk generasi kemudiannya. Peristiwa penjajahan tidak perlu berlaku lagi. Jika ini terjadi, sudah pasti bangsa Malaysia ini ditindas sekali lagi dan identiti mereka dipesongkan oleh penjajah yang bermotifkan mengubah identiti kita, termasuk budaya, bahasa, adat resam dan kepercayaan.

 

8.     Untuk Perpaduan dan Semangat Cintakan Akan Negara

Untuk hidup harmoni dan bersatu, masyarakat yang menduduki negara ini perlu belajar sejarah atau dari sejarah. Paling dekat dengan kita ialah peristiwa 16 Mei 1969, apabila nilai perpaduan antara kaum diambang keruntuhan. Ia satu peristiwa yang pahit untuk diingati. Di Kuala Lumpur berlaku kerosakan harta benda, nyawa tergadai, ekonomi terganggu dan lebih utama hilangnya sikap percaya antara bangsa Melayu dan Cina. Tunku Abdul Rahman ketika itu sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama menzahirkan rasa dukacita melihat peristiwa ini berlaku. Untuk mengelakkan kejadian ini berulang lagi, rakyat di negara ini perlu bersatu padu dan memupuk semangat cinta akan negara. Jika tidak, negara kita bakal berdepan dengan satu lagi peristiwa hitam yang membawa kesan buruk dan negatif. Melalui sejarah kita dapat mengenali bangsa-bangsa yang lain seperti Melayu, Cina, India dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Masing-masing mempunyai keunikan yang tersendiri. Oleh itu, sejarah mengajar kita untuk bersatu dan cinta pada negara.

 

9.     Untuk Mencintai Ilmu

Sejarah dapat mengajar kita untuk mencintai ilmu pengetahuan. Melalui pembelajaran sejarah dan menggunakan disiplin ilmu sejarah itu, (walaupun tidak ada jaminan) manusia dapat memperoleh nilai yang berharga yang selalu disebut oleh ahli falsafah sebagai “Kebenaran”, “Hikmat”, “Kearifan” dan “Kebijaksanaan”. Sejarah begitu memberatkan penggunaan sumber yang sahih dan benar. Ahli sejarah akan sentiasa menyoal dan bertanya tentang kebenaran sesuatu kisah sejarah yang ada. Sejarah tidak menerima sesuatu yang ditulis secara khayalan atau mimpi semata-mata. Manusia sejarah sering membuat penilaian di antara sesuatu yang baik dan yang buruk di dalam hubungan manusia. Malah, sejarah menawarkan kepada pembaca bahawa di dalam sejarah hidup manusia, perancangan manusia tidak sentiasa berjalan seperti mana yang diharapkan, dan keputusan selari dengan apa yang sudah diniatkan. Salah satu tabiat yang dapat ditanamkan jika kita mempelajari sejarah ialah kita akan suka untuk membaca dan mencari tahu. Melalui pembacaan ini, kita akan berfikir dan menimbang di antara perkara-perkara yang benar atau yang salah.

 

10.  Untuk Memberi Sumber Inspirasi dan Model Teladan

Sejarah tidak hanya berkisar tentang peristiwa yang sudah berlaku. Dalam sejarah, ada beberapa kumpulan manusia yang hebat dan berpengaruh. Sehingga ke hari ini pengaruh mereka kekal subur di dalam kehidupan kita. Jika kita rajin membaca buku-buku yang menceritakan tentang seorang tokoh, kita dapat menyelami sikap dan personaliti mereka yang dapat memberi sumber inspirasi dan contoh teladan. Saya yakin anda semua kenal dengan Hang Tuah yang begitu taat kepada rajanya. Hang Tuah ialah seorang manusia sejarah yang begitu dikagumi sifat dan perwatakannya yang kuat, gah, perkasa, taat, patuh, dan setia. Begitu juga dengan manusia sejarah iaitu Tun Perak, seorang laksamana Melayu yang memainkan peranan meluaskan pengaruh Kerajaan Melayu Melaka. Di alam Melayu ini, tokoh-tokoh atau pejuang-pejuang kemerdekaan telah banyak dilahirkan untuk menentang penjajahan. Pasti anda ingat peristiwa di Sungai Siput, seorang residen mati dibunuh oleh pembesar Melayu kerana sikapnya yang tidak menghormati budaya dan resam orang Melayu. Di dalam sejarah ada banyak tokoh-tokoh yang berjasa dan dapat memberi sumber inspirasi kepada kita semua pada hari ini.

 

Ringkasnya, mempelajari sejarah tidaklah menjadi satu kerugian. Ada pelbagai kebaikan dan faedah yang dapat kita ambil dan amalkan. Tun Sri Lanang berpesan dalam Sejarah Melayu, “hatta berolehlah mereka faedah” daripada Sejarah Melayu ini untuk anak cucu kemudian daripada mereka. George Santayana berkata “siapa yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya semula”.

 

Sekian, Terima Kasih. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...