Isnin, 24 April 2023

Pengasasan Kesultanan Johor - Riau

Setelah Portugis menyerang Melaka dan menduduki negeri ini pada T.M 1511, Sultan Mahmud berserta para pembesar dan ahli keluarga berundur ke Pahang untuk menyelamatkan diri. Pada ketika itu, Portugis mempunyai kekuatan tentera yang sukar untuk dikalahkan, maka keputusan untuk berundur terlebih dahulu merupakan pilihan yang tepat. Ini memberi masa kepada Sultan Mahmud Shah memikirkan jalan terbaik untuk mengambil semula Melaka daripada Portugis. Namun, setelah usaha giat dijalankan melalui cara peperangan dan menyekat kapal-kapal yang berdagang di Melaka, Portugis sukar untuk ditundukkan. Sultan Mahmud Shah, di penghujung hidupnya melakukan pelbagai cara untuk menghalau Portugis dan mendaulatkan semula negeri Melayu ini seperti asalnya. Ini menggambarkan kecintaan Sultan Mahmud terhadap Melaka walaupun sebelum Portugis menyerang dulu, baginda seakan-akan membiarkan kerajaannya di dalam keadaan huru-hara. Setelah mangkat di Kampar, putera baginda iaitu Raja Ali telah diangkat menjadi sultan yang baharu bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II yang dikatakan oleh sesetengah penulis sebagai pengasas Kerajaan Melayu Johor. Di tulisan kali ini saya akan membincangkan pengasasan Kesultanan Melayu Johor pada awal abad ke-16.

            Sultan Alauddin Riayat Shah II telah dilantik menjadi sultan yang baharu pada tahun 1528 menggantikan Sultan Mahmud Shah yang telah mangkat di Kampar. Sultan Alauddin Riayat Shah II ini merupakan putera Sultan Mahmud Shah dengan Tun Fatimah, di mana pada suatu masa dahulu di Melaka ahli keluarganya telah dibunuh oleh Sultan Mahmud Shah di atas dendam terhadap Bendahara Tun Mutahir. Pengasasan Kesultanan Melayu Johor ini boleh di-katakan disebabkan oleh kejatuhan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Oleh itu, Kesultanan Melayu Johor sebagai ganti untuk meneruskan tradisi kerajaan Melayu ini. Raja yang memerintah Johor merupakan keturunan raja-raja yang memerintah Melaka dahulu. Menurut Ahmad Dahlan (2017) semenjak Sultan Alauddin Riayat Shah II membuka negeri ini, orang dari daerah luar turut membina perkampungan baharu dan menetap di kawasan itu. Penduduk terus bertambah dan semakin banyak. Ini melambangkan taat setia orang Melayu terhadap sultan/raja mereka. Oleh itu, disebabkan sultan yang mendirikan Kerajaan Melayu Johor ini mempunyai pertalian terus dengan raja-raja Melaka, maka segala jajahan takluk yang dimiliki oleh Kesultanan Melayu Melaka secara automatiknya masih dipegang oleh raja-raja yang mendirikan Kesultanan Melayu Johor. Tidak banyak diketahui tentang asal-usul nama Johor ini, namun menurut Ahmad Dahlan, perkataan “Johor” ini berasal daripada bahasa Arab iaitu “jauhar” yang bermaksud permata, “negeri permata”.

            Berbeza dengan Melaka dahulu pusat pemerintahan bagi Kesultanan Melayu Johor sering bertukar ganti mengikut sultan/raja yang memerintah dan situasi yang sedang berlaku di sekitar kepulauan Melayu, iaitu ancaman Portugis di Melaka dan Acheh di Sumatera. Hal ini menyebabkan berlakunya beberapa siri perpindahan pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Johor. Misalnya, pada tahun 1535, Sultan Alauddin Riayat Shah II terpaksa mengudurkan diri ke Sayong apabila diserang oleh Portugis. Malah, baginda juga pernah bersemayan di Muar dan selepas itu di Bintan. Kemudian, pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II mem-buat pusat pemerintahan di Johor Lama. Kota ini dibina daripada batu, maka dikenali sebagai Kota Batu [1]. Hal ini bukan sahaja berlaku terhadap Sultan Alauddin Riayat Shah II sendiri, tetapi, pengganti baginda turut mengalami hal yang sama. Misalnya, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, baginda setelah menetap di Kota Batu terpaksa berpindah dan mendiri-kan pusat pemerintahan di Seluyut. Begitu juga dengan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II yang menduduki taktha kerajaan Johor meskipun tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan raja-raja Melaka terdahulu, telah berpindah daripada Seluyut ke Tanah Puteh, dan berikutnya ke Johor Lama. Apabila Johor Lama diserang Portugis, baginda kemudiannya telah membina pusat pemerintahan di Batu Sawar[2]. Ancaman daripada luar menyebabkan pusat pentadbiran bertukar-tukar. Perubahan ini mungkin disebabkan kedudukan Johor yang masih belum begitu ampuh untuk mendirikan sebuah kerajaan Melayu seperti Melaka.

            Tentang kegiatan ekonomi yang dijalankan di dalam Kesultanan Melayu Johor ini tidak seperti yang dialami oleh Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Ini kerana, pusat pentadbiran bagi kerajaan Johor ini sering berpindah menyebabkan aktiviti ekonomi tidak dapat distabilkan oleh pemerintah Johor. Serangan dari luar seperti Acheh dan Portugis di Melaka mengeruhkan lagi situasi kerajaan Johor yang dalam keadaan tidak menentu. Pun begitu, ini tidak bermaksud tidak ada langsung kegiatan yang berbentuk ekonomi dijalankan oleh penduduk di Johor. Ini dijelaskan oleh Shahrom Husain (1995) bahawa ketika Sultan Muzaffar Shah II menjadi sultan, dari Seluyut (Kota Batu) hingga ke Padang Riang-riang penuh dengan pasar. Negeri yang ramai penduduknya itu dan mewah dengan hasil-hasil dan perniagaan makin bertambah maju. Malah, J.Kennedy (1962) juga menjelaskan bahawa ketika Sultan Alauddin Riayat Shah II membuka negeri baru, mungkin di Johor Lama, di Sungai Johor, selepas kematian ayahandanya, baginda meneruskan polisi menarik minat pedagang untuk datang ke Johor serta merompak kapal-kapal yang dalam perjalanan menuju ke Melaka. Ini sebagai satu cara mendapat pendapatan serta meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, sumber kewangan yang banyak sangat diperlukan untuk membiayai ekspedisi ketenteraan dalam usaha menawan semula Melaka daripada tangan Portugis. Oleh itu, di peringkat awal perjalanan Kesultanan Melayu Johor ini, aktiviti ekonomi sukar untuk mencapai kemajuan seperti Melaka dahulu.

            Zaman Melaka dahulu, ancaman dari Siam dapat dipatahkan melalui pertolongan yang diberikan oleh China. Ini memberi ruang yang cukup baik kepada sultan Melaka membangun-kan negeri ini sehingga menjadi sebuah kota pelabuhan yang gemilang. Di zaman Kesultanan Melayu Johor ini, ancaman Portugis dan Acheh sering mengganggu Johor melalui beberapa siri peperangan dan ancaman. Pertolongan dari China tidak dapat dihulurkan kerana pada ketika itu China berdepan dengan ancaman dari orang Tartar. Serangan Portugis terhadap Johor berlaku ketika Sultan Alauddin Riayat Shah II memerintah apabila Estevao da Gama sebagai pemimpin tentera menyerang Johor. Serangan ini menyebabkan Johor perlu berundur diri ke Sayong kerana tidak dapat mengatasi Portugis. Malah, pada tahun 1536 dan 1587 Portugis juga melancarkan serangan terhadap Johor. Selain itu, jiran terdekat iaitu Acheh juga melakukan serangan ke atas Johor pada tahun 1564, 1570, 1582, 1613, 1618 dan 16223. Walaupun diserang oleh Portugis dan Aceh, sultan, pembesar dan rakyat Johor masih mampu mempertahankan maruah dan kedaulatan Johor. Akibat serangan ini pusat kerajaan Johor terpaksa dipindahkan beberapa tempat akibat serangan Portugis dan Aceh yang memusnahkan kota-kota tersebut. Ancaman kedua-dua kuasa ini menyebabkan Johor menjalankan dasar berbaik dengan Belanda[3].

            Rumusannya, Kesultanan Melayu Johor berdepan pelbagai cabaran dan dugaan ketika di awal penubuhannya. Ini datangnya daripada serangan Portugis di Melaka dan juga Acheh di Sumatera di mana pada ketika ini Acheh menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan berpengaruh. Pun begitu, raja-raja yang memerintah Johor masih mengharapkan Melaka dapat ditawan kembali dan mendirikan semula kerajaan ini seperti asalnya. Hal ini mungkin yang mendorong Johor pada peringkat awal tidak menjadi sandaran utama sebagai pusat kerajaan Melayu yang tetap untuk raja-raja seterusnya.a

Isnin, 17 April 2023

Tun Perak dan Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka telah menempa nama dalam tamadun dunia Melayu sebagai sebuah kerajaan Melayu yang unggul dan agung pada abad ke-15. Sepanjang abad ini, Melaka sebagai sebuah kerajaan Melayu menjadi pengatur dan pengawal terhadap aktiviti ekonomi, politik dan sosial di rantau Alam Melayu. Setiap tahun pedagang datang ke pelabuhan Melaka kerana di sini terdapat begitu banyak bahan dagangan dari kawasan Timur dan Barat. Kejayaan Melaka ini bukan sahaja diusahakan oleh Parameswara serta penggantinya, namun kebijaksanaan dan kebolehan yang dimiliki oleh para pembesar Melaka yang sentiasa memberi taat setia kepada raja mereka. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh Orang Laut begitu mustahak dalam mengawal dan menjaga Selat Melaka daripada ancaman musuh-musuh Melaka. Malah, ketika Tun Perak menjadi bendahara Melaka, Melaka terus membangun dan berdiri sendiri dalam mendepani musuh-musuh Melaka khususnya Siam. Tun Perak juga telah memberi sumbangan terhadap kejayaan Melaka meluaskan empayar ini. Oleh itu, di sini saya akan membincangkan peranan dan sumbangan Tun Perak.

            Sebelum Tun Perak menjadi Bendahara Melaka menggantikan Bendaha Tun Ali, beliau merupakan seorang penghulu di Klang. Mengikut tradisi pelantikan Bendahara, Tun Perak sepatutnya menggantikan ayahnya, iaitu Tun Perpatih Sedang yang bergelar Seri Wak Raja sebagai Bendahara Melaka, namun Tun Perak tidak dipilih untuk memegang jawatan tersebut dan diberikan kepada Tun Ali. Bapa Tun Perak telah meminum racun untuk membunuh dirinya apabila didapati bahawa beliau tidak lagi disukai oleh golongan istana. Oleh itu, selepas bapa Tun Perak meninggal dunia, Tun Perak membawa dirinya ke Klang dan tinggal di situ. Tidak beberapa lama, dirinya dilantik menjadi penghulu di Klang. Malah, ketika penduduk di Klang diperintah untuk memberi bantuan menentang musuh Melaka, di sini, bakat kepimpinan dan kebijaksanaan Tun Perak terserlah apabila membawa kanak-kanak dan wanita untuk turut sama mempertahankan Melaka. Menurutnya, tentera lelaki kelak berperang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Melaka. Sultan tertarik dengan bakat yang dipunyai oleh Tun Perak. Oleh itu, Tun Perak tidak seharusnya duduk di Klang lagi dan perlu memberi khidmat dan taat-setianya kepada raja Melaka. Malah, Tun Perak merupakan keturunan Bendahara Melaka, maka sesuailah dirinya duduk di Melaka dan diberi jawatan sebagai Bentara Melaka. Selain itu, menurut Muhammad Yusoff Hashim (2015), melalui jawatan di Klang itulah Tun Perak mula terlibat dalam bidang pentadbiran, lalu menjadi sebahagian daripada jentera birokrasi kerajaan Melaka.

            Peluang menjadi penghulu di Klang telah memberi pengalaman yang bermakna buat Tun Perak untuk memegang jawatan yang lebih tinggi daripada itu, iaitu sebagai Bentara Melaka apabila dilantik oleh sultan. Setelah beberapa lama, Tun Perak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Melaka dan akhirnya mengambil semula jawatan Bendahara yang sepatutnya menjadi miliknya dahulu. Di sini bermulalah kerjaya Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang pernah dipegang oleh ayahnya dahulu. Menurut Ahmad Jelani Halimi (2008), Tun Perak telah dilantik sebagai Bendahara Melaka dengan gelaran Paduka Raja pada tahun 1456 Masihi menggantikan Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali. Sebagai bendahara, Tun Perak berperanan untuk membantu sultan dalam menguruskan kerajaan Melaka yang sedang berkembang itu. Menurut Suzana Othman (2014), tugas utama Bendahara ialah “memerintah, memberi kebajikan atas bumi yang dilingari raja itu”, iaitu mentadbir kerajaan yang beraja secara fizikal. Tambahnya lagi, Bendahara berperanan sebagai penjaga peribadi dan penasihat sultan dalam segala perkara yang merangkumi urusan peribadi sultan sehinggalah kepada perkara yang bersangkutan dengan hal ehwal pentadbiran negeri dan ini menjadi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang Bendahara dengan penuh rasa kesedaran. Malah, bendahara Tun Perak ialah individu utama menjaga daulat yang dipunyai oleh raja. Muhammad Yusoff Hashim menyatakan bahawa proses pendaulatan ini bukan setakat menghormati raja, malah mengakuinya secara eksplisit bahawa baginda mengatasi undang-undang.

            Selain berperanan sebagai seorang bendahara Melaka, Tun Perak sepanjang kerjayanya telah menjadi perancang dasar dan polisi Kesultanan Melayu Melaka. Sebagai perancang dasar, Tun Perak berfungsi untuk membentuk dasar kerajaan Melaka dengan disokong oleh sultan atau raja. Dasar ini bukan sahaja merangkumi hal-hal ekonomi dan politik, tetapi turut meliputi hal perluasan kuasa Melaka di Alam Melayu/Nusantara. Menurut J. Kennedy (1962), pembinaan empayar Melaka banyak berlaku ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pun begitu, Sultan Mansur Shah sendiri bukanlah seorang yang berperwatakan kuat (strong character) dan arah tuju polisi kerajaannya datang daripada Bendahara Tun Perak, di mana Tun Perak merupakan sepupunya sendiri. Antara langkah yang dibuat oleh Tun Perak setelah memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka ialah memutuskan untuk menyerang Pahang, yang menjadi vassal-state Siam. Siam menjadi musuh utama Melaka sejak awal penubuhannya lagi. Namun, kebijaksanaan Parameswara menjalin hubungan dengan China membolehkan Melaka berlindung diri daripada China dan menghentikan serangan Siam. Pun begitu, setelah China mengasingkan diri dan menutup pintunya daripada dunia luar, Melaka perlu berusaha untuk mempertahankan dirinya sendiri. Tugas ini diambil oleh Tun Perak apabila berjaya mendamaikan hubungan Melaka-Siam.

            Selain itu, Tun Perak juga berperanan sebagai ketua tentera dan perancang strategi peperangan Melaka. Menurut Suzana Othman, bendahara juga mengambil peranan sebagai ketua angkatan tentera mengatasi hulubalang besar dan laksamana dalam mengetuai angkatan perang. Bakat Tun Perak sebagai perancang strategi peperanagan dapat dilihat apabila Melaka diserang oleh Siam melalui Pahang. Siam menyerang Melaka apabila Sultan Muzaffar Shah enggan tunduk kepadanya. Pada waktu ini, Tun Perak masih menjadi penghulu di Klang. Menurut Muhammad Yusoff Hashim, Tun Perak telah mengerahkan seluruh penduduk Klang, lelaki, wanita dan kanak-kanak datang mempertahankan Melaka. Kerahan ini agak pelik, tetapi praktikal. Menurutnya, tentera lelaki Melaka kelak berperang dan mempertahankan Melaka bersungguh-sungguh. Tambahnya lagi, selepas menjawat jawatan sebagai bendahara, tugas pertamanya mengetuai angkatan tentera laut Melaka menangkis dan mengalahkan serangan hebat Siam dari laut. Anekdot penggunaan “puntung api” dekat pantai Batu Pahat, sebelum sampai ke pantai Melaka, memang melucukan, tetapi praktikal dan akhirnya Siam kalah. Tun Perak telah meletakkan puntung api bagi menggambarkan betapa ramainya tentera Melaka dalam melawan tentera Siam. Melihat begitu banyak puntung api telah menakutkan Siam. Dan muslihat Tun Perak ini berjaya, puntung api disangka orang telah mengelirukan tentera Siam dan Melaka selamat dari ancaman Siam.

            Antara sumbangan Tun Perak ialah membantu sultan Melaka dalam mentadbir dan menguruskan segala aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan Melayu ini. Sejak menjawat jawatan Bendahara, Tun Perak telah membantu Melaka mencapai banyak kejayaan dan kegemilangan. Tun Perak telah berjaya mempertahankan kedaulatan Melaka daripada serangan musuh yang cemburu dengan kemewahan dan kejayaan yang dikecapi oleh Melaka. N.J Ryan (1963) men-yatakan bahawa semasa Tun Perak berkhidmat sebagai Bendahara Melaka, beliau telah memastikan bahawa musuh-musuh Melaka ditundukkan. Ini dapat dilihat apabila Tun Perak berjaya mematahkan serangan Siam sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1446 dan juga tahun 1456. Selain itu, Tun Perak telah mengetuai Melaka melumpuhkan penderhakaan di Pasai, maka berbaik-baiklah Pasai dengan Melaka. Kepimpinan yang dimiliki oleh Tun Perak telah memastikan bahawa Melaka bebas daripada ancaman musuh dari luar dan sentiasa memberi taat setia kepada sultan sepanjang perkhidmatannya.

            Selain itu, sumbangan lain yang diberikan oleh Tun Perak ialah membantu meluaskan jajahan takluk Melaka. Muhammad Yussoff Hashim memberitahu bahawa Tun Perak telah memberikan dan menunjukkan kepimpinan serta teladan. Dengan penguasaan seluruh Semenanjung Malaysia, pantai timur Sumatera hingga selatan Riau-Lingga-Tungkal, pengawalan seluruh jalan dan laluan perairan dan perdagangan Selat Melaka menyebabkan pada era Tun Perak, Melaka menjadi sebuah empayar dan melalui zaman keemasan. Perkara ini sama ditegaskan oleh Ahmad Jelani Halimi bahawa di bawah pentadbiran Tun Perak, empayar Melaka berkembang dengan pesat sehingga beliau dianggap sebagai “Pembina Empayar”. Kawasan takluk Melaka semasa ini meliputi seluruh Semenanjung termasuk Patani. Di samping itu, negeri-negeri di Timur Sumatera seperti Siak, Rokan, Kampar, Inderagiri, Jambi, Tungkal, dan Siantan juga dikuasai oleh Melaka. Joginder Singh Jessy (1962) turut memberitahu bahawa Tun Perak telah melancarkan serangan ke atas negeri-negeri di pinggir Laut Sumatera. Kampar, Siak, Aru, Rokan dan Inderagiri dilanggar. Semua negeri-negeri ini kecuali pasai telah ditakluki. Dengan demikian, maka pengaruh Melaka berkembang luas. Ini memberi gambaran bahawa Tun Perak telah memberi sumbangan yang terlalu besar dalam meluaskan jajahan takluk Melaka. Melalui jajahan takluk ini, Melaka mendapat keuntungan sama ada dari sudut pembekalan bahan mentah dan barang dagangan atau pertolongan ketenteraan dalam menumpaskan musuh-musuh Melaka.

            Rumusannya, Tun Perak yang pada mulanya menjadi penghulu di Klang dan seterusnya berkhidmat sebagai Bendahara Melaka telah membawa kepada pencapaian pelbagai kejayaan oleh kerajaan Melayu ini. Menjadi bendahara di bawah empat orang Sultan membuktikan betapa Tun Perak merupakan individu yang sangat berharga untuk Melaka dan mempunyai pengaruh yang luas. Selain itu, Tun Perak telah berjaya membantu meluaskan jajahan takluk Melaka sehinggalah Melaka mendapat manfaat daripadanya.

Isnin, 10 April 2023

6 Faktor Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Pada abad ke-15, Kesultanan Melayu Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang kuat, menguasai kegiatan perdagangan di laluan Selat Melaka. Pelabuhan Melaka terlalu ramai dikunjungi oleh pedagang dari Timur dan Barat sehingga pelabuhannya begitu sibuk hampir sepanjang tahun. Kejayaan kerajaan Melayu ini didorong oleh kedudukannya yang strategik, kepimpinan cemerlang raja/sultan Melaka serta disokong oleh kepakaran Orang Laut dalam menjaga keselamatan Melaka dari ancaman musuh. Namun, kegemilangan ini tidak kekal lama apabila di penghujung abad ke-15, Melaka berdepan cabaran pergolakan politik dalaman serta ancaman serangan Portugis yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu ini. Maka, pada 24 Ogos 1511, jatuhnya sebuah kerajaan Melayu iaitu Kesultanan Melayu Melaka. Di sini, saya akan membincangkan faktor kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka yang dapat dibahagikan kepada dua bahagian yang penting iaitu faktor dalaman dan juga faktor luaran.

            Faktor utama kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah kelemahan sultan/raja yang mentadbir Melaka iaitu Sultan Mahmud Syah. Baginda menggantikan Sultan Alauddin Riayat Shah dan menduduki takhta kerajaan pada tahun 1488. Menurut Ahmad Dahlan (2017), Sultan Mahmud Syah ialah seorang sultan yang sungguh berbeza daripada ayahnya dari segi sikap iaitu Sultan Mahmud Syah seorang yang berpawatakan tegas namun memiliki sikap menurut hawa nafsunya sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud Syag membunuh saudaranya iaitu Raja Zainal kerana telah menjatuhkan moral keluarga diraja apabila Raja Zainal menggunakan kuasa dan ketampanannya untuk menggoda dan menodai gadis-gadis Melaka. Selain itu, Sultan Mahmud Syah sanggup merampas Tun Teja tunangan Raja Pahang. Dikatakan lagi Sultan Mahmud Syah sering didapati curang dengan isteri-isteri menteri baginda. Perwatakan seperti ini memberi gambaran buruk terhadap imej Sultan Mahmud Syah dan mengganggu kejayaan yang telah dicapai oleh Melaka selama ini. Muhammad Yusoff Ibrahim menggambarkan watak Sultan Mahmud Syah sebagai seorang yang suka berfoya-foya dan menyalahgunakan kuasa yang dimilikinya. Ini mungkin disebabkan kemewahan yang dicapai oleh Melaka membuatkan Sultan menjadi lalai dan alpa.

            Seterusnya, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan kehilangan Bendahara Tun Perak yang meninggal dunia pada tahun 1498. Tun Perak seorang bendahara Melaka yang memiliki karisma dan pemimpin yang tulen. Ketika menjadi bendahara di bawah empat orang sultan/raja, Melaka telah mencapai pelbagai kejayaan dari aspek kemakmuran ekonomi dan keselamatan Melaka daripada ancaman Siam. Muhammad Yusof Ibrahim menyatakan bahawa kehilangan Tun Perak bagaikan kehilangan Aria Pateh Gajah Mada bagi Majapahit pada kurun ke-14. Kehilangan Tun Perak yang dianggap sebagai pemilih raja (kingmaker) dan pembentuk empayar Melaka membawa kepada kemerosotannya. Namun, kehilangan Bendahara Tun Perak tidak dapat dielakkan. Cuma, ia membawa satu cabaran yang perlu diatasi oleh sultan Melaka dalam mencari pengganti yang dapat memainkan peranan seperti yang dibawa oleh Tun Perak sendiri. Dan ini dapat diatasi oleh kerajaan Melaka apabila pada tahun 1500 Tun Mutahir telah dilantik menjadi Bendahara Melaka. Dikatakan bahawa Tun Mutahir ialah seorang bendahara yang terlalu saksama, serta adil dengan murahnya, dan terlalu sangat pada memeliharakan segala dagang.

            Namun, pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir membawa kesan yang cukup besar terhadap kelangsungan  hidup Kesultanan Melayu Melaka. Peristiwa ini menyebabkan Melaka terpaksa kehilangan seorang bendahara yang dapat menggantikan tempat Tun Perak. Pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir berlaku disebabkan timbulnya fitnah yang telah dicetuskan oleh Si Kitul. Kisah ini bermula apabila Nina Sura Dewana dan Raja Mendaliar bertelagah sesama mereka. Oleh itu, mereka datang kepada Tun Mutahir untuk dibicarakan dan mencari kata pemutus terhadap pertelagahan yang sedang berlaku. Pun begitu, Tun Mutahir meminta mereka pulang dahulu kerana hari telah lewat petang. Namun, Nina Sura Dewana telah datang berjumpa bendahara Tun Mutahir dengan membawa hadiah pada sebelah malamnya. Ini bertujuan untuk memujuk bendahara Tun Mutahir memihak kepada beliau apabila hari perbicaraan berlangsung nanti. Kejadian ini disedari oleh Si Kitul, iaitu saudara kepada Nina Sura Dewana sendiri. Memandangkan dirinya mempunyai hutang terhadap Raja Mendaliar, inilah peluang untuk melangsaikan hutang tersebut dengan memberi maklumat perbuatan Nina Sura Dewana tersebut.

            Setelah mengetahui kejadian tersebut, Raja Mendaliar telah berpakat dengan Si Kitul untuk merasuah Laksamana Khoja Hassan supaya memberitahu sultan bahawa Tun Mutahir sedang merancang untuk memberontak dan merampas kuasa. Laksamana Khoja Hassan telah memberitahu Sultan Mahmud Syah. Dengan itu, Sultan sendiri telah memerintahkan supaya keluarga Tun Mutahir dibunuh kecuali Tun Fatimah. Maka, terbunuhlah Tun Mutahir dan Melaka kehilangan seorang bendahara. Perbuatan Sultan Mahmud Syah ini juga didorong oleh dendamnya terhadap Tun Mutahir yang tidak mempersembahkan anaknya iaitu Tun Fatimah yang cantik jelita. Ini menggambarkan sikap Sultan Mahmud Syah yang tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihan dan kebenaran fakta yang ada di dalamnya. Peristiwa pembunuhan keluarga bendahara Tun Mutahir ini memaksa Melaka mencari pengganti. Malah, sejak Sultan Mahmud Syah mengetahui fitnah Si Kitul, lantas baginda “membuang kerajaannya” dan digantikan oleh putera baginda iaitu Raja Ahmad. Ketika Melaka diserang Portugis, Bendahara Paduka Tuan juga digelar sebagai Bendahara Tepok tidak mampu mengetuai ancaman Portugis kerana dirinya sudah tua.

            Faktor lain kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah pergolakan politik dalaman di antara pembesar Melaka. Ini dapat dilihat apabila Syahbandar yang bertugas di pelabuhan tidak lagi menghiraukan kebajikan pedagang yang datang ke pelabuhan Melaka. Mereka telah meng-enakan cukai yang tinggi kepada pedagang. Lebihan cukai ini dimasukkan ke dalam poket mereka sendiri. Keadaan ini menyebabkan pelabuhan Melaka tidak lagi menjadi pilihan utama pedagang untuk berniaga dan berdagang di sini. Cukai yang tidak munasabah mungkin akan merosotkan pendapatan mereka. Perkara ini seperti yang ditegaskan oleh Ahmad Dahlan bahawa para pegawai kerajaan Melaka pada masa itu sedang dibuai mimpi dan tidak memanfaatkan sepenuhnya potensi kedudukan pelabuhan mereka yang lebih strategik dan telah teruji berabad-abad lamanya. Situasi ini membawa kepada pengalihan tumpuan pedagang ke arah pelabuhan-pelabuhan lain yang terdapat di Alam Melayu seperti Acheh, Bantam, Patani dan Brunei. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka didorong oleh kesibukan pedagang yang berniaga di pelabuhan Melaka. Jika kegiatan ini terganggu, Melaka akan berdepan dengan ancaman keruntuhan dan kejatuhan.

            Faktor kelima yang membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah serangan Portugis yang menyebabkan Melaka diambil dan diperintah oleh bangsa Portugis. Pada awalnya, kedatangan bangsa Portugis ke Melaka adalah untuk berdagang sama seperti pedagang-pedagang lain yang ada di pelabuhan Melaka. Angkatan laut ini diketuai oleh Lopez De Squiera dan mereka telah disambut dengan baik oleh bendahara Tun Mutahir. Namun, desakan dari pedagang yang tidak menyukai Portugis berdagang di sini menyebabkan mereka telah ditangkap dan dipenjarakan. Peristiwa ini menyebabkan bangsa Portugis yang dipimpin oleh Alfonso Albuquerque datang ke Melaka untuk menyerang Melaka dan membalas dendam. Kelebihan tentera Portugis dari segi kelengkapan ketenteraan menyebabkan tentera Melaka dapat dikalahkan. Maka, pada 25 Ogos 1511, Melaka secara rasminya jatuh di tangan Portugis. Dan berakhirnya sebuah kerajaan Melayu Melaka. Namun, ini tidak bermakna Melaka lenyap dalam sejarah. Malah, raja-raja keturunan Melaka dahulu meneruskan legasi Kesultanan Melayu Melaka apabila Kesultanan Johor-Riau ditubuhkan pada tahun 1528.

            Faktor akhir yang menyebabkan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah kecurang-an yang dilakukan oleh para saudagar yang membantu Portugis menawan Melaka. Menurut Joginder Singh Jessy, dalam perang yang berikutnya, “orang-orang Melayu berjuang dengan berani, tetapi Melaka jatuh kerana orang-orang Jawa, India dan China di bandar itu, iaitu golongan saudagar atau ahli-ahli peniaga yang terbesar di situ tidak menghiraukan langsung atau mendiamkan diri atau pun bertarung masuk ke sebelah pihak Portugis. Kecurangan yang dilakukan oleh para saudagar asing ini disebabkan kelangsungan hidup perdagangan mereka. Mereka perlu menyokong para pemerintah Melaka ketika sultan/rajanya memerintah dan menukar sokongan kepada Portugis kerana kemenangan Portugis membolehkan mereka diberi kebenaran untuk berdagang. Jika mereka mereka menyokong pemerintah Melaka dan Melaka tewas dalam peperangan tersebut, timbul kemungkinan para pedagang ini disisihkan dan tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka. Oleh itu, pilihan yang mereka ada adalah memilih untuk melihat sahaja bangsa Portugis-Melaka berperang atau memilih satu pihak dengan mempertimbangkan hayat perniagaan mereka di pelabuhan Melaka. Namun, ini menunjukkan khinat pedagang kepada Melaka.

            Rumusannya, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 menyebabkan Alam Melayu kehilangan lagi sebuah kerajaan yang unggul dan kuat seperti Srivijaya dan Majapahit dahulu. Kelemahan pemimpin menjadi punca terbesar kejatuhan sesebuah kerajaan seperti Melaka. Ini dapat dilihat di dalam beberapa buah kerajaan Melayu yang lain apabila pengganti raja tersebut tidak mempunyai kebolehan untuk menguruskan kerajaanya dengan bijaksana. Ini membawa kepada pergolakan politik di dalam istana Melaka di kalangan para pembesar dan menteri. Akhirnya, pada tahun 1511 Portugis menjadi bangsa pertama Eropah yang berjaya datang dan menjajah di Alam Melayu.

Isnin, 3 April 2023

Sistem Politik Kesultanan Melayu Melaka Abad ke-15

Kejayaan yang dicapai oleh Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah negeri yang makmur dan maju bukan hanya didorong oleh kedudukannya yang strategik, tetapi disebabkan oleh kebolehan dan keupayaan yang dimiliki oleh pemerintahnnya dalam membentuk satu sistem pentadbiran dan pemerintahan. Sejak Parameswara membuka Melaka, beliau telah mempunyai pengikut yang secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai ketua dan akhirnya menjadi raja Melaka yang pertama. Setelah itu, Parameswara dan penggantinya melantik empat orang pembesar utama iaitu bendahara, penghulu bendahari, temenggung dan laksamana. Mereka ini memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu sultan atau raja mentadbir dan menguruskan segala aktiviti dan kegiatan kerajaan supaya berjalan dengan lancar dan licin. Ini telah membentuk satu sistem politik yang akhirnya diikuti dan dicontohi oleh kerajaan-kerajaan Melayu seterusnya. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk membincangkan tentang sistem politik yang dipakai oleh Kesultanan Melayu Melaka sejak abad ke-15 sehinggalah periode kejatuhannya pada awal abad ke-16.

            Dalam sistem politik kesultanan Melayu ini, raja atau sultan menduduki tempat yang tertinggi, mengatasi jawatan-jawatan lain yang ada. Menurut Ruslan Zainuddin (2004), dalam masyarakat Melayu tradisional, raja berfungsi sebagai pemimpin negara. Tambahnya lagi, raja dikatakan berasal daripada keturunan dewa atau tuhan yang disebut Devaraja. Konsep ini dapat difahami sebagai satu kepercayaan bahawa raja yang memerintah disifatkan sebagai luhur dan suci dan mereka dikatakan berdarah dewa atau penjelmaan dewa berasal dari kayangan. Selain itu, Muhammad Yusoff Hashim (2015) turut menegaskan bahawa konsep dewa-raja ialah satu kepercayaan dan salasilah raja-raja yang diwujudkan secara ciptaan dikaitkan dengan dewa-dewa dari kayangan; penjelmaan dari Shiva, Vishnu atau Brahman. Konsepsi sebegini untuk menjadi satu kepercayaan sungguh penting bagi membolehkan raja yang memerintah itu nanti dipercayai oleh pengikutnya dan diterima sebagai ketua yang perlu dipatuhi dan meletakkan taat-setia yang tidak berbelah bagi. Pun begitu, setelah pemerintah Melaka memeluk agama Islam, raja telah dianggap sebagai zillu’llah fil-‘alam yang bermaksud raja yang memerintah sebagai bayangan Tuhan di muka bumi ini. Malah, gelaran “Raja” atau “Seri Maharaja” telah digunakan dahulu diubah menjadi “Sultan”.

            Selain itu, raja/sultan yang disifatkan sebagai kudus atau suci ini perlu memiliki “daulat” untuk membolehkan dirinya dapat memerintah dan mentadbir kerajaannya dengan baik dan sempurna. Raja yang memiliki daulat dipercayai dapat memerintah dengan lebih berkesan. Konsep ini sama seperti yang wujud di dalam masyarakat Cina apabila raja yang memerintah perlu memiliki “mandat” dari syurga. Jika kerajaan pimpinan raja tersebut membawa akibat buruk, maka raja itu dianggap tidak layak memerintah dan tidak mempunyai mandat dari syurga. Maka, haruslah ia digulingkan dan digantikkan dengan raja yang lain. Selain itu, konsep “derhaka” memainkan peranan penting iaitu rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja kerana jika mereka berbuat demikian, dipercayai mereka akan terkena “tulah” yang membawa kesan buruk kepada diri mereka. Kedua konsep penting ini iaitu daulat dan derhaka membolehkan raja itu memerintah dan mentadbir kerajaanya dengan memiliki kuasa penuh terhadap bidang politik, ekonomi dan sosial. Selain itu, fungsi sultan/raja ialah memastikan seluruh kerajaannya di dalam keadaan yang selamat dan aman daripada serangan musuh di samping meluaskan pengaruh kerajaannya.

            Sultan/Raja tidak mampu untuk menguruskan kerajaannya secara bersendirian, oleh itu baginda dibantu oleh empat orang pembesar yang utama iaitu bendahara, penghulu bendahari, laksamana dan juga temenggung. Bendahara merupakan pembesar yang utama dan mempunyai kekuasaan yang lebih tinggi berbanding pembesar yang lain. Ini dapat dibuktikan apabila raja keluar daripada negeri, pekerjaan raja/sultan ini dipangku oleh bendahara. Ruslan Zainuddin menggariskan beberapa peranan penting yang dimainkan oleh bendahara. Antaranya ialah bendahara sebagai ketua pentadbir kerajaan, bertanggungjawab menyelia hampir semua hal ehwal negara dengan dibantu oleh pembesar yang lain, menjadi pemerintah angkatan tentera, menjaga pertahanan dan memelihara adat istiada diraja, menggubal dasar-dasar kerajaan, memilih istana dan permasuri untuk sultan. Kebiasaannya, jawatan bendahara dipegang oleh seorang yang berusia dan mempunyai banyak pengalaman dalam pentadbiran negeri dan hal ehwal politik. Selain itu, menurut Suzana Haji Othman (2014), jika dilihat dari sudut pandangan Islam, jawatan Bendahara Melaka ini seakan sama seperti Menteri Tafwiz sebagai satu bahagian yang penting dalam corak pemerintahan Islam. Menteri ini diberikan kuasa penuh oleh Khalifah atau raja untuk menjalankan semua urusan pentadbiran negeri mengikut pertimbangan dan kebijaksanaan sendiri. Antara pemegang jawatan ini ialah Tun Perak, Tun Perpatih Sedang, Tun Perpatih dan Bendahara Tepok.

            Seterusnya, sultan/raja dibantu oleh penghulu bendahari. Penghulu bendahari berperanan sebagai menteri kewangan negeri yang bergelar Seri Nara Diraja. Ruslan Zainuddin menyatakan tugas utama penghulu bendahari ialah menjaga dan menyelia kewangan dan hasil mahsul negara yang diperoleh daripada pungutan cukai yang dihasilkan oleh Temenggung dan Syahbandar. Malah, penghulu bendahari berkewajipan untuk menjaga bangunan istana dan kelengkapan yang diperlukannya. Selain itu, Muhammad Yusoff Hashim menegaskan ketika di balairung seri apabila menjunjung duli, menghadap nobat, penghulu bendahari mengambil tempat kedua selepas bendahara. Ini menggambarkan kedudukan penghulu bendahari dalam sistem politik Melaka. Tambahnya lagi, tugas penghulu bendahari ini termasuklah mengerah orang membentang tikar, menghias balairung, menggantung tabir langit-langit, mengendalikan hidangan dan makanan untuk tetamu dan mendapatkan tenaga rakyat untuk pekerjaan diraja tadi. Kassim Thukiman (2000) menambah bahawa biasanya pelantikan jawatan ini berdasarkan faktor kekayaan. Tugas utamanya ialah memegang dan menjaga harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Sebagai menteri kewangan, Penghulu Bendahari juga menjadi wakil menerima ufti dari kawasan takluk dan jajahan Melaka. Ufti atau cukai yang diterima ini menjadi sumber penting kepada pendapatan Melaka.

            Selain bendahara dan penghulu bendahari, sultan/raja dibantu oleh Temenggung yang berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan negeri, terutamanya berkaitan menjaga keamanan dan keselamatan negeri Melaka dan rakyat secara keseluruhannya. Selain itu, Temenggung bertanggungjawab penuh dalam memastikan perjalanan dan pelaksanaan undang-undang kerajaan berjalan dengan sempurna dan dipatuhi oleh rakyat Melaka. Pada masa yang sama Temenggung diberi kuasa untuk mengambil tindakan menangkap orang yang bersalah, memasung dan menghukum mereka mengikut kesalahan yang telah mereka lakukan. Malah, oleh sebab keamanan Melaka perlu diberi perhatian yang wajar, menjadi tanggungjawab temenggung untuk mengekalkan keamanan negeri, di samping mengawal perjalanan urus niaga negeri. Tugas awam temenggung termasuklah menyertai bendahara ketika menjalankan pendakwaan dan perbicaraan serta memungut cukai perdagangan di bandar Melaka.

            Seterusnya, empat pembesar yang lain ialah laksamana. Jawatan ini sungguh penting di dalam kerajaan Melayu Melaka bagi mengetuai angkatan pertahanan sama ada di darat atau di laut. Orang pertama yang memegang jawatan laksamana ini ialah Hang Tuah. Jawatan ini penting kerana Melaka, sebagai sebuah kerajaan yang telah mencapai banyak kejayaan dan kemajuan pastinya negeri ini akan dicemburui dan cuba untuk dikuasai oleh kuasa-kuasa luar. Oleh itu, laksamana berperanan untuk mematahkan serangan luar ini dan mengawasi pergerakan musuh yang cuba untuk menjatuhkan Melaka. Menurut Ruslan Zainuddin, sebagai sebuah kerajaan agung dan mempunyai jajahan takluk yang besar, peranan Laksamana dalam soal pertahanan amat penting kerana perluasan kuasa Melaka banyak bergantung kepada kekuatan angkatan tenteranya, di samping kebijaksanaan Laksamana. Muhammad Yusoff Hashim menyatakan bahawa dalam Hukum Kanun Melaka, laksamana dikatakan sebagai “raja di laut”. Hal ini menunjukkan bidang kuasanya sebagai ketua armada laut Melaka, bersama-sama dengan Seri Bija Diraja. Selain itu, telah menjadi tugas dan tanggungjawab laksamana untuk merancang strategi peperangan bagi menumpaskan musuh.

            Selain pembesar yang empat, terdapat satu lagi jawatan yang penting iaitu syahbandar. Kassim Thukiman menyatakan bahawa syahbandar ialah istilah Parsi yang bererti pemerintah pelabuhan, yang merupakan ketua organisasi pelabuhan dan wakil saudagar asing daripada kalangan pelbagai etnik peniaga. Selain itu, Ahmad Jelani Halimi (2000) menjelaskan bahawa oleh kerana terlalu banyak urusan perdagangan, Melaka terpaksa mempunyai empat orang syahbandar. Seorang dari Gujerat, seorang bagi pedagang yang datang dari Koromandel, Benggala, Burma Hilir, Pasai dan Sumatera Utara, Seorang lagi dari Palembang, Kepulauan Maluku, Nusatenggara, Kalimantan dan Filipina. Yang terakhir ialah China dan kawasan di Indo-China. Syahbandar mungkin dapat ditarafkan sebagai “raja pelabuhan” kerana mengendalikan organisasi dan sistem perkapalan, pengendalian cukai, pengawal bagi urus niaga dan urusan dagang, pentadbir anak-anak yatim, menjadi ketua para nakhoda dan sebagai pengawai kebajikan di bandar Melaka. Tugas awam Syahbandar yang lain termasuklah mengawas perjalanan dan organisasi pasar dan gudang-gudang simpanan barangan dagang serta keselamatannya. Peranan lain seorang syahbandar ialah mengawal sistem timbang tara dalam berat dan ukuran bagi semua transaksi perniagaan, serta juga menjaga nilai mata wang bagi mengelakkan timbulnya inflasi.

            Yang terakhir ialah penghulu mukim atau ketua kampung juga disifatkan penting dan menyumbang kepada kejayaan Kesultanan Melayu Melaka. Penghulu dilantik oleh raja dan mempunyai kuasa mutlak di peringkat mukim. Antara tugasnya ialah menentu dan mengutip hasil cukai, menguruskan dan mentadbirkan tanah serta bertindak sebagai ketua adat dan agama. Selain itu, penghulu diberi kuasa untuk mengadili perbalahan serta boleh menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan jenayah yang tertentu, kecuali kes-kes berat yang perlu diserahkan kepada pihak atasan. Jawatan ini boleh dipegang oleh mana-mana orang yang gagah, berani, berharta serta berasal daripada kerabat atau pegawai istana. Pendapatan penghulu bergantung kepada hasil cukai yang dikutip daripada penduduk kampungnya. Cukai ini diserahkan kepada pemerintah Melaka. Kadangkala penghulu diarahkan untuk membekal dan menyediakan tenaga buruh kepada para pembesar atau sultan bagi mengendalikan kerja-kerja membuat istana, jalan raya dan mengerjakan sawah. Sistem ini dipanggil sebagai budak raja – tidak dikenakan apa-apa bayaran atas sumbangan yang mereka berikan. Malah, menjadi tugas penghulu memastikan seluruh penduduk di bawah jagaannya memberi taat setia kepada sultan, di samping menjaga keamanan kampung.

            Kesimpulannya, sistem politik Melaka ini didahului oleh Sultan atau raja sebagai pemerintah tertinggi, diikuti oleh pembesar yang empat iaitu bendahara, penghulu bendahari, temenggung dan laksamana. Pembesar ini membantu sultan dalam mentadbir Melaka. Pada masa yang sama wujud jawatan syahbandar bagi memastikan kegiatan perdagangan di pelabuhan Melaka berjalan dengan lancar. Tidak ketinggalan juga peranan yang dimainkan oleh penghulu mukim di dalam mentadbir penduduknya di peringkat yang lebih kecil tetapi cukup penting kepada kerajaan Melaka.


Isnin, 27 Mac 2023

Kegiatan Perdagangan Melaka Pada Abad ke-15

Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada awal abad ke-15. Menurut O.W Wolters, Melaka dibuka sekitar tahun 1399/1400. Tidak berapa lama, kerajaan Melayu ini menjadi sebuah negeri yang maju dan berjaya hampir satu abad lamanya. Catatan Tome Pires dalam tulisannya Suma Oriental mengakui kekayaan dan kegemilangan kerajaan Melayu ini. Terdapat beberapa faktor yang menjadi pasak kejayaan Melaka, antaranya ialah kebolehan dan kepimpinan yang dimiliki oleh Parameswara. Malah, kedudukannya yang strategik terletak di antara laluan perdagangan Barat dan Timur semacam memberi satu jaminan kepada masa depan Melaka. Ini terbukti benar, apabila Melaka menjadi sebuah kerajaan yang dikunjungi oleh ramai pedagang dan pelabuhannya sibuk didatangi orang sama ada dari kepulauan Melayu atau bangsa-bangsa luar. Pun begitu, Parameswara serta penggantinya berdepan cabaran dalam mengendalikan urusan perdagangan ini secara bijaksana. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk membincangkan kegiatan perdagangan Melaka serta rakan dagang Melaka dan bahan-bahan yang diperdagangkan di sini.

            Sebelum dibincangkan sistem atau kaedah perdagangan yang dijalankan di Melaka, elok ditinjau terlebih dahulu fungsi atau peranan yang dimainkan oleh pelabuhan Melaka. Muhammad Yusoff Hashim (2015) menyatakan bahawa pelabuhan Melaka berfungsi sebagai tempat pengumpulan, penyaluran dan pertukaran barang dagangan menerusi sistem entrepot. Ini dipersetujui oleh Joginder Singh Jessy (1964) bahawa pelabuhan Melaka mempunyai kemudahan yang elok dan juga kerana keselamatan yang terjamin untuk saudagar-saudagar yang melawati Melaka membantu negeri ini berkembang dengan baik. Katanya lagi, Melaka menjadi pusat “perdagangan tiga jurusan” di antara negeri India, China dan Asia Tenggara. Di Melaka, pelabuhannya disinggahi oleh kapal-kapal dari beberapa banyak negeri membawa barang untuk dijual dan diperdagangankan di sini. B.W. Andaya & L. Andaya (1982) menyebutkan bahawa elemen penting kejayaan Melaka terletak pada kebolehan pelabuhannya memainkan dua fungsi utama iaitu sebagai pusat pengumpulan dan pusat penyebaran barang. Daripada pandangan mereka ini, dapat disimpulkan Melaka memainkan tiga peranan utama iaitu, pertama tempat pengumpulan barang atau transit, kedua pusat jual beli dan terakhir sebagai pembekal dan penyebar barang dagangan di antara beberapa buah wilayah atau negeri yang berurusan di Pelabuhan Melaka.

            Sebagai sebuah pelabuhan entrepot, Melaka memerlukan satu sistem perdagangan yang dapat menyokong dan melicinkan urus niaga di pelabuhan ini. Ma Huan & Fei Hsin di dalam Muhd Yusoff Hashim (2015) menyebutkan bahawa perancangan ekonomi mesti terlebih dahulu dilengkapkan dengan perancangan pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun. Sistem ini meliputi kaedah jual beli, sistem mata wang, penentuan jumlah cukai, kebenaran berniaga dan beberapa perkara lain. Aktiviti perniagaan di pelabuhan Melaka diuruskan oleh syahbandar yang berfungsi untuk meneliti dan mengawal aktiviti perdagangan supaya berjalan dengan lancar dan licin. Menurut Muhd Yusof Ibrahim (1992) Syahbandar ialah istilah Parsi yang bererti seorang pemerintah di pelabuhan yang berfungsi sebagai ketua organisasi di pelabuhan dan wakil saudagar asing daripada kalangan pelbagai etnik peniaga. Terdapat empat orang syahbandar mengikut kawasan atau wilayah pedagang yang datang berlabuh dan berdagang di Melaka. Selain itu, syahbandar menjadi perantara di antara pedagang dan Bendahara dalam meminta kebenaran untuk berniaga setelah urusan cukai dijelaskan. Bagi pedagang dari Tanah Arab, India dan Pegu dikehendaki membayar sebanyak 6% cukai daripada jumlah nilah barang dagangan mereka. Berbeza dengan pedagang dari kepulauan Melayu seperti Pulau Jawa dan Maluku yang hanya harus memberikan persembahan (gift) kepada sultan.

            Menurut Muhd Yusoff Hashim, urusan perniagaan di pelabuhan Melaka mempunyai dua bentuk iaitu pertama melalui sistem tukar barang atau sistem barter dan kedua menerusi proses penjualan dan pembelian. Kaedah pertama iaitu melalui sistem tukar barang merupakan sistem ekonomi tradisional. Ini kerana, sebelum wujudnya satu sistem mata wang, masyarakat menukarkan barangan mereka untuk mendapatkan sesuatu barangan lain yang diperlukan jika kedua-dua pihak bersetuju atas transaksi tersebut. Sebagai contoh, jika seorang pembeli ingin mendapatkan beras, dan dia ingin menukarkannya dengan ikan, jika dipersetujui di antara kedua buah pihak, maka, sahlah transaksi yang mereka jalankan. Pun begitu, sistem tukar barang ini mempunyai beberapa kelemahan apabila melibatkan soal kesamaan nilai. Kedua, ialah sistem jual beli menerusi penggunaan mata wang. Sistem ini digunakan sampai hari ini apabila wang kertas dan syiling digunakan. Menurut K.G Tregonning (1964), emas, perak dan timah semuanya digunakan sebagai mata wang di Melaka. Ini dipersetujui oleh Muhd Yusof Ibrahim bahawa menjelang pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, wang emas telah digunakan bagi tujuan perniagaan. Di kepingan wang tersebut tertulis nama pemerintah pada ketika itu. Wang ini dibuat atau dikeluarkan di Melaka.

            Melaka menjalinkan hubung dagang dengan pelbagai jenis suku bangsa dan bahasa. Tome Pires menyebutkan bahawa di Melaka sewaktu zaman kegemilangannya terdapat 84 jenis bahasa yang dituturkan. Catatan Tome Pires ini membuktikan betapa ramainya pedagang yang datang atau singgah di Pelabuhan Melaka. Bagi pedagang di alam Melayu atau Nusantara, Melaka dikunjungi oleh pedagang dari Pulau Jawa. Pulau Jawa menjadi pembekal utama bahan makanan seperti beras, gula, berbagai-bagai jenis rempah dan kayu kayan. Selain itu, menurut Ahmad Dahlan (2017), Para pedagang dari kawasan Asia Tenggara (Maluku, Sulawesi, Jawa, Borneo atau Kalimantan, Sumatera dan Sulu Mindanao di Filipina membawa rempah ratus, antaranya lada, buah pala, kulit kayu manis serta hasil hutan, misalnya kapur barus, damar, gaharu dang gading gajah. Di Melakalah barang-barang itu diperdagangkan antara sesama saudagar untuk kemudian dibawa ke negeri masing-masing. Selain itu, Pegu menjadi rakan dagang Melaka yang penting kerana selain membekalkan beras, Pegu membekalkan kapal-kapal dagang kerana di sini terdapat perusahaan membina kapal. Selain itu, Melaka turut menakluk beberapa wilayah penting seperti Siak dan Kampar yang dapat membekalkan emas dan lada. Malah, gugusan Riau-Lingga membekalkan Orang Laut yang menjadi penyokong kepada kejayaan pelabuhan di Melaka.

            Seterusnya, aktiviti perdagangan di Melaka juga melibatkan pedagang daripada Barat seperti Koromandel. Tome Pires dalam Muhd Yusoff Hashim menganggarkan terdapat antara empat hingga lima buah kapal besar datang ke Melaka setiap tahun dengan nilai dagangan antara 12,000 hingga 15,000 Cruzados dari Koromandel. Muhd Yusoff Hashim juga menjelas-kan bahawa barangan yang dibawa dari Koromandel ditukar ataupun digunakan untuk membeli gaham, permata, lada, cengkih, kayu manis dan buah pala. Saudagar Kalinga pula membeli perak, emas, bijih dan sutera mentah yang dibawa dari China. Tambahnya lagi, Saudagar yang terdiri daripada pedagang Arab dan Parsi, Turki dan Absinia membentuk sebuah syarikat untuk berdagang di Melaka. Mereka membawa bahan makanan, beras, gula, daging kering, berbagai-bagai jenis buah-buahan, kain India dan sayur-sayuran kering. Bahan-bahan ini kemudiannya ditukar dan digunakan di Melaka untuk membeli lada, jagung, cengkih, sutera dari China, tembikar dari Jepun, senjata dari Jawa, tembaga, bijih, kapur barus, garam dan berbagai bahan dagangan mentah dari Nusantara.

            Selanjutnya, aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka juga melibatkan pedagang dari negara China. China, sebelum menukar dasarnya menutup pintu menyediakan pasaran yang dapat memberi keuntungan kepada pedagang yang berdagang di sana. Hubungan baik di antara China-Melaka membuka ruang kepada Melaka untuk mendapatkan beberapa barangan penting dan mempunyai nilai yang tinggi. Antaranya ialah kain sutera, berbagai-bagai jenis tembikar atau seramik produk sulaman dan tenunan, kain satin, tembaga, barang perhiasan dan teh. Selain itu, pedagang China membawa pulang barang dagangan seperti lada, gaharu, candu, rempah dan bahan hutan. Namun begitu, aktiviti perniagaan dengan China tidak dapat diterus-kan apabila China menukar dasarnya iaitu menutup pintunya dan mengasingkan dirinya daripada aktiviti luar. Ini tentulah merugikan Melaka. Selepas itu, rekod-rekod daripada China untuk dijadikan rujukan sejarah Kesultanan Melayu Melaka sukar didapati apabila pasukan pengawal China yang sering belayar di Alam Melayu ini tidak kelihatan lagi.

            Kejayaan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Melaka didorong oleh peranan yang telah dimainkan oleh Orang Laut. Menurut Muhammad Yusoff Hashim, dengan kehadiran Orang Laut yang mengiringi Parameswara ketika berundur dari Singapura (Temasik) ke Melaka sebelum tahun 1400 telah dapat membantu menjaga pertahanan dan perairan. Tambahnya lagi, tenaga Orang Laut jugalah yang telah digunakan oleh pemerintah Srivijaya sebelum ini untuk meningkatkan kegiatan ekonomi dan perdagangan mereka. Orang Laut juga dapat membantu menentang lanun di Selat Melaka kerana lanun boleh menjejaskan keselamatan di perairan dan keselamatan para pedagang. Oleh itu, kawalan keselamatan menjadi perkara yang utama bagi Melaka untuk menjamin kegiatan perdagangan dan kedatangan pedagang asing. B.W Andaya & L. Andaya mengakui peranan Orang Laut ini apabila menyebutkan bahawa ciri menarik yang ada di Melaka sebagai pelabuhan entrepot ialah kebolehannya untuk memastikan keselamatan pedagangnya. Pemerintah Melaka, seperti Srivijaya, memerlukan persetiaan Orang Laut untuk melindungi klien Melaka iaitu pedagang yang berniaga di pelabuhan Melaka. Jaminan Orang Laut ini penting untuk menjadikan Melaka sebagai pelabuhan persinggahan pilihan pedagang berbanding pelabuhan-pelabuhan yang ada di perairan Selat Melaka.

            Rumusannya, aktiviti perdagangan merupakan nadi penting kepada kejayaan dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Sistem pentadbiran dan urus niaga yang sistematik membolehkan Melaka menguasai aktiviti perniagaan yang berjalan di perairan Selat Melaka. Malah, bantuan Orang Laut yang memberi jaminan keselamatan dan perlindungan menjadikan Melaka sebagai pilihan persinggahan dan perdagangan.


Isnin, 20 Mac 2023

6 Faktor Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Melaka, dahulunya sebuah perkampungan nelayan yang didiami oleh beberapa buah keluarga suku Orang Laut. Sebelum Parameswara dan pengikutnya sampai di sini, Melaka tidak begitu dikenali oleh orang luar sama ada pedagang atau pengembara. Namun, ketibaan Parameswara telah mengubah landskap dan wajah perkampungan ini menjadi sebuah negeri yang maju dan makmur hampir satu abad lamanya. Kejayaan ini dicapai hasil misi dan visi Parameswara untuk mendirikan sebuah negeri yang maju seperti Srivijaya dahulu. Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang telah menyumbang kepada kegemilangan dan kemakmuran Melaka seperti kedudukannya yang strategik, peranan Orang Laut, sistem pentadbiran yang tersusun dan beberapa faktor lain. Ini menyebabkan Melaka menjadi sebuah kesultanan Melayu yang telah menguasai semenanjung Tanah Melayu, sebahagian kepulauan Sumatera dan Riau. Sejak itu, Melaka menjadi sebuah bandar pelabuhan yang mahsyur sebelum ditawan oleh Portugis pada tahun 1511. Tulisan kali ini akan membincangkan faktor yang membawa kepada kegemilangan dan kejayaan Kesultanan Melayu Melaka sejak awal abad ke-15.

            Faktor pertama yang menyumbang kepada kegemilangan kesultanan Melayu ini ialah kepimpinan Parameswara dan penggantinya. Elemen ini menjadi faktor penting kerana sebuah kerajaan atau masyarakat memerlukan seorang pemimpin yang dapat memimpin mereka menuju ke satu tujuan atau matlamat untuk mencapai kejayaan. N.J Ryan (1962) menyatakan Parameswara ialah seorang “resourceful”. Kita dapat melihat bagaimana cara Parameswara memerintah Temasik. Pada masa ini, Parameswara telah melakukan hal yang sama kepada perkampungan nelayan di sini dan menjadikannya sebuah pelabuhan yang berkembang maju. Sifat Parameswara yang dikatakan “resourceful” seperti yang disebutkan oleh N.J Ryan tadi tentulah menyentuh soal kepimpinan dan kewibawaan diri Parameswara. Semasa Paramaeswara melarikan diri dari Palembang menuju ke Temasik, dia ditemani oleh pengikutnya sehingga mereka sampai di beberapa tempat seperti Biawak Busuk, Kota Buruk, Muar, Sungai Bertam dan Melaka. Ini menunjukkan Parameswara seorang yang mempunyai sifat kepimpinan. Sifat inilah yang telah membuka jalan kepada pengasasan Melaka dan menjadikannya sebuah kerajaan Melayu yang unggul pada abad ke-15. Selain itu, N.J Ryan menyebutkan imigran yang sampai di Melaka pada abad ke-15 memiliki budaya yang lebih tinggi dari penduduk asal, dan mereka telah memperkenalkan tanaman baru seperti tebu, tanaman rempah dan padi.

            Faktor seterusnya ialah kedudukan strategik Melaka dan peranan Selat Melaka. Kassim Thukiman (2002) menyatakan faktor penting kemajuan Kesultanan Melayu Melaka ditentukan oleh kedudukan Selat Melaka yang sangat strategik. Kapal dagang negara asing yang melewati Selat Melaka pasti singgah di pelabuhan Melaka dan cukai dikenakan kepada kapal dagang yang menjadi sumber kewangan utama. Joginder Singh Jessy (1964) juga bersetuju bahawa kedudukan Melaka yang terletak di tempat pertemuan semula jadi angin monsun dan dengan demikian dapat menjadi tempat persinggahan yang sangat dikehendaki oleh saudagar dari China dan India. Melalui kedudukan ini, Melaka dapat menguasai kapal-kapal yang melalui selat Melaka yang menjadi tempat istimewa terletak di tengah-tengah “kawasan rempah” yang mahsyur di Asia Tenggara B.W Andaya & L. Andaya (1982) menyatakan bahawa kedudukan Melaka mempunyai dua kelebihan utama iaitu, yang pertama terasing daripada Siam, dipisahkan daripada hutan tebal dan pergunungan, kedua menjadi tapak persinggahan yang sesuai sementara pertukaran angin monsun. Kedudukan strategik ini tidak berguna sekiranya pelabuhan tidak mempunyai kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan oleh pedagang. Ini diambil berat oleh Parameswara apabila beliau telah menyediakan pelbagai kemudahan di pelabuhan seperti gudang penyimpanan untuk kegunaan pedagang menyimpan barangan mereka sementara menunggu untuk berdagang atau belayar ke tempat lain. B.W Andaya & L. Andaya, menyebutkan bahawa gudang penyimpanan ini berfungsi untuk melindungi barangan pedagang daipada kerosakan atau kecurian.

            Fakor ketiga ialah sistem pemerintahan kerajaan Melaka yang sistematik. Pemerintahan yang dimaksudkan di sini ialah dari sudut penyusunan kuasa dan pentadbiran organisasi. Ini penting, kerana untuk menguruskan sesuatu masyarakat atau kerajaan, perlunya satu sistem pemerintahan yang sistematik dan tersusun. Kuasa tertinggi dipegang oleh Sultan. Menurut Kassim Thukiman, sultan atau raja mempunyai kedudukan paling tinggi lagi istimewa dan berkuasa mutlak. Mereka ialah pembuat undang-undang. Kedudukan mereka diperkukuhkan lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka dalam masyarakat. Selain itu, peranan raja atau sultan ini tidak hanya mentadbir kerajaannya, tetapi mencakupi fungsi meluaskan pengaruh Melaka dari aspek politik dan ekonomi. Ini dilakukan oleh pengganti Parameswara apabila Melaka menghantar utusan politik kepada jirannya untuk bersahabat. Hubungan China-Melaka di antara contoh terbaik bagaimana pemimpin Melaka menggunakan peluang yang ada untuk meluaskan pengaruh dan kewibawaan Melaka. Selain itu, sultan atau raja dibantu oleh pembesar yang terdiri daripada beberapa jawatan seperti Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana dan Syahbandar. Peranan dan fungsi pembesar ialah membantu sultan atau raja menguruskan pemerintahan.

            Faktor keempat ialah hubungan Melaka dengan China. Pada tahun awal penubuhan Melaka, Melaka terpaksa mengakui ketuanan Siam. Menurut Joginder Singh Jessy, terdapat satu rekod daripada Dinasti Ming menyatakan bahawa ketika Laksamana Ying Ching berkunjung ke Melaka dalam tahun 1403, negeri Melaka “di-punyai oleh Siam, dan Melaka menghantar bunga emas sa-banyak empat puloh tahil kepada-nya tiap-tiap tahun”. Catatan ini menunjukkan Melaka pernah dikuasai oleh Siam secara tidak langsung. Pun begitu, Melaka dapat berdiri sendiri apabila mendapat perlindungan keselamatan daripada Siam. Menurut Ahmad Dahlan (2017), pada tahun 1405 angkatan laut dari China di bawah pimpinan Laksamana Cheng Ho (yang dihantar oleh Maharaja Yung-Lo) pernah datang ke Melaka untuk menegaskan hubungan baik China-Melaka dan menghadiahkan penguasa Melaka pada masa itu atap genting yang dipakai untuk membina istana. Tambahnya lagi, ketika sultan Melaka dan keluarga berserta rombongan berjumlah 540 orang mengadakan kunjungan balas ke China pada tahun 1411, rombongan itu juga disambut dan diraikan dengan penuh hormat sebagaimana layaknya ketua negara dan rombongan pada masa itu. Ancaman Siam dapat didiamkan apabila Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka pada 1409 telah singgah dahulu ke Siam untuk memberi amaran kepada Siam supaya jangan melakukan serangan ke atas Melaka kerana Melaka sepertimana Siam, adalah sahabat China dan Siam terpaksa menurut. Hubungan ini memberi keuntungan kepada Melaka untuk terus mencapai kemajuan dan kejayaan.

            Faktor kelima ialah peranan yang dimainkan oleh Orang Laut. Sebagai sebuah kota pelabuhan, pemerintah Melaka telah bekerjasama dengan Orang Laut dalam memastikan Melaka dilindungi daripada ancaman yang mampu membahayakan keadaan Melaka. Menurut Leonard Y. Andaya (2008), Orang Laut ialah kumpulan yang terkenal di dalam sejarah Asia Tenggara kerana hubungan kumpulan ini dengan aktiviti perdagangan dan pelanunan. Tidak dapat disangkal, Orang Laut sangat bernilai kepada pemerintah Melayu kerana kebolehan Orang Laut dalam mempromosikan aktiviti perniagaan antarabangsa. Pengetahuan dan kepakaran Orang Laut dalam selok-belok lautan membolehkan mereka membantu dalam memudahkan kapal-kapal yang ingin singgah di Melaka selamat mendarat di pelabuhan. Ini kerana, Orang Laut memiliki pengetahuan tentang kedalaman laut, kawasan yang mempunyai terumbu karang dan memberi amaran sekiranya wujud tanda-tanda aktiviti pelanunan yang bakal berlaku. Mereka mempunyai satu jaringan komunikasi yang luas di antara mereka di kawasan laut menyebabkan Orang Laut sungguh penting di dalam membantu Melaka mengawal Selat Melaka serta melindungi kapal-kapal dagang yang ingin berlabuh dan singgah di pelabuhan Melaka. Oleh itu, Orang Laut menjadi elemen penting kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, lantaran kepakaran yang mereka miliki.

            Faktor yang terakhir ialah kedatangan dan pertapakan Islam di Melaka. Sejak abad ke-8, agama Islam telah tersebar di beberapa buah wilayah Semenanjung Arab. Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar Islam datang di Asia Tenggara lantaran pelbagai teori yang diberi oleh Sejarawan. Pun begitu, Islam telah sampai dan bertapak di Melaka di awal penubuhannya apabila pemerintahnya memeluk Islam. Ini memberi kesan dan pengaruh yang cukup hebat terhadap perkembangan Melaka apabila pedagang-pedagang Islam semakin bertambah ramai yang singgah dan berdagang di sini. Pertambahan bilangan pedagang di pelabuhan Melaka membolehkan kutipan cukai dapat ditingkatkan seterusnya meningkatkan lagi sumber kewangan Melaka. Pedagang ini ada yang datang dari India dan China. Tambahan lagi, ulama dan guru agama turut datang ke Melaka, mendirikan pusat-pusat pengajian agama. Ini membolehkan Melaka menjadi pusat penyebaran Islam. Malah, Melaka bersahabat baik dengan wilayah yang diperintah oleh seorang ketua yang beragama Islam. Hubungan baik ini secara tidak langsung meluaskan lagi pengaruh dan imej Melaka terhadap orang luar. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bagaimana pengaruh agama Islam memberi kesan positif terhadap perkembangan dan kemajuan kerajaan Melaka.

            Kesimpulannya, enam faktor yang dibincangkan di atas menjadi faktor yang penting terhadap kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Ada beberapa faktor lain yang telah membantu kepada kegemilangan Melaka misalnya kepimpinan Tun Perak dalam membantu meluaskan lagi kekuasaan Melaka dengan menawan dan berdiplomasi dengan wilayah-wilayah yang lain. Oleh itu, faktor ini telah menyebabkan Melaka menjadi sebuah negara atau wilayah thalasokrasi yang berjaya sepanjang abad ke-15 di Asia Tenggara atau alam Nusantara.

Isnin, 13 Mac 2023

Pengasasan Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka sentiasa mendapat perhatian ahli sejarah apabila membincangkan titik mula pensejarahan di negara ini. Ini tidak bermakna sebelum adanya Melaka kita kosong tentang sejarah, cuma kemunculan Melaka pada penghujung kurun ke-14 telah banyak membawa perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia Tenggara. Menurut Tome Pires, yang pernah tinggal di Melaka selama tiga tahun (1512-1515) menyatakan Melaka telah menjadi penting dan bernilai yang bagi dirinya tiada tolok bandingnya dengan wilayah lain di dunia ini. Selanjutnya, Melaka telah menjadi satu bentuk kerajaan dan cara hidup di mana diikuti oleh kerajaan Melayu seterusnya. Meskipun selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511 di tangan Portugis, Melaka telah kekal menjadi inspirasi dan punca kekuatan kepada kerajaan Melayu yang lain seperti Kesultanan Johor-Riau. Ini di antara sebab Melaka sentiasa menjadi tumpuan dalam membahaskan permulaan Sejarah Malaysia. Oleh itu, di tulisan ini saya cuba untuk membincangkan tentang pengasasan kesultanan Melayu ini.

            Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara sekitar penghujung abad ke-14 atau awal abad ke-15. Pengasas Melaka, iaitu Parameswara dikaitkan berasal dari Bukit si Guntang Mahameru dan jurai geneologinya daripada cucu Raja Iskandar Zulkarnain. Identiti ini diceritakan di dalam Sejarah Melayu. Pun begitu, dakwaan Sejarah Melayu ini begitu sukar untuk dipastikan kesahihannya. Seperti yang disebutkan oleh Kassim Thukimin identiti ini merupakan bahagian tokok tambah dalam Sejarah Melayu. Menurut Muhd Yusof Ibrahim, sebenarnya kisah asal-usul ini tidaklah mempunyai bukti sejarah yang benar dan kukuh. Selain itu, ada pendapat yang mengatakan Parameswara berasal dari Sri Vijaya (Palembang). Apabila kerajaannya mengalami keruntuhan akibat asakan dan serangan Majapahit, beliau telah pergi ke Temasik untuk menyelamatkan dirinya. Mungkin, asal-usul Parameswara dari Palembang itu lebih sesuai untuk diterima. Menurut beberapa pendapat, Parameswara juga dikenali sebagai ‘Prince-Consort’. Nama lain Parameswara ialah Pai-li-mi-sula menurut catatan Portugis dan China.

            Akibat serangan Majapahit, Parameswara telah melarikan dirinya bersama pengikutnya ke Temasik, atau hari ini dikenali sebagai Singapura. Di Temasik, kedatangan Parameswara bersama rombongan ini telah disambut baik oleh Tumagi sebagai wakil kerajaan Siam di sana. Pun begitu, dalam hanya lapan hari Parameswara duduk di Temasik, beliau telah membunuh Tumagi dan melakukan rampasan kuasa. Ini disebabkan Temasik tidak seharusnya menjadi kepunyaan Siam lantaran kedudukannya yang begitu jauh dari Siam. Majapahit lebih berhak mentadbir Temasik. Parameswara menjadi raja Singapura selama lima tahun. Beliau terpaksa melarikan diri sekali lagi apabila Temasik diserang oleh Majapahit. Parameswara bersama pengikutnya telah pergi ke arah utara dengan harapan akan dapat membuka sebuah negeri baharu. Rombongan ini telah berhenti di beberapa buah perkampungan seperti Muar, Biawak Busuk, Kota Buruk dan Sungai Ujong. Namun, tempat ini tidak sesuai untuk dijadikan negeri. Menurut Sejarah Melayu, Biawak Busuk mendapat nama disebabkan terlalu banyak biawak yang muncul meskipun telah dibunuh begitu banyaknya. Kota Buruk, terlihat indah di waktu pagi, namun menjadi buruk ketika malam. Ini menyebabkan Parameswara tidak ingin membuat negeri di kawasan ini.

            Setelah merantau di Muar beberapa lama, akhirnya Parameswara datang ke Melaka. Pada masa itu, Melaka hanya sebuah perkampungan kecil yang tiada terkenal didiami oleh perompak, lanun dan kaum nelayan (Seletar). Penduduk di kawasan ini terdiri daripada suku Orang Laut yang menjadikan laut sebagai sumber kehidupan mereka. Terdapat hampir 30 buah keluarga yang mendiami Melaka.  Pekerjaan utama mereka ialah menjadi nelayan, pedagang kecil dan juga merompak kapa-kapal dagang yang belayar di laut Selat Melaka. Ada juga penduduk asal Melaka ini yang tinggal di daratan bekerja sebagai petani, bercucuk tanam dan memungut hasil hutan. Perkampungan nelayan ini mungkin yang disebutkan oleh sesetengah sejarawan apabila menyatakan Melaka telah diasaskan lebih 250 hingga 700 tahun selepas ditewaskan oleh Portugis. Kedatangan Parameswara ke perkampungan ini telah mengubah kawasan ini menjadi sebuah tempat berdirinya kerajaan Melayu yang unggul bermula awal abad ke-15. Pun begitu, ini mengambil beberapa waktu untuk Melaka bangkit menjadi sebuah kerajaan yang unggul seperti Srivijaya, Majapahit atau Funan. Oleh itu, dengan pertolongan daripada penduduk asal atau orang Laut, paramesrawa berjaya mendirikan sebuah kerajaan Melayu yang menguasai selat Melaka serta sumber ekonominya sebelum dijajah oleh Portugis pada 1511.

             Melaka mendapat nama melalui satu peristiwa aneh yang berlaku apabila Parameswara bersama pengikutnya keluar berburu di dalam hutan. Ketika berburu ini, anjing perburuan Parameswara terpelanting ditendang oleh seekor pelanduk berwarna putih. Menurut pemikiran logik, pelanduk menjadi mangsa kepada haiwan yang liar atau ganas seperti anjing, harimau atau singa. Dalam kisah ini, kebalikan yang berlaku. Dan ini merupakan sesuatu yang aneh dan pelik. Ketika itu, Parameswara sedang duduk bersandar di sebatang pokok, lalu bertanya nama pohon tersebut lalu dijawab “Melaka” oleh pengikutnya. Maka, Parameswara pun berkata “Melakalah nama negeri ini”. Pun begitu, nama Melaka berdasarkan pokok Melaka ini masih belum dapat dimuktamadkan kebenarannya ekoran ada sesetengah pengkaji sejarah meragui perkara ini. Seperti yang disebutkan oleh Muhd Yusof Hashim, kerajaan ini dinamakan Melaka kononnya mengikut sebatang pokok tempat bersandar ketika baginda serta pengikutnya mula sampai ke tempat itu. Namun, secara tradisinya, masyarakat Melayu memiliki kebiasaan untuk menamakan sesuatu tempat berdasarkan keadaan geografi atau ciri-ciri alamiahnya.

Perkara yang sering mengganggu ahli sejarah ialah soal pentarikhan kesultanan Melayu ini. Ada banyak versi tentang tarikh penubuhan kesultanan Melayu Melaka. Antaranya ialah Tome Pires seorang penulis berbangsa Portugis menyatakan bahawa Melaka telah ada seratus tahun selepas ia dikalahkan oleh Portugis pada 1511. Ini bermakna Melaka telah didirikan pada sekitar awal abad ke-15. De Barros menyatakan Melaka telah pun ada 250 tahun terlebih dahulu daripada itu. Ini satu pandangan yang berbeza daripada apa yang lazim yang ditemui. Misalnya, O.W Wolters sendiri hampir bersetuju dengan Tome Pires apabila menjelaskan Raja Iskandar Shah telah mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira tahun 1399/1400. Pada kurun ini, sejarawan bersetuju Melaka diasaskan pada hujung kurun ke-14. Oleh itu, Kesultanan Melayu Melaka dapat dikatakan telah diasaskan pada tahun 1399/1400, mengambil pandangan O.W Wolters tadi. Malah, sebelum itu, pengembara seperti Marco Polo yang melalui Selat Melaka dalam tahun 1292 tidak menyebutkan tentang negeri Melaka. Ibn Batuta pergi ke negeri China dalam tahun 1345 tiada juga menyebut negeri Melaka. Ini menunjukkan Melaka masih belum wujud atau cuma hanya perkampungan nelayan sahaja yang kurang signifikan.

            Kesimpulannya, Parameswara menjadi tokoh penting dalam membentuk dan membina sebuah kerajaan Melayu yang menjadi sebuah kerajaan unggul hampir satu kurun lamanya. Seterusnya, Melaka menjadi pemain penting dalam aspek politik dan ekonomi di alam Melayu sehingga kemakmuran ekonominya diakui oleh pendatang dari luar alam Melayu.

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...