Isnin, 3 April 2023

Sistem Politik Kesultanan Melayu Melaka Abad ke-15

Kejayaan yang dicapai oleh Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah negeri yang makmur dan maju bukan hanya didorong oleh kedudukannya yang strategik, tetapi disebabkan oleh kebolehan dan keupayaan yang dimiliki oleh pemerintahnnya dalam membentuk satu sistem pentadbiran dan pemerintahan. Sejak Parameswara membuka Melaka, beliau telah mempunyai pengikut yang secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai ketua dan akhirnya menjadi raja Melaka yang pertama. Setelah itu, Parameswara dan penggantinya melantik empat orang pembesar utama iaitu bendahara, penghulu bendahari, temenggung dan laksamana. Mereka ini memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu sultan atau raja mentadbir dan menguruskan segala aktiviti dan kegiatan kerajaan supaya berjalan dengan lancar dan licin. Ini telah membentuk satu sistem politik yang akhirnya diikuti dan dicontohi oleh kerajaan-kerajaan Melayu seterusnya. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk membincangkan tentang sistem politik yang dipakai oleh Kesultanan Melayu Melaka sejak abad ke-15 sehinggalah periode kejatuhannya pada awal abad ke-16.

            Dalam sistem politik kesultanan Melayu ini, raja atau sultan menduduki tempat yang tertinggi, mengatasi jawatan-jawatan lain yang ada. Menurut Ruslan Zainuddin (2004), dalam masyarakat Melayu tradisional, raja berfungsi sebagai pemimpin negara. Tambahnya lagi, raja dikatakan berasal daripada keturunan dewa atau tuhan yang disebut Devaraja. Konsep ini dapat difahami sebagai satu kepercayaan bahawa raja yang memerintah disifatkan sebagai luhur dan suci dan mereka dikatakan berdarah dewa atau penjelmaan dewa berasal dari kayangan. Selain itu, Muhammad Yusoff Hashim (2015) turut menegaskan bahawa konsep dewa-raja ialah satu kepercayaan dan salasilah raja-raja yang diwujudkan secara ciptaan dikaitkan dengan dewa-dewa dari kayangan; penjelmaan dari Shiva, Vishnu atau Brahman. Konsepsi sebegini untuk menjadi satu kepercayaan sungguh penting bagi membolehkan raja yang memerintah itu nanti dipercayai oleh pengikutnya dan diterima sebagai ketua yang perlu dipatuhi dan meletakkan taat-setia yang tidak berbelah bagi. Pun begitu, setelah pemerintah Melaka memeluk agama Islam, raja telah dianggap sebagai zillu’llah fil-‘alam yang bermaksud raja yang memerintah sebagai bayangan Tuhan di muka bumi ini. Malah, gelaran “Raja” atau “Seri Maharaja” telah digunakan dahulu diubah menjadi “Sultan”.

            Selain itu, raja/sultan yang disifatkan sebagai kudus atau suci ini perlu memiliki “daulat” untuk membolehkan dirinya dapat memerintah dan mentadbir kerajaannya dengan baik dan sempurna. Raja yang memiliki daulat dipercayai dapat memerintah dengan lebih berkesan. Konsep ini sama seperti yang wujud di dalam masyarakat Cina apabila raja yang memerintah perlu memiliki “mandat” dari syurga. Jika kerajaan pimpinan raja tersebut membawa akibat buruk, maka raja itu dianggap tidak layak memerintah dan tidak mempunyai mandat dari syurga. Maka, haruslah ia digulingkan dan digantikkan dengan raja yang lain. Selain itu, konsep “derhaka” memainkan peranan penting iaitu rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja kerana jika mereka berbuat demikian, dipercayai mereka akan terkena “tulah” yang membawa kesan buruk kepada diri mereka. Kedua konsep penting ini iaitu daulat dan derhaka membolehkan raja itu memerintah dan mentadbir kerajaanya dengan memiliki kuasa penuh terhadap bidang politik, ekonomi dan sosial. Selain itu, fungsi sultan/raja ialah memastikan seluruh kerajaannya di dalam keadaan yang selamat dan aman daripada serangan musuh di samping meluaskan pengaruh kerajaannya.

            Sultan/Raja tidak mampu untuk menguruskan kerajaannya secara bersendirian, oleh itu baginda dibantu oleh empat orang pembesar yang utama iaitu bendahara, penghulu bendahari, laksamana dan juga temenggung. Bendahara merupakan pembesar yang utama dan mempunyai kekuasaan yang lebih tinggi berbanding pembesar yang lain. Ini dapat dibuktikan apabila raja keluar daripada negeri, pekerjaan raja/sultan ini dipangku oleh bendahara. Ruslan Zainuddin menggariskan beberapa peranan penting yang dimainkan oleh bendahara. Antaranya ialah bendahara sebagai ketua pentadbir kerajaan, bertanggungjawab menyelia hampir semua hal ehwal negara dengan dibantu oleh pembesar yang lain, menjadi pemerintah angkatan tentera, menjaga pertahanan dan memelihara adat istiada diraja, menggubal dasar-dasar kerajaan, memilih istana dan permasuri untuk sultan. Kebiasaannya, jawatan bendahara dipegang oleh seorang yang berusia dan mempunyai banyak pengalaman dalam pentadbiran negeri dan hal ehwal politik. Selain itu, menurut Suzana Haji Othman (2014), jika dilihat dari sudut pandangan Islam, jawatan Bendahara Melaka ini seakan sama seperti Menteri Tafwiz sebagai satu bahagian yang penting dalam corak pemerintahan Islam. Menteri ini diberikan kuasa penuh oleh Khalifah atau raja untuk menjalankan semua urusan pentadbiran negeri mengikut pertimbangan dan kebijaksanaan sendiri. Antara pemegang jawatan ini ialah Tun Perak, Tun Perpatih Sedang, Tun Perpatih dan Bendahara Tepok.

            Seterusnya, sultan/raja dibantu oleh penghulu bendahari. Penghulu bendahari berperanan sebagai menteri kewangan negeri yang bergelar Seri Nara Diraja. Ruslan Zainuddin menyatakan tugas utama penghulu bendahari ialah menjaga dan menyelia kewangan dan hasil mahsul negara yang diperoleh daripada pungutan cukai yang dihasilkan oleh Temenggung dan Syahbandar. Malah, penghulu bendahari berkewajipan untuk menjaga bangunan istana dan kelengkapan yang diperlukannya. Selain itu, Muhammad Yusoff Hashim menegaskan ketika di balairung seri apabila menjunjung duli, menghadap nobat, penghulu bendahari mengambil tempat kedua selepas bendahara. Ini menggambarkan kedudukan penghulu bendahari dalam sistem politik Melaka. Tambahnya lagi, tugas penghulu bendahari ini termasuklah mengerah orang membentang tikar, menghias balairung, menggantung tabir langit-langit, mengendalikan hidangan dan makanan untuk tetamu dan mendapatkan tenaga rakyat untuk pekerjaan diraja tadi. Kassim Thukiman (2000) menambah bahawa biasanya pelantikan jawatan ini berdasarkan faktor kekayaan. Tugas utamanya ialah memegang dan menjaga harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Sebagai menteri kewangan, Penghulu Bendahari juga menjadi wakil menerima ufti dari kawasan takluk dan jajahan Melaka. Ufti atau cukai yang diterima ini menjadi sumber penting kepada pendapatan Melaka.

            Selain bendahara dan penghulu bendahari, sultan/raja dibantu oleh Temenggung yang berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan negeri, terutamanya berkaitan menjaga keamanan dan keselamatan negeri Melaka dan rakyat secara keseluruhannya. Selain itu, Temenggung bertanggungjawab penuh dalam memastikan perjalanan dan pelaksanaan undang-undang kerajaan berjalan dengan sempurna dan dipatuhi oleh rakyat Melaka. Pada masa yang sama Temenggung diberi kuasa untuk mengambil tindakan menangkap orang yang bersalah, memasung dan menghukum mereka mengikut kesalahan yang telah mereka lakukan. Malah, oleh sebab keamanan Melaka perlu diberi perhatian yang wajar, menjadi tanggungjawab temenggung untuk mengekalkan keamanan negeri, di samping mengawal perjalanan urus niaga negeri. Tugas awam temenggung termasuklah menyertai bendahara ketika menjalankan pendakwaan dan perbicaraan serta memungut cukai perdagangan di bandar Melaka.

            Seterusnya, empat pembesar yang lain ialah laksamana. Jawatan ini sungguh penting di dalam kerajaan Melayu Melaka bagi mengetuai angkatan pertahanan sama ada di darat atau di laut. Orang pertama yang memegang jawatan laksamana ini ialah Hang Tuah. Jawatan ini penting kerana Melaka, sebagai sebuah kerajaan yang telah mencapai banyak kejayaan dan kemajuan pastinya negeri ini akan dicemburui dan cuba untuk dikuasai oleh kuasa-kuasa luar. Oleh itu, laksamana berperanan untuk mematahkan serangan luar ini dan mengawasi pergerakan musuh yang cuba untuk menjatuhkan Melaka. Menurut Ruslan Zainuddin, sebagai sebuah kerajaan agung dan mempunyai jajahan takluk yang besar, peranan Laksamana dalam soal pertahanan amat penting kerana perluasan kuasa Melaka banyak bergantung kepada kekuatan angkatan tenteranya, di samping kebijaksanaan Laksamana. Muhammad Yusoff Hashim menyatakan bahawa dalam Hukum Kanun Melaka, laksamana dikatakan sebagai “raja di laut”. Hal ini menunjukkan bidang kuasanya sebagai ketua armada laut Melaka, bersama-sama dengan Seri Bija Diraja. Selain itu, telah menjadi tugas dan tanggungjawab laksamana untuk merancang strategi peperangan bagi menumpaskan musuh.

            Selain pembesar yang empat, terdapat satu lagi jawatan yang penting iaitu syahbandar. Kassim Thukiman menyatakan bahawa syahbandar ialah istilah Parsi yang bererti pemerintah pelabuhan, yang merupakan ketua organisasi pelabuhan dan wakil saudagar asing daripada kalangan pelbagai etnik peniaga. Selain itu, Ahmad Jelani Halimi (2000) menjelaskan bahawa oleh kerana terlalu banyak urusan perdagangan, Melaka terpaksa mempunyai empat orang syahbandar. Seorang dari Gujerat, seorang bagi pedagang yang datang dari Koromandel, Benggala, Burma Hilir, Pasai dan Sumatera Utara, Seorang lagi dari Palembang, Kepulauan Maluku, Nusatenggara, Kalimantan dan Filipina. Yang terakhir ialah China dan kawasan di Indo-China. Syahbandar mungkin dapat ditarafkan sebagai “raja pelabuhan” kerana mengendalikan organisasi dan sistem perkapalan, pengendalian cukai, pengawal bagi urus niaga dan urusan dagang, pentadbir anak-anak yatim, menjadi ketua para nakhoda dan sebagai pengawai kebajikan di bandar Melaka. Tugas awam Syahbandar yang lain termasuklah mengawas perjalanan dan organisasi pasar dan gudang-gudang simpanan barangan dagang serta keselamatannya. Peranan lain seorang syahbandar ialah mengawal sistem timbang tara dalam berat dan ukuran bagi semua transaksi perniagaan, serta juga menjaga nilai mata wang bagi mengelakkan timbulnya inflasi.

            Yang terakhir ialah penghulu mukim atau ketua kampung juga disifatkan penting dan menyumbang kepada kejayaan Kesultanan Melayu Melaka. Penghulu dilantik oleh raja dan mempunyai kuasa mutlak di peringkat mukim. Antara tugasnya ialah menentu dan mengutip hasil cukai, menguruskan dan mentadbirkan tanah serta bertindak sebagai ketua adat dan agama. Selain itu, penghulu diberi kuasa untuk mengadili perbalahan serta boleh menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan jenayah yang tertentu, kecuali kes-kes berat yang perlu diserahkan kepada pihak atasan. Jawatan ini boleh dipegang oleh mana-mana orang yang gagah, berani, berharta serta berasal daripada kerabat atau pegawai istana. Pendapatan penghulu bergantung kepada hasil cukai yang dikutip daripada penduduk kampungnya. Cukai ini diserahkan kepada pemerintah Melaka. Kadangkala penghulu diarahkan untuk membekal dan menyediakan tenaga buruh kepada para pembesar atau sultan bagi mengendalikan kerja-kerja membuat istana, jalan raya dan mengerjakan sawah. Sistem ini dipanggil sebagai budak raja – tidak dikenakan apa-apa bayaran atas sumbangan yang mereka berikan. Malah, menjadi tugas penghulu memastikan seluruh penduduk di bawah jagaannya memberi taat setia kepada sultan, di samping menjaga keamanan kampung.

            Kesimpulannya, sistem politik Melaka ini didahului oleh Sultan atau raja sebagai pemerintah tertinggi, diikuti oleh pembesar yang empat iaitu bendahara, penghulu bendahari, temenggung dan laksamana. Pembesar ini membantu sultan dalam mentadbir Melaka. Pada masa yang sama wujud jawatan syahbandar bagi memastikan kegiatan perdagangan di pelabuhan Melaka berjalan dengan lancar. Tidak ketinggalan juga peranan yang dimainkan oleh penghulu mukim di dalam mentadbir penduduknya di peringkat yang lebih kecil tetapi cukup penting kepada kerajaan Melaka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...