Isnin, 17 April 2023

Tun Perak dan Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka telah menempa nama dalam tamadun dunia Melayu sebagai sebuah kerajaan Melayu yang unggul dan agung pada abad ke-15. Sepanjang abad ini, Melaka sebagai sebuah kerajaan Melayu menjadi pengatur dan pengawal terhadap aktiviti ekonomi, politik dan sosial di rantau Alam Melayu. Setiap tahun pedagang datang ke pelabuhan Melaka kerana di sini terdapat begitu banyak bahan dagangan dari kawasan Timur dan Barat. Kejayaan Melaka ini bukan sahaja diusahakan oleh Parameswara serta penggantinya, namun kebijaksanaan dan kebolehan yang dimiliki oleh para pembesar Melaka yang sentiasa memberi taat setia kepada raja mereka. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh Orang Laut begitu mustahak dalam mengawal dan menjaga Selat Melaka daripada ancaman musuh-musuh Melaka. Malah, ketika Tun Perak menjadi bendahara Melaka, Melaka terus membangun dan berdiri sendiri dalam mendepani musuh-musuh Melaka khususnya Siam. Tun Perak juga telah memberi sumbangan terhadap kejayaan Melaka meluaskan empayar ini. Oleh itu, di sini saya akan membincangkan peranan dan sumbangan Tun Perak.

            Sebelum Tun Perak menjadi Bendahara Melaka menggantikan Bendaha Tun Ali, beliau merupakan seorang penghulu di Klang. Mengikut tradisi pelantikan Bendahara, Tun Perak sepatutnya menggantikan ayahnya, iaitu Tun Perpatih Sedang yang bergelar Seri Wak Raja sebagai Bendahara Melaka, namun Tun Perak tidak dipilih untuk memegang jawatan tersebut dan diberikan kepada Tun Ali. Bapa Tun Perak telah meminum racun untuk membunuh dirinya apabila didapati bahawa beliau tidak lagi disukai oleh golongan istana. Oleh itu, selepas bapa Tun Perak meninggal dunia, Tun Perak membawa dirinya ke Klang dan tinggal di situ. Tidak beberapa lama, dirinya dilantik menjadi penghulu di Klang. Malah, ketika penduduk di Klang diperintah untuk memberi bantuan menentang musuh Melaka, di sini, bakat kepimpinan dan kebijaksanaan Tun Perak terserlah apabila membawa kanak-kanak dan wanita untuk turut sama mempertahankan Melaka. Menurutnya, tentera lelaki kelak berperang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Melaka. Sultan tertarik dengan bakat yang dipunyai oleh Tun Perak. Oleh itu, Tun Perak tidak seharusnya duduk di Klang lagi dan perlu memberi khidmat dan taat-setianya kepada raja Melaka. Malah, Tun Perak merupakan keturunan Bendahara Melaka, maka sesuailah dirinya duduk di Melaka dan diberi jawatan sebagai Bentara Melaka. Selain itu, menurut Muhammad Yusoff Hashim (2015), melalui jawatan di Klang itulah Tun Perak mula terlibat dalam bidang pentadbiran, lalu menjadi sebahagian daripada jentera birokrasi kerajaan Melaka.

            Peluang menjadi penghulu di Klang telah memberi pengalaman yang bermakna buat Tun Perak untuk memegang jawatan yang lebih tinggi daripada itu, iaitu sebagai Bentara Melaka apabila dilantik oleh sultan. Setelah beberapa lama, Tun Perak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Melaka dan akhirnya mengambil semula jawatan Bendahara yang sepatutnya menjadi miliknya dahulu. Di sini bermulalah kerjaya Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang pernah dipegang oleh ayahnya dahulu. Menurut Ahmad Jelani Halimi (2008), Tun Perak telah dilantik sebagai Bendahara Melaka dengan gelaran Paduka Raja pada tahun 1456 Masihi menggantikan Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali. Sebagai bendahara, Tun Perak berperanan untuk membantu sultan dalam menguruskan kerajaan Melaka yang sedang berkembang itu. Menurut Suzana Othman (2014), tugas utama Bendahara ialah “memerintah, memberi kebajikan atas bumi yang dilingari raja itu”, iaitu mentadbir kerajaan yang beraja secara fizikal. Tambahnya lagi, Bendahara berperanan sebagai penjaga peribadi dan penasihat sultan dalam segala perkara yang merangkumi urusan peribadi sultan sehinggalah kepada perkara yang bersangkutan dengan hal ehwal pentadbiran negeri dan ini menjadi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang Bendahara dengan penuh rasa kesedaran. Malah, bendahara Tun Perak ialah individu utama menjaga daulat yang dipunyai oleh raja. Muhammad Yusoff Hashim menyatakan bahawa proses pendaulatan ini bukan setakat menghormati raja, malah mengakuinya secara eksplisit bahawa baginda mengatasi undang-undang.

            Selain berperanan sebagai seorang bendahara Melaka, Tun Perak sepanjang kerjayanya telah menjadi perancang dasar dan polisi Kesultanan Melayu Melaka. Sebagai perancang dasar, Tun Perak berfungsi untuk membentuk dasar kerajaan Melaka dengan disokong oleh sultan atau raja. Dasar ini bukan sahaja merangkumi hal-hal ekonomi dan politik, tetapi turut meliputi hal perluasan kuasa Melaka di Alam Melayu/Nusantara. Menurut J. Kennedy (1962), pembinaan empayar Melaka banyak berlaku ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pun begitu, Sultan Mansur Shah sendiri bukanlah seorang yang berperwatakan kuat (strong character) dan arah tuju polisi kerajaannya datang daripada Bendahara Tun Perak, di mana Tun Perak merupakan sepupunya sendiri. Antara langkah yang dibuat oleh Tun Perak setelah memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka ialah memutuskan untuk menyerang Pahang, yang menjadi vassal-state Siam. Siam menjadi musuh utama Melaka sejak awal penubuhannya lagi. Namun, kebijaksanaan Parameswara menjalin hubungan dengan China membolehkan Melaka berlindung diri daripada China dan menghentikan serangan Siam. Pun begitu, setelah China mengasingkan diri dan menutup pintunya daripada dunia luar, Melaka perlu berusaha untuk mempertahankan dirinya sendiri. Tugas ini diambil oleh Tun Perak apabila berjaya mendamaikan hubungan Melaka-Siam.

            Selain itu, Tun Perak juga berperanan sebagai ketua tentera dan perancang strategi peperangan Melaka. Menurut Suzana Othman, bendahara juga mengambil peranan sebagai ketua angkatan tentera mengatasi hulubalang besar dan laksamana dalam mengetuai angkatan perang. Bakat Tun Perak sebagai perancang strategi peperanagan dapat dilihat apabila Melaka diserang oleh Siam melalui Pahang. Siam menyerang Melaka apabila Sultan Muzaffar Shah enggan tunduk kepadanya. Pada waktu ini, Tun Perak masih menjadi penghulu di Klang. Menurut Muhammad Yusoff Hashim, Tun Perak telah mengerahkan seluruh penduduk Klang, lelaki, wanita dan kanak-kanak datang mempertahankan Melaka. Kerahan ini agak pelik, tetapi praktikal. Menurutnya, tentera lelaki Melaka kelak berperang dan mempertahankan Melaka bersungguh-sungguh. Tambahnya lagi, selepas menjawat jawatan sebagai bendahara, tugas pertamanya mengetuai angkatan tentera laut Melaka menangkis dan mengalahkan serangan hebat Siam dari laut. Anekdot penggunaan “puntung api” dekat pantai Batu Pahat, sebelum sampai ke pantai Melaka, memang melucukan, tetapi praktikal dan akhirnya Siam kalah. Tun Perak telah meletakkan puntung api bagi menggambarkan betapa ramainya tentera Melaka dalam melawan tentera Siam. Melihat begitu banyak puntung api telah menakutkan Siam. Dan muslihat Tun Perak ini berjaya, puntung api disangka orang telah mengelirukan tentera Siam dan Melaka selamat dari ancaman Siam.

            Antara sumbangan Tun Perak ialah membantu sultan Melaka dalam mentadbir dan menguruskan segala aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan Melayu ini. Sejak menjawat jawatan Bendahara, Tun Perak telah membantu Melaka mencapai banyak kejayaan dan kegemilangan. Tun Perak telah berjaya mempertahankan kedaulatan Melaka daripada serangan musuh yang cemburu dengan kemewahan dan kejayaan yang dikecapi oleh Melaka. N.J Ryan (1963) men-yatakan bahawa semasa Tun Perak berkhidmat sebagai Bendahara Melaka, beliau telah memastikan bahawa musuh-musuh Melaka ditundukkan. Ini dapat dilihat apabila Tun Perak berjaya mematahkan serangan Siam sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1446 dan juga tahun 1456. Selain itu, Tun Perak telah mengetuai Melaka melumpuhkan penderhakaan di Pasai, maka berbaik-baiklah Pasai dengan Melaka. Kepimpinan yang dimiliki oleh Tun Perak telah memastikan bahawa Melaka bebas daripada ancaman musuh dari luar dan sentiasa memberi taat setia kepada sultan sepanjang perkhidmatannya.

            Selain itu, sumbangan lain yang diberikan oleh Tun Perak ialah membantu meluaskan jajahan takluk Melaka. Muhammad Yussoff Hashim memberitahu bahawa Tun Perak telah memberikan dan menunjukkan kepimpinan serta teladan. Dengan penguasaan seluruh Semenanjung Malaysia, pantai timur Sumatera hingga selatan Riau-Lingga-Tungkal, pengawalan seluruh jalan dan laluan perairan dan perdagangan Selat Melaka menyebabkan pada era Tun Perak, Melaka menjadi sebuah empayar dan melalui zaman keemasan. Perkara ini sama ditegaskan oleh Ahmad Jelani Halimi bahawa di bawah pentadbiran Tun Perak, empayar Melaka berkembang dengan pesat sehingga beliau dianggap sebagai “Pembina Empayar”. Kawasan takluk Melaka semasa ini meliputi seluruh Semenanjung termasuk Patani. Di samping itu, negeri-negeri di Timur Sumatera seperti Siak, Rokan, Kampar, Inderagiri, Jambi, Tungkal, dan Siantan juga dikuasai oleh Melaka. Joginder Singh Jessy (1962) turut memberitahu bahawa Tun Perak telah melancarkan serangan ke atas negeri-negeri di pinggir Laut Sumatera. Kampar, Siak, Aru, Rokan dan Inderagiri dilanggar. Semua negeri-negeri ini kecuali pasai telah ditakluki. Dengan demikian, maka pengaruh Melaka berkembang luas. Ini memberi gambaran bahawa Tun Perak telah memberi sumbangan yang terlalu besar dalam meluaskan jajahan takluk Melaka. Melalui jajahan takluk ini, Melaka mendapat keuntungan sama ada dari sudut pembekalan bahan mentah dan barang dagangan atau pertolongan ketenteraan dalam menumpaskan musuh-musuh Melaka.

            Rumusannya, Tun Perak yang pada mulanya menjadi penghulu di Klang dan seterusnya berkhidmat sebagai Bendahara Melaka telah membawa kepada pencapaian pelbagai kejayaan oleh kerajaan Melayu ini. Menjadi bendahara di bawah empat orang Sultan membuktikan betapa Tun Perak merupakan individu yang sangat berharga untuk Melaka dan mempunyai pengaruh yang luas. Selain itu, Tun Perak telah berjaya membantu meluaskan jajahan takluk Melaka sehinggalah Melaka mendapat manfaat daripadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...