Isnin, 15 Mei 2023

5 Sebab Portugis Menuju ke Timur

Portugis merupakan bangsa Eropah yang terawal sampai di kepulauan Melayu apabila Lopez de Squire berjaya sampai di Melaka pada tahun 1509. Pun begitu, kehadiran bangsa Portugis ini tidak disenangi oleh pedagang-pedangang India dan Arab yang bimbang tentang kedudukan perdagangan mereka di Melaka. Lantaran itu, timbul usaha untuk menangkap orang Portugis ini. Rancangan ini berjaya diketahui oleh Lopez de Squire yang akhirnya melarikan diri dari Melaka dan memberitakan tentang Melaka kepada Raja Portugal. Akhirnya, pada tahun 1511, di bawah pimpinan Alfonso d’ Albuquerque Melaka berjaya ditawan oleh Portugis. Sejak itu, Portugis mengambil alih kegiatan politik, ekonomi dan sosial di bandar Melaka serta mendiri-kan semula Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan utama di rantau Asia Tenggara. Namun, terdapat sebab-sebab lain yang menggerakan niat bangsa Portugis ini menuju ke Timur selain daripada tujuan perdagangan setelah mendapatkan Melaka. Di dalam tulisan kali ini, saya akan membincangkan sebab-sebab Portugis menuju ke Timur.

 

1.Mencari Jalan Alternatif Menuju Ke Timur

            Sebab utama yang mendorong Portugis menuju ke Timur ialah mencari jalan alternatif untuk sampai ke negeri di mana letaknya bahan-bahan rempah yang begitu mahal harganya di Eropah. Jalan perdagangan pada ketika ini dikuasai oleh pedagang Islam. Mereka membawa rempah dari pelbagai pusat perdagangan di Asia Tenggara khususnya di kepulauan Melayu dan Indonesia menggunakan kapal-kapal yang belayar melalui Ormuz dan Basra. Ia didagangkan di Alexandria dan Baghdad dan di bandar inilah pedagang-pedagang Eropah mendapatkan rempah dan di bawa ke Eropah. Setiap kali bahan dagangan ini bertukar tangan, ia menjadi begitu mahal harganya. Maka, lebih baik bahan seperti ini didapatkan secara terus dari mana ia diperolehi, iaitu di Alam Melayu khususnya Melaka yang telah menjadi pusat pengumpulan bahan dagangan yang penting dan utama. Bahan-bahan ini digunakan sebagai bahan penambah rasa terhadap makanan. Oleh itu, timbul kesukaran bagi bangsa Portugis mendapatkan rempah ini apabila jalan perdagangan dikuasai oleh pedagang Islam. N.J Ryan (1963) menjelaskan bahawa ketika kekuasaan Empayar Turki meningkat, secara perlahan-lahan aktiviti ekonomi di Timur Jauh di bawah kawalannya dan menjadikan kegiatan perdagangan antara Eropah dan Asia di bawah kekuasaannya. Sebagai cara mengatasi masalah ini, jalan alternatif menuju ke Timur perlu dilakukan.

 

2.Misi dan Visi Putera Henry

            Usaha untuk mencari jalan ke Timur telah dimulakan oleh Prince Henry the Navigator (1394-1460) apabila beliau membina pusat kajian saintifik tentang pelayaran di Sagres. Di sini, dilakukan kajian dan penyelidikan terhadap perubahan angin, peta dan jalan serta pembinaan kapal untuk tujuan pelayaran. Putera Henry sendiri mengumpulkan ahli atau pakar tentang aktiviti pelayaran dan pemetaan, seterusnya melatih beberapa orang yang dipilih olehnya untuk menjadi pelayar yang berkemahiran. Selain itu, bagi memenuhi tujuan pelayaran yang jauh, maka diperlukan sebuah kapal yang mampu melaksanakan misi ini. Oleh itu, Putera Henry juga telah menjalankan kajian terhadap pembinaan kapal untuk tujuan ini. Di bawah pimpinannya, Portugal telah melakukan penjelajahan ke pantai Barat Afrika dan mencari jalan untuk menuju ke Timur. Sejak itu, telah lahir beberapa orang pelayar Portugis yang terkenal dan diingati di dalam sejarah penjelajahan dan pelayaran seperti Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama. Misalnya, Barholomew Diaz telah mengelilingi Afrika pada tahun 1488 dan 10 tahun kemudian Vasco da Gama telah sampai di Malindi di Timur Afrika. Kejayaan dua orang pelayar Portugis ini merupakan sebahagian daripada usaha awal Putera Henry yang tidak sempat untuk melihat kejadian ini apabila meninggal pada tahun 1460.

 

3.Perdagangan Rempah

            Sebab ketiga Portugis menuju ke Timur ialah perdagangan. Seperti pernah disebutkan sebelum ini, rempah merupakan bahan penting bagi bangsa Eropah. Bahan ini hanya boleh didapati di kepulauan Melayu seperti di Maluku. Untuk mendapatkan rempah tersebut, Melaka perlu dikuasai terlebih dahulu kerana Melaka menjadi pusat pengumpulan rempah-ratus yang dibawa daripada pelabuhan-pelabuhan lain di Alam Melayu. Langkah awal telah diambil oleh Raja Manuel apabila mengutuskan Dom Diogo Lopez de Squire bersama hadiah dan surat kepada Sultan Melaka untuk meminta izin mendirikan pusat perniagaan di sini. Namun, hal ini tidak seperti yang diharapkan oleh Raja Manuel apabila Sultan Melaka akhirnya didesak supaya tidak membenarkan bangsa Portugis ini berniaga di sini. Pengaruh ini datangnya dari-pada pedagang Gujerat. Maka, Portugis terpaksa menawan Melaka lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini kerana, Melaka pasti menjadi sasaran bagi Portugis untuk ditawan dan ditakluk kerana kedudukannya sebagai bandar pelabuhan yang terkenal pada waktu itu. Malah, orang Portugis memerlukan Melaka terutamanya untuk mengawal perniagaan rempah di Maluku. Oleh itu, setelah Melaka dikuasai oleh Portugis, misi menghantar utusan ke negeri-negeri lain yang pernah menjalin hubung dagang dengan Melaka distabilkan semula. Ini terbukti apabila Antonia d’Abreu dan Francisco Serrao telah datang ke Maluku untuk tujuan ini.

 

4.Pengembangan Agama Kristian

            Selanjutnya, tujuan Portugis menuju ke Timur ialah untuk mengembangkan agama Kristian di sini. Perkara ini dapat dilihat apabila golongan misionari atau mubaligh Kristian ini turut serta dalam pelayaran menuju ke Timur. Malah, sejak Perang Salib lagi, wujud semacam satu persaingan di antara penganut Islam dan Kristian memperkembangkan pengaruh mereka di wilayah-wilayah yang lain. N.J Ryan menyebutkan bahawa orang Portugis sebagai pedagang juga berperanan sebagai kumpulan misionari yang berfungsi untuk mengembangkan ajaran agama Kristian terhadap penduduk yang mereka jumpai. Oleh itu, di Melaka setelah dikuasai oleh Portugis, Albuquerque memerintahkan supaya dibina gereja yang bertujuan sebagai pusat kegiatan agama Kristian. Namun, gereja ini hanya siap pada tahun 1515. Selain itu, mereka juga mendirikan beberapa buah gereja seperti Gereja Our Lady of the Visitation dan Gereja St Paul. Gereja St. Paul ini diperbuat daripada kayu sebelum digantikan dengan bangunan batu pada tahun 1590. Perkembangan agama Kristian ini diikuti oleh usaha yang dibuat oleh seorang Paderi iaitu Francis Xavier yang pernah tinggal di Melaka telah menubuhkan pusat mubaligh Jesuit serta sekolah. Paderi ini turut menyelenggarakan terjemahan rukun sepuluh dan beberapa doa ke dalam bahasa Melayu.

 

5.Meningkatkan Imej Bangsa Portugis

            Sebab lain Portugis menuju ke Timur adalah untuk meningkatkan imej bangsa Portugis. Ini dapat dilihat kepada visi dan misi yang dipegang oleh Alfonso d’ Albuquerque yang ingin melihat sebuah empayar Portugal yang luas di wilayah timur ini. F.J Moorhead (1957) turut menegaskan hal sedemikian apabila menyatakan bahawa Alfonso d’ Albuquerque bukanlah mencari kekayaan dirinya sendiri, tetapi mengimpikan untuk membina sebuah empayar kuat dan teguh di Timur. Wawasan beliau ini diterjemahkan melalui penguasaan Melaka bermula pada tahun 1511 sebelum diambil oleh Belanda pada tahun 1641. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa Portugis menjadi sebuah bangsa Eropah yang kuat dan berani sehingga berjaya sampai ke kawasan Timur, malah meletakkan beberapa kawasan pertahanan dan pusat pentadbiran Portugis di luar Portugal seperti di Goa, India. Dan, setelah beberapa dekad, Portugis memiliki pesaing seperti Belanda, Sepanyol dan Inggeris yang turut serta dalam misi mendapatkan tanah jajahan di kawasan Asia Tenggara ini.

            Kesimpulannya, ada lima sebab Portugis menuju ke timur. Ada motif yang berjaya di-capai oleh mereka dan sebahagiannya lagi tidak menunjukkan hasil yang positif seperti misi pengembangan agama Kristian yang kurang menunjukkan kemajuan. Pun begitu, kejayaan Portugis di dalam hal-hal yang lain menggambarkan bahawa Portugis menjadi bangsa Eropah pertama yang berani untuk mengambil risiko dan berinisiatif.


Isnin, 8 Mei 2023

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, 1699

Pada tahun 1699, kerajaan Johor dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan raja/sultan mereka iaitu Sultan Mahmud Syah II oleh Megat Seri Rama atau juga dikenali sebagai Laksamana Bentan. Pembunuhan ini berlaku ketika Sultan Mahmud Syah II sedang duduk di atas julang (tandu), lalu Megat Seri Rama melemparkan senjata yang telah menikam diri Sultan Mahmud Syah II. Kemangkatan sultan menyebabkan terputuslah keturunan raja-raja Melaka keturunan Bukit Siguntang, kerana Sultan Mahmud Syah II sendiri tidak meninggalkan sebarang zuriat yang dapat menggantikan takhta kerajaan baginda. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk mem-bincangkan peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ini secara lebih terperinci dan lebih mendalam.

            Sultan Mahmud Syah II (Raja Mahmud) menggantikan takhta kerajaan Johor daripada ayahanda baginda iaitu Sultan Ibrahim Syah yang telah mangkat di Riau pada bulan Februari tahun 1685. Baginda memegang takhta kerajaan Johor sehingga tahun 1699 ketika berusia 30 tahun. Dari aspek perwatakan dan sifat peribadi, Ahmad Dahlan (2017) menjelaskan bahawa Sultan Mahmud Syah II ialah seorang yang cerdas, mahir dan teliti. Sebagai contoh, pada tahun 1691, Sultan Mahmud Syah II telah meneliti semula surat-surat perjanjian di antara pemerintah Johor dengan Belanda. Apabila didapati wujud kerugian bagi pihak kerajaan Johor di dalam surat perjanjian ini, baginda telah mengirim utusan ke Betawi (Batavia) untuk berunding serta meneliti semula isi perjanjian yang disepakati oleh pemerintah dahulu. Namun begitu, sisi lain Sultan Mahmud Syah II ialah baginda disifatkan sebagai seorang yang kejam dan sadis. Malah, Shahrom Husain (1995) menyatakan bahawa Sultan Mahmud Syah II seorang yang memiliki perangai ganjil, tidak mengenal kasihan dan berkelakuan bengis terhadap para pembesar dan juga rakyatnya. Sebagai contoh, pernah suatu ketika pada tahun 1695, seorang kapten dagang iaitu Alexander Hamilton dari Scotland datang menghadiahkan sepucuk pistol kepada Sultan Mahmud Syah II. Untuk menguji kualiti atau bagusnya pistol tersebut ditembak bahu seorang pengawalnya. Ini menggambarkan sifat Sultan Mahmud Syah II yang bertindak mengikut diri-nya sendiri.

            Selain itu, Sultan Mahmud Syah II memiliki sifat ganjil. Ini disebutkan oleh Buyong Adil (1980) bahawa sungguhpun Sultan Mahmud Syah II telah dewasa, tetapi baginda terus melakukan kegilaan dan kebengisan baginda dengan laku perangai baginda yang ganjil-ganjil itu,  sehingga orang-orang besar Johor tidak lagi mengindahkan taraf kesultanan baginda itu, segala hal pemerintahan negeri yang hendak dirundingkan oleh orang-orang besar itu, mereka bermuafakat dengan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil sahaja. Malah, Ahmad Dahlan juga menyebutkan bahawa Sultan Mahmud Syah II dikhabarkan mempraktikkan hubungan dengan alam kebatinan/mistik. Banyak babad Melayu yang menyebut perihal sultan/raja yang memiliki ‘isteri’ di alam ghaib/makhluk halus disebut peri/orang bunian. Selanjutnya, di dalam kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada tahun 1699 ini, rasanya perlu untuk dijelaskan sedikit tentang identiti Megat Seri Rama dan juga isterinya iaitu Dang Anum yang terlibat secara langsung. Megat Seri Rama merupakan laksamana Kesultanan Melayu Johor. Menurut Shahrom Husain, Megat Seri Rama bolehlah dikatakan seorang dari-pada hulubalang yang handal. Dia juga mempunyai anak buah serta kuatkuasa di dalam negeri Johor. Beliau memiliki seorang isteri iaitu Dang Anum yang sedang sarat mengandung anak sulung. Megat Seri Rama terpaksa meninggalkan isterinya apabila beliau menjaga perairan Riau.

            Peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ini bermula apabila Penghulu Bendahari sedang menatang talam berisi buah nangka yang akan dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah II. Pada ketika itu, Dang Anum sedang duduk di depan rumah, merindui suaminya. Ketika ternampak Penghulu Bendahari membawa nangka, menitis air liur Dang Anum yang sedang menunggu hari itu apabila tercium aroma buah nangka yang sedang ranum itu. Oleh itu, Dang Anum telah menyatakan hasratnya kepada Penghulu Bendahari untuk memberikan kepadanya seulas daripada nangka tersebut. Pada fikir Penghulu Bendahari, tidak elok rasanya membiar-kan seorang ibu yang sedang sarat mengandung mengidamkan buah nangka dan tidak baik membuat bayi di dalam perut ibunya itu menjadi kempunan. Maka, diberikan oleh Penghulu Bendahari seulas nangka. Lalu, dimakanlah oleh Dang Anum nangka tersebut. Namun, perkara ini tidak diketahui oleh Sultan Mahmud Syah II. Sejurus itu, Penghulu Bendahari pun beredar dan membawa nangka yang sudah susut seulas tersebut kepada sultan Mahmud Syah. Namun, Shahrom Husain menjelaskan bahawa nangka tersebut telah dipersembahkan kepada sultan, tetapi pada waktu tersebut Sultan Mahmud Syah II sedang beradu. Maka, pada waktu inilah Dang Anum datang kepada Penghulu Bendahari untuk meminta nangka tersebut.

            Apabila Sultan Mahmud Syah II bangkit, dipersembahkan oleh Penghulu Bendahari nangka yang sudah susut seulas. Hal ini ditanyakan oleh sultan. Lalu dijawab oleh Penghulu Bendahari bahawa seulas nangka yang tidak baik dan hendak dibuang telah diberikan kepada isteri Megat Seri Rama. Namun, tindakan ini menimbulkan kemarahan kepada sultan, kerana Sultan Mahmud Syah II tidak sudi menyantap makanan sisa, walaupun dari sebiji nangka yang sudah diambil cuma seulas oleh Dang Anum. Malah, perkara ini bukan sahaja melibatkan seulas nangka tersebut, tetapi berkaitan soal kehormatan dan darjat seorang sultan. Sebagai raja atau sultan, mereka dianggap layak mendapatkan hal yang terbaik. Memakan ‘sisa’ daripada seorang rakyat biasa, meskipun Dang Anum isteri kepada seorang laksamana, merupakan satu hal yang dianggap mencemar daulat seorang sultan/raja. Penghulu Bendahari memberitahu kepada sultan bahawa yang mengidam nangka tersebut bukanlah diri Dang Anum, tetapi bayi yang sedang dikandungkan oleh Dang Anum. Namun, hal ini telah menyebabkan sultan sendiri murka lalu memerintahkan Dang Anum segera menghadap bagi memastikan benarkah bahawa bayi di dalam perut Dang Anum itu yang mengidam nangka tersebut. Oleh itu, Dang Anum dipanggil menghadap sultan. Satu perbuatan keji Sultan Mahmud Syah II ialah membedah perut Dang Anum dan matilah isteri Megat Seri Rama bersama bayi sulungnya itu yang tidak sempat melihat dunia.

            Sekembalinya Megat Seri Rama dari berkhidmat di lautan, bertugas menjaga perairan Riau, beliau segera pulang ke Johor untuk melihat isterinya yang mungkin sudah melahirkan bayi sulungnya itu. Namun, sangkaannya itu meleset apabila didapati isteri dan anaknya sudah meninggal dunia. Ada yang bercerita kepada Megat Seri Rama peristiwa pembunuhan isteri dan anaknya itu oleh Sultan Mahmud Syah II gara-gara seulas nangka. Mendapat tahu berita ini membuatkan Megat Seri Rama berasa sedih, geram dan marah. Lantas, Megat Seri Rama sendiri datang menghadap Tun Abdul Jalil, Bendahara Paduka Raja menceritakan nasib yang telah menimpa dirinya itu. Juga, disampaikan niatnya yang sanggup menderhaka kepada sultan. Katanya lagi, jika Sultan Mahmud Syah II mangkat, maka sudah pasti Tun Abdul Jalil diangkat menjadi Sultan Johor yang baharu kerana baginda sultan tidak mempunyai zuriat. Maka, Tun Abdul Jalil pun bermesyuarat dengan saudaranya tentang segala maksud Megat Seri Rama itu. Kesemuanya sebulat suara membenarkan kerana langkah yang akan dilakukan oleh Megat Seri Rama itu seolah-olah pucuk dicita ulam mendatang kepada sekalian orang besar negeri Johor. Mereka sekalian memang tersangat benci dan bimbang akan kezaliman dan kebengisan yang dilakukan oleh sultan. Mereka sukakan Bendahara Abd. Jalil menjadi sultan negeri itu.

            Pada hari yang telah dirancang, Megat Seri Rama mengadang rombongan sultan. Pada ketika ini Sultan Mahmud Syah II sedang dijulang (ditandu) oleh pembantunya. Ada yang men-ceritakan bahawa Sultan Mahmud Syah II sedang dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Megat Seri Rama memandang wajah Sultan Mahmud Syah II dengan penuh rasa benci, geram dan marah. Lalu, beliau pun melompat dan menikam Sultan Mahmud Syah menggunakan keris beliau sendiri. Terkenalah Sultan Mahmud Syah akan keris Megat Seri Rama itu. Pun begitu, sebelum Sultan Mahmud Syah II itu mangkat, baginda sempat melontar keris tersebut kepada Megat Seri Rama. Maka, Megat Seri Rama juga turut meninggal dunia pada masa itu juga. Sejarah mencatatkan bahawa peristiwa yang menyedihkan ini telah berlangsung di Kota Tinggi, Johor pada tahun 1699. Baginda disebutkan marhum ‘Mangkat Dijulang’. Mengikut riwayat Tuhfat al-Nafis, baginda mangkat pada hari Jumaat, bulan Safar 1111 iaitu bersamaan dengan T.M 1699. Sultan Mahmud Syah II yang dibunuh itu tidak meninggalkan sebarang zuriat untuk mewariskan pemerintahan kerajaan negeri Johor. Maka, terputuslah jurai keturunan raja-raja Melaka yang dikatakan turun daripada Bukit Siguntang itu.

Rumusannya, Setelah Sultan Mahmud Syah II mangkat, putuslah keturunan anak cucu raja-raja Melayu Melaka yang berasal daripada titisan darah raja-raja Melayu yang turun di Bukit Siguntang iaitu keturunan daripada Iskandar Dzulkarnain yang telah memerintah dan berkerajaan di Johor. Oleh itu, kerajaan Johor diperintah oleh raja-raja berketurunan Bendahara sebelum Raja Kechil datang menuntut takhta kerajaan Johor atas kapasiti baginda anak kepada Sultan Mahmud Syah II yang identitinya masih diragui.


Isnin, 1 Mei 2023

5 Faktor Kegemilangan Kesultanan Johor Riau

Pada peringkat awal penubuhannya, Kesultanan Melayu Johor berdepan dengan cabaran luar yang sering mengganggu dan berusaha untuk menjatuhkannya. Portugis yang telah menguasai Melaka pada 1511 kerap kali menyerang pusat pemerintahan Johor yang menyebabkan pusat pentadbiran kerajaan Melayu ini sering berpindah-pindah. Begitu juga, Acheh, sebuah kerajaan Melayu yang semakin berkembang maju di Sumatera cuba untuk menakluk beberapa bahagian wilayah di Semenanjung Tanah Melayu ini sebagai wilayah jajahannya. Suasana ini mewarnai perjalanan Kesultanan Melayu Johor sehinggalah Belanda datang ke Alam Melayu dan menjadi sahabat baik kepada Johor. Malah, kehadiran Belanda telah mengubah landskap politik dan ekonomi di sini. Ini dapat dilihat apabila Belanda menggantikan Portugis di Melaka pada tahun 1641. Ini membuka peluang kepada kerajaan Melayu Johor yang berpusat di Batu Sawar untuk mencapai kegemilangan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan seperti ekonomi, politik dan sosial. Malah, ancaman dari kerajaan Acheh semakin malap apabila pemerintahnya iaitu Sultan Iskandar Thani telah mangkat. Oleh itu, Kesultanan Melayu Johor mengulangi semula kejayaan dan kegemilangan yang pernah dicapai oleh Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Di sini, saya akan membincangkan lima faktor kegemilangan kerajaan Melayu ini.

 

1.Kecekapan Sultan dan Para Pembesar

Kegemilangan Kesultanan Melayu Johor bermula sekitar tahun 1640-an. Pada ketika ini Johor diperintah oleh Raja Bujang yang memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Syah III (1623-1677)[1]. Sultan Abdul Jalil Syah III merupakan anak kepada Sultan Abdullah Muayat Shah yang telah mengundurkan diri ke Pulau Tembelan apabila diserang oleh Acheh di Pulang Lingga. Sultan ini telah mangkat di sini. Apabila Sultan Abdul Jalil Syah III memegang takhta kerajaan Johor, baginda telah berpindah dari Tembelan ke Johor dan menjadikan Makam Tauhid sebagai pusat pemerintahan [2]. Di masa pemerintahan baginda inilah Johor mengulangi semula kegemilang-an yang pernah dicapai oleh Melaka dahulu. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Abdullah Zakaria Ghazali (1994) bahawa Johor muncul sebagai sebuah kuasa dan mengalami kemantapan kerajaannya di masa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah III, di mana sempadan Johor mulai jelas. Kejayaan ini pastilah disebabkan oleh kepimpinan dan kecekapan yang dipunyai oleh Sultan dan juga bantuan oleh para pembesar pada waktu itu. Ini dapat dilihat ketika Melaka apabila raja-raja yang memerintah pada masa itu telah membawa kemakmuran, keamanan dan juga kejayaan kepada masyarakat yang dipimpinnya. L.Y Andaya (1975) menyatakan bahawa kekayaan yang diperoleh daripada perdagangan antarabangsa ini telah meningkatkan prestij pemerintah Johor. Kekuataan kerajaan ini dipimpin oleh Sultan Johor, di mana tanpa kehadiran seorang raja/sultan, segala aktiviti di dalam kerajaan sukar untuk dijalankan.

 

2 .Sebagai Pusat Perdagangan

Kegemilangan Kesultanan Melayu Johor didorong oleh peranannya sebagai pusat perdagangan di rantau Alam Melayu. Seperti mana Melaka dahulu, kegiatan perdagangan yang berkembang maju secara tidak langsung memberi kemakmuran dan kemewahan hidup kepada masyarakat-nya. Dan, perkara ini dialami sekali lagi oleh Kesultanan Melayu Johor apabila menjadi pusat perdagangan yang penting di Alam Melayu. Di bawah pemerintahan Sultan Abdul Jalil III, Batu Sawar yang menjadi pusat pemerintahannya telah dikunjungi oleh ramai orang untuk ber-dagang di sini. Buyong Adil (1980) menjelaskan bahawa, negeri Johor (Batu Sawar) telah men-jadi bandar pusat perniagaan bagi dagangan yang dibawa dari China dan dijualkan pula ke negeri-negeri sekitar Johor. Selain itu, Johor menawarkan bahan dagangan yang popular di Alam Melayu dan menjadi kegemaran dan kesukaan pedagang Eropah dan China seperti lada hitam. Malah, dapat ditemui di sini hasil dagangan seperti timah, kelapa kelapa kering, kayu gaharu, gading gajah, kapur barus periuk belanga, damar dan lain-lain dagangan yang didatangkan dari daerah-daerah takluk Johor [4]. Saudagar China yang datang ke Johor menawarkan pelbagai bahan dagangan seperti benang emas, barang-barang tembikar jenis kasar, kuali besi, teh dan tembakau, ditukarkan mereka dengan timah dan lada hitam yang banyak di pasar perniagaan Batu Sawar itu.

            Selanjutnya, sebagai pusat perdagangan yang penting, pemerintah Johor sentiasa peka terhadap kemudahan yang diperlukan oleh pedagang-pedagang yang singgah di sini. Oleh itu, Johor telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada saudagar seperti gudang penyimpanan, sumber air bersih dan perkhidmatan membaiki kapal-kapal yang rosak dan perlu dibaiki. Selain itu, di pelabuhan Johor ini ditadbir urus oleh pegawai yang terlatih dalam menguruskan perniagaan, memungut cukai, meneliti sukatan dan timbangan mengikut standard yang ditetap-kan dan memastikan segala urusan perniagaan dijalankan dengan lancar dan meminimumkan masalah yang mungkin timbul [5]. Oleh itu, selain dari harga dagangan yang murah, perkara-perkara di atas telah membantu di dalam kejayaan dan kegemilangan Johor khususnya dalam sektor ekonomi dan politik.

 

3 .Peranan Orang Laut

Orang Laut memainkan peranan yang penting untuk Johor mencapai kegemilangannya. Seperti di Melaka dahulu, Orang Laut ditugaskan untuk menjaga perairan Selat Melaka serta menarik para saudagar yang melalui selat ini untuk singgah terlebih dahulu ke pelabuhan Melaka. Ini membantu Melaka meningkatkan aktiviti perdagangannya dan menjadi kota pelabuhan yang terkenal di gugusan kepulauan Melayu. Begitu juga di zaman Kesultanan Melayu Johor. Tidak dinafikan peranan Orang Laut ini dalam membantu melancarkan lagi kegiatan ekonomi di pelabuhan Johor. Perkara ini turut ditegaskan oleh C.M Turbull (1989) bahawa, Orang Laut memainkan peranan dalam mengawal perairan kerajaan Johor dan mengarahkan kapal-kapal untuk datang ke pelabuhan Johor. Namun, di sebalik sumbangan dan peranan Orang Laut ini, mereka diketuai oleh seorang Laksamana sebagai pembesar empat yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kebajikan kerajaan Johor sentiasa di dalam keadaan yang terkawal. Andaya & Andaya (1982) menjelaskan bahawa Laksamana menjadi ketua bagi Orang Laut, memimpin kumpulan ini di dalam membantu para raja/sultan yang mempunyai daulat untuk mendirikan kerajaan yang baharu. Kepakaran mereka di laut sangat diperlukan kerana kegiatan ekonomi yang berteraskan kelautan memerlukan Orang Laut ini membantu di dalam melancarkan kegiatan ekonomi kerajaan Johor, dan bebas daripada ancaman musuh yang mungkin mengganggu pedagang yang ingin singgah ke sini.

 

4 .Kelemahan Kesultanan Melayu Acheh

Selain tiga faktor yang telah disebutkan sebelum ini, kelemahan Kesultanan Melayu Acheh diletakkan sebagai faktor luaran terhadap kegemilangan Kesultanan Melayu Johor. Sebelum ini, Acheh sentiasa melancarkan serangan ke atas Johor menyebabkan kota yang dibina oleh Sultan/Raja Johor binasa dan hancur. Oleh itu, pusat pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Melayu ini sentiasa berpindah-pindah. Namun, selepas lemahnya kerajaan Melayu Acheh ini, Johor tidak lagi diganggu. Ini membuka ruang yang cukup luas kepada Johor membangunkan semula wilayahnya yang hampir satu abad diganggu oleh Acheh di Sumatera. Berkenaan dengan kelemahan kerajaan Acheh ini disebutkan oleh Abdullah Zakaria Ghazali, bahawa kekuatan Acheh menjadi lemah, apabila angkatannya dikalahkan oleh Portugis di Melaka pada tahun 1629. Dalam perang ini, Acheh telah kehilangan sebanyak 19,000 orang nyawa. Pada tahun 1641, Acheh telah kehilangan raja mereka iaitu Sultan Iskandar Thani yang telah mangkat. Selepas tahun tersebut, Acheh kini diperintah oleh raja-raja perempuan, iaitu Puteri Safiatuddin yang memakai gelaran Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Syah. Hal ini menjadikan pelabuhan Pasai tidak lagi sesibuk dulu. Malah, kerajaan-kerajaan yang dahulunya di bawah pengaruh Acheh secara perlahan-lahan mula melepaskan diri dan selanjutnya menjadi jajahan takluk Kesultanan Melayu yang berpusat di Johor [5]. Sebagai contoh, Pahang sebelum tahun 1641 telah menjadi jajahan takluk Acheh. Namun, setelah kekuasaan Acheh semakin melemah, Pahang telah ditadbirkan secara langsung oleh Sultan Johor dan menjadi bahagian yang cukup penting bagi Johor selama 200 tahun.

 

5 .Kekalahan Portugis & Persahabatan dengan Belanda

Kegemilangan Johor juga didorong oleh kekalahan Portugis di tangan Belanda pada tahun 1641 yang menyaksikan berakhirnya penguasaan Portugis di Melaka. Sebelum ini, Portugis sentiasa memusuhi Johor di atas pertelingkahan dan perseteruan yang berlaku di antara kedua pihak. Bagi raja-raja yang sedang memerintah Johor, Melaka harus ditawan semula dan diletakkan kembali kepada kedudukan asalnya. Ini menyebabkan berlakunya siri peperangan di antara Portugis dan Johor. Namun begitu, kehadiran Belanda telah mengubah landskap politik di Alam Melayu apabila menjadi pesaing kepada Portugis di dalam memonopoli perdagangan rempah yang terdapatnya banyaknya di Alam Melayu dan begitu diminati oleh orang Eropah. Campur tangan Belanda di dalam krisis politik di antara Portugis di Melaka dan raja-raja Johor berlaku apabila Belanda telah menjalinkan persahabatan dengan Johor. Pada Ogos 1640, Belanda dibantu oleh Johor telah melancarkan kepungan ke atas Melaka. Orang-orang Johor memainkan peranan yang penting dalam pembinaan kubu dan parit serta mengangkut barang-barang meskipun mereka tidak terlibat dalam peperangan. Kepungan ini berakhir dengan kekalahan Portugis pada 14 Januari 1641.

            Manfaat yang diperoleh oleh Johor setelah membantu Belanda mendapatkan Melaka ialah, Johor dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan di perairan Selat Melaka tanpa gangguan daripada Portugis lagi. Belanda hanya ingin menjadikan Melaka sebagai tapak pemerhatian terhadap kapal-kapal yang menggunakan selat Melaka. Segala pusat pentadbiran Belanda di Alam Melayu ini diletakkan di Batavia. Antonio van Diemen sebagai pengarah VOC menyatakan rasa keberhutangannya terhadap Johor. Beliau menyebutkan bahawa:-

“Kita harus terus mengingati tentang orang-orang Johor, sumbangan yang mereka berikan di dalam menakluk Melaka. Tanpa pertolongan mereka, kita tidak mungkin menjadi ketua di tapak yang cukup kuat, iaitu Melaka”.

Rumusannya, kegemilangan Kesultanan Melayu Johor didorong faktor seperti kecekapan raja dan para pembesar, sebagai pusat perdagangan, peranan Orang Laut, tiadanya ancaman Acheh dan Portugis serta persahabatan Johor dengan Belanda. Namun, kegemilangan ini dimusnahkan oleh serangan Jambi yang menyaksikan Johor terpaksa berdepan semula dengan peperangan.

Isnin, 24 April 2023

Pengasasan Kesultanan Johor - Riau

Setelah Portugis menyerang Melaka dan menduduki negeri ini pada T.M 1511, Sultan Mahmud berserta para pembesar dan ahli keluarga berundur ke Pahang untuk menyelamatkan diri. Pada ketika itu, Portugis mempunyai kekuatan tentera yang sukar untuk dikalahkan, maka keputusan untuk berundur terlebih dahulu merupakan pilihan yang tepat. Ini memberi masa kepada Sultan Mahmud Shah memikirkan jalan terbaik untuk mengambil semula Melaka daripada Portugis. Namun, setelah usaha giat dijalankan melalui cara peperangan dan menyekat kapal-kapal yang berdagang di Melaka, Portugis sukar untuk ditundukkan. Sultan Mahmud Shah, di penghujung hidupnya melakukan pelbagai cara untuk menghalau Portugis dan mendaulatkan semula negeri Melayu ini seperti asalnya. Ini menggambarkan kecintaan Sultan Mahmud terhadap Melaka walaupun sebelum Portugis menyerang dulu, baginda seakan-akan membiarkan kerajaannya di dalam keadaan huru-hara. Setelah mangkat di Kampar, putera baginda iaitu Raja Ali telah diangkat menjadi sultan yang baharu bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II yang dikatakan oleh sesetengah penulis sebagai pengasas Kerajaan Melayu Johor. Di tulisan kali ini saya akan membincangkan pengasasan Kesultanan Melayu Johor pada awal abad ke-16.

            Sultan Alauddin Riayat Shah II telah dilantik menjadi sultan yang baharu pada tahun 1528 menggantikan Sultan Mahmud Shah yang telah mangkat di Kampar. Sultan Alauddin Riayat Shah II ini merupakan putera Sultan Mahmud Shah dengan Tun Fatimah, di mana pada suatu masa dahulu di Melaka ahli keluarganya telah dibunuh oleh Sultan Mahmud Shah di atas dendam terhadap Bendahara Tun Mutahir. Pengasasan Kesultanan Melayu Johor ini boleh di-katakan disebabkan oleh kejatuhan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Oleh itu, Kesultanan Melayu Johor sebagai ganti untuk meneruskan tradisi kerajaan Melayu ini. Raja yang memerintah Johor merupakan keturunan raja-raja yang memerintah Melaka dahulu. Menurut Ahmad Dahlan (2017) semenjak Sultan Alauddin Riayat Shah II membuka negeri ini, orang dari daerah luar turut membina perkampungan baharu dan menetap di kawasan itu. Penduduk terus bertambah dan semakin banyak. Ini melambangkan taat setia orang Melayu terhadap sultan/raja mereka. Oleh itu, disebabkan sultan yang mendirikan Kerajaan Melayu Johor ini mempunyai pertalian terus dengan raja-raja Melaka, maka segala jajahan takluk yang dimiliki oleh Kesultanan Melayu Melaka secara automatiknya masih dipegang oleh raja-raja yang mendirikan Kesultanan Melayu Johor. Tidak banyak diketahui tentang asal-usul nama Johor ini, namun menurut Ahmad Dahlan, perkataan “Johor” ini berasal daripada bahasa Arab iaitu “jauhar” yang bermaksud permata, “negeri permata”.

            Berbeza dengan Melaka dahulu pusat pemerintahan bagi Kesultanan Melayu Johor sering bertukar ganti mengikut sultan/raja yang memerintah dan situasi yang sedang berlaku di sekitar kepulauan Melayu, iaitu ancaman Portugis di Melaka dan Acheh di Sumatera. Hal ini menyebabkan berlakunya beberapa siri perpindahan pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Johor. Misalnya, pada tahun 1535, Sultan Alauddin Riayat Shah II terpaksa mengudurkan diri ke Sayong apabila diserang oleh Portugis. Malah, baginda juga pernah bersemayan di Muar dan selepas itu di Bintan. Kemudian, pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II mem-buat pusat pemerintahan di Johor Lama. Kota ini dibina daripada batu, maka dikenali sebagai Kota Batu [1]. Hal ini bukan sahaja berlaku terhadap Sultan Alauddin Riayat Shah II sendiri, tetapi, pengganti baginda turut mengalami hal yang sama. Misalnya, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, baginda setelah menetap di Kota Batu terpaksa berpindah dan mendiri-kan pusat pemerintahan di Seluyut. Begitu juga dengan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II yang menduduki taktha kerajaan Johor meskipun tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan raja-raja Melaka terdahulu, telah berpindah daripada Seluyut ke Tanah Puteh, dan berikutnya ke Johor Lama. Apabila Johor Lama diserang Portugis, baginda kemudiannya telah membina pusat pemerintahan di Batu Sawar[2]. Ancaman daripada luar menyebabkan pusat pentadbiran bertukar-tukar. Perubahan ini mungkin disebabkan kedudukan Johor yang masih belum begitu ampuh untuk mendirikan sebuah kerajaan Melayu seperti Melaka.

            Tentang kegiatan ekonomi yang dijalankan di dalam Kesultanan Melayu Johor ini tidak seperti yang dialami oleh Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Ini kerana, pusat pentadbiran bagi kerajaan Johor ini sering berpindah menyebabkan aktiviti ekonomi tidak dapat distabilkan oleh pemerintah Johor. Serangan dari luar seperti Acheh dan Portugis di Melaka mengeruhkan lagi situasi kerajaan Johor yang dalam keadaan tidak menentu. Pun begitu, ini tidak bermaksud tidak ada langsung kegiatan yang berbentuk ekonomi dijalankan oleh penduduk di Johor. Ini dijelaskan oleh Shahrom Husain (1995) bahawa ketika Sultan Muzaffar Shah II menjadi sultan, dari Seluyut (Kota Batu) hingga ke Padang Riang-riang penuh dengan pasar. Negeri yang ramai penduduknya itu dan mewah dengan hasil-hasil dan perniagaan makin bertambah maju. Malah, J.Kennedy (1962) juga menjelaskan bahawa ketika Sultan Alauddin Riayat Shah II membuka negeri baru, mungkin di Johor Lama, di Sungai Johor, selepas kematian ayahandanya, baginda meneruskan polisi menarik minat pedagang untuk datang ke Johor serta merompak kapal-kapal yang dalam perjalanan menuju ke Melaka. Ini sebagai satu cara mendapat pendapatan serta meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, sumber kewangan yang banyak sangat diperlukan untuk membiayai ekspedisi ketenteraan dalam usaha menawan semula Melaka daripada tangan Portugis. Oleh itu, di peringkat awal perjalanan Kesultanan Melayu Johor ini, aktiviti ekonomi sukar untuk mencapai kemajuan seperti Melaka dahulu.

            Zaman Melaka dahulu, ancaman dari Siam dapat dipatahkan melalui pertolongan yang diberikan oleh China. Ini memberi ruang yang cukup baik kepada sultan Melaka membangun-kan negeri ini sehingga menjadi sebuah kota pelabuhan yang gemilang. Di zaman Kesultanan Melayu Johor ini, ancaman Portugis dan Acheh sering mengganggu Johor melalui beberapa siri peperangan dan ancaman. Pertolongan dari China tidak dapat dihulurkan kerana pada ketika itu China berdepan dengan ancaman dari orang Tartar. Serangan Portugis terhadap Johor berlaku ketika Sultan Alauddin Riayat Shah II memerintah apabila Estevao da Gama sebagai pemimpin tentera menyerang Johor. Serangan ini menyebabkan Johor perlu berundur diri ke Sayong kerana tidak dapat mengatasi Portugis. Malah, pada tahun 1536 dan 1587 Portugis juga melancarkan serangan terhadap Johor. Selain itu, jiran terdekat iaitu Acheh juga melakukan serangan ke atas Johor pada tahun 1564, 1570, 1582, 1613, 1618 dan 16223. Walaupun diserang oleh Portugis dan Aceh, sultan, pembesar dan rakyat Johor masih mampu mempertahankan maruah dan kedaulatan Johor. Akibat serangan ini pusat kerajaan Johor terpaksa dipindahkan beberapa tempat akibat serangan Portugis dan Aceh yang memusnahkan kota-kota tersebut. Ancaman kedua-dua kuasa ini menyebabkan Johor menjalankan dasar berbaik dengan Belanda[3].

            Rumusannya, Kesultanan Melayu Johor berdepan pelbagai cabaran dan dugaan ketika di awal penubuhannya. Ini datangnya daripada serangan Portugis di Melaka dan juga Acheh di Sumatera di mana pada ketika ini Acheh menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan berpengaruh. Pun begitu, raja-raja yang memerintah Johor masih mengharapkan Melaka dapat ditawan kembali dan mendirikan semula kerajaan ini seperti asalnya. Hal ini mungkin yang mendorong Johor pada peringkat awal tidak menjadi sandaran utama sebagai pusat kerajaan Melayu yang tetap untuk raja-raja seterusnya.a

Isnin, 17 April 2023

Tun Perak dan Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka telah menempa nama dalam tamadun dunia Melayu sebagai sebuah kerajaan Melayu yang unggul dan agung pada abad ke-15. Sepanjang abad ini, Melaka sebagai sebuah kerajaan Melayu menjadi pengatur dan pengawal terhadap aktiviti ekonomi, politik dan sosial di rantau Alam Melayu. Setiap tahun pedagang datang ke pelabuhan Melaka kerana di sini terdapat begitu banyak bahan dagangan dari kawasan Timur dan Barat. Kejayaan Melaka ini bukan sahaja diusahakan oleh Parameswara serta penggantinya, namun kebijaksanaan dan kebolehan yang dimiliki oleh para pembesar Melaka yang sentiasa memberi taat setia kepada raja mereka. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh Orang Laut begitu mustahak dalam mengawal dan menjaga Selat Melaka daripada ancaman musuh-musuh Melaka. Malah, ketika Tun Perak menjadi bendahara Melaka, Melaka terus membangun dan berdiri sendiri dalam mendepani musuh-musuh Melaka khususnya Siam. Tun Perak juga telah memberi sumbangan terhadap kejayaan Melaka meluaskan empayar ini. Oleh itu, di sini saya akan membincangkan peranan dan sumbangan Tun Perak.

            Sebelum Tun Perak menjadi Bendahara Melaka menggantikan Bendaha Tun Ali, beliau merupakan seorang penghulu di Klang. Mengikut tradisi pelantikan Bendahara, Tun Perak sepatutnya menggantikan ayahnya, iaitu Tun Perpatih Sedang yang bergelar Seri Wak Raja sebagai Bendahara Melaka, namun Tun Perak tidak dipilih untuk memegang jawatan tersebut dan diberikan kepada Tun Ali. Bapa Tun Perak telah meminum racun untuk membunuh dirinya apabila didapati bahawa beliau tidak lagi disukai oleh golongan istana. Oleh itu, selepas bapa Tun Perak meninggal dunia, Tun Perak membawa dirinya ke Klang dan tinggal di situ. Tidak beberapa lama, dirinya dilantik menjadi penghulu di Klang. Malah, ketika penduduk di Klang diperintah untuk memberi bantuan menentang musuh Melaka, di sini, bakat kepimpinan dan kebijaksanaan Tun Perak terserlah apabila membawa kanak-kanak dan wanita untuk turut sama mempertahankan Melaka. Menurutnya, tentera lelaki kelak berperang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Melaka. Sultan tertarik dengan bakat yang dipunyai oleh Tun Perak. Oleh itu, Tun Perak tidak seharusnya duduk di Klang lagi dan perlu memberi khidmat dan taat-setianya kepada raja Melaka. Malah, Tun Perak merupakan keturunan Bendahara Melaka, maka sesuailah dirinya duduk di Melaka dan diberi jawatan sebagai Bentara Melaka. Selain itu, menurut Muhammad Yusoff Hashim (2015), melalui jawatan di Klang itulah Tun Perak mula terlibat dalam bidang pentadbiran, lalu menjadi sebahagian daripada jentera birokrasi kerajaan Melaka.

            Peluang menjadi penghulu di Klang telah memberi pengalaman yang bermakna buat Tun Perak untuk memegang jawatan yang lebih tinggi daripada itu, iaitu sebagai Bentara Melaka apabila dilantik oleh sultan. Setelah beberapa lama, Tun Perak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Melaka dan akhirnya mengambil semula jawatan Bendahara yang sepatutnya menjadi miliknya dahulu. Di sini bermulalah kerjaya Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang pernah dipegang oleh ayahnya dahulu. Menurut Ahmad Jelani Halimi (2008), Tun Perak telah dilantik sebagai Bendahara Melaka dengan gelaran Paduka Raja pada tahun 1456 Masihi menggantikan Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali. Sebagai bendahara, Tun Perak berperanan untuk membantu sultan dalam menguruskan kerajaan Melaka yang sedang berkembang itu. Menurut Suzana Othman (2014), tugas utama Bendahara ialah “memerintah, memberi kebajikan atas bumi yang dilingari raja itu”, iaitu mentadbir kerajaan yang beraja secara fizikal. Tambahnya lagi, Bendahara berperanan sebagai penjaga peribadi dan penasihat sultan dalam segala perkara yang merangkumi urusan peribadi sultan sehinggalah kepada perkara yang bersangkutan dengan hal ehwal pentadbiran negeri dan ini menjadi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang Bendahara dengan penuh rasa kesedaran. Malah, bendahara Tun Perak ialah individu utama menjaga daulat yang dipunyai oleh raja. Muhammad Yusoff Hashim menyatakan bahawa proses pendaulatan ini bukan setakat menghormati raja, malah mengakuinya secara eksplisit bahawa baginda mengatasi undang-undang.

            Selain berperanan sebagai seorang bendahara Melaka, Tun Perak sepanjang kerjayanya telah menjadi perancang dasar dan polisi Kesultanan Melayu Melaka. Sebagai perancang dasar, Tun Perak berfungsi untuk membentuk dasar kerajaan Melaka dengan disokong oleh sultan atau raja. Dasar ini bukan sahaja merangkumi hal-hal ekonomi dan politik, tetapi turut meliputi hal perluasan kuasa Melaka di Alam Melayu/Nusantara. Menurut J. Kennedy (1962), pembinaan empayar Melaka banyak berlaku ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pun begitu, Sultan Mansur Shah sendiri bukanlah seorang yang berperwatakan kuat (strong character) dan arah tuju polisi kerajaannya datang daripada Bendahara Tun Perak, di mana Tun Perak merupakan sepupunya sendiri. Antara langkah yang dibuat oleh Tun Perak setelah memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka ialah memutuskan untuk menyerang Pahang, yang menjadi vassal-state Siam. Siam menjadi musuh utama Melaka sejak awal penubuhannya lagi. Namun, kebijaksanaan Parameswara menjalin hubungan dengan China membolehkan Melaka berlindung diri daripada China dan menghentikan serangan Siam. Pun begitu, setelah China mengasingkan diri dan menutup pintunya daripada dunia luar, Melaka perlu berusaha untuk mempertahankan dirinya sendiri. Tugas ini diambil oleh Tun Perak apabila berjaya mendamaikan hubungan Melaka-Siam.

            Selain itu, Tun Perak juga berperanan sebagai ketua tentera dan perancang strategi peperangan Melaka. Menurut Suzana Othman, bendahara juga mengambil peranan sebagai ketua angkatan tentera mengatasi hulubalang besar dan laksamana dalam mengetuai angkatan perang. Bakat Tun Perak sebagai perancang strategi peperanagan dapat dilihat apabila Melaka diserang oleh Siam melalui Pahang. Siam menyerang Melaka apabila Sultan Muzaffar Shah enggan tunduk kepadanya. Pada waktu ini, Tun Perak masih menjadi penghulu di Klang. Menurut Muhammad Yusoff Hashim, Tun Perak telah mengerahkan seluruh penduduk Klang, lelaki, wanita dan kanak-kanak datang mempertahankan Melaka. Kerahan ini agak pelik, tetapi praktikal. Menurutnya, tentera lelaki Melaka kelak berperang dan mempertahankan Melaka bersungguh-sungguh. Tambahnya lagi, selepas menjawat jawatan sebagai bendahara, tugas pertamanya mengetuai angkatan tentera laut Melaka menangkis dan mengalahkan serangan hebat Siam dari laut. Anekdot penggunaan “puntung api” dekat pantai Batu Pahat, sebelum sampai ke pantai Melaka, memang melucukan, tetapi praktikal dan akhirnya Siam kalah. Tun Perak telah meletakkan puntung api bagi menggambarkan betapa ramainya tentera Melaka dalam melawan tentera Siam. Melihat begitu banyak puntung api telah menakutkan Siam. Dan muslihat Tun Perak ini berjaya, puntung api disangka orang telah mengelirukan tentera Siam dan Melaka selamat dari ancaman Siam.

            Antara sumbangan Tun Perak ialah membantu sultan Melaka dalam mentadbir dan menguruskan segala aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan Melayu ini. Sejak menjawat jawatan Bendahara, Tun Perak telah membantu Melaka mencapai banyak kejayaan dan kegemilangan. Tun Perak telah berjaya mempertahankan kedaulatan Melaka daripada serangan musuh yang cemburu dengan kemewahan dan kejayaan yang dikecapi oleh Melaka. N.J Ryan (1963) men-yatakan bahawa semasa Tun Perak berkhidmat sebagai Bendahara Melaka, beliau telah memastikan bahawa musuh-musuh Melaka ditundukkan. Ini dapat dilihat apabila Tun Perak berjaya mematahkan serangan Siam sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1446 dan juga tahun 1456. Selain itu, Tun Perak telah mengetuai Melaka melumpuhkan penderhakaan di Pasai, maka berbaik-baiklah Pasai dengan Melaka. Kepimpinan yang dimiliki oleh Tun Perak telah memastikan bahawa Melaka bebas daripada ancaman musuh dari luar dan sentiasa memberi taat setia kepada sultan sepanjang perkhidmatannya.

            Selain itu, sumbangan lain yang diberikan oleh Tun Perak ialah membantu meluaskan jajahan takluk Melaka. Muhammad Yussoff Hashim memberitahu bahawa Tun Perak telah memberikan dan menunjukkan kepimpinan serta teladan. Dengan penguasaan seluruh Semenanjung Malaysia, pantai timur Sumatera hingga selatan Riau-Lingga-Tungkal, pengawalan seluruh jalan dan laluan perairan dan perdagangan Selat Melaka menyebabkan pada era Tun Perak, Melaka menjadi sebuah empayar dan melalui zaman keemasan. Perkara ini sama ditegaskan oleh Ahmad Jelani Halimi bahawa di bawah pentadbiran Tun Perak, empayar Melaka berkembang dengan pesat sehingga beliau dianggap sebagai “Pembina Empayar”. Kawasan takluk Melaka semasa ini meliputi seluruh Semenanjung termasuk Patani. Di samping itu, negeri-negeri di Timur Sumatera seperti Siak, Rokan, Kampar, Inderagiri, Jambi, Tungkal, dan Siantan juga dikuasai oleh Melaka. Joginder Singh Jessy (1962) turut memberitahu bahawa Tun Perak telah melancarkan serangan ke atas negeri-negeri di pinggir Laut Sumatera. Kampar, Siak, Aru, Rokan dan Inderagiri dilanggar. Semua negeri-negeri ini kecuali pasai telah ditakluki. Dengan demikian, maka pengaruh Melaka berkembang luas. Ini memberi gambaran bahawa Tun Perak telah memberi sumbangan yang terlalu besar dalam meluaskan jajahan takluk Melaka. Melalui jajahan takluk ini, Melaka mendapat keuntungan sama ada dari sudut pembekalan bahan mentah dan barang dagangan atau pertolongan ketenteraan dalam menumpaskan musuh-musuh Melaka.

            Rumusannya, Tun Perak yang pada mulanya menjadi penghulu di Klang dan seterusnya berkhidmat sebagai Bendahara Melaka telah membawa kepada pencapaian pelbagai kejayaan oleh kerajaan Melayu ini. Menjadi bendahara di bawah empat orang Sultan membuktikan betapa Tun Perak merupakan individu yang sangat berharga untuk Melaka dan mempunyai pengaruh yang luas. Selain itu, Tun Perak telah berjaya membantu meluaskan jajahan takluk Melaka sehinggalah Melaka mendapat manfaat daripadanya.

Isnin, 10 April 2023

6 Faktor Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

Pada abad ke-15, Kesultanan Melayu Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang kuat, menguasai kegiatan perdagangan di laluan Selat Melaka. Pelabuhan Melaka terlalu ramai dikunjungi oleh pedagang dari Timur dan Barat sehingga pelabuhannya begitu sibuk hampir sepanjang tahun. Kejayaan kerajaan Melayu ini didorong oleh kedudukannya yang strategik, kepimpinan cemerlang raja/sultan Melaka serta disokong oleh kepakaran Orang Laut dalam menjaga keselamatan Melaka dari ancaman musuh. Namun, kegemilangan ini tidak kekal lama apabila di penghujung abad ke-15, Melaka berdepan cabaran pergolakan politik dalaman serta ancaman serangan Portugis yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu ini. Maka, pada 24 Ogos 1511, jatuhnya sebuah kerajaan Melayu iaitu Kesultanan Melayu Melaka. Di sini, saya akan membincangkan faktor kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka yang dapat dibahagikan kepada dua bahagian yang penting iaitu faktor dalaman dan juga faktor luaran.

            Faktor utama kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah kelemahan sultan/raja yang mentadbir Melaka iaitu Sultan Mahmud Syah. Baginda menggantikan Sultan Alauddin Riayat Shah dan menduduki takhta kerajaan pada tahun 1488. Menurut Ahmad Dahlan (2017), Sultan Mahmud Syah ialah seorang sultan yang sungguh berbeza daripada ayahnya dari segi sikap iaitu Sultan Mahmud Syah seorang yang berpawatakan tegas namun memiliki sikap menurut hawa nafsunya sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud Syag membunuh saudaranya iaitu Raja Zainal kerana telah menjatuhkan moral keluarga diraja apabila Raja Zainal menggunakan kuasa dan ketampanannya untuk menggoda dan menodai gadis-gadis Melaka. Selain itu, Sultan Mahmud Syah sanggup merampas Tun Teja tunangan Raja Pahang. Dikatakan lagi Sultan Mahmud Syah sering didapati curang dengan isteri-isteri menteri baginda. Perwatakan seperti ini memberi gambaran buruk terhadap imej Sultan Mahmud Syah dan mengganggu kejayaan yang telah dicapai oleh Melaka selama ini. Muhammad Yusoff Ibrahim menggambarkan watak Sultan Mahmud Syah sebagai seorang yang suka berfoya-foya dan menyalahgunakan kuasa yang dimilikinya. Ini mungkin disebabkan kemewahan yang dicapai oleh Melaka membuatkan Sultan menjadi lalai dan alpa.

            Seterusnya, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan kehilangan Bendahara Tun Perak yang meninggal dunia pada tahun 1498. Tun Perak seorang bendahara Melaka yang memiliki karisma dan pemimpin yang tulen. Ketika menjadi bendahara di bawah empat orang sultan/raja, Melaka telah mencapai pelbagai kejayaan dari aspek kemakmuran ekonomi dan keselamatan Melaka daripada ancaman Siam. Muhammad Yusof Ibrahim menyatakan bahawa kehilangan Tun Perak bagaikan kehilangan Aria Pateh Gajah Mada bagi Majapahit pada kurun ke-14. Kehilangan Tun Perak yang dianggap sebagai pemilih raja (kingmaker) dan pembentuk empayar Melaka membawa kepada kemerosotannya. Namun, kehilangan Bendahara Tun Perak tidak dapat dielakkan. Cuma, ia membawa satu cabaran yang perlu diatasi oleh sultan Melaka dalam mencari pengganti yang dapat memainkan peranan seperti yang dibawa oleh Tun Perak sendiri. Dan ini dapat diatasi oleh kerajaan Melaka apabila pada tahun 1500 Tun Mutahir telah dilantik menjadi Bendahara Melaka. Dikatakan bahawa Tun Mutahir ialah seorang bendahara yang terlalu saksama, serta adil dengan murahnya, dan terlalu sangat pada memeliharakan segala dagang.

            Namun, pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir membawa kesan yang cukup besar terhadap kelangsungan  hidup Kesultanan Melayu Melaka. Peristiwa ini menyebabkan Melaka terpaksa kehilangan seorang bendahara yang dapat menggantikan tempat Tun Perak. Pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir berlaku disebabkan timbulnya fitnah yang telah dicetuskan oleh Si Kitul. Kisah ini bermula apabila Nina Sura Dewana dan Raja Mendaliar bertelagah sesama mereka. Oleh itu, mereka datang kepada Tun Mutahir untuk dibicarakan dan mencari kata pemutus terhadap pertelagahan yang sedang berlaku. Pun begitu, Tun Mutahir meminta mereka pulang dahulu kerana hari telah lewat petang. Namun, Nina Sura Dewana telah datang berjumpa bendahara Tun Mutahir dengan membawa hadiah pada sebelah malamnya. Ini bertujuan untuk memujuk bendahara Tun Mutahir memihak kepada beliau apabila hari perbicaraan berlangsung nanti. Kejadian ini disedari oleh Si Kitul, iaitu saudara kepada Nina Sura Dewana sendiri. Memandangkan dirinya mempunyai hutang terhadap Raja Mendaliar, inilah peluang untuk melangsaikan hutang tersebut dengan memberi maklumat perbuatan Nina Sura Dewana tersebut.

            Setelah mengetahui kejadian tersebut, Raja Mendaliar telah berpakat dengan Si Kitul untuk merasuah Laksamana Khoja Hassan supaya memberitahu sultan bahawa Tun Mutahir sedang merancang untuk memberontak dan merampas kuasa. Laksamana Khoja Hassan telah memberitahu Sultan Mahmud Syah. Dengan itu, Sultan sendiri telah memerintahkan supaya keluarga Tun Mutahir dibunuh kecuali Tun Fatimah. Maka, terbunuhlah Tun Mutahir dan Melaka kehilangan seorang bendahara. Perbuatan Sultan Mahmud Syah ini juga didorong oleh dendamnya terhadap Tun Mutahir yang tidak mempersembahkan anaknya iaitu Tun Fatimah yang cantik jelita. Ini menggambarkan sikap Sultan Mahmud Syah yang tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihan dan kebenaran fakta yang ada di dalamnya. Peristiwa pembunuhan keluarga bendahara Tun Mutahir ini memaksa Melaka mencari pengganti. Malah, sejak Sultan Mahmud Syah mengetahui fitnah Si Kitul, lantas baginda “membuang kerajaannya” dan digantikan oleh putera baginda iaitu Raja Ahmad. Ketika Melaka diserang Portugis, Bendahara Paduka Tuan juga digelar sebagai Bendahara Tepok tidak mampu mengetuai ancaman Portugis kerana dirinya sudah tua.

            Faktor lain kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah pergolakan politik dalaman di antara pembesar Melaka. Ini dapat dilihat apabila Syahbandar yang bertugas di pelabuhan tidak lagi menghiraukan kebajikan pedagang yang datang ke pelabuhan Melaka. Mereka telah meng-enakan cukai yang tinggi kepada pedagang. Lebihan cukai ini dimasukkan ke dalam poket mereka sendiri. Keadaan ini menyebabkan pelabuhan Melaka tidak lagi menjadi pilihan utama pedagang untuk berniaga dan berdagang di sini. Cukai yang tidak munasabah mungkin akan merosotkan pendapatan mereka. Perkara ini seperti yang ditegaskan oleh Ahmad Dahlan bahawa para pegawai kerajaan Melaka pada masa itu sedang dibuai mimpi dan tidak memanfaatkan sepenuhnya potensi kedudukan pelabuhan mereka yang lebih strategik dan telah teruji berabad-abad lamanya. Situasi ini membawa kepada pengalihan tumpuan pedagang ke arah pelabuhan-pelabuhan lain yang terdapat di Alam Melayu seperti Acheh, Bantam, Patani dan Brunei. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka didorong oleh kesibukan pedagang yang berniaga di pelabuhan Melaka. Jika kegiatan ini terganggu, Melaka akan berdepan dengan ancaman keruntuhan dan kejatuhan.

            Faktor kelima yang membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah serangan Portugis yang menyebabkan Melaka diambil dan diperintah oleh bangsa Portugis. Pada awalnya, kedatangan bangsa Portugis ke Melaka adalah untuk berdagang sama seperti pedagang-pedagang lain yang ada di pelabuhan Melaka. Angkatan laut ini diketuai oleh Lopez De Squiera dan mereka telah disambut dengan baik oleh bendahara Tun Mutahir. Namun, desakan dari pedagang yang tidak menyukai Portugis berdagang di sini menyebabkan mereka telah ditangkap dan dipenjarakan. Peristiwa ini menyebabkan bangsa Portugis yang dipimpin oleh Alfonso Albuquerque datang ke Melaka untuk menyerang Melaka dan membalas dendam. Kelebihan tentera Portugis dari segi kelengkapan ketenteraan menyebabkan tentera Melaka dapat dikalahkan. Maka, pada 25 Ogos 1511, Melaka secara rasminya jatuh di tangan Portugis. Dan berakhirnya sebuah kerajaan Melayu Melaka. Namun, ini tidak bermakna Melaka lenyap dalam sejarah. Malah, raja-raja keturunan Melaka dahulu meneruskan legasi Kesultanan Melayu Melaka apabila Kesultanan Johor-Riau ditubuhkan pada tahun 1528.

            Faktor akhir yang menyebabkan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah kecurang-an yang dilakukan oleh para saudagar yang membantu Portugis menawan Melaka. Menurut Joginder Singh Jessy, dalam perang yang berikutnya, “orang-orang Melayu berjuang dengan berani, tetapi Melaka jatuh kerana orang-orang Jawa, India dan China di bandar itu, iaitu golongan saudagar atau ahli-ahli peniaga yang terbesar di situ tidak menghiraukan langsung atau mendiamkan diri atau pun bertarung masuk ke sebelah pihak Portugis. Kecurangan yang dilakukan oleh para saudagar asing ini disebabkan kelangsungan hidup perdagangan mereka. Mereka perlu menyokong para pemerintah Melaka ketika sultan/rajanya memerintah dan menukar sokongan kepada Portugis kerana kemenangan Portugis membolehkan mereka diberi kebenaran untuk berdagang. Jika mereka mereka menyokong pemerintah Melaka dan Melaka tewas dalam peperangan tersebut, timbul kemungkinan para pedagang ini disisihkan dan tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka. Oleh itu, pilihan yang mereka ada adalah memilih untuk melihat sahaja bangsa Portugis-Melaka berperang atau memilih satu pihak dengan mempertimbangkan hayat perniagaan mereka di pelabuhan Melaka. Namun, ini menunjukkan khinat pedagang kepada Melaka.

            Rumusannya, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 menyebabkan Alam Melayu kehilangan lagi sebuah kerajaan yang unggul dan kuat seperti Srivijaya dan Majapahit dahulu. Kelemahan pemimpin menjadi punca terbesar kejatuhan sesebuah kerajaan seperti Melaka. Ini dapat dilihat di dalam beberapa buah kerajaan Melayu yang lain apabila pengganti raja tersebut tidak mempunyai kebolehan untuk menguruskan kerajaanya dengan bijaksana. Ini membawa kepada pergolakan politik di dalam istana Melaka di kalangan para pembesar dan menteri. Akhirnya, pada tahun 1511 Portugis menjadi bangsa pertama Eropah yang berjaya datang dan menjajah di Alam Melayu.

Isnin, 3 April 2023

Sistem Politik Kesultanan Melayu Melaka Abad ke-15

Kejayaan yang dicapai oleh Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah negeri yang makmur dan maju bukan hanya didorong oleh kedudukannya yang strategik, tetapi disebabkan oleh kebolehan dan keupayaan yang dimiliki oleh pemerintahnnya dalam membentuk satu sistem pentadbiran dan pemerintahan. Sejak Parameswara membuka Melaka, beliau telah mempunyai pengikut yang secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai ketua dan akhirnya menjadi raja Melaka yang pertama. Setelah itu, Parameswara dan penggantinya melantik empat orang pembesar utama iaitu bendahara, penghulu bendahari, temenggung dan laksamana. Mereka ini memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu sultan atau raja mentadbir dan menguruskan segala aktiviti dan kegiatan kerajaan supaya berjalan dengan lancar dan licin. Ini telah membentuk satu sistem politik yang akhirnya diikuti dan dicontohi oleh kerajaan-kerajaan Melayu seterusnya. Oleh itu, di sini saya akan cuba untuk membincangkan tentang sistem politik yang dipakai oleh Kesultanan Melayu Melaka sejak abad ke-15 sehinggalah periode kejatuhannya pada awal abad ke-16.

            Dalam sistem politik kesultanan Melayu ini, raja atau sultan menduduki tempat yang tertinggi, mengatasi jawatan-jawatan lain yang ada. Menurut Ruslan Zainuddin (2004), dalam masyarakat Melayu tradisional, raja berfungsi sebagai pemimpin negara. Tambahnya lagi, raja dikatakan berasal daripada keturunan dewa atau tuhan yang disebut Devaraja. Konsep ini dapat difahami sebagai satu kepercayaan bahawa raja yang memerintah disifatkan sebagai luhur dan suci dan mereka dikatakan berdarah dewa atau penjelmaan dewa berasal dari kayangan. Selain itu, Muhammad Yusoff Hashim (2015) turut menegaskan bahawa konsep dewa-raja ialah satu kepercayaan dan salasilah raja-raja yang diwujudkan secara ciptaan dikaitkan dengan dewa-dewa dari kayangan; penjelmaan dari Shiva, Vishnu atau Brahman. Konsepsi sebegini untuk menjadi satu kepercayaan sungguh penting bagi membolehkan raja yang memerintah itu nanti dipercayai oleh pengikutnya dan diterima sebagai ketua yang perlu dipatuhi dan meletakkan taat-setia yang tidak berbelah bagi. Pun begitu, setelah pemerintah Melaka memeluk agama Islam, raja telah dianggap sebagai zillu’llah fil-‘alam yang bermaksud raja yang memerintah sebagai bayangan Tuhan di muka bumi ini. Malah, gelaran “Raja” atau “Seri Maharaja” telah digunakan dahulu diubah menjadi “Sultan”.

            Selain itu, raja/sultan yang disifatkan sebagai kudus atau suci ini perlu memiliki “daulat” untuk membolehkan dirinya dapat memerintah dan mentadbir kerajaannya dengan baik dan sempurna. Raja yang memiliki daulat dipercayai dapat memerintah dengan lebih berkesan. Konsep ini sama seperti yang wujud di dalam masyarakat Cina apabila raja yang memerintah perlu memiliki “mandat” dari syurga. Jika kerajaan pimpinan raja tersebut membawa akibat buruk, maka raja itu dianggap tidak layak memerintah dan tidak mempunyai mandat dari syurga. Maka, haruslah ia digulingkan dan digantikkan dengan raja yang lain. Selain itu, konsep “derhaka” memainkan peranan penting iaitu rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja kerana jika mereka berbuat demikian, dipercayai mereka akan terkena “tulah” yang membawa kesan buruk kepada diri mereka. Kedua konsep penting ini iaitu daulat dan derhaka membolehkan raja itu memerintah dan mentadbir kerajaanya dengan memiliki kuasa penuh terhadap bidang politik, ekonomi dan sosial. Selain itu, fungsi sultan/raja ialah memastikan seluruh kerajaannya di dalam keadaan yang selamat dan aman daripada serangan musuh di samping meluaskan pengaruh kerajaannya.

            Sultan/Raja tidak mampu untuk menguruskan kerajaannya secara bersendirian, oleh itu baginda dibantu oleh empat orang pembesar yang utama iaitu bendahara, penghulu bendahari, laksamana dan juga temenggung. Bendahara merupakan pembesar yang utama dan mempunyai kekuasaan yang lebih tinggi berbanding pembesar yang lain. Ini dapat dibuktikan apabila raja keluar daripada negeri, pekerjaan raja/sultan ini dipangku oleh bendahara. Ruslan Zainuddin menggariskan beberapa peranan penting yang dimainkan oleh bendahara. Antaranya ialah bendahara sebagai ketua pentadbir kerajaan, bertanggungjawab menyelia hampir semua hal ehwal negara dengan dibantu oleh pembesar yang lain, menjadi pemerintah angkatan tentera, menjaga pertahanan dan memelihara adat istiada diraja, menggubal dasar-dasar kerajaan, memilih istana dan permasuri untuk sultan. Kebiasaannya, jawatan bendahara dipegang oleh seorang yang berusia dan mempunyai banyak pengalaman dalam pentadbiran negeri dan hal ehwal politik. Selain itu, menurut Suzana Haji Othman (2014), jika dilihat dari sudut pandangan Islam, jawatan Bendahara Melaka ini seakan sama seperti Menteri Tafwiz sebagai satu bahagian yang penting dalam corak pemerintahan Islam. Menteri ini diberikan kuasa penuh oleh Khalifah atau raja untuk menjalankan semua urusan pentadbiran negeri mengikut pertimbangan dan kebijaksanaan sendiri. Antara pemegang jawatan ini ialah Tun Perak, Tun Perpatih Sedang, Tun Perpatih dan Bendahara Tepok.

            Seterusnya, sultan/raja dibantu oleh penghulu bendahari. Penghulu bendahari berperanan sebagai menteri kewangan negeri yang bergelar Seri Nara Diraja. Ruslan Zainuddin menyatakan tugas utama penghulu bendahari ialah menjaga dan menyelia kewangan dan hasil mahsul negara yang diperoleh daripada pungutan cukai yang dihasilkan oleh Temenggung dan Syahbandar. Malah, penghulu bendahari berkewajipan untuk menjaga bangunan istana dan kelengkapan yang diperlukannya. Selain itu, Muhammad Yusoff Hashim menegaskan ketika di balairung seri apabila menjunjung duli, menghadap nobat, penghulu bendahari mengambil tempat kedua selepas bendahara. Ini menggambarkan kedudukan penghulu bendahari dalam sistem politik Melaka. Tambahnya lagi, tugas penghulu bendahari ini termasuklah mengerah orang membentang tikar, menghias balairung, menggantung tabir langit-langit, mengendalikan hidangan dan makanan untuk tetamu dan mendapatkan tenaga rakyat untuk pekerjaan diraja tadi. Kassim Thukiman (2000) menambah bahawa biasanya pelantikan jawatan ini berdasarkan faktor kekayaan. Tugas utamanya ialah memegang dan menjaga harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Sebagai menteri kewangan, Penghulu Bendahari juga menjadi wakil menerima ufti dari kawasan takluk dan jajahan Melaka. Ufti atau cukai yang diterima ini menjadi sumber penting kepada pendapatan Melaka.

            Selain bendahara dan penghulu bendahari, sultan/raja dibantu oleh Temenggung yang berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan negeri, terutamanya berkaitan menjaga keamanan dan keselamatan negeri Melaka dan rakyat secara keseluruhannya. Selain itu, Temenggung bertanggungjawab penuh dalam memastikan perjalanan dan pelaksanaan undang-undang kerajaan berjalan dengan sempurna dan dipatuhi oleh rakyat Melaka. Pada masa yang sama Temenggung diberi kuasa untuk mengambil tindakan menangkap orang yang bersalah, memasung dan menghukum mereka mengikut kesalahan yang telah mereka lakukan. Malah, oleh sebab keamanan Melaka perlu diberi perhatian yang wajar, menjadi tanggungjawab temenggung untuk mengekalkan keamanan negeri, di samping mengawal perjalanan urus niaga negeri. Tugas awam temenggung termasuklah menyertai bendahara ketika menjalankan pendakwaan dan perbicaraan serta memungut cukai perdagangan di bandar Melaka.

            Seterusnya, empat pembesar yang lain ialah laksamana. Jawatan ini sungguh penting di dalam kerajaan Melayu Melaka bagi mengetuai angkatan pertahanan sama ada di darat atau di laut. Orang pertama yang memegang jawatan laksamana ini ialah Hang Tuah. Jawatan ini penting kerana Melaka, sebagai sebuah kerajaan yang telah mencapai banyak kejayaan dan kemajuan pastinya negeri ini akan dicemburui dan cuba untuk dikuasai oleh kuasa-kuasa luar. Oleh itu, laksamana berperanan untuk mematahkan serangan luar ini dan mengawasi pergerakan musuh yang cuba untuk menjatuhkan Melaka. Menurut Ruslan Zainuddin, sebagai sebuah kerajaan agung dan mempunyai jajahan takluk yang besar, peranan Laksamana dalam soal pertahanan amat penting kerana perluasan kuasa Melaka banyak bergantung kepada kekuatan angkatan tenteranya, di samping kebijaksanaan Laksamana. Muhammad Yusoff Hashim menyatakan bahawa dalam Hukum Kanun Melaka, laksamana dikatakan sebagai “raja di laut”. Hal ini menunjukkan bidang kuasanya sebagai ketua armada laut Melaka, bersama-sama dengan Seri Bija Diraja. Selain itu, telah menjadi tugas dan tanggungjawab laksamana untuk merancang strategi peperangan bagi menumpaskan musuh.

            Selain pembesar yang empat, terdapat satu lagi jawatan yang penting iaitu syahbandar. Kassim Thukiman menyatakan bahawa syahbandar ialah istilah Parsi yang bererti pemerintah pelabuhan, yang merupakan ketua organisasi pelabuhan dan wakil saudagar asing daripada kalangan pelbagai etnik peniaga. Selain itu, Ahmad Jelani Halimi (2000) menjelaskan bahawa oleh kerana terlalu banyak urusan perdagangan, Melaka terpaksa mempunyai empat orang syahbandar. Seorang dari Gujerat, seorang bagi pedagang yang datang dari Koromandel, Benggala, Burma Hilir, Pasai dan Sumatera Utara, Seorang lagi dari Palembang, Kepulauan Maluku, Nusatenggara, Kalimantan dan Filipina. Yang terakhir ialah China dan kawasan di Indo-China. Syahbandar mungkin dapat ditarafkan sebagai “raja pelabuhan” kerana mengendalikan organisasi dan sistem perkapalan, pengendalian cukai, pengawal bagi urus niaga dan urusan dagang, pentadbir anak-anak yatim, menjadi ketua para nakhoda dan sebagai pengawai kebajikan di bandar Melaka. Tugas awam Syahbandar yang lain termasuklah mengawas perjalanan dan organisasi pasar dan gudang-gudang simpanan barangan dagang serta keselamatannya. Peranan lain seorang syahbandar ialah mengawal sistem timbang tara dalam berat dan ukuran bagi semua transaksi perniagaan, serta juga menjaga nilai mata wang bagi mengelakkan timbulnya inflasi.

            Yang terakhir ialah penghulu mukim atau ketua kampung juga disifatkan penting dan menyumbang kepada kejayaan Kesultanan Melayu Melaka. Penghulu dilantik oleh raja dan mempunyai kuasa mutlak di peringkat mukim. Antara tugasnya ialah menentu dan mengutip hasil cukai, menguruskan dan mentadbirkan tanah serta bertindak sebagai ketua adat dan agama. Selain itu, penghulu diberi kuasa untuk mengadili perbalahan serta boleh menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan jenayah yang tertentu, kecuali kes-kes berat yang perlu diserahkan kepada pihak atasan. Jawatan ini boleh dipegang oleh mana-mana orang yang gagah, berani, berharta serta berasal daripada kerabat atau pegawai istana. Pendapatan penghulu bergantung kepada hasil cukai yang dikutip daripada penduduk kampungnya. Cukai ini diserahkan kepada pemerintah Melaka. Kadangkala penghulu diarahkan untuk membekal dan menyediakan tenaga buruh kepada para pembesar atau sultan bagi mengendalikan kerja-kerja membuat istana, jalan raya dan mengerjakan sawah. Sistem ini dipanggil sebagai budak raja – tidak dikenakan apa-apa bayaran atas sumbangan yang mereka berikan. Malah, menjadi tugas penghulu memastikan seluruh penduduk di bawah jagaannya memberi taat setia kepada sultan, di samping menjaga keamanan kampung.

            Kesimpulannya, sistem politik Melaka ini didahului oleh Sultan atau raja sebagai pemerintah tertinggi, diikuti oleh pembesar yang empat iaitu bendahara, penghulu bendahari, temenggung dan laksamana. Pembesar ini membantu sultan dalam mentadbir Melaka. Pada masa yang sama wujud jawatan syahbandar bagi memastikan kegiatan perdagangan di pelabuhan Melaka berjalan dengan lancar. Tidak ketinggalan juga peranan yang dimainkan oleh penghulu mukim di dalam mentadbir penduduknya di peringkat yang lebih kecil tetapi cukup penting kepada kerajaan Melaka.


Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...