Portugis
merupakan bangsa Eropah yang terawal sampai di kepulauan Melayu apabila Lopez
de Squire berjaya sampai di Melaka pada tahun 1509. Pun begitu, kehadiran
bangsa Portugis ini tidak disenangi oleh pedagang-pedangang India dan Arab yang
bimbang tentang kedudukan perdagangan mereka di Melaka. Lantaran itu, timbul
usaha untuk menangkap orang Portugis ini. Rancangan ini berjaya diketahui oleh
Lopez de Squire yang akhirnya melarikan diri dari Melaka dan memberitakan
tentang Melaka kepada Raja Portugal. Akhirnya, pada tahun 1511, di bawah
pimpinan Alfonso d’ Albuquerque Melaka berjaya ditawan oleh Portugis. Sejak
itu, Portugis mengambil alih kegiatan politik, ekonomi dan sosial di bandar
Melaka serta mendiri-kan semula Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan utama
di rantau Asia Tenggara. Namun, terdapat sebab-sebab lain yang menggerakan niat
bangsa Portugis ini menuju ke Timur selain daripada tujuan perdagangan setelah
mendapatkan Melaka. Di dalam tulisan kali ini, saya akan membincangkan
sebab-sebab Portugis menuju ke Timur.
1.Mencari
Jalan Alternatif Menuju Ke Timur
Sebab utama yang mendorong Portugis
menuju ke Timur ialah mencari jalan alternatif untuk sampai ke negeri di mana
letaknya bahan-bahan rempah yang begitu mahal harganya di Eropah. Jalan
perdagangan pada ketika ini dikuasai oleh pedagang Islam. Mereka membawa rempah
dari pelbagai pusat perdagangan di Asia Tenggara khususnya di kepulauan Melayu
dan Indonesia menggunakan kapal-kapal yang belayar melalui Ormuz dan Basra. Ia
didagangkan di Alexandria dan Baghdad dan di bandar inilah pedagang-pedagang
Eropah mendapatkan rempah dan di bawa ke Eropah. Setiap kali bahan dagangan ini
bertukar tangan, ia menjadi begitu mahal harganya. Maka, lebih baik bahan
seperti ini didapatkan secara terus dari mana ia diperolehi, iaitu di Alam
Melayu khususnya Melaka yang telah menjadi pusat pengumpulan bahan dagangan
yang penting dan utama. Bahan-bahan ini digunakan sebagai bahan penambah rasa
terhadap makanan. Oleh itu, timbul kesukaran bagi bangsa Portugis mendapatkan
rempah ini apabila jalan perdagangan dikuasai oleh pedagang Islam. N.J Ryan
(1963) menjelaskan bahawa ketika kekuasaan Empayar Turki meningkat, secara
perlahan-lahan aktiviti ekonomi di Timur Jauh di bawah kawalannya dan
menjadikan kegiatan perdagangan antara Eropah dan Asia di bawah kekuasaannya.
Sebagai cara mengatasi masalah ini, jalan alternatif menuju ke Timur perlu
dilakukan.
2.Misi
dan Visi Putera Henry
Usaha untuk mencari jalan ke Timur
telah dimulakan oleh Prince Henry the Navigator (1394-1460) apabila beliau
membina pusat kajian saintifik tentang pelayaran di Sagres. Di sini, dilakukan
kajian dan penyelidikan terhadap perubahan angin, peta dan jalan serta
pembinaan kapal untuk tujuan pelayaran. Putera Henry sendiri mengumpulkan ahli
atau pakar tentang aktiviti pelayaran dan pemetaan, seterusnya melatih beberapa
orang yang dipilih olehnya untuk menjadi pelayar yang berkemahiran. Selain itu,
bagi memenuhi tujuan pelayaran yang jauh, maka diperlukan sebuah kapal yang
mampu melaksanakan misi ini. Oleh itu, Putera Henry juga telah menjalankan
kajian terhadap pembinaan kapal untuk tujuan ini. Di bawah pimpinannya,
Portugal telah melakukan penjelajahan ke pantai Barat Afrika dan mencari jalan
untuk menuju ke Timur. Sejak itu, telah lahir beberapa orang pelayar Portugis
yang terkenal dan diingati di dalam sejarah penjelajahan dan pelayaran seperti
Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama. Misalnya, Barholomew Diaz telah
mengelilingi Afrika pada tahun 1488 dan 10 tahun kemudian Vasco da Gama telah
sampai di Malindi di Timur Afrika. Kejayaan dua orang pelayar Portugis ini
merupakan sebahagian daripada usaha awal Putera Henry yang tidak sempat untuk
melihat kejadian ini apabila meninggal pada tahun 1460.
3.Perdagangan
Rempah
Sebab ketiga Portugis menuju ke
Timur ialah perdagangan. Seperti pernah disebutkan sebelum ini, rempah
merupakan bahan penting bagi bangsa Eropah. Bahan ini hanya boleh didapati di
kepulauan Melayu seperti di Maluku. Untuk mendapatkan rempah tersebut, Melaka
perlu dikuasai terlebih dahulu kerana Melaka menjadi pusat pengumpulan
rempah-ratus yang dibawa daripada pelabuhan-pelabuhan lain di Alam Melayu.
Langkah awal telah diambil oleh Raja Manuel apabila mengutuskan Dom Diogo Lopez
de Squire bersama hadiah dan surat kepada Sultan Melaka untuk meminta izin
mendirikan pusat perniagaan di sini. Namun, hal ini tidak seperti yang
diharapkan oleh Raja Manuel apabila Sultan Melaka akhirnya didesak supaya tidak
membenarkan bangsa Portugis ini berniaga di sini. Pengaruh ini datangnya
dari-pada pedagang Gujerat. Maka, Portugis terpaksa menawan Melaka lebih awal
daripada yang dijangkakan. Ini kerana, Melaka pasti menjadi sasaran bagi
Portugis untuk ditawan dan ditakluk kerana kedudukannya sebagai bandar
pelabuhan yang terkenal pada waktu itu. Malah, orang Portugis memerlukan Melaka
terutamanya untuk mengawal perniagaan rempah di Maluku. Oleh itu, setelah
Melaka dikuasai oleh Portugis, misi menghantar utusan ke negeri-negeri lain
yang pernah menjalin hubung dagang dengan Melaka distabilkan semula. Ini
terbukti apabila Antonia d’Abreu dan Francisco Serrao telah datang ke Maluku
untuk tujuan ini.
4.Pengembangan
Agama Kristian
Selanjutnya, tujuan Portugis menuju
ke Timur ialah untuk mengembangkan agama Kristian di sini. Perkara ini dapat
dilihat apabila golongan misionari atau mubaligh Kristian ini turut serta dalam
pelayaran menuju ke Timur. Malah, sejak Perang Salib lagi, wujud semacam satu
persaingan di antara penganut Islam dan Kristian memperkembangkan pengaruh
mereka di wilayah-wilayah yang lain. N.J Ryan menyebutkan bahawa orang Portugis
sebagai pedagang juga berperanan sebagai kumpulan misionari yang berfungsi
untuk mengembangkan ajaran agama Kristian terhadap penduduk yang mereka jumpai.
Oleh itu, di Melaka setelah dikuasai oleh Portugis, Albuquerque memerintahkan
supaya dibina gereja yang bertujuan sebagai pusat kegiatan agama Kristian.
Namun, gereja ini hanya siap pada tahun 1515. Selain itu, mereka juga
mendirikan beberapa buah gereja seperti Gereja Our Lady of the Visitation dan
Gereja St Paul. Gereja St. Paul ini diperbuat daripada kayu sebelum digantikan
dengan bangunan batu pada tahun 1590. Perkembangan agama Kristian ini diikuti
oleh usaha yang dibuat oleh seorang Paderi iaitu Francis Xavier yang pernah
tinggal di Melaka telah menubuhkan pusat mubaligh Jesuit serta sekolah. Paderi
ini turut menyelenggarakan terjemahan rukun sepuluh dan beberapa doa ke dalam
bahasa Melayu.
5.Meningkatkan
Imej Bangsa Portugis
Sebab lain Portugis menuju ke Timur
adalah untuk meningkatkan imej bangsa Portugis. Ini dapat dilihat kepada visi
dan misi yang dipegang oleh Alfonso d’ Albuquerque yang ingin melihat sebuah
empayar Portugal yang luas di wilayah timur ini. F.J Moorhead (1957) turut
menegaskan hal sedemikian apabila menyatakan bahawa Alfonso d’ Albuquerque
bukanlah mencari kekayaan dirinya sendiri, tetapi mengimpikan untuk membina
sebuah empayar kuat dan teguh di Timur. Wawasan beliau ini diterjemahkan
melalui penguasaan Melaka bermula pada tahun 1511 sebelum diambil oleh Belanda
pada tahun 1641. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa Portugis menjadi sebuah
bangsa Eropah yang kuat dan berani sehingga berjaya sampai ke kawasan Timur,
malah meletakkan beberapa kawasan pertahanan dan pusat pentadbiran Portugis di
luar Portugal seperti di Goa, India. Dan, setelah beberapa dekad, Portugis
memiliki pesaing seperti Belanda, Sepanyol dan Inggeris yang turut serta dalam
misi mendapatkan tanah jajahan di kawasan Asia Tenggara ini.
Kesimpulannya, ada lima sebab
Portugis menuju ke timur. Ada motif yang berjaya di-capai oleh mereka dan
sebahagiannya lagi tidak menunjukkan hasil yang positif seperti misi
pengembangan agama Kristian yang kurang menunjukkan kemajuan. Pun begitu,
kejayaan Portugis di dalam hal-hal yang lain menggambarkan bahawa Portugis
menjadi bangsa Eropah pertama yang berani untuk mengambil risiko dan
berinisiatif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan