Isnin, 1 Mei 2023

5 Faktor Kegemilangan Kesultanan Johor Riau

Pada peringkat awal penubuhannya, Kesultanan Melayu Johor berdepan dengan cabaran luar yang sering mengganggu dan berusaha untuk menjatuhkannya. Portugis yang telah menguasai Melaka pada 1511 kerap kali menyerang pusat pemerintahan Johor yang menyebabkan pusat pentadbiran kerajaan Melayu ini sering berpindah-pindah. Begitu juga, Acheh, sebuah kerajaan Melayu yang semakin berkembang maju di Sumatera cuba untuk menakluk beberapa bahagian wilayah di Semenanjung Tanah Melayu ini sebagai wilayah jajahannya. Suasana ini mewarnai perjalanan Kesultanan Melayu Johor sehinggalah Belanda datang ke Alam Melayu dan menjadi sahabat baik kepada Johor. Malah, kehadiran Belanda telah mengubah landskap politik dan ekonomi di sini. Ini dapat dilihat apabila Belanda menggantikan Portugis di Melaka pada tahun 1641. Ini membuka peluang kepada kerajaan Melayu Johor yang berpusat di Batu Sawar untuk mencapai kegemilangan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan seperti ekonomi, politik dan sosial. Malah, ancaman dari kerajaan Acheh semakin malap apabila pemerintahnya iaitu Sultan Iskandar Thani telah mangkat. Oleh itu, Kesultanan Melayu Johor mengulangi semula kejayaan dan kegemilangan yang pernah dicapai oleh Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Di sini, saya akan membincangkan lima faktor kegemilangan kerajaan Melayu ini.

 

1.Kecekapan Sultan dan Para Pembesar

Kegemilangan Kesultanan Melayu Johor bermula sekitar tahun 1640-an. Pada ketika ini Johor diperintah oleh Raja Bujang yang memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Syah III (1623-1677)[1]. Sultan Abdul Jalil Syah III merupakan anak kepada Sultan Abdullah Muayat Shah yang telah mengundurkan diri ke Pulau Tembelan apabila diserang oleh Acheh di Pulang Lingga. Sultan ini telah mangkat di sini. Apabila Sultan Abdul Jalil Syah III memegang takhta kerajaan Johor, baginda telah berpindah dari Tembelan ke Johor dan menjadikan Makam Tauhid sebagai pusat pemerintahan [2]. Di masa pemerintahan baginda inilah Johor mengulangi semula kegemilang-an yang pernah dicapai oleh Melaka dahulu. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Abdullah Zakaria Ghazali (1994) bahawa Johor muncul sebagai sebuah kuasa dan mengalami kemantapan kerajaannya di masa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah III, di mana sempadan Johor mulai jelas. Kejayaan ini pastilah disebabkan oleh kepimpinan dan kecekapan yang dipunyai oleh Sultan dan juga bantuan oleh para pembesar pada waktu itu. Ini dapat dilihat ketika Melaka apabila raja-raja yang memerintah pada masa itu telah membawa kemakmuran, keamanan dan juga kejayaan kepada masyarakat yang dipimpinnya. L.Y Andaya (1975) menyatakan bahawa kekayaan yang diperoleh daripada perdagangan antarabangsa ini telah meningkatkan prestij pemerintah Johor. Kekuataan kerajaan ini dipimpin oleh Sultan Johor, di mana tanpa kehadiran seorang raja/sultan, segala aktiviti di dalam kerajaan sukar untuk dijalankan.

 

2 .Sebagai Pusat Perdagangan

Kegemilangan Kesultanan Melayu Johor didorong oleh peranannya sebagai pusat perdagangan di rantau Alam Melayu. Seperti mana Melaka dahulu, kegiatan perdagangan yang berkembang maju secara tidak langsung memberi kemakmuran dan kemewahan hidup kepada masyarakat-nya. Dan, perkara ini dialami sekali lagi oleh Kesultanan Melayu Johor apabila menjadi pusat perdagangan yang penting di Alam Melayu. Di bawah pemerintahan Sultan Abdul Jalil III, Batu Sawar yang menjadi pusat pemerintahannya telah dikunjungi oleh ramai orang untuk ber-dagang di sini. Buyong Adil (1980) menjelaskan bahawa, negeri Johor (Batu Sawar) telah men-jadi bandar pusat perniagaan bagi dagangan yang dibawa dari China dan dijualkan pula ke negeri-negeri sekitar Johor. Selain itu, Johor menawarkan bahan dagangan yang popular di Alam Melayu dan menjadi kegemaran dan kesukaan pedagang Eropah dan China seperti lada hitam. Malah, dapat ditemui di sini hasil dagangan seperti timah, kelapa kelapa kering, kayu gaharu, gading gajah, kapur barus periuk belanga, damar dan lain-lain dagangan yang didatangkan dari daerah-daerah takluk Johor [4]. Saudagar China yang datang ke Johor menawarkan pelbagai bahan dagangan seperti benang emas, barang-barang tembikar jenis kasar, kuali besi, teh dan tembakau, ditukarkan mereka dengan timah dan lada hitam yang banyak di pasar perniagaan Batu Sawar itu.

            Selanjutnya, sebagai pusat perdagangan yang penting, pemerintah Johor sentiasa peka terhadap kemudahan yang diperlukan oleh pedagang-pedagang yang singgah di sini. Oleh itu, Johor telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada saudagar seperti gudang penyimpanan, sumber air bersih dan perkhidmatan membaiki kapal-kapal yang rosak dan perlu dibaiki. Selain itu, di pelabuhan Johor ini ditadbir urus oleh pegawai yang terlatih dalam menguruskan perniagaan, memungut cukai, meneliti sukatan dan timbangan mengikut standard yang ditetap-kan dan memastikan segala urusan perniagaan dijalankan dengan lancar dan meminimumkan masalah yang mungkin timbul [5]. Oleh itu, selain dari harga dagangan yang murah, perkara-perkara di atas telah membantu di dalam kejayaan dan kegemilangan Johor khususnya dalam sektor ekonomi dan politik.

 

3 .Peranan Orang Laut

Orang Laut memainkan peranan yang penting untuk Johor mencapai kegemilangannya. Seperti di Melaka dahulu, Orang Laut ditugaskan untuk menjaga perairan Selat Melaka serta menarik para saudagar yang melalui selat ini untuk singgah terlebih dahulu ke pelabuhan Melaka. Ini membantu Melaka meningkatkan aktiviti perdagangannya dan menjadi kota pelabuhan yang terkenal di gugusan kepulauan Melayu. Begitu juga di zaman Kesultanan Melayu Johor. Tidak dinafikan peranan Orang Laut ini dalam membantu melancarkan lagi kegiatan ekonomi di pelabuhan Johor. Perkara ini turut ditegaskan oleh C.M Turbull (1989) bahawa, Orang Laut memainkan peranan dalam mengawal perairan kerajaan Johor dan mengarahkan kapal-kapal untuk datang ke pelabuhan Johor. Namun, di sebalik sumbangan dan peranan Orang Laut ini, mereka diketuai oleh seorang Laksamana sebagai pembesar empat yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kebajikan kerajaan Johor sentiasa di dalam keadaan yang terkawal. Andaya & Andaya (1982) menjelaskan bahawa Laksamana menjadi ketua bagi Orang Laut, memimpin kumpulan ini di dalam membantu para raja/sultan yang mempunyai daulat untuk mendirikan kerajaan yang baharu. Kepakaran mereka di laut sangat diperlukan kerana kegiatan ekonomi yang berteraskan kelautan memerlukan Orang Laut ini membantu di dalam melancarkan kegiatan ekonomi kerajaan Johor, dan bebas daripada ancaman musuh yang mungkin mengganggu pedagang yang ingin singgah ke sini.

 

4 .Kelemahan Kesultanan Melayu Acheh

Selain tiga faktor yang telah disebutkan sebelum ini, kelemahan Kesultanan Melayu Acheh diletakkan sebagai faktor luaran terhadap kegemilangan Kesultanan Melayu Johor. Sebelum ini, Acheh sentiasa melancarkan serangan ke atas Johor menyebabkan kota yang dibina oleh Sultan/Raja Johor binasa dan hancur. Oleh itu, pusat pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Melayu ini sentiasa berpindah-pindah. Namun, selepas lemahnya kerajaan Melayu Acheh ini, Johor tidak lagi diganggu. Ini membuka ruang yang cukup luas kepada Johor membangunkan semula wilayahnya yang hampir satu abad diganggu oleh Acheh di Sumatera. Berkenaan dengan kelemahan kerajaan Acheh ini disebutkan oleh Abdullah Zakaria Ghazali, bahawa kekuatan Acheh menjadi lemah, apabila angkatannya dikalahkan oleh Portugis di Melaka pada tahun 1629. Dalam perang ini, Acheh telah kehilangan sebanyak 19,000 orang nyawa. Pada tahun 1641, Acheh telah kehilangan raja mereka iaitu Sultan Iskandar Thani yang telah mangkat. Selepas tahun tersebut, Acheh kini diperintah oleh raja-raja perempuan, iaitu Puteri Safiatuddin yang memakai gelaran Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Syah. Hal ini menjadikan pelabuhan Pasai tidak lagi sesibuk dulu. Malah, kerajaan-kerajaan yang dahulunya di bawah pengaruh Acheh secara perlahan-lahan mula melepaskan diri dan selanjutnya menjadi jajahan takluk Kesultanan Melayu yang berpusat di Johor [5]. Sebagai contoh, Pahang sebelum tahun 1641 telah menjadi jajahan takluk Acheh. Namun, setelah kekuasaan Acheh semakin melemah, Pahang telah ditadbirkan secara langsung oleh Sultan Johor dan menjadi bahagian yang cukup penting bagi Johor selama 200 tahun.

 

5 .Kekalahan Portugis & Persahabatan dengan Belanda

Kegemilangan Johor juga didorong oleh kekalahan Portugis di tangan Belanda pada tahun 1641 yang menyaksikan berakhirnya penguasaan Portugis di Melaka. Sebelum ini, Portugis sentiasa memusuhi Johor di atas pertelingkahan dan perseteruan yang berlaku di antara kedua pihak. Bagi raja-raja yang sedang memerintah Johor, Melaka harus ditawan semula dan diletakkan kembali kepada kedudukan asalnya. Ini menyebabkan berlakunya siri peperangan di antara Portugis dan Johor. Namun begitu, kehadiran Belanda telah mengubah landskap politik di Alam Melayu apabila menjadi pesaing kepada Portugis di dalam memonopoli perdagangan rempah yang terdapatnya banyaknya di Alam Melayu dan begitu diminati oleh orang Eropah. Campur tangan Belanda di dalam krisis politik di antara Portugis di Melaka dan raja-raja Johor berlaku apabila Belanda telah menjalinkan persahabatan dengan Johor. Pada Ogos 1640, Belanda dibantu oleh Johor telah melancarkan kepungan ke atas Melaka. Orang-orang Johor memainkan peranan yang penting dalam pembinaan kubu dan parit serta mengangkut barang-barang meskipun mereka tidak terlibat dalam peperangan. Kepungan ini berakhir dengan kekalahan Portugis pada 14 Januari 1641.

            Manfaat yang diperoleh oleh Johor setelah membantu Belanda mendapatkan Melaka ialah, Johor dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan di perairan Selat Melaka tanpa gangguan daripada Portugis lagi. Belanda hanya ingin menjadikan Melaka sebagai tapak pemerhatian terhadap kapal-kapal yang menggunakan selat Melaka. Segala pusat pentadbiran Belanda di Alam Melayu ini diletakkan di Batavia. Antonio van Diemen sebagai pengarah VOC menyatakan rasa keberhutangannya terhadap Johor. Beliau menyebutkan bahawa:-

“Kita harus terus mengingati tentang orang-orang Johor, sumbangan yang mereka berikan di dalam menakluk Melaka. Tanpa pertolongan mereka, kita tidak mungkin menjadi ketua di tapak yang cukup kuat, iaitu Melaka”.

Rumusannya, kegemilangan Kesultanan Melayu Johor didorong faktor seperti kecekapan raja dan para pembesar, sebagai pusat perdagangan, peranan Orang Laut, tiadanya ancaman Acheh dan Portugis serta persahabatan Johor dengan Belanda. Namun, kegemilangan ini dimusnahkan oleh serangan Jambi yang menyaksikan Johor terpaksa berdepan semula dengan peperangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...