Isnin, 10 Julai 2023

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struktur organisasi, kurikulum dan bahan pengajarannya agak berbeza jika dibandingkan dengan sistem pendidikan tradisional. Perubahan ini telah membuka peluang dan alternatif kepada masyarakat tempatan untuk memilih pendidikan yang sesuai buat anak-anak mereka. Namun, perbezaan tetap wujud apabila sekolah-sekolah yang didirikan hanya tertumpu di kawasan tertentu seperti kawasan bandar. Sudah pasti kita dapat menggambarkan keadaan masyarakat di kawasan pedalaman yang tercicir dari dunia pendidikan di peringkat awal perkembangannya. Kelompangan ini berterusan sehinggalah ada usaha pihak tertentu untuk mendirikan sekolah. Perlu ditegaskan di sini bahawa kemunculan sistem pendidikan moden ini tidak bermakna bahawa pendidikan tradisional dilupakan. Ada ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan madrasah. Wujud pelbagai jenis sekolah moden menjelang abad ke-19 & 20. Oleh itu, penulisan artikel ini akan membincangkan berkenaan sistem pendidikan moden dan perkembangannya di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

            Kerajaan Inggeris telah memperkenalkan sistem pendidikan lebih teratur, formal dan lebih luas kurikulumnya kepada masyarakat tempatan. Pembukaan Sekolah Melayu telah dibuka pada tahun 1855 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada peringkat permulaan, sekolah-sekolah ini ditubuhkan atas usaha orang perseorangan, persatuan-persatuan agama dan daya usaha masyarakat setempat. Pelbagai reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat tempatan terhadap pembukaan Sekolah Melayu di tempat mereka. Pada awalnya, masyarakat memberi sambutan yang begitu dingin dan enggan menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan. Kebimbangan ini turut dipengaruhi oleh pengasas sekolah berkenaan iaitu individu yang beragama Kristian. Ibu bapa tidak ingin anak-anak mereka menukar agama disebabkan sekolah yang baru dibuka ini. Pada masa yang sama, anak-anak lelaki misalnya diperlukan oleh keluarga untuk membantu mencari pendapatan dan menolong ibu bapa mereka melakukan aktiviti penanaman padi. Namun, masyarakat Melayu mengubah pendirian terhadap perkara ini apabila melihat anak-anak lain yang berpendidikan berpeluang untuk bekerja di dalam perkhidmatan awam. Selaras dengan dasar pihak Inggeris memberi keutamaan kepada masyarakat Melayu untuk menjawat jawatan perkhidmatan awam. Di Sabah, pembukaan sekolah ini agak perlahan kerana sikap penjajah iaitu Charted Company yang tidak memberi perhatian terhadap perkara ini. Berbeza halnya dengan di Sarawak di mana pembukaan sekolah Melayu ini mendapat tempat dalam masyarakatnya.

            Seterusnya, masyarakat Cina turut mendirikan sekolah untuk keperluan sosial anak-anak mereka. Wujud perbezaan yang ketara dari aspek kurikulum, formaliti dan bahan pengajaran jika hendak dibandingkan dengan sekolah Melayu. Pendidikan yang diterapkan kepada pelajar-pelajarnya berkiblatkan kepada negara China. Mungkin saja hal ini dipengaruhi oleh semangat patriotisme masih kekal terpaut ke negara asal dan masih lemah bertapak ke atas Tanah Melayu. Seperti sekolah Melayu, sekolah vernakular Cina ini diasaskan oleh orang perseorangan pertubuhan agama dan masyarakat setempat. Selain daripada kurikulum sekolah yang berorientasikan pendidikan di sekolah China, guru-guru yang mengajar turut dibawa masuk ke Tanah Melayu bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sikap kerajaan Inggeris yang tidak masuk campur terhadap pendidikan ini telah memberi kebebasan kepada pendukung sekolah ini untuk menentukan kurikulum yang perlu dimuatkan dalam sekolah ini. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan sekolah-sekolah berkenaan menjadi medan politik komunis ketika fahaman ini berkembang luas pada pertengahan abad ke-20. Sejak dari itu, pihak Inggeris berusaha untuk mengawal aktiviti berkenaan dengan mengarahkan sekolah-sekolah ini didaftarkan. Selain itu, pihak Inggeris menawarkan bantuan kewangan seperti geran khusus kepada sekolah-sekolah Cina. Namun, kawalan ini masih dianggap lemah kerana kerajaan masih tidak campur tangan dalam menentukan guru-guru yang mengajar dan bahan pengajarannya. Keadaan ini berubah setelah meletusnya Perang Dunia ke-2 dan sekembalinya pihak Inggeris ke Tanah Melayu. Mereka telah membuat kawalan rapi terhadap sekolah ini.

            Selain daripada sekolah Melayu dan Cina, sekolah vernakular Tamil turut didirikan di Tanah Melayu. Seperti sekolah yang lain, sekolah ini bermula dengan wujudnya sekolah-sekolah persendirian yang diusahakan oleh pertubuhan dakwah Kristian ataupun kumpulan tertentu dalam komuniti mereka. Bezanya di sini ialah kewujudan sekolah ini agak terkemudian dan bilangannya agak kecil. Hal ini bersabit dengan bilangan penduduk yang tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan imigran Cina di Tanah Melayu. Pembukaan sekolah ini tidak dapat dipastikan tarikh yang khusus dan dipercayai sekolah Tamil ini menjalankan operasinya pada tahun 1870-an. Seperti sekolah Cina, sekolah Tamil tidak mendapat perhatian daripada kerajaan Inggeris. Hal ini sudah pasti mempengaruhi perkembangan sekolah dari sudut infrastruktur dan kurikulum yang agak perlahan. Sekolah Tamil ini diwujudkan atas kesedaran pentingnya aspek pendidikan dalam kehidupan masyarakat. Kerajaan India turut meminta kerajaan Inggeris mendirikan sekolah kepada anak-anak buruh agar mereka tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan. Oleh itu, pihak Inggeris telah mengggubal akta buruh pada tahun 1923 yang menetapkan bahawa setiap pengusaha ladang perlu mendirikan sekolah di ladang masing-masing jika terdapat sepuluh atau lebih anak-anak pada usia persekolahan iaitu enam hingga dua belas tahun. Implementasi daripada dasar ini, makan banyaklah sekolah yang didirikan. Namun, pada peringkat awal pembukaan sekolah ini, keadaannya amat menyedihkan hati apabila pengusaha ladang tidak begitu prihatin soal kebajikan sekolah ini. Pembukaan sekolah hanya bertujuan memenuhi keperluan dasar British.

            Kesimpulannya, sistem pendidikan moden telah membuka peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan ilmu-ilmu baharu. Pada masa yang sama, ilmu tersebutlah dapat digunakan untuk tujuan hidup dan mencari pekerjaan yang diminati. Pendidikan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak begitu berbeza jika kita menilai dari sudut tempoh dan perkembangannya. Mungkin perkara ini disebabkan oleh tindakan atau dasar pihak kolonial British yang tidak menghiraukan pendidikan di negara kita. Namun, memasuki abad ke-20, pendidikan semakin berkembang dengan baik. Atas usaha masyarakat dan persatuan-persatuan tertentu, masyarakat kita mampu menikmati pendidikan moden. Oleh itu, sistem pendidikan ini haruslah berkembang seiring dengan keperluan semasa dan selaras dengan peredaran zaman yang semakin mencabar.


Isnin, 3 Julai 2023

Pendidikan Tradisi, Satu Kupasan Ringkas

Pendidikan merupakan komponen yang penting bagi membina sesuatu masyarakat yang bertamadun dan memiliki nilai budaya yang tinggi sifatnya. Aspek ini berperanan dalam mengekalkan kedaulatan dan keharmonian sesebuah negara. Jika perkara ini diabaikan sudah pasti perkara buruk akan mendekati bangsa tersebut. Ini telah jelas tercatat dalam sejarah peradaban manusia. Di Eropah misalnya, zaman “Dark Ages” menyaksikan kehidupan masyarakat yang terbelenggu dengan kejahilan dan kemunduran. Begitu juga semasa zaman jahiliah di Arab. Namun, bukannya kita hendak mencaci atau menghina masyarakat berkenaan, tetapi dijadikan sebagai teladan. Dalam masyarakat di Tanah Melayu, termasuk Sabah dan Sarawak, pendidikan ini telah berakar umbi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14. Sejak dari saat ini, pendidikan telah berkembang sehinggalah kolonial British berjaya menjajah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Memasuki era moden, sistem pendidikan turut mengalami perubahan yang ketara sama ada dalam aspek kurikulum mahupun kaedah pengajarannya. Namun, sebelum itu sistem pendidikan pada asalnya bersifat tradisional. Penulisan ilmiah kali ini akan membicarakan sistem pendidikan tradisional di negara kita.

            Sistem pendidikan tradisional lebih jelas kelihatan pada abad ke-18 &19. Namun begitu, kita tidak mengatakan bahawa negara kita sunyi mengenai aktiviti berkaitan pendidikan. Hal ini kerana saudagar-saudagar daripada Arab pernah singgah ke Melaka dan Sultan juga pernah belajar daripada maulana Arab ini. Latar belakang pendidikan tradisional ini bersandarkan kepada pendidikan agama khususnya di negeri-negeri Tanah Melayu. Pengajian agama berkembang dengan begitu baik apabila guru-guru yang berpengalaman membuka institusi pendidikan yang sifatnya tidak begitu formal. Pusat pengajian ini tertumpu di rumah-rumah tok guru jika bilangan muridnya sedikit dan jika ramai yang mengikuti pendidikan ini, maka surau-surau atau masjid-masjid menjadi lokasinya. Oleh itu, apabila kita meneliti sistem pendidikan agama pada zaman moden, Sekolah Agama Negeri telah banyak diwujudkan yang berkembang daripada sistem pendidikan tradisional. Hatta, hingga ke hari ini sistem pendidikan seperti ini masih lagi berjalan di kampung-kampung walaupun berlaku perubahan dalam aspek kurikulum dan teknik pengajaran yang diaplikasikan. Satu lagi ciri penting kepada sistem pendidikan tradisional ini ialah penyertaan pelajar tidak mengikut had umur dan yuran pengajian yang rendah bahkan diberikan secara percuma pada peringkat awal. Pendidikan tradisional ini boleh kita kategorikan kepada tiga iaitu pengajian pondok, madrasah dan sekolah rakyat.

            Pengajian pondok lebih tertumpu di negeri-negeri Tanah Melayu terutamanya di sebelah utara. Menjelang abad ke-18 dan 19, institusi pondok telah wujud di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sistem pengajian pondok ini dipengaruhi oleh pengajian pondok di Aceh, Indonesia dan Patani, selatan Thailand. Sekolah ini berteraskan kepada pengajian agama Islam seperti al-Quran dan hadis-hadis sahih. Pada peringkat awal, sekolah pondok telah diasaskan oleh individu yang mendapat pendidikan di Acheh atau Patani. Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Hussain Mohd Karim telah datang dan membuka pondok di Bohor, Kedah. Selain itu, pendidikan pondok ini diasaskan oleh golongan intelektual tempatan yang pernah melakukan pengajian di sekolah pondok di kedua-dua tempat yang telah disebutkan. Kewujudan sekolah pondok ini adalah disebabkan kesedaran masyarakat tempatan tentang betapa pentingnya didirikan sekolah untuk anak-anak mereka mendapat ilmu pengetahuan agama. Selain itu, masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu kebanyakannya beragama Islam. Maka, tidak hairanlah jika sambutan menggalakkan diperoleh oleh sekolah-sekolah ini. Namun, perkembangannya turut berkait rapat dengan pengasas dan sumber kewangan institusi berkenaan. Antara pondok-pondok yang wujud di Tanah Melayu ialah Pondok Haji Abbas, Tuk Jering, Pondok Padang Jelapang, Pasir Mas dan Pondok Pokok Sena, Kedah.

            Memasuki abad ke-20, pendidikan di negara kita berkembang dengan wujudnya madrasah yang turut berperanan dalam memberi pendidikan kepada masyarakat. Madrasah ini ditubuhkan oleh golongan reformis Islam yang pernah menuntut dan menetap di Tanah Arab atau Mesir. Pendidikan ini masih lagi diusahakan oleh orang perseorangan mahupun kumpulan tertentu. Bezanya dengan pengajian pondok, madrasah ini memiliki sistem pendidikan yang tersusun, lebih formal, dan penyusunan organisasinya lebih sistematik. Kurikulum lebih teratur dan memiliki peperiksaan dan ujian bagi menilai tahap dan kebolehan seseorang setelah mengikuti pengajian di Madrasah ini. Seperkara lagi, terdapat dua peringkat pengajian iaitu rendah dan menengah yang masing-masing dikenali sebagai ibtida’i dan thanawi. Apabila pelajar madrasah ini berjaya menamatkan pengajian, mereka layak diberikan sijil sebagai bukti mereka pernah menuntut di madrasah berkenaan. Mata pelajaran umum turut dimuatkan dalam pengajian madrasah ini seperti Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Apabila mereka memperoleh keputusan yang cemerlang, mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Hal ini kerana tenaga pengajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin mahir dengan keperluan sistem pendidikan di tempat tersebut. Perkembangan institusi pendidikan seperti ini terus mendapat sambutan dan antara madrasah yang terkenal ialah Madrasah al-Masriyyah.

            Selain daripada sekolah pondok dan madrasah, sekolah rakyat turut termasuk dalam sistem pendidikan tradisional. Sekolah rakyat ini diusahakan oleh masyarakat setempat yang begitu sedar peri pentingnya pendidikan kepada anak-anak mereka. Sekolah ini bertujuan untuk menyediakan peluang pendidikan yang sempurna kepada masyarakat. Penubuhan Sekolah Melayu yang hanya tertumpu di Negeri-negeri Selat memungkinkan sekolah rakyat ini ditubuhkan. Hal ini turut didorong oleh sikap pemerintah yang tidak mampu memberi pertolongan terutamanya dalam bentuk kewangan kepada masyarakat. Maka, tidak hairanlah jika sekolah ini ditubuhkan sebagai “Sekolah Rakyat”. Dari aspek pedagogi yang diajar di sekolah ini berbeza dengan sekolah pondok dan madrasah yang berfokus kepada pengajian agama Islam. Sekolah rakyat ini mengikuti kurikulum sekolah Melayu yang menumpukan kepada aspek 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Ilmu Hisab, Tawarikh dan Ilmu Alam turut disediakan kepada pelajar. Dari sudut kemudahan yang terdapat di sekolah ini jauh lebih daif daripada sekolah Melayu kerajaan. Keadaan ini disebabkan kekurangan sumber kewangan bagi melengkapi sekolah ini dengan kemudahan yang lebih baik dan selesa kepada para pelajarnya. Di negeri Kedah, pada tahun 1938 seramai 1742 orang murid yang menuntut di 24 buah sekolah rakyat. Masyarakat setempat sememangnya begitu sedar akan pentingnya pendidikan pada masa itu yang telah membawa kepada tertubuhnya sekolah rakyat ini.

            Bukan sahaja di Tanah Melayu, sistem pendidikan turut didapati di Sabah dan Sarawak. Sistem pendidikan awal ini agak kabur maklumatnya kerana mungkin berbeza dengan Tanah Melayu yang menerima pengaruh pengajian agama Islam dari Indonesia dan selatan Thailand. Namun, Sabihah Osman mengatakan bahawa sistem pendidikan tradisional di Sarawak adalah berlandaskan pengajian al-Quran. Sistem pendidikan ini tertumpu di kawasan penempatan Melayu seperti di Kuching dan kawasan pesisiran. Hal ini boleh juga dikaitkan dengan pengaruh Kesultanan Brunei kerana Sarawak pernah terletak di bawah pengaruh kesultanan ini sebelum kedatangan Brooke. Oleh itu, pendidikan di Sarawak ini memiliki persamaan dengan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Berkenaan sistem pendidikan di Sabah, Azmah Abdul Manaf (2001) dalam bukunya Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia memberitahu bahawa sistem pendidikan bersifat tekaan sahaja sebelum kedatangan pihak penjajah Inggeris. Lebih-lebih lagi masyarakat peribumi negeri berkenaan bukan beragama Islam. Bagi orang Islam di Sabah, pendidikan agama diterapkan berasaskan kepada pengajian al-Quran semata-mata. Hal ini turut sama berlaku di Sarawak kerana Sabah pernah dipengaruhi oleh Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada suatu ketika dahulu sebelum kehadiran pedagang asing Amerika dan penjajah British, Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Namun, kita tidak dapat menafikan pendidikan di rumah turut dipraktikkan lebih-lebih lagi negara kita ini kaya dengan budaya ketimuran yang sentiasa disanjung dan dihormati. Begitulah sistem pendidikan awal di Sabah dan Sarawak, kajian lebih meluas lagi perlu dilakukan bagi menambah maklumat tentang sistem pendidikan awal di dua buah negeri ini di masa akan datang.

            Kesimpulannya, sistem pendidikan awal di negara kita lebih berfokus kepada pengajian agama. Sekolah rakyat turut berkembang dengan baik akibat desakan masyarakat yang begitu sedar tentang pentingnya pendidikan. Oleh itu, aspek ini begitu penting sejak dari dahulu lagi sehinggalah ke hari ini. Pendidikan tradisional ini telah berubah kepada moden apabila memasuki abad ke-20 dan 21 dengan kurikulum serta pendekatan yang berbeza dalam menyampaikan ilmu. Sistem pendidikan awal ini turut memberi gambaran bahawa sejak dari dulu lagi masyarakat kita begitu mengambil berat soal pendidikan. Tuntasnya, tanpa pendidikan, sesebuah negara itu tidak mampu untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu dan berkongsi nilai-nilai kehidupan yang sama. Tanpa pendidikan, akan berlaku masalah sosial yang tidak menguntungkan kepada kehidupan kita.


Isnin, 26 Jun 2023

Perjanjian Pangkor 1874 & Sistem Residen di Perak

Menjelang abad ke-19, kuasa British berjaya meluaskan pengaruhnya di Tanah Melayu apabila Perjanjian Pangkor 1874 ditandatangani. Perjanjian ini merupakan persetiaan di antara pihak British yang diwakili oleh Sir Andrew Clarke sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat dengan Raja Abdullah dan pembesar Melayu yang lain. Perjanjian ini ditandatangani di kapal HMS Pluto pada 20 Januari 1874. Di dalam perundingan ini, terdapat 14 fasal yang telah dipersetujui oleh beberapa orang pembesar dan sultan Perak. Perkara ke-6 di dalam Perjanjian Pangkor ini yang telah mengubah arena politik tradisional masyarakat Melayu apabila diperkenalkan ‘Sistem Residen’ yang telah melemahkan kuasa pemimpin Melayu. Di sebalik peristiwa ini, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Perjanjian Pangkor perlu ditandatangani. Sungguhpun begitu, terdapat dua perkara yang ingin dibincangkan dalam penulisan ini iaitu yang pertama berkenaan faktor termeterainya Perjanjian Pangkor dan implikasi perjanjian ini terhadap kuasa politik orang Melayu.

            Pihak kolonial Inggeris mempunyai kepentingan yang cukup besar terhadap lapangan ekonomi di Tanah Melayu bagi memenuhi keperluan bahan mentah di negara asal. Bagi menjaga kepentingan ini, pihak kolonial harus menjaga keamanan dan mengelakkan Tanah Melayu daripada sebarang kekacauan. Sungguhpun begitu, Perang Larut yang berlaku di antara kongsi-kongsi gelap membimbangkan pihak Inggeris kerana akan mengancam kedudukan mereka di Tanah Melayu. Perang Larut tercetus apabila berlakunya perebutan dan perbalahan di antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San terhadap pemilikan lombong bijih timah di Taiping. Malah, turut menjadi isu di antara Raja Abdullah dengan Ngah Ibrahim. Bukan itu sahaja, pelabur-pelabur yang mempunyai kepentingan terhadap sektor perlombongan mendesak kerajaan British untuk menyelesaikan masalah Perang Larut. Mohd Isa Othman (2000) menjelaskan bahawa Perang Larut membimbangkan Inggeris kerana boleh merebak ke Pulau Pinang dan Singapura. Ini kerana kongsi-kongsi gelap di Perak mempunyai hubungan dengan kongsi gelap di dua pelabuhan tersebut. Oleh itu, Lord Kimberley selaku Setiausaha Tanah Jajahan telah mengarahkan Sir Andrew Clarke menyiasat perkara ini dan seterusnya mencari solusi bagi mengatasi masalah ini.

            Bagi menyelesaikan permasalahan ini, Sir Andrew Clarke telah mengatur genjatan senjata antara kongsi-kongsi gelap yang bertelagah. Pada masa yang sama, Sir Andrew Clarke telah meminta pembesar-pembesar Melayu untuk berjumpa dengan beliau di Pangkor bagi berunding untuk menyelesaikan masalah mereka. Raja Abdullah, masih berharap baginda masih kekal memegang jawatan sebagai Sultan Perak. Oleh itu, Sultan Abdullah telah menulis kepada Sir Andrew Clarke untuk meletakan seorang residen di Perak dan sebagai balasannya, Sultan Abdullah kekal menjadi Sultan Perak. Bagi menjelmakan keinginan Sultan Perak ini, Sultan Abdullah harus menyetujui kandungan Perjanjian Pangkor di mana Sultan Abdullah harus menerima seorang Residen. Perkara ke-6 di dalam perjanjian ini menyebut bahawa:

 

‘Sultan akan menerima dan menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk seorang pegawai Bitish yang dikenali sebagai residen. Nasihat residen mesti diperoleh dan dilaksanakan dalam semua perkara melainkan dalam hal agama dan adat-istiadat Melayu’

 

Berdasarkan kepada kenyataan di dalam Perjanjian Pangkor ini, Sultan mesti mendapatkan nasihat daripada residen dan nasihat yang diberikan haruslah dilaksanakan. Secara tidak langsung, pihak Inggeris telah menceroboh sistem politik Tanah Melayu tanpa melakukan sebarang pertumpahan darah mahupun peperangan. Berbeza dengan tanah jajahan yang lain, apabila pihak British harus beradu tenaga untuk mendapatkan kuasa untuk menjalankan dasar dan polisi mereka.

Perlantikan seorang residen untuk membantu dan menasihat sultan dalam semua urusan pentadbiran secara tidak langsung telah mengubah landskap politik di Tanah Melayu yang bertunjangkan kepada kuasa mutlak seorang raja untuk memerintah. Sultan tidak lagi bergerak seorang diri untuk menjalankan tadbir urus wilayahnya selain dibantu oleh pembesarnya. Residen memainkan peranan untuk memberi nasihat yang harus dijalankan dalam perkara yang melibatkan pentadbiran di Tanah Melayu. Satu kepastian yang jelas di sini, hubungan pemerintah di Tanah Melayu dengan pihak Inggeris telah bermula setelah Perjanjian Pangkor dipersetujui. Walaupun tiada formula atau tugas yang spesifik tentang residen ini, namun sudah pasti pemerintahan cara barat mempunyai pertentangan dengan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh pemimpin Melayu sejak dahulu lagi. Sebagai contoh, di negeri Perak, J.W. Birch atau James Wheeler Woodfor Birch merupakan residen British yang pertama di Perak. J.W.W Birch telah melanggar norma dan kebiasaannya bagi sistem politik Tanah Melayu apabila beliau telah mengambil sebarang keputusan tanpa berunding terlebih dahulu dengan Sultan Abdullah. Malah, peraturan-peraturan baru tentang cukai misalnya telah menekan kuasa Sultan Abdullah sebagai seorang pemerintah.

Dari sudut ekonomi, Perjanjian Pangkor 1874 telah membuka ruang seluas-luasnya kepada pegawai Inggeris untuk memberikan nasihat kepada sultan dalam apa jua aspek ekonomi kerana dinyatakan dengan jelas bahawa Sultan harus menerima nasihat residen dan melaksanakan nasihat yang diberikan. Sebagai contoh di Perak, kehadiran J.W.W Birch sebagai seorang residen telah mengubah peraturan cukai yang selama ini diaplikasikan oleh pemimpin dan pembesar Melayu. J.W.W Birch telah mengeluarkan arahan agar cukai yang sebelum ini dikutip oleh pembesar Melayu akan dipungut oleh pegawai British dan menghukum sesiapa sahaja yang melanggar arahan ini. J.W.W Birch menggunakan alasan bahawa keadaan ini akan memulihkan aspek kewangan negeri Perak dan menjelaskan hutang-hutang yang tertunggak. Hakikatnya, pihak J.W.W Birch ingin berkuasa dalam pentadbiran agar segala peraturan yang membawa faedah kepada pihak Inggeris mudah untuk dilaksanakan. Walaupun begitu, masyarakat Melayu tidak mengendahkan tuntutan ini. Sebagai contoh, Raja Ngah tetap mengutip cukai menyebabkan rumahnya telah dibakar.

Seterusnya, penguasaan politik oleh pihak Inggeris melalui residen ini telah mengundang kemarahan bagi pemimpin Melayu apabila sistem perhambaan dihapuskan pada tahun 1883. Walaupun di dalam Perjanjian Pangkor tidak disebut tentang perhambaan, pihak Inggeris beranggapan bahawa institusi perhambaan ini bertentangan dengan kerajaan yang ‘bertamadun’ yang dicadangkan oleh Inggeris. Barbara Watson Andaya & Leonard Andaya Y (1983) menyatakan bahawa orang Eropah mendefinisikan perhambaan sebagai kumpulan yang tidak dibezakan yang hidup dalam kesengsaraan. Melihat kembali signifikan perhambaan ke atas sejarah politik di Tanah Melayu, perhambaan ini menjadi lambang kepada sumber kekayaan bagi seseorang. Dikatakan bahawa, semakin ramai hamba yang dimiliki oleh seseorang pembesar atau pemerintah, semakin tinggi kedudukan atau martabat yang dimiliki. Berdasarkan kepada kenyataan ini, wujud pertentangan yang jelas tentang definisi dan konotasi terhadap sistem perhambaan. Oleh itu, pihak kolonial Inggeris telah meminta Frank Swettenham, seorang yang fasih berbahasa Melayu untuk memenangi Sultan Abdul Samad untuk bersetuju menghapuskan sistem perhambaan di Tanah Melayu.

Kesimpulannya, Perjanjian Pangkor merupakan kunci kejayaan pihak British untuk menguasai sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Melalui sistem residen, pihak British berpeluang untuk memberikan nasihat kepada sultan agar nasihat ini dilaksanakan. Pada hakikatnya, residen yang dilantik bersikap berani untuk menjalankan peraturan baru tanpa memikirkan perimbangan dan keputusan daripada sultan. Sistem perhambaan yang cuba dihapuskan turut mengundang rasa tidak puas hati terhadap kuasa British ini. Sungguhpun begitu, kelemahan di dalam mencapai kata sepakat antara pentadbir Melayu dan kesukaran untuk menyelesaikan masalah dalaman negeri menyebabkan orang luar iaitu British mudah untuk mengambil kesempatan.


Isnin, 19 Jun 2023

Renaissance, Kelahiran Semula Eropah

“Renaissance” merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah peradaban Eropah. Masyarakat di Eropah telah menikmati satu perubahan yang ketara khususnya di Itali. Era “Dark Ages” telah memaksa golongan intelektual membuka jalan kepada pembaharuan positif demi kepentingan penghidupan yang lebih baik. Zaman Dark Ages yang menyaksikan huru-hara dan keadaan yang tidak selamat membuatkan masyarakat Eropah hidup dalam belenggu kejahilan dan hilang identiti kegemilangan semasa zaman klasik Rom. Pembunuhan, rompakan dan aktiviti jenayah sukar untuk dibendung, apatah lagi nak dihapuskan. Namun, kemunculan Renaissance telah membuka mata masyarakat Eropah tentang masalah kemunduran yang mereka alami dan menjadi gelombang kepada zaman kesedaran di Eropah dalam bidang kesusasteraan dan kesenian. Fenomena ini telah mengeluarkan Eropah daripada perangkap zaman Dark Ages yang melemahkan nilai sosial dan tradisi lama zaman empayar Rom. Muncul persoalan bagaimana Renaissance tercetus di Eropah. Untuk menjawab persoalan tersebut, perbincangan dalam penulisan ini akan memfokuskan kepada kemunculan Renaissance di Eropah.

            Renaissance atau “Rebirth” mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan dengan zaman lain baik di Eropah mahupun di wilayah lain. Pertama, Renaissance dikaitkan dengan usaha-usaha pengkajian semula karya klasik Greek dan Rom. Golongan intelektual di Eropah melakukan kajian semula terhadap karya ini yang telah sekian lamanya “mati” dalam lingkungan kehidupan masyarakat Eropah. Oleh itu, golongan intelektual Eropah memikirkan perlunya karya ini dibedah semula kandungannya dan menjadi medium kepada pembinaan semula masyarakat Eropah yang telah terkeluar daripada nilai-nilai kegemilangan zaman klasik. Ciri yang kedua berhubung dengan “Individualisme”. Sesiapa sahaja bebas untuk mencapai tahap sosial tertentu tanpa sekatan yang pernah dilakukan oleh golongan gereja. Kebebasan ini telah membuka peluang kepada masyarakat Eropah untuk melakukan sesuatu bagi membaiki taraf kehidupan yang dilanda kemiskinan dan meningkatkan tahap sosial. Ciri ketiga berkait rapat dengan “sekularisme” yang membawa pengertian pengasingan usaha duniawi manusia dengan ajaran agama dan kawalan gereja. Masyarakat Eropah mula berusaha untuk membebaskan fikiran dan fizikal mereka daripada tuntutan gereja seperti sebelumnya. Minat terhadap kebendaan menguasai kehendak dalam diri yang sering terkunci oleh falsafah dan prinsip gereja. Ciri-ciri yang dijelaskan merupakan gambaran bagi kerangka suasana Renaissance di Eropah.

            Pelbagai faktor yang menjana kemunculan Renaissance di Eropah yang diberikan oleh para sarjana. Antaranya ialah kesan daripada Perang Salib yang melibatkan perang agama. Peperangan ini berlaku antara tentera Islam dan Kristian. Tanda salib pada askar-askar Kristian menyebabkan pertempuran antara dua pihak ini dipanggil sebagai Perang Salib. Dalam peperangan ini telah menyebabkan masyarakat Islam dan Krisitian bertembung dalam aspek ketenteraan yang begitu panjang dalam sejarah. Namun, kesan yang diterima telah berjaya membawa kepada detik-detik awal Renaissance di Eropah khususnya di Itali. Venice, Genoa dan Florence antara kota-kota yang menerima impak yang cukup besar terhadap perkembangan ekonomi. Peningkatan berterusan telah berlaku dari segi keuntungan yang diperoleh daripada hasil aktiviti perdagangan dengan pedagan Islam. Perang Salib ini menjadikan proses yang lebih agresif terhadap penerokaan, perdagangan dan kolonisasi. Penguasaan orang Kristian terhadap kawasan timur Mediterannean telah membawa kepada keuntungan dan manfaat bagi pelabuhan-pelabuhan penting di Itali seperti Venice, Pisa dan Genoa. Kemakmuran dan keamanan yang dicapai bandar seperti Venice telah membawa kepada penyebaran idea-idea Renaissance. Golongan pelukis, penulis dan artisan mampu menghasilkan karya apabila mereka hidup dalam satu masyarakat yang berkongsi bersama idea-idea Renaissance.

            Faktor seterusnya berkaitan dengan pengkajian dan penterjemahan karya Eropah purba. Usaha ini dilakukan oleh golongan intelektual di Eropah. Kumpulan ini telah berusaha untuk membangkitkan semula pandangan dan gagasan Greek dan Rom klasik untuk kepentingan masyarakat. Pengkajian yang dilakukan ini secara tidak langsung membawa kepada kegiatan pembelajaran dan pendidikan berkembang dengan pesat melalui penyebaran manuskrip. Bolehlah kita katakan bahawa pendidikan begitu mustahak kepada sesebuah masyarakat kerana melalui bidang ini ilmu mampu berkembang secara berkesan dan menjadi tunjang kepada prinsip atau amalan dalam kehidupan sehari-hari. Dalam erti kata yang lain, sebagai landasan yang perlu diikuti dan dijadikan sebagai platform untuk pencapaian kehidupan yang harmoni lagi makmur. Begitulah keadaannya semasa zaman Renaissance melebarkan sayapnya ke segenap ceruk Eropah. Hal ini dapat kita buktikan dengan kemunculan perpustakaan kelas pertama dan institusi pendidikan seperti University Oxford dan University of Cambridge. Perkembangan ini begitu penting di Eropah kerana mampu menghasilkan idea pembaharuan seperti penerbitan buku-buku sebagai bahan bacaan penting. Satu lagi aspek yang penting kepada kehadiran Renaissance di Eropah ialah penterjemahan karya klasik turut membawa idea humanisme oleh tokoh tertentu seperti Petraciach dan Lorenzo Vila.

            Faktor berikutnya ialah perkembangan dalam institusi kewangan atau perbankan. Ekonomi di Itali telah berkembang dengan kewujudan institusi kewangan yang efisien dan efektif. Wujud satu mekanisme kredit yang membantu kepada golongan pelabur di Eropah selain daripada duit syiling yang berbentuk emas dan perak. Prinsip-prinsip perbankan telah dibangunkan bagi memudahkan urusan ekonomi. Antaranya ialah sistem “usury” atau faedah, insurans maritim dan kontrak-kontrak ekonomi. Misalnya wujud pinjaman “sea laons” yang akan menjamin tahap faedah dan keuntungan tertentu selain daripada merangkumi tanggapan yang penuh telah digunakan secara meluas sebelum diisytiharkan sebagai riba. Antara lain, insurans maritim menjamin keselamatan barang-barang dagangan yang dibawa masuk ke pelabuhan. Perkembangan perbankan seperti ini telah menjadikan wilayah Florence di Itali terkenal dengan sistem perbankan yang moden dan kukuh kepada pedagang dan pelabur. Hal ini turut membawa kepada minat kepada golongan bangsawan untuk terlibat dalam aktiviti bersandarkan ekonomi komersial dan menguntungkan. Antara kumpulan yang terkenal ialah keluarga Medici yang telah melaburkan dalam pelbagai sektor penting iaitu perindustrian, perniagaan dan pembinaan kapal. Pada masa yang sama, muncul pekan-pekan dan bandar-bandar di Itali disebabkan aktiviti ekonomi yang aktif dan memberangsangkan. Situasi ini telah membawa perubahan positif yang berhubung dengan Renaissance di Eropah.

            Kemunculan Renaissance ini turut berkait dengan hilangnya sokongan kepada institusi gereja. Meninjau kembali perkembangan institusi ini di Eropah, gereja memainkan peranan penting kepada kebajikan dan kehidupan setelah mati bagi para petani. Namun, disebabkan pelaku gereja yang tidak akur kepada prinsip-prinsip gereja ini menyebabkan mereka lebih mementingkan kepada kemewahan dan keseronokan kepada masyarakat Eropah. Keadaan ini berterusan sehinggalah wujud kumpulan yang menentang dan melakukan reformasi terhadap institusi agama ini. Era Renaissance, golongan gereja tidak lagi sekuat sebelumnya kerana aktiviti korup yang diamalkan sebelum ini diketahui oleh masyarakat. Maka tidak hairanlah jika sebelum ini golongan gereja menyeksa kumpulan intelektual yang mempersoalkan tindakan gereja. Golongan humanist memainkan peranan dalam membawa masyarakat keluar daripada kongkongan gereja yang dianggap banyak menyimpang daripada tujuan asal institusi berkenaan. Mereka turut membaca kitab Injil baru (New Testment) dan merencanakan gerakan pembebasan. Fenomena “Black Death” memperkuatkan lagi hujah bahawa golongan gereja sendiri yang telah melanggar perintah Tuhan-Nya. Oleh itu, Renaissance disebabkan penelitian semula terhadap peranan gereja yang telah disalahgunakan oleh pelakunya yang mementingkan keperluan peribadi.

            Kesimpulannya, Renaissance telah membawa masyarakat Eropah hidup dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Kemunculan golongan humanist turut menjadi nadi kepada gelombang Renaissance di Eropah. “Kelahiran semula” ini turut membebaskan masyarakat Eropah terus dikongkong oleh institusi gereja. Kebudayaan ini berterusan sehinggalah abad ke-16. Hal ini kerana berlaku kemerosotan disebabkan dasar perluasan kuasa Perancis sejak tahun 1494M. Namun, aura-aura Renaissance itu tetap dirasai oleh masyarakat di Eropah. Renaissance ini juga melahirkan tokoh-tokoh terkenal dalam pelbagai bidang seperti Leonardi Da Vinci. Sumbangan golongan ini masih diingat oleh masyarakat Eropah khususnya sehingga hari ini. Oleh itu, Renaissance telah menjadi titik kegemilangan masyarakat Eropah yang berjaya dari pelbagai segi dan membentuk suatu masyarakat yang memiliki keinginan untuk mencapai kejayaan.


Isnin, 12 Jun 2023

Asia Tenggara Sebelum Era Imperialisme Barat

Asia Tenggara merupakan wilayah yang banyak menerima pengaruh daripada kuasa Barat semenjak abad ke-18 lagi. Kehadiran kuasa Barat ke wilayah ini didorong oleh faktor ekonomi dan keperluan untuk mendapatkan kawasan jajahan. Aspek pelayaran turut memainkan peranan apabila pedagang daripada benua Eropah berjaya sampai di wilayah Asia Tenggara melalui kaedah ini. Sejak itulah wilayah di Asia Tenggara menjadi lubuk kepada sumber ekonomi yang bernilai tinggi. Kehadiran mereka telah mengubah corak dan rentak ekonomi, politik dan sosial kerajaan-kerajaa di Asia Tenggara secara perlahan-lahan. Namun, masih ada nilai tradisi yang dikekalkan dan diamalkan. Dalam kita menilai keadaan Asia Tenggara sebelum kedatangan kuasa Barat ini, secara umumnya, wilayah-wilayah di benua ini berkongsi bentuk ekonomi yang sama, bahkan dalam dimensi politik dan sosial itu sendiri. Sebelum penjajahan berlaku, telah wujud jalur perdagangan di Asia Tenggara dengan dunia luar. Agak keterlaluan jika kita mengatakan tidak ada sebarang bentuk hubungan di antara Asia Tenggara dengan dunia Eropah. Oleh itu, dalam kita menyelongkar keadaan Asia Tenggara sebelum kehadiran kuasa Barat, eloklah diselidiki dari aspek politik dan ekonomi.

            Dalam aspek politik, wilayah di Asia Tenggara berkongsi bentuk yang sama, walaupun penggunaan istilah yang berbeza. Antara sistem politik yang popular digunakan ialah sistem monarki. Sistem ini menekankan kepada kuasa raja sebagai pemerintah yang berkuasa mutlak dan memiliki segala kekayaan ekonomi dalam wilayah jajahan takluknya. Bolehlah kita katakan bahawa raja ini merupakan individu yang disegani dan dihormati oleh masyarakat dan rakyat harus memberikan taat setia kepada golongan pemerintah ini. D.G.E Hall menegaskan bahawa raja merupakan ketua kepada sesuatu komuniti yang dihubungkan oleh adat. Seseorang raja dilantik disebabkan pengetahuan yang dimiliki. Apabila sesebuah masyarakat kecil bergabung sesama mereka, akan membentuk masyarakat yang besar. Oleh itu, pemilihan seorang ketua diperlukan bagi mengemudi rakyatnya dalam aspek kehidupan. Walaupun begitu, satu perkara yang penting berkenaan pembinaan aspek politik di Asia Tenggara ialah pengaruh luar seperti Hindu-Buddha, Islam, Kristian dan Neo-Konfusius yang mempelbagaikan lagi bentuk politik dan menjadi garis pemisah perbezaan aspek ini di Asia Tenggara. Pengaruh Hindu-Buddha daripada India merupakan elemen yang begitu kuat dipraktikkan di wilayah Asia Tenggara seperti di kerajaan Ava, Sukhotai, Sailendra, Majapahit, dan Srivijaya. Hal ini turut dipersetujui oleh R. Von Heine-Geldern yang menerima pengaruh Hindu-Budha dalam pembentukan sistem politik kerajaan awal di Asia Tenggara. Walaupun begitu, pengaruh luar seperti Islam, Kristian dan fahaman neo-Konfusius turut terlibat dalam perkara ini dengan sifat yang berbeza.

            Pengaruh luar seperti Hindu-Buddha telah menjadi tunjang penting kepada pembentukan sistem politik di Asia Tenggara. Sistem politik yang dimaksudkan di sini ialah berhubung dengan kuasa raja, peranan kuasa-kuasa kosmik, pembinaan kerajaan dan peranan golongan diperintah. Raja dilantik disebabkan kebolehan dan keupayaan raja berkenaan untuk mengekalkan keharmonian. Jika raja tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya, raja tersebut boleh digulingkan dan diganti dengan individu yang lain. Bencana, penyakit dan ketidakstabilan politik antara faktor lain yang membawa kepada kejatuhan seseorang pemimpin. Dari sudut penyerapan ideologi, prinsip, kepercayaan dan amalan dalam sistem politik, terdapat tiga unsur yang penting untuk dikenal pasti. Pertama, berhubung dengan doktrin Hindu (Brahmin) yang menggambarkan dunia sebagai bentuk bulatan sepusat dengan Gunung Meru di tengah-tengahnya. Gunung Meru dianggap sebagai sakral dan sesiapa sahaja yang ingin mendekatinya perlu menunjukkan penghormatan. Dalam pentadbiran, istana atau kuil dianggap sebagai Gunung Meru. Antara kawasan yang digambarkan sebagai Gunung Meru ialah Bakheng di Angkor. Selain itu, kepercayaan kepada angka 33 yang mewakili dewa-dewa di Gunung Meru turut diaplikasikan dalam sistem politik. Sebagai contoh, raja perlu memiliki 33 permaisuri daripada 33 keturunan. Dalam kepercayaan Theravada, kedudukan raja dipengaruhi oleh hukum karma. George Coedes mengatakan raja merupakan pengawal kepada undang-undang, dharma, pelindung agama dan pencipta kepada kemakmuran. Selain itu, konsep mandala turut mencorakkan lagi aspek politik di Asia Tenggara.

            Selain daripada pengaruh Hindu-Buddha, Islam turut berperanan dalam pembentukan sistem politik di Asia Tenggara. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W yang telah berkembang sehingga ke Eropah, Asia Timur dan Asia Tenggara. Agama Islam ini dikembangkan oleh pedagang yang melalui laluan di Asia Tenggara untuk sampai ke China. D. R. SarDesai mengatakan bahawa penerimaan pengaruh luar ini hanya berlaku apabila pedagang daripada India sampai ke Asia Tenggara. Beliau menambah, pada abad ke-8, telah ada masyarakat Arab di China, kawasan barat India, Java dan Sumatra. Dalam ajaran agama Islam ini, golongan pemerintah harus menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi seperti jujur, adil, amanah dan bijaksana. Kemasukan agama ini ke Asia Tenggara seperti di Indonesia, Tanah Melayu dan Brunei telah mengubah landskap politik di Asia Tenggara yang pada asalnya didominasi oleh pengaruh Hindu-Buddha. Penukaran istilah raja kepada sultan atau syah merupakan contoh yang jelas. Reformasi turut berlaku dari sudut pegangan dan kepercayaan seperti konsep perajaan Muslim menyatakan bahawa raja yang memerintah di bumi sebagai wakil Tuhan. Golongan ulama memainkan peranan penting kepada urusan pentadbiran negara. Golongan ini menjadi rujukan kepada raja, memberi nasihat, pengesah wangsa dan kadang-kadang menjadi pengkritik kepada kerajaan. Walaupun begitu, pengaruh Hindu-Buddha tidak lenyap sama sekali apabila kehadiran Islam di Asia Tenggara. Masih lagi ada prinsip dalam Hindu-Buddha seperti konsep mandala yang memberi takrifan bahawa kerajaan itu terbahagi kepada empat bulatan sepusat dengan keraton di tengah-tengahnya.

            Vietnam merupakan wilayah tunggal yang menerima pengaruh Neo-Konfusius di Asia Tenggara. Penguasaan China yang memakan masa seribu tahun telah banyak memberi impak ke atas aspek politik, ekonomi dan sosial wilayah berkenaan. Setelah Vietnam mendapatkan kemerdekaan, mereka tetap menganggap China sebagai role model. Kehadiran kuasa Barat khususnya Perancis pada tahun 1859 turut menggoyangkan institusi politik wilayah berkenaan. Namun, sebelum hadirnya kuasa Barat ini, Vietnam telah meniru atau menyesuaikan aspek politik mereka bersandarkan kepada negara China. Pengaruh daripada negara ini nampak jelas semasa pemerintahan T’ang Dynasty (618-907 AD). Raja dianggap sebagai Son of Heaven (Thien-Tu) dan ibu kota dibina berdasarkan corak ibu kota China yang terdiri daripada tiga bulatan sepusat. Penyebaran fahaman Konfusius dilakukan oleh Wangsa Le dalam kalangan rakyat Indo-China dengan memperkenalkan birokrasi bercorak China. Sejak itu, hubungan Vietnam-China semakin rapat melalui sistem tributari. Peter Church menegaskan bahawa sejak abad ke-15, Vietnam memiliki penyusunan organisasi yang hampir sama dengan China, cumanya berbeza dari segi saiznya. Dalam organisasi birokrasi itu sendiri, ahlinya terdiri daripada golongan yang berpendidikan Konfusius. Pemilihannya berdasarkan kepada peperiksaan awam yang dijalankan untuk mereka yang ingin memasuki ke dalam sistem pentadbiran. Bukan itu sahaja, pengaruh China ini turut diserap ke dalam undang-undang, sistem pentadbiran, penulisan dan seni. Malah, golongan berpendidikan Konfusius ini lebih cenderung untuk menggunakan bahasa China berbanding bahasa Vietnamese.

            Seterusnya, perkara yang ingin dibincangkan ialah berkenaan dengan aspek ekonomi sebelum kedatangan kuasa Barat di Asia Tenggara. Sebelum abad ke-16, sukar untuk kita memotret gambaran menyeluruh berkenaan dengan keadaan ekonomi di Asia Tenggara kerana kekurangan sumber terhadap perkara ini. Penulisan atau karya hanya berkisar kepada suasana sebuah dinasti. Sumber China banyak menerangkan berkenaan aspek perdagangan dan perniagaan. Walaupun begitu, Louis Malleret dan Bernard Philippe Groslier memberitahu bahawa sumber arkeologi mampu memberi pertolongan untuk memahami keadaan ekonomi di Asia Tenggara khususnya kerajaan seperti Pagan di Burma, Sailendra di Java, Funan dan Angkor. Secara umumnya, aktiviti ekonomi masyarakat di Asia Tenggara ialah menumpukan kepada kegiatan pertanian dan perdagangan. D.G.E Hall mengatakan bahawa hampir 90 peratus penduduk di Asia Tenggara menetap di kawasan pedalaman. Kebanyakan daripada mereka merupakan pengumpul makanan seperti Negrito Semang dan Senoi-Temiar di Semenanjung Tanah Melayu, Kubu di Sumatera, Toals di Celebes, Punan di Borneo dan sekumpulan kecil di New Guinea. Aktiviti ekonomi yang utama ialah pertanian selain daripada perikanan. Dalam kegiatan pertanian, konsep yang digunakan untuk pembukaan sesuatu ladang ialah “slash and burn”. Masyarakat akan melakukan penebangan terhadap hutan dan melakukan pembakaran bagi meluaskan kawasan ini. Setelah itu, mereka akan menanam ubi atau yam dan diikuti dengan penanaman padi dan jagung. Selain itu, setelah dua tahun mereka akan berpindah ke kawasan lain. Begitulah keadaan ekonomi asas masyarakat di Asia Tenggara.

            Seterusnya, aktiviti sosioekonomi yang dilakukan ialah penanaman tanaman padi. Ini jelas kelihatan di kawasan lembangan sungai seperti Delta Mekong di Vietnam. Gordon Luce mengatakan bahawa padi merupakan produk utama di Asia Tenggara. Aktiviti penanaman padi ini berkembang dalam kalangan Mon-Khmer di Semenanjung Indo-China. Mereka yang telah memulakan aktiviti ini di delta Sungai Merah di Tongking. Keadaan ini menyebabkan populasi masyarakatnya semakin bertambah. Penanaman padi basah di Burma telah dilakukan oleh masyarakat Mon yang telah membina sistem saliran Kyaukse yang membantu aktiviti penanaman padi. Sistem seperti ini telah berjaya membangunkan kerajaan yang kuat seperi Kediri, Singosari dan Majapahit. Masyarakat di Asia Tenggara melakukan penanaman padi ini bagi menampung keperluan makanan mereka. Seterusnya, selain daripada pertanian, aktiviti ekonomi masyarakat Asia Tenggara berfokus kepada perdagangan. Kawasan pelabuhan seperti Funan’s Oc Eo, Srivijaya’s Palembang, Melaka dan East Java’s Tuban telah membangunkan perhubungan yang luas dalam aktiviti perdagangan. Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia merupakan kawasan transisi untuk perdagangan, pertemuan antara kumpulan pedagang daripada Timur dan Barat. Aktiviti seperti ini turut disebabkan oleh kepakaran dalam pembinaan kapal di kerajaan Kediri, Singosari dan Majapahit sebelum kedatangan Portugis. Hubungan perdagangan berlaku di antara wilayah Asia Tenggara dengan pedagang daripada China dan India. Sebagai contoh, Bengal telah mengeksport pelbagai jenis makanan ke Melaka seperti gula, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti halia, oren dan lemon. Bukan itu sahaja, Demak, Japara, Tegal, Semarang dan Cheribon menjadi sumber ketiga kepada hubungan perdagangan selain daripada Bengal dan Pegu.

            Kesimpulannya, sebelum kedatangan kuasa Barat di Asia Tenggara, aspek politik dan ekonomi memiliki jalur persamaan di antara wilayah. Keadaan ini mungkin disebabkan kedudukan Asia Tenggara yang dihimpit oleh dua kuasa besar iaitu China dan India, dan faktor iklim dan cuaca telah menyebabkan corak ekonomi mereka hampir sama. Keadaan ini berterusan sehinggalah kuasa Eropah berjaya sampai ke tanah Asia Tenggara melalui pelayaran dan seterusnya menjajah demi keperluan ekonomi mereka. Salah satu perubahan yang ketara ialah kedatangan kuasa Barat ini telah menghapuskan sistem perhambaan di kebanyakan wilayah Asia Tenggara. Seperti yang diterangkan oleh Azmah Abdul Manaf yang mengatakan bahawa kedatangan British ke Tanah Melayu telah menghapuskan sistem perhambaan. Begitu juga di Thailand, kedatangan kuasa-kuasa Eropah telah berjaya melenyapkan institusi perhambaan ketika zaman Mongkut dan Chulalongkorn. Jika kita menilai kedatangan kuasa Barat ini, impak positif dan negatif tetap wujud dan kadang-kadang melampaui batas apabila kekejaman dan penindasan sentiasa terjadi. Bangsa asing yang mengaku diri mereka hebat ini telah menakutkan masyarakat. Sungguhpun begitu, percikan gerakan nasionalisme tetap terpancar walaupun hanya memasuki abad ke-19 dan 20. Secara keseluruhannya, aspek politik, ekonomi dan sosial di Asia Tenggara sebelum kehadiran kuasa Eropah masih kekal dengan sifat tradisional dan berubah dengan pengaplikasian ideologi Barat dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sama ada dalam bentuk paksaan mahupun secara sukarela.


Isnin, 5 Jun 2023

Pendudukan Inggeris di Singapura, 1819

Melalui tipu helah Francis Light, Pulau Pinang berjaya menjadi milik British. Sultan Abdullah ter-paksa menyerahkan Pulau Pinang apabila tidak dapat mempertahankan wilayah itu lagi. Malah, pada tahun 1791, Seberang Prai turut diambil oleh British ketika pemerintahan Sultan Dhiauddin. Ini merupakan kejayaan awal British untuk bertapak dengan kukuh di gugusan kepulauan alam Melayu. Pun begitu, pada peringkat awal Pulau Pinang tidak memberikan pulangan ekonomi se-perti yang diinginkan oleh British. Salah satu faktornya ialah kedudukan Pulau Pinang yang terlalu jauh daripada laluan perdagangan khususnya Selat Melaka. Oleh itu, British sekali lagi terpaksa mencari tapak pelabuhan lain bagi menjamin kedudukan perdagangannya dengan China. Selain itu, British harus berhati-hati terhadap dominasi perdagangan yang ditunjukkan oleh Belanda yang berpusat di Betawi. Meskipun hubungan British dengan Belanda dalam keadaan yang baik, British bimbang kegiatan perdagangannya akan terjejas apabila monopoli Belanda terus berlanjutan. Selain itu, kebimbingan British timbul seandainya Perancis turut melebarkan kuasanya di Kepulauan Melayu. Oleh itu, artikel kali ini akan menjelaskan tentang pendudukan British di Singapura sebagai cara untuk menjaga hubungan perdagangan dengan China setelah Pulau Pinang tidak menunjukkan reaksi yang positif.

            Apabila Pulau Pinang gagal menunjukkan perkembangan positif seperti yang dijangkakan oleh British, maka usaha untuk mencari pangkalan baharu telah dilakukan oleh British. Untuk melaksanakan tugas ini, British telah menghantar Stamford Raffles dan juga William Farquhar. Mereka ini mempunyai keterlibatan yang tinggi terhadap wilayah-wilayah di Kepulauan Melayu. Misalnya, Stamford Raffles pernah menjadi Leftenan Gabenor Jawa pada tahun 1811 sebelum ditukarkan ke Bangkahulu. Begitu juga, William Farquhar yang berpengalaman mentadbir Melaka. Namun begitu, apabila Belanda mengambil semula wilayah jajahannya, maka aktiviti perdagangan British menerima saingan. Ini kerana, monopoli perdagangan yang dikenakan kepada pedagang menyebabkan British terpaksa mencari pangkalan baharu untuk menyaingi Betawi. Perkara ini telah mendapat perhatian daripada Warren Hasting. Beliau telah mengarahkan Raffles dan Farquhar untuk meninjau lokasi yang berpotensi untuk dijadikan pangkalan baharu British. Raffles pada ketika itu mencadangkan Singapura kerana kedudukan pulau ini yang strategik, terletak di pintu Selat Melaka dan Selat Sunda. Untuk mencapai objektif ini, Raffles dan Farquhar telah belayar ke Singapura, berjumpa dengan Temenggung Abdul Rahman yang menjadi wakil Sultan di sana.

            Apabila Raffles dan Farquhar sampai di Singapura, mereka telah berjumpa dengan Temenggung Abdul Rahman. Tujuannya untuk mengadakan perjanjian bagi membolehkan British membuka petempatan di pulau ini. Pun begitu, Temenggung Abdul Rahman tidak dapat memenuhi tuntutan ini kerana setiap perjanjian perlu mendapat pengesahan daripada sultan. Temenggung tidak memiliki kuasa untuk memberi izin secara lisan atau bertulis kepada Raffles dan Farquhar. Perkara ini telah memberikan kesulitan kepada pihak British. Ini kerana British peka dengan situasi politik di antara pemerintah Johor-Riau dan Belanda dalam keadaan yang baik. Oleh itu, British telah memanipulasi perebutan takhta kerajaan Johor-Riau yang berlaku di antara Raja Hussein dan Raja Abdul Rahman. Konflik ini berlaku apabila Sultah Mahmud Syah III mangkat, putera sulung iaitu Raja Hussein tidak menghadiri pengkebumian kerana berada di Pahang. Raja Hussein yang memiliki hak untuk menjadi sultan terpaksa disisihkan kerana ketidakhadirannya pada hari pemakaman. Para pembesar istana telah melantik adiknya iaitu Raja Abdul Rahman menjadi sultan Johor-Riau. Melihat keadaan ini, Raffles telah meminta Raja Hussein untuk datang ke Singapura dan menjadi raja di sini. Maka, British dapat mengadakan perjanjian dengan Sultan Hussein untuk membina loji atau penempatan di pulau Singapura ini. Sebagai imbalannya, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman diberi bayaran pampasan. Oleh itu, termeterai perjanjian awal di antara British dengan Sultan Hussein.

            Antara isi perjanjian awal di antara Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman ialah British melalui SHTI dibenarkan untuk membina pos perdagangan di pulau Singapura. Selain itu, Temenggung Abdul Rahman berjanji tidak akan membuat perjanjian dengan mana-mana kuasa lain. Sebagai balasannya, Temenggung Abdul Rahman akan menerima $3,000 daripada pihak British. Seterusnya, satu lagi perjanjian dibuat di antara Tengku Hussain, Temenggung Abdul Rahman dan Stamford Raffles pada 6 Februari 1819. Melalui perjanjian ini, Tengku Hussain diikitran sebagai Sultan Johor, Sultan Muhamad Syah. British akan memberi bayaran sebanyak $5,000 kepada sultan dan $3,000 kepada Temenggung. British dibenarkan untuk membina oenemoatan di Singapura. Temenggung juga dibenarkan untuk menguti bayaran daripada perahu-perahu tempatan. Pada masa yang sama, British akan memberi perlindungan kepada sultan dan Temenggung. Tetapi, British tidak akan campur tangan dalam urusan Johor atau mengekalkan kuasa sultan dengan kekuatan tentera. Melalui dua perjanjian ini, British telah berjaya bertapak di Singapura, seterusnya menjadikan Singapura sebagai pangkalan baharu British di Kepulauan Melayu. William Farquhar dilantik sebagai Residen pertama Singapura dan diarahkan oleh Raffles untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan Singpura dengan kadar segera.

            Pendudukan British di Singapura telah menimbulkan bantahan daripada Belanda. Bagi Belanda, British telah memungkiri Perjanjian London pada tahun 1814. Perjanjian ini telah menetapkan pembahagian tanah jajahan di antara British dan Belanda di rantau Asia Tenggara. Belanda mendakwa Singapura menjadi sebahagian daripada Kesultanan Riau-Lingga. Oleh itu, Belanda telah mendesak British untuk keluar dari pulau Singapura. Gabenor Melaka pada ketika itu telah menghantar bantahan kepada Gabenor Pulau Pinang. Atas desakan daripada Belanda, William Farquhar berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Pulau Pinang. Namun, Gabenor Pulau Pinang, Bannerman enggan memberikan bantuan dan menyarankan supaya Farquhar segera meninggalkan Singapura. Pun begitu, Bannerman segera mengirimkan bantuan kepada Farquhar apabila Gabenor Jeneral Hasting meminta beliau berbuat demikian. Bannerman telah mengirimkan seramai 200 orang askar India dan sejumlah wang. Pertikaian di antara Belanda dan British ber-kenaan dengan wilayah Singapura ditamatkan apabila kedua-dua belah pihak menandatangani per-janjian London pada tahun 1824. Melalui perjanjian ini berlaku pertukaran wilayah di antara British dengan Belanda atas persetujuan bersama.

            Rumusannya, pendudukan British di Singapura merupakan satu langkah yang bijak. Sejak itu, Singapura mula mengalami perubahan dari sudut aktiviti ekonomi apabila ramai pedagang yang singgah di pulau ini. Penduduk di pulau ini terus bertambah setiap tahun. Malah, dengan pendudukan ini British telah berjaya menutup kelemahan yang terdapat di Pulau Pinang. Meskipun selepas itu Pulau Pinang mula menunjukkan tanda-tanda positif dengan perkembangan perdagangan di sini. Oleh itu, Singapura berjaya memenuhi keperluan British.


Isnin, 29 Mei 2023

Tipu Helah Francis Light Mendapatkan Pulau Pinang, 1786

Pada abad ke-18, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mula mencari tapak di Timur demi kepentingan perdagangannya di China. Tapak tersebut sebagai pangkalan persinggahan kapal-kapal perdagangannya. Malah, ia juga penting untuk mendapatkan bekalan air, makanan dan berehat serta membaiki kapal yang rosak. Selain itu, kekuasaan Belanda yang semakin kukuh di Kepulauan Melayu membimbangkan Inggeris kerana mampu membahayakan aktiviti perda-gangannya. Oleh itu, usaha telah diambil oleh Inggeris melalui SHTI untuk mencari tapak yang diperlukan. Usaha ini menemui jalan buntu apabila timbul masalah mendapatkan persetujuan dengan pemerintah tempatan dan tapak yang diduduki tidak sesuai. Akhirnya, pada tahun 1770-an, seorang pedagang iaitu Francis Light mencadangkan Pulau Pinang sebagai pangkalan SHTI di Timur. Dan, hasilnya pada tahun 1786 secara rasminya pulau ini menjadi milik SHTI dan menandakan hubungan awal di antara orang Melayu dengan Inggeris. Di sini, saya akan cuba untuk membincangkan usaha dan tipu daya Francis Light dalam mendapatkan Pulau Pinang yang berjaya diambilnya secara tidak sah pada 11 Ogos 1786.

            Sebelum dijelaskan dengan lebih lanjut, elok ditinjau terlebih dahulu latar belakang po-litik Kedah yang sedang mengalami ancaman daripada dalam dan luar negeri. Perebutan takhta Kesultanan Kedah menjadi faktor pendorong timbulnya persengketaan di antara sultan dengan kerabat diraja Kedah. Pemerintah ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa melantik anaknya iaitu Tengku Abdullah sebagai Raja Muda Kedah. Tengku Abdullah merupakan anak yang lahir hasil perkahwinan Sultan Muhammad Jiwa dengan rakyat biasa. Pelantikan ini dibantah oleh kerabat diraja Kedah kerana mereka mempunyai keinginan untuk menjadi sultan dan menolak Tengku Abdullah yang bakal menggantikan Sultan Muhammad Jiwa sebagai sultan Kedah. Oleh itu, tindakan Sultan Muhammad Jiwa ini menimbulkan kekacauan dalam negeri apabila golongan kerabat diraja Kedah cuba untuk bersepakat dengan orang Bugis dari Selangor. Pakatan ini cuba untuk menyerang Kedah. Pada tahun 1771, Kedah telah diserang dan menye-babkan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa berundur ke Kangar, Perlis. Dalam situasi seperti ini Sultan Kedah memohon bantuan dan pertolongan daripada pihak British.

            Pada 18 Mac 1770, Sultan Muhammad Jiwa telah menulis surat kepada Gabenor di Madras untuk memohon bantuan ketenteraan. Permohonan ini diterima oleh syarikat Jourdain Sulivan & De Souze. Mereka telah menghantar agen syarikat ini, salah seorang daripadanya ialah Francis Light. Rundingan di antara Francis Light dengan Sultan Kedah telah mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara yang penting. Sultan Muhammad Jiwa bersetuju untuk bekerjasama, membenarkan syarikat agensi perdagangan dilakukan di Kuala Kedah. Sebagai imbalannya, Sultan Kedah mahukan pihak syarikat menyediakan pasukan sepahi seramai 100 orang. Pasukan ini bukan sahaja berperanan untuk membantu sultan Kedah menghadapi anca-man daripada Bugis, tetapi untuk melindungi negeri Kedah daripada ancaman luar seperti Siam dan juga Burma. Pada masa yang sama, Sultan Kedah ingin menyerang balas serangan yang telah dilakukan oleh Selangor. Laporan yang diberikan tentang potensi pelabuhan dan juga per-dagangan yang ditawarkan oleh Pulau Pinang kepada syarikat di India cukup menyakinkan. Oleh itu, syarikat telah menghantar Edward Monckton untuk membuat tinjauan balas. Hasil rundingan ini, pihak British tidak dapat memberi perlindungan kepada Kedah.

            Apabila Sultan Muhammad Jiwa mangkat, baginda digantikan puteranya iaitu Sultan Abdullah yang mula memerintah pada tahun 1778. Pada ketika ini, Kedah diancam oleh Siam. Pergolakan dalam negeri masih belum selesai apabila tidak semua kerabat diraja Kedah men-yukai pelantikan dirinya sebagai Sultan Kedah. Oleh itu, pada tahun 1785, sekali lagi Kedah meminta bantuan daripada SHTI untuk melindungi Kedah daripada ancaman Siam. Sebagai pertukaran daripada permintaan ini, Sultan Abdullah bersedia untuk menawarkan Pulau Pinang sebagai pertukaran. Francis Light sekali lagi ditugaskan untuk menjadi wakil bagi menyampai-kan syarat-syarat kepada Gabenor Jeneral di India. Pihak SHTI tertarik dengan tawaran yang diberikan oleh Sultan Kedah dan bersetuju untuk mempertimbangkan permintaan tersebut. Walaupun pihak SHTI belum memberi kata putus berkenaan dengan syarat-syarat yang diminta oleh Sultan Kedah, Francis Light telah melakukan tipu helah dengan berjanji kepada sultan bahawa pihak SHTI pasti akan menyetujui syarat-syarat yang dikemukakan oleh sultan Kedah. Atas rasa percaya, Sultan Kedah membenarkan SHTI / Francis Light untuk mendirikan pang-kalan di Pulau Pinang. Janji-janji kosong yang diberikan oleh Francis Light ini memberi kesan yang buruk kepada sultan Kedah apabila Kedah sekali lagi diancam oleh musuh luar.

            Pada tahun 1787, Gabenor Jeneral Macpherson menemui Sultan Abdullah untuk mem-beri kata putus berkenaan syarat-syarat yang dipohon oleh Sultan Abdullah. Macpherson mem-beritahu bahawa SHTI tidak bersedia memberi perlindungan kepada Kedah. Pun begitu, SHTI bersedia untuk menyediakan sebuah kapal perang untuk mengawal Pulau Pinang dan pantai Kedah. Sultan Abdullah kecewa dengan keputusan tersebut, lalu meminta Francis Light untuk keluar daripada Pulau Pinang. Pada tahun 1790, satu angkatan lanun telah tiba di Pulau Pinang, Sultan Abdullah menggunakan kesempatan ini untuk menekan Francis Light. Rundingan yang berlaku di antara Sultan Abdullah dengan Francis Light menemui jalan buntu menyebabkan berlakunya peperangan di antara kedua belah pihak. Pada April 1791, angkatan perang Kedah yang sedang berhimpun di Seberang Perai telah dimusnahkan oleh Francis Light. Kekalahan yang dialami oleh Sultan Abdullah memaksa baginda menandatangani satu perjanjian damai pada 1 Mei 1791. Perjanjian ini bersifat berat sebelah dan merugikan Sultan Kedah. Ini kerana Sultan Kedah tidak menerima sebarang bantuan ketenteraan seperti yang diinginkan oleh baginda bagi mengawal keselamatan negeri Kedah.

            Rumusannya, masalah dalaman politik Kedah telah membuka jalan kepada campur tangan daripada luar, khususnya British melalui Francis Light. Campur tangan ini bukan saja menyebabkan Pulau Pinang tergadai, tetapi menunjukkan kelemahan kepimpinanan yang di-tunjukkan oleh sultan Kedah. Oleh itu, kita harus berwaspada dengan sebarang muslihat atau tipu helah yang cuba dilakukan oleh orang lain. Ketegasan diperlukan bagi menyatakan pen-dirian dan pegangan kita terhadap sesuatu.


Isnin, 22 Mei 2023

5 Sebab Belanda Menuju Ke Timur

Kejayaan Portugis menakluki Melaka pada tahun 1511 membolehkan perdagangan rempah di Kepulauan Melayu dikuasai mereka. Melaka, sejak abad ke-15 lagi terkenal sebagai pusat per-dagangan yang terkenal dan bandar pelabuhan yang sibuk di alam Melayu. Kekuasaan Portugis di sini telah membolehkan bahan dagangan seperti rempah dibawa ke Portugal untuk dijual kembali di pusat perdagangan di Eropah. Ini menjadikan bandar Lisbon menjadi pusat penting penjualan rempah dan pembekal utama di Eropah. Malah, kegiatan ini membolehkan keuntung-an besar diperoleh jika dibandingkan dengan membeli secara terus di Eropah yang begitu mahal harganya. Orang Belanda menjadi salah satu pembawa bahan rempah dari Portugal ke pusat perdagangan lain di Eropah. Pun begitu, keadaan ini tidak kekal lama sejak Portugal ditakluki oleh Sepanyol. Ini mendesak orang Belanda menuju ke Timur untuk mendapatkan bahan ini tanpa bergantung lagi kepada orang Portugis. Oleh itu, saya akan membincangkan lima tujuan kedatangan Belanda ke Kepulauan Melayu, pada abad ke-17.

 

1 .Mencari Laluan Perdagangan (Rempah) ke Timur

Yang pertama, Belanda ingin mendapatkan laluan perdagangan yang boleh mereka gunakan untuk menuju ke Timur, iaitu wilayah yang mengeluarkan rempah seperti Kepulauan Maluku. Hubungan tidak baik di antara Belanda dengan Portugis menyebabkan mereka ingin mengelak daripada bertembung dengan Portugis yang telah bertapak di Melaka sejak tahun 1511. Untuk mencapai tujuan ini, laluan yang digunakan untuk sampai ke Timur ialah mereka belayar dari Tanjung Harapan di Afrika Selatan terus melalui Lautan Hindi dan Selat Sunda sebelum tiba di Jawa, tanpa melalui India. Pun begitu, timbul masalah pada peringkat awal apabila pedagang Belanda ini tidak mempunyai panduan yang lengkap untuk menuju ke Timur. Malah, pedagang Portugis merahsiakan laluan yang mereka gunakan untuk sampai ke Melaka. Menurut Joginder Singh Jessy (2000), orang-orang Portugis merahsiakan jalan-jalan yang dilaluinya dalam per-niagaan mereka. Meskipun orang-orang Belanda mempunyai kebolehan untuk meredah lautan, namun mereka memerlukan panduan jalan untuk ke Timur. Masalah ini selesai apabila terdapat sebuah buku yang berjudul ‘Itinerario’ yang ditulis oleh Jan Huygen van Linschoten pada tahun 1959.

            Van Linschoten pernah bekerja sebagai Setiausaha kepada Arcbishop di Goa. Menurut G.P Dartford (2000), van Linschoten seorang pelayar dan pengembara yang telah berkelana di Timur dan pernah hidup di Goa hampir enam tahun lamanya. Setelah kepulangannya, beliau telah menulis dan menerbitkan sebuah buku yang menjelaskan tentang panduan dan navigasi ke Timur. Hasil penulisannya ini memberi maklumat yang cukup berharga kepada orang-orang Belanda untuk menduga laut di Timur. Oleh itu, pada tahun 1596, ekspedisi pelayaran pertama dari Timur yang diketuai oleh Cornelius de Houtman dari Belanda yang melalui Lautan dan Selat Sunda ke Bantam, tiba di Banten, Jawa Barat dan dari situ mereka meneruskan pelayaran ke Kepulauan Maluku [1]. Houtman berjaya mengikat satu perjanjian dengan Sultan Bantam di Jawa untuk membawa pulang hasil rempah dari Kepulauan Melayu untuk dijual di Eropah. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup baik bagi orang-orang Belanda.

 

2 .Monopoli Perdagangan Rempah di Timur

Tujuan utama kedatangan Belanda ke Kepulauan Melayu ialah ingin menguasai perdagangan rempah. Menurut Ruslan Zainuddin (2000), Belanda ingin menubuhkan kuasa monopoli dalam perdagangan rempah iaitu sebagai pembeli tunggal di Asia Tenggara. Matlamat Belanda pasti-lah ingin menjadi pembekal tunggal rempah di Eropah dan mendapatkan mengaut keuntungan sebanyak yang boleh. Ini seperti yang dinyatakan oleh Khoo Kay Kim (2000) bahawa negara Belanda mula memberi perhatian kepada gugusan Kepulauan Melayu pada penghujung kurun ke-17. Mereka ingin mendapat rempah secara langsung dari Timur dan tidak lagi melalui orang Portugis. Penguasaan rempah di Timur membawa keuntungan yang banyak kepada mana-mana kuasa yang memerintah di Kepulauan Melayu. Seperti Portugis, setelah mendapatkan Melaka, bandar Lisbon menjadi pembekal utama rempah di Eropah yang disebarkan oleh orang British dan juga Belanda di pasaran lain di Eropah. Ini kerana, rempah dibeli pada harga yang murah di Timur dan boleh didagangkan pada harga yang tinggi di Eropah. Oleh itu, monopoli rempah di Timur menjadi misi dan tujuan utama bagi Belanda. Rempah ini boleh didapati di Kepulauan Maluku dan Banda. Ini menjadikan Belanda menjadi orang Eropah kedua selepas Portugis yang melakukan pelayaran dan penjelajahan menuju ke Timur selepas Portugis dengan maksud dan tujuan yang sama, iaitu menguasai perdagangan rempah.

 

3 .Pembentukan VOC dan Mendirikan Pusat Pentadbiran di Tanah Jajahan

Setelah laluan perdagangan menuju ke Timur dijumpai oleh pedagang Belanda dan pelayaran pertama oleh de Houtman tahun 1596 dibuat, maka, kegiatan pelayaran menuju ke Timur ber-tambah rancak. Sejak itu, bertambah bilangan pedagang Belanda menuju ke Timur. Situasi ini menyebabkan timbulnya persaingan sesama mereka dan mengganggu aktiviti perdagangan di rantau ini. Oleh itu, pada 20 Mac 1602 dibentuk Syarikat Hindia Timur Belanda atau Verenigde Oost-Indische Campagnie, atau ringkasnya VOC[2].  Pembentukan VOC ingin mencapai be-berapa tujuan yang penting. Ia dibentuk bagi menyatukan kesemua syarikat di Belanda yang memiliki kepentingan di Timur dengan persetujuan dan sokongan kuat pemerintah Belanda. Menurut Andaya & Andaya (2000), VOC diberikan kuasa untuk membentuk sekutu, menanda-tangani perjanjian, mendirikan kubu pertahanan dan loji, serta membuat keputusan yang sesuai dengan kepentingan perniagaan Belanda di Timur. Pembentukan VOC ini bukanlah tujuan ke-datangan Belanda di Timur, tetapi sebagai satu cara untuk melancarkan usaha mereka memono-poli perdagangan rempah di Timur. Pun begitu, VOC memerlukan pusat pentadbiran di tanah jajahan dan ini menjadi tujuan lain kedatangan Belanda di Timur.

            Menurut Ruslan Zainuddin, Belanda berpendapat  bahawa sebuah pusat perniagaan, pentadbiran dan pertahanan perlu dibuka terlebih dahulu sebelum usaha penaklukan dapat di-lakukan. Keperluan kepada pusat seperti ini sangat penting, terutamanya apabila berlaku peperangan antara Belanda dengan mana-mana musuh di Timur, bantuan dapat dikirimkan segera dari Betawi. Oleh itu, pada tahun 1619, Belanda berjaya menakluki Jakarta di Jawa dan menjadikannya sebagai pusat pentadbiran Belanda di Asia Tenggara. Menurut N.J Ryan, orang yang bertanggungjawab di dalam usaha ini ialah Jan Pieterszoon Coen. Coen ingin menjadikan Batavia (Betawi) sebagai pasaran utama bagi perdagangan intra-Asia dan pusat pengumpulan dagangan untuk dieksport ke Eropah. Malah, lokasi Batavia lebih sesuai sebagai pusat pentad-biran Belanda kerana lebih hampir dengan bahan rempah berbanding Melaka.

 

4 .Menghapuskan Kekuasaan Portugis di Alam Melayu

Selanjutnya, kedatangan Belanda bukan sahaja ingin memonopoli perdagangan rempah, atau mendirikan pusat pentadbiran di tanah jajahan, tetapi ingin menghapuskan kekuasaan Portugis di Alam Melayu. Tujuan ini perlu dipenuhi oleh pihak Belanda. Jika tidak, persaingan Belanda dengan Portugis di Melaka pastilah merosakkan rancangan mereka memonopoli perdagangan rempah di sini. Oleh itu, Portugis perlu dinyahkan dari Alam Melayu dan kekuasaan mereka di sini perlu dihapuskan secara perlahan-lahan. Selain itu, tujuan ini bukan sahaja untuk melenyap -kan pengaruh Portugis di Alam Melayu, tetapi merosakkan perdagangan mereka di sini. Hal ini melibatkan perseteruan di antaran Belanda dan Sepanyol di Eropah yang secara tidak lang-sung melibatkan negara Portugal. Raja Philip telah bertindak menutup bandar Lisbon kepada orang Belanda yang menyebabkan perniagaan mereka terjejas. Selain itu, faktor agama dan politik turut memainkan peranan yang penting apabila timbul permusuhan di antara penganut agama Kristian Protestan dan Kristian Katolik di Eropah pada ketika itu. Menurut N.J Ryan lagi, meskipun Belanda telah menetapkan bahawa walaupun mereka telah mendapatkan tempat pertama di wilayah Asia Tenggara, tetapi untuk lebih berjaya di sini, mereka perlu membuang pesaing mereka iaitu Portugis dan mentadbirkan secara bersendirian perdagangan rempah di Kepulauan Melayu ini.

 

5 .Menguasai Melaka, 1641

Tujuan kelima kedatangan Belanda di Kepulauan Melayu di dalam tulisan ini ialah menguasai Melaka daripada bangsa Portugis. Seperti yang pernah disebutkan sebelum ini, telah menjadi motif orang Belanda menghapuskan kekuasaan Portugal di Melaka. Namun, Melaka perlu di-kuasai bagi tujuan tertentu, khususnya sebagai pusat kawalan kapal-kapal dagang yanng meng-gunakan perairan Selat Melaka. Menurut Khoo Kay Kim, untuk membolot perniagaan di gugu-san Kepulauan Melayu, mereka (Belanda) perlu juga menguasai Melaka yang menjadi tempat strategik. Tambahnya lagi, dalam rancangan orang Belanda, Betawi yang telah didirikan pada tahun 1619 akan menjadi pusat perdagangan dan Melaka akan menjadi pangkalan bagi Belanda untuk mengawal negeri-negeri di Semenanjung yang kaya dengan bijih timah. Oleh sebab itu, mereka tidak sungguh-sungguh cuba menyebarkan kuasanya di luar negeri Melaka. Bagi pihak Belanda, Melaka tidak harus dilupakan kerana sejak dulu Melaka menjadi tempat persinggahan yang penting bagi kapal-kapal dagang yang menggunakan Selat Melaka, meskipun berlakunya kemerosotan perdagangan di pelabuhan Melaka. Kedudukannya yang strategik tidak hanya di-gunakan sebagai tempat kawalan di Selat Melaka, namun memastikan jalur perdagangan di Kepulauan Melayu ini dapat dipastikan keselamatannya dan dibawah pentadbiran Belanda. Oleh itu, usaha dilakukan untuk menguasai Melaka. Pelbagai usaha telah dibuat dan serangan ke atas kota Melaka gagal ditawan. Akhirnya, pada Januari 1641, dengan pertolongan Johor, Melaka secara rasminya ditakluki oleh Belanda.

 

Rumusannya, lima faktor di atas telah mendorong kedatangan Belanda di Kepulauan Melayu pada abad ke-17. Sejak kedatangan Belanda di Kepulauan Melayu, VOC telah memainkan peranan yang penting di dalam mencorakkan landskap politik, ekonomi dan sosial khususnya di Indonesia. Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 telah membahagikan Kepulauan Melayu kepada apa yang dikenali hari ini sebagai Malaysia-Indonesia.


Isnin, 15 Mei 2023

5 Sebab Portugis Menuju ke Timur

Portugis merupakan bangsa Eropah yang terawal sampai di kepulauan Melayu apabila Lopez de Squire berjaya sampai di Melaka pada tahun 1509. Pun begitu, kehadiran bangsa Portugis ini tidak disenangi oleh pedagang-pedangang India dan Arab yang bimbang tentang kedudukan perdagangan mereka di Melaka. Lantaran itu, timbul usaha untuk menangkap orang Portugis ini. Rancangan ini berjaya diketahui oleh Lopez de Squire yang akhirnya melarikan diri dari Melaka dan memberitakan tentang Melaka kepada Raja Portugal. Akhirnya, pada tahun 1511, di bawah pimpinan Alfonso d’ Albuquerque Melaka berjaya ditawan oleh Portugis. Sejak itu, Portugis mengambil alih kegiatan politik, ekonomi dan sosial di bandar Melaka serta mendiri-kan semula Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan utama di rantau Asia Tenggara. Namun, terdapat sebab-sebab lain yang menggerakan niat bangsa Portugis ini menuju ke Timur selain daripada tujuan perdagangan setelah mendapatkan Melaka. Di dalam tulisan kali ini, saya akan membincangkan sebab-sebab Portugis menuju ke Timur.

 

1.Mencari Jalan Alternatif Menuju Ke Timur

            Sebab utama yang mendorong Portugis menuju ke Timur ialah mencari jalan alternatif untuk sampai ke negeri di mana letaknya bahan-bahan rempah yang begitu mahal harganya di Eropah. Jalan perdagangan pada ketika ini dikuasai oleh pedagang Islam. Mereka membawa rempah dari pelbagai pusat perdagangan di Asia Tenggara khususnya di kepulauan Melayu dan Indonesia menggunakan kapal-kapal yang belayar melalui Ormuz dan Basra. Ia didagangkan di Alexandria dan Baghdad dan di bandar inilah pedagang-pedagang Eropah mendapatkan rempah dan di bawa ke Eropah. Setiap kali bahan dagangan ini bertukar tangan, ia menjadi begitu mahal harganya. Maka, lebih baik bahan seperti ini didapatkan secara terus dari mana ia diperolehi, iaitu di Alam Melayu khususnya Melaka yang telah menjadi pusat pengumpulan bahan dagangan yang penting dan utama. Bahan-bahan ini digunakan sebagai bahan penambah rasa terhadap makanan. Oleh itu, timbul kesukaran bagi bangsa Portugis mendapatkan rempah ini apabila jalan perdagangan dikuasai oleh pedagang Islam. N.J Ryan (1963) menjelaskan bahawa ketika kekuasaan Empayar Turki meningkat, secara perlahan-lahan aktiviti ekonomi di Timur Jauh di bawah kawalannya dan menjadikan kegiatan perdagangan antara Eropah dan Asia di bawah kekuasaannya. Sebagai cara mengatasi masalah ini, jalan alternatif menuju ke Timur perlu dilakukan.

 

2.Misi dan Visi Putera Henry

            Usaha untuk mencari jalan ke Timur telah dimulakan oleh Prince Henry the Navigator (1394-1460) apabila beliau membina pusat kajian saintifik tentang pelayaran di Sagres. Di sini, dilakukan kajian dan penyelidikan terhadap perubahan angin, peta dan jalan serta pembinaan kapal untuk tujuan pelayaran. Putera Henry sendiri mengumpulkan ahli atau pakar tentang aktiviti pelayaran dan pemetaan, seterusnya melatih beberapa orang yang dipilih olehnya untuk menjadi pelayar yang berkemahiran. Selain itu, bagi memenuhi tujuan pelayaran yang jauh, maka diperlukan sebuah kapal yang mampu melaksanakan misi ini. Oleh itu, Putera Henry juga telah menjalankan kajian terhadap pembinaan kapal untuk tujuan ini. Di bawah pimpinannya, Portugal telah melakukan penjelajahan ke pantai Barat Afrika dan mencari jalan untuk menuju ke Timur. Sejak itu, telah lahir beberapa orang pelayar Portugis yang terkenal dan diingati di dalam sejarah penjelajahan dan pelayaran seperti Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama. Misalnya, Barholomew Diaz telah mengelilingi Afrika pada tahun 1488 dan 10 tahun kemudian Vasco da Gama telah sampai di Malindi di Timur Afrika. Kejayaan dua orang pelayar Portugis ini merupakan sebahagian daripada usaha awal Putera Henry yang tidak sempat untuk melihat kejadian ini apabila meninggal pada tahun 1460.

 

3.Perdagangan Rempah

            Sebab ketiga Portugis menuju ke Timur ialah perdagangan. Seperti pernah disebutkan sebelum ini, rempah merupakan bahan penting bagi bangsa Eropah. Bahan ini hanya boleh didapati di kepulauan Melayu seperti di Maluku. Untuk mendapatkan rempah tersebut, Melaka perlu dikuasai terlebih dahulu kerana Melaka menjadi pusat pengumpulan rempah-ratus yang dibawa daripada pelabuhan-pelabuhan lain di Alam Melayu. Langkah awal telah diambil oleh Raja Manuel apabila mengutuskan Dom Diogo Lopez de Squire bersama hadiah dan surat kepada Sultan Melaka untuk meminta izin mendirikan pusat perniagaan di sini. Namun, hal ini tidak seperti yang diharapkan oleh Raja Manuel apabila Sultan Melaka akhirnya didesak supaya tidak membenarkan bangsa Portugis ini berniaga di sini. Pengaruh ini datangnya dari-pada pedagang Gujerat. Maka, Portugis terpaksa menawan Melaka lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini kerana, Melaka pasti menjadi sasaran bagi Portugis untuk ditawan dan ditakluk kerana kedudukannya sebagai bandar pelabuhan yang terkenal pada waktu itu. Malah, orang Portugis memerlukan Melaka terutamanya untuk mengawal perniagaan rempah di Maluku. Oleh itu, setelah Melaka dikuasai oleh Portugis, misi menghantar utusan ke negeri-negeri lain yang pernah menjalin hubung dagang dengan Melaka distabilkan semula. Ini terbukti apabila Antonia d’Abreu dan Francisco Serrao telah datang ke Maluku untuk tujuan ini.

 

4.Pengembangan Agama Kristian

            Selanjutnya, tujuan Portugis menuju ke Timur ialah untuk mengembangkan agama Kristian di sini. Perkara ini dapat dilihat apabila golongan misionari atau mubaligh Kristian ini turut serta dalam pelayaran menuju ke Timur. Malah, sejak Perang Salib lagi, wujud semacam satu persaingan di antara penganut Islam dan Kristian memperkembangkan pengaruh mereka di wilayah-wilayah yang lain. N.J Ryan menyebutkan bahawa orang Portugis sebagai pedagang juga berperanan sebagai kumpulan misionari yang berfungsi untuk mengembangkan ajaran agama Kristian terhadap penduduk yang mereka jumpai. Oleh itu, di Melaka setelah dikuasai oleh Portugis, Albuquerque memerintahkan supaya dibina gereja yang bertujuan sebagai pusat kegiatan agama Kristian. Namun, gereja ini hanya siap pada tahun 1515. Selain itu, mereka juga mendirikan beberapa buah gereja seperti Gereja Our Lady of the Visitation dan Gereja St Paul. Gereja St. Paul ini diperbuat daripada kayu sebelum digantikan dengan bangunan batu pada tahun 1590. Perkembangan agama Kristian ini diikuti oleh usaha yang dibuat oleh seorang Paderi iaitu Francis Xavier yang pernah tinggal di Melaka telah menubuhkan pusat mubaligh Jesuit serta sekolah. Paderi ini turut menyelenggarakan terjemahan rukun sepuluh dan beberapa doa ke dalam bahasa Melayu.

 

5.Meningkatkan Imej Bangsa Portugis

            Sebab lain Portugis menuju ke Timur adalah untuk meningkatkan imej bangsa Portugis. Ini dapat dilihat kepada visi dan misi yang dipegang oleh Alfonso d’ Albuquerque yang ingin melihat sebuah empayar Portugal yang luas di wilayah timur ini. F.J Moorhead (1957) turut menegaskan hal sedemikian apabila menyatakan bahawa Alfonso d’ Albuquerque bukanlah mencari kekayaan dirinya sendiri, tetapi mengimpikan untuk membina sebuah empayar kuat dan teguh di Timur. Wawasan beliau ini diterjemahkan melalui penguasaan Melaka bermula pada tahun 1511 sebelum diambil oleh Belanda pada tahun 1641. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa Portugis menjadi sebuah bangsa Eropah yang kuat dan berani sehingga berjaya sampai ke kawasan Timur, malah meletakkan beberapa kawasan pertahanan dan pusat pentadbiran Portugis di luar Portugal seperti di Goa, India. Dan, setelah beberapa dekad, Portugis memiliki pesaing seperti Belanda, Sepanyol dan Inggeris yang turut serta dalam misi mendapatkan tanah jajahan di kawasan Asia Tenggara ini.

            Kesimpulannya, ada lima sebab Portugis menuju ke timur. Ada motif yang berjaya di-capai oleh mereka dan sebahagiannya lagi tidak menunjukkan hasil yang positif seperti misi pengembangan agama Kristian yang kurang menunjukkan kemajuan. Pun begitu, kejayaan Portugis di dalam hal-hal yang lain menggambarkan bahawa Portugis menjadi bangsa Eropah pertama yang berani untuk mengambil risiko dan berinisiatif.


Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...