Isnin, 12 Jun 2023

Asia Tenggara Sebelum Era Imperialisme Barat

Asia Tenggara merupakan wilayah yang banyak menerima pengaruh daripada kuasa Barat semenjak abad ke-18 lagi. Kehadiran kuasa Barat ke wilayah ini didorong oleh faktor ekonomi dan keperluan untuk mendapatkan kawasan jajahan. Aspek pelayaran turut memainkan peranan apabila pedagang daripada benua Eropah berjaya sampai di wilayah Asia Tenggara melalui kaedah ini. Sejak itulah wilayah di Asia Tenggara menjadi lubuk kepada sumber ekonomi yang bernilai tinggi. Kehadiran mereka telah mengubah corak dan rentak ekonomi, politik dan sosial kerajaan-kerajaa di Asia Tenggara secara perlahan-lahan. Namun, masih ada nilai tradisi yang dikekalkan dan diamalkan. Dalam kita menilai keadaan Asia Tenggara sebelum kedatangan kuasa Barat ini, secara umumnya, wilayah-wilayah di benua ini berkongsi bentuk ekonomi yang sama, bahkan dalam dimensi politik dan sosial itu sendiri. Sebelum penjajahan berlaku, telah wujud jalur perdagangan di Asia Tenggara dengan dunia luar. Agak keterlaluan jika kita mengatakan tidak ada sebarang bentuk hubungan di antara Asia Tenggara dengan dunia Eropah. Oleh itu, dalam kita menyelongkar keadaan Asia Tenggara sebelum kehadiran kuasa Barat, eloklah diselidiki dari aspek politik dan ekonomi.

            Dalam aspek politik, wilayah di Asia Tenggara berkongsi bentuk yang sama, walaupun penggunaan istilah yang berbeza. Antara sistem politik yang popular digunakan ialah sistem monarki. Sistem ini menekankan kepada kuasa raja sebagai pemerintah yang berkuasa mutlak dan memiliki segala kekayaan ekonomi dalam wilayah jajahan takluknya. Bolehlah kita katakan bahawa raja ini merupakan individu yang disegani dan dihormati oleh masyarakat dan rakyat harus memberikan taat setia kepada golongan pemerintah ini. D.G.E Hall menegaskan bahawa raja merupakan ketua kepada sesuatu komuniti yang dihubungkan oleh adat. Seseorang raja dilantik disebabkan pengetahuan yang dimiliki. Apabila sesebuah masyarakat kecil bergabung sesama mereka, akan membentuk masyarakat yang besar. Oleh itu, pemilihan seorang ketua diperlukan bagi mengemudi rakyatnya dalam aspek kehidupan. Walaupun begitu, satu perkara yang penting berkenaan pembinaan aspek politik di Asia Tenggara ialah pengaruh luar seperti Hindu-Buddha, Islam, Kristian dan Neo-Konfusius yang mempelbagaikan lagi bentuk politik dan menjadi garis pemisah perbezaan aspek ini di Asia Tenggara. Pengaruh Hindu-Buddha daripada India merupakan elemen yang begitu kuat dipraktikkan di wilayah Asia Tenggara seperti di kerajaan Ava, Sukhotai, Sailendra, Majapahit, dan Srivijaya. Hal ini turut dipersetujui oleh R. Von Heine-Geldern yang menerima pengaruh Hindu-Budha dalam pembentukan sistem politik kerajaan awal di Asia Tenggara. Walaupun begitu, pengaruh luar seperti Islam, Kristian dan fahaman neo-Konfusius turut terlibat dalam perkara ini dengan sifat yang berbeza.

            Pengaruh luar seperti Hindu-Buddha telah menjadi tunjang penting kepada pembentukan sistem politik di Asia Tenggara. Sistem politik yang dimaksudkan di sini ialah berhubung dengan kuasa raja, peranan kuasa-kuasa kosmik, pembinaan kerajaan dan peranan golongan diperintah. Raja dilantik disebabkan kebolehan dan keupayaan raja berkenaan untuk mengekalkan keharmonian. Jika raja tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya, raja tersebut boleh digulingkan dan diganti dengan individu yang lain. Bencana, penyakit dan ketidakstabilan politik antara faktor lain yang membawa kepada kejatuhan seseorang pemimpin. Dari sudut penyerapan ideologi, prinsip, kepercayaan dan amalan dalam sistem politik, terdapat tiga unsur yang penting untuk dikenal pasti. Pertama, berhubung dengan doktrin Hindu (Brahmin) yang menggambarkan dunia sebagai bentuk bulatan sepusat dengan Gunung Meru di tengah-tengahnya. Gunung Meru dianggap sebagai sakral dan sesiapa sahaja yang ingin mendekatinya perlu menunjukkan penghormatan. Dalam pentadbiran, istana atau kuil dianggap sebagai Gunung Meru. Antara kawasan yang digambarkan sebagai Gunung Meru ialah Bakheng di Angkor. Selain itu, kepercayaan kepada angka 33 yang mewakili dewa-dewa di Gunung Meru turut diaplikasikan dalam sistem politik. Sebagai contoh, raja perlu memiliki 33 permaisuri daripada 33 keturunan. Dalam kepercayaan Theravada, kedudukan raja dipengaruhi oleh hukum karma. George Coedes mengatakan raja merupakan pengawal kepada undang-undang, dharma, pelindung agama dan pencipta kepada kemakmuran. Selain itu, konsep mandala turut mencorakkan lagi aspek politik di Asia Tenggara.

            Selain daripada pengaruh Hindu-Buddha, Islam turut berperanan dalam pembentukan sistem politik di Asia Tenggara. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W yang telah berkembang sehingga ke Eropah, Asia Timur dan Asia Tenggara. Agama Islam ini dikembangkan oleh pedagang yang melalui laluan di Asia Tenggara untuk sampai ke China. D. R. SarDesai mengatakan bahawa penerimaan pengaruh luar ini hanya berlaku apabila pedagang daripada India sampai ke Asia Tenggara. Beliau menambah, pada abad ke-8, telah ada masyarakat Arab di China, kawasan barat India, Java dan Sumatra. Dalam ajaran agama Islam ini, golongan pemerintah harus menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi seperti jujur, adil, amanah dan bijaksana. Kemasukan agama ini ke Asia Tenggara seperti di Indonesia, Tanah Melayu dan Brunei telah mengubah landskap politik di Asia Tenggara yang pada asalnya didominasi oleh pengaruh Hindu-Buddha. Penukaran istilah raja kepada sultan atau syah merupakan contoh yang jelas. Reformasi turut berlaku dari sudut pegangan dan kepercayaan seperti konsep perajaan Muslim menyatakan bahawa raja yang memerintah di bumi sebagai wakil Tuhan. Golongan ulama memainkan peranan penting kepada urusan pentadbiran negara. Golongan ini menjadi rujukan kepada raja, memberi nasihat, pengesah wangsa dan kadang-kadang menjadi pengkritik kepada kerajaan. Walaupun begitu, pengaruh Hindu-Buddha tidak lenyap sama sekali apabila kehadiran Islam di Asia Tenggara. Masih lagi ada prinsip dalam Hindu-Buddha seperti konsep mandala yang memberi takrifan bahawa kerajaan itu terbahagi kepada empat bulatan sepusat dengan keraton di tengah-tengahnya.

            Vietnam merupakan wilayah tunggal yang menerima pengaruh Neo-Konfusius di Asia Tenggara. Penguasaan China yang memakan masa seribu tahun telah banyak memberi impak ke atas aspek politik, ekonomi dan sosial wilayah berkenaan. Setelah Vietnam mendapatkan kemerdekaan, mereka tetap menganggap China sebagai role model. Kehadiran kuasa Barat khususnya Perancis pada tahun 1859 turut menggoyangkan institusi politik wilayah berkenaan. Namun, sebelum hadirnya kuasa Barat ini, Vietnam telah meniru atau menyesuaikan aspek politik mereka bersandarkan kepada negara China. Pengaruh daripada negara ini nampak jelas semasa pemerintahan T’ang Dynasty (618-907 AD). Raja dianggap sebagai Son of Heaven (Thien-Tu) dan ibu kota dibina berdasarkan corak ibu kota China yang terdiri daripada tiga bulatan sepusat. Penyebaran fahaman Konfusius dilakukan oleh Wangsa Le dalam kalangan rakyat Indo-China dengan memperkenalkan birokrasi bercorak China. Sejak itu, hubungan Vietnam-China semakin rapat melalui sistem tributari. Peter Church menegaskan bahawa sejak abad ke-15, Vietnam memiliki penyusunan organisasi yang hampir sama dengan China, cumanya berbeza dari segi saiznya. Dalam organisasi birokrasi itu sendiri, ahlinya terdiri daripada golongan yang berpendidikan Konfusius. Pemilihannya berdasarkan kepada peperiksaan awam yang dijalankan untuk mereka yang ingin memasuki ke dalam sistem pentadbiran. Bukan itu sahaja, pengaruh China ini turut diserap ke dalam undang-undang, sistem pentadbiran, penulisan dan seni. Malah, golongan berpendidikan Konfusius ini lebih cenderung untuk menggunakan bahasa China berbanding bahasa Vietnamese.

            Seterusnya, perkara yang ingin dibincangkan ialah berkenaan dengan aspek ekonomi sebelum kedatangan kuasa Barat di Asia Tenggara. Sebelum abad ke-16, sukar untuk kita memotret gambaran menyeluruh berkenaan dengan keadaan ekonomi di Asia Tenggara kerana kekurangan sumber terhadap perkara ini. Penulisan atau karya hanya berkisar kepada suasana sebuah dinasti. Sumber China banyak menerangkan berkenaan aspek perdagangan dan perniagaan. Walaupun begitu, Louis Malleret dan Bernard Philippe Groslier memberitahu bahawa sumber arkeologi mampu memberi pertolongan untuk memahami keadaan ekonomi di Asia Tenggara khususnya kerajaan seperti Pagan di Burma, Sailendra di Java, Funan dan Angkor. Secara umumnya, aktiviti ekonomi masyarakat di Asia Tenggara ialah menumpukan kepada kegiatan pertanian dan perdagangan. D.G.E Hall mengatakan bahawa hampir 90 peratus penduduk di Asia Tenggara menetap di kawasan pedalaman. Kebanyakan daripada mereka merupakan pengumpul makanan seperti Negrito Semang dan Senoi-Temiar di Semenanjung Tanah Melayu, Kubu di Sumatera, Toals di Celebes, Punan di Borneo dan sekumpulan kecil di New Guinea. Aktiviti ekonomi yang utama ialah pertanian selain daripada perikanan. Dalam kegiatan pertanian, konsep yang digunakan untuk pembukaan sesuatu ladang ialah “slash and burn”. Masyarakat akan melakukan penebangan terhadap hutan dan melakukan pembakaran bagi meluaskan kawasan ini. Setelah itu, mereka akan menanam ubi atau yam dan diikuti dengan penanaman padi dan jagung. Selain itu, setelah dua tahun mereka akan berpindah ke kawasan lain. Begitulah keadaan ekonomi asas masyarakat di Asia Tenggara.

            Seterusnya, aktiviti sosioekonomi yang dilakukan ialah penanaman tanaman padi. Ini jelas kelihatan di kawasan lembangan sungai seperti Delta Mekong di Vietnam. Gordon Luce mengatakan bahawa padi merupakan produk utama di Asia Tenggara. Aktiviti penanaman padi ini berkembang dalam kalangan Mon-Khmer di Semenanjung Indo-China. Mereka yang telah memulakan aktiviti ini di delta Sungai Merah di Tongking. Keadaan ini menyebabkan populasi masyarakatnya semakin bertambah. Penanaman padi basah di Burma telah dilakukan oleh masyarakat Mon yang telah membina sistem saliran Kyaukse yang membantu aktiviti penanaman padi. Sistem seperti ini telah berjaya membangunkan kerajaan yang kuat seperi Kediri, Singosari dan Majapahit. Masyarakat di Asia Tenggara melakukan penanaman padi ini bagi menampung keperluan makanan mereka. Seterusnya, selain daripada pertanian, aktiviti ekonomi masyarakat Asia Tenggara berfokus kepada perdagangan. Kawasan pelabuhan seperti Funan’s Oc Eo, Srivijaya’s Palembang, Melaka dan East Java’s Tuban telah membangunkan perhubungan yang luas dalam aktiviti perdagangan. Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia merupakan kawasan transisi untuk perdagangan, pertemuan antara kumpulan pedagang daripada Timur dan Barat. Aktiviti seperti ini turut disebabkan oleh kepakaran dalam pembinaan kapal di kerajaan Kediri, Singosari dan Majapahit sebelum kedatangan Portugis. Hubungan perdagangan berlaku di antara wilayah Asia Tenggara dengan pedagang daripada China dan India. Sebagai contoh, Bengal telah mengeksport pelbagai jenis makanan ke Melaka seperti gula, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti halia, oren dan lemon. Bukan itu sahaja, Demak, Japara, Tegal, Semarang dan Cheribon menjadi sumber ketiga kepada hubungan perdagangan selain daripada Bengal dan Pegu.

            Kesimpulannya, sebelum kedatangan kuasa Barat di Asia Tenggara, aspek politik dan ekonomi memiliki jalur persamaan di antara wilayah. Keadaan ini mungkin disebabkan kedudukan Asia Tenggara yang dihimpit oleh dua kuasa besar iaitu China dan India, dan faktor iklim dan cuaca telah menyebabkan corak ekonomi mereka hampir sama. Keadaan ini berterusan sehinggalah kuasa Eropah berjaya sampai ke tanah Asia Tenggara melalui pelayaran dan seterusnya menjajah demi keperluan ekonomi mereka. Salah satu perubahan yang ketara ialah kedatangan kuasa Barat ini telah menghapuskan sistem perhambaan di kebanyakan wilayah Asia Tenggara. Seperti yang diterangkan oleh Azmah Abdul Manaf yang mengatakan bahawa kedatangan British ke Tanah Melayu telah menghapuskan sistem perhambaan. Begitu juga di Thailand, kedatangan kuasa-kuasa Eropah telah berjaya melenyapkan institusi perhambaan ketika zaman Mongkut dan Chulalongkorn. Jika kita menilai kedatangan kuasa Barat ini, impak positif dan negatif tetap wujud dan kadang-kadang melampaui batas apabila kekejaman dan penindasan sentiasa terjadi. Bangsa asing yang mengaku diri mereka hebat ini telah menakutkan masyarakat. Sungguhpun begitu, percikan gerakan nasionalisme tetap terpancar walaupun hanya memasuki abad ke-19 dan 20. Secara keseluruhannya, aspek politik, ekonomi dan sosial di Asia Tenggara sebelum kehadiran kuasa Eropah masih kekal dengan sifat tradisional dan berubah dengan pengaplikasian ideologi Barat dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sama ada dalam bentuk paksaan mahupun secara sukarela.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...