Kejayaan Portugis menakluki Melaka pada tahun 1511
membolehkan perdagangan rempah di Kepulauan Melayu dikuasai mereka. Melaka,
sejak abad ke-15 lagi terkenal sebagai pusat per-dagangan yang terkenal dan
bandar pelabuhan yang sibuk di alam Melayu. Kekuasaan Portugis di sini telah
membolehkan bahan dagangan seperti rempah dibawa ke Portugal untuk dijual
kembali di pusat perdagangan di Eropah. Ini menjadikan bandar Lisbon menjadi
pusat penting penjualan rempah dan pembekal utama di Eropah. Malah, kegiatan
ini membolehkan keuntung-an besar diperoleh jika dibandingkan dengan membeli
secara terus di Eropah yang begitu mahal harganya. Orang Belanda menjadi salah
satu pembawa bahan rempah dari Portugal ke pusat perdagangan lain di Eropah.
Pun begitu, keadaan ini tidak kekal lama sejak Portugal ditakluki oleh
Sepanyol. Ini mendesak orang Belanda menuju ke Timur untuk mendapatkan bahan
ini tanpa bergantung lagi kepada orang Portugis. Oleh itu, saya akan
membincangkan lima tujuan kedatangan Belanda ke Kepulauan Melayu, pada abad
ke-17.
1 .Mencari Laluan Perdagangan (Rempah) ke Timur
Yang pertama, Belanda ingin mendapatkan laluan
perdagangan yang boleh mereka gunakan untuk menuju ke Timur, iaitu wilayah yang
mengeluarkan rempah seperti Kepulauan Maluku. Hubungan tidak baik di antara
Belanda dengan Portugis menyebabkan mereka ingin mengelak daripada bertembung
dengan Portugis yang telah bertapak di Melaka sejak tahun 1511. Untuk mencapai
tujuan ini, laluan yang digunakan untuk sampai ke Timur ialah mereka belayar
dari Tanjung Harapan di Afrika Selatan terus melalui Lautan Hindi dan Selat
Sunda sebelum tiba di Jawa, tanpa melalui India. Pun begitu, timbul masalah
pada peringkat awal apabila pedagang Belanda ini tidak mempunyai panduan yang
lengkap untuk menuju ke Timur. Malah, pedagang Portugis merahsiakan laluan yang
mereka gunakan untuk sampai ke Melaka. Menurut Joginder Singh Jessy (2000),
orang-orang Portugis merahsiakan jalan-jalan yang dilaluinya dalam per-niagaan
mereka. Meskipun orang-orang Belanda mempunyai kebolehan untuk meredah lautan,
namun mereka memerlukan panduan jalan untuk ke Timur. Masalah ini selesai
apabila terdapat sebuah buku yang berjudul ‘Itinerario’ yang ditulis oleh Jan
Huygen van Linschoten pada tahun 1959.
Van
Linschoten pernah bekerja sebagai Setiausaha kepada Arcbishop di Goa. Menurut
G.P Dartford (2000), van Linschoten seorang pelayar dan pengembara yang telah
berkelana di Timur dan pernah hidup di Goa hampir enam tahun lamanya. Setelah
kepulangannya, beliau telah menulis dan menerbitkan sebuah buku yang
menjelaskan tentang panduan dan navigasi ke Timur. Hasil penulisannya ini
memberi maklumat yang cukup berharga kepada orang-orang Belanda untuk menduga
laut di Timur. Oleh itu, pada tahun 1596, ekspedisi pelayaran
pertama dari Timur yang diketuai oleh Cornelius de Houtman dari Belanda yang
melalui Lautan dan Selat Sunda ke Bantam, tiba di Banten, Jawa Barat dan dari
situ mereka meneruskan pelayaran ke Kepulauan Maluku [1]. Houtman berjaya
mengikat satu perjanjian dengan Sultan Bantam di Jawa untuk membawa pulang
hasil rempah dari Kepulauan Melayu untuk dijual di Eropah. Ini merupakan satu
pencapaian yang cukup baik bagi orang-orang Belanda.
2
.Monopoli Perdagangan Rempah di Timur
Tujuan utama kedatangan Belanda ke Kepulauan Melayu
ialah ingin menguasai perdagangan rempah. Menurut Ruslan Zainuddin (2000),
Belanda ingin menubuhkan kuasa monopoli dalam perdagangan rempah iaitu sebagai
pembeli tunggal di Asia Tenggara. Matlamat Belanda pasti-lah ingin menjadi
pembekal tunggal rempah di Eropah dan mendapatkan mengaut keuntungan sebanyak
yang boleh. Ini seperti yang dinyatakan oleh Khoo Kay Kim (2000) bahawa negara
Belanda mula memberi perhatian kepada gugusan Kepulauan Melayu pada penghujung
kurun ke-17. Mereka ingin mendapat rempah secara langsung dari Timur dan tidak
lagi melalui orang Portugis. Penguasaan rempah di Timur membawa keuntungan yang
banyak kepada mana-mana kuasa yang memerintah di Kepulauan Melayu. Seperti
Portugis, setelah mendapatkan Melaka, bandar Lisbon menjadi pembekal utama
rempah di Eropah yang disebarkan oleh orang British dan juga Belanda di pasaran
lain di Eropah. Ini kerana, rempah dibeli pada harga yang murah di Timur dan
boleh didagangkan pada harga yang tinggi di Eropah. Oleh itu, monopoli rempah
di Timur menjadi misi dan tujuan utama bagi Belanda. Rempah ini boleh didapati
di Kepulauan Maluku dan Banda. Ini menjadikan Belanda menjadi orang Eropah
kedua selepas Portugis yang melakukan pelayaran dan penjelajahan menuju ke
Timur selepas Portugis dengan maksud dan tujuan yang sama, iaitu menguasai
perdagangan rempah.
3 .Pembentukan VOC dan Mendirikan Pusat Pentadbiran di
Tanah Jajahan
Setelah laluan perdagangan menuju ke Timur dijumpai
oleh pedagang Belanda dan pelayaran pertama oleh de Houtman tahun 1596 dibuat,
maka, kegiatan pelayaran menuju ke Timur ber-tambah rancak. Sejak itu, bertambah
bilangan pedagang Belanda menuju ke Timur. Situasi ini menyebabkan timbulnya
persaingan sesama mereka dan mengganggu aktiviti perdagangan di rantau ini.
Oleh itu, pada 20 Mac 1602 dibentuk Syarikat Hindia Timur Belanda atau
Verenigde Oost-Indische Campagnie, atau ringkasnya VOC[2]. Pembentukan VOC ingin mencapai be-berapa
tujuan yang penting. Ia dibentuk bagi menyatukan kesemua syarikat di Belanda
yang memiliki kepentingan di Timur dengan persetujuan dan sokongan kuat
pemerintah Belanda. Menurut Andaya & Andaya (2000), VOC diberikan kuasa
untuk membentuk sekutu, menanda-tangani perjanjian, mendirikan kubu pertahanan
dan loji, serta membuat keputusan yang sesuai dengan kepentingan perniagaan
Belanda di Timur. Pembentukan VOC ini bukanlah tujuan ke-datangan Belanda di
Timur, tetapi sebagai satu cara untuk melancarkan usaha mereka memono-poli
perdagangan rempah di Timur. Pun begitu, VOC memerlukan pusat pentadbiran di
tanah jajahan dan ini menjadi tujuan lain kedatangan Belanda di Timur.
Menurut
Ruslan Zainuddin, Belanda berpendapat bahawa sebuah pusat perniagaan, pentadbiran
dan pertahanan perlu dibuka terlebih dahulu sebelum usaha penaklukan dapat
di-lakukan. Keperluan kepada pusat seperti ini sangat penting, terutamanya apabila
berlaku peperangan antara Belanda dengan mana-mana musuh di Timur, bantuan
dapat dikirimkan segera dari Betawi. Oleh itu, pada tahun 1619, Belanda berjaya menakluki Jakarta di Jawa
dan menjadikannya sebagai pusat pentadbiran Belanda di Asia Tenggara. Menurut
N.J Ryan, orang yang bertanggungjawab di dalam usaha ini ialah Jan Pieterszoon
Coen. Coen ingin menjadikan Batavia (Betawi) sebagai pasaran utama bagi
perdagangan intra-Asia dan pusat pengumpulan dagangan untuk dieksport ke
Eropah. Malah, lokasi Batavia lebih sesuai sebagai pusat pentad-biran Belanda
kerana lebih hampir dengan bahan rempah berbanding Melaka.
4 .Menghapuskan Kekuasaan Portugis di Alam Melayu
Selanjutnya, kedatangan Belanda bukan sahaja ingin
memonopoli perdagangan rempah, atau mendirikan pusat pentadbiran di tanah
jajahan, tetapi ingin menghapuskan kekuasaan Portugis di Alam Melayu. Tujuan
ini perlu dipenuhi oleh pihak Belanda. Jika tidak, persaingan Belanda dengan
Portugis di Melaka pastilah merosakkan rancangan mereka memonopoli perdagangan
rempah di sini. Oleh itu, Portugis perlu dinyahkan dari Alam Melayu dan
kekuasaan mereka di sini perlu dihapuskan secara perlahan-lahan. Selain itu,
tujuan ini bukan sahaja untuk melenyap -kan pengaruh Portugis di Alam Melayu,
tetapi merosakkan perdagangan mereka di sini. Hal ini melibatkan perseteruan di
antaran Belanda dan Sepanyol di Eropah yang secara tidak lang-sung melibatkan
negara Portugal. Raja Philip telah bertindak menutup bandar Lisbon kepada orang
Belanda yang menyebabkan perniagaan mereka terjejas. Selain itu, faktor agama
dan politik turut memainkan peranan yang penting apabila timbul permusuhan di
antara penganut agama Kristian Protestan dan Kristian Katolik di Eropah pada
ketika itu. Menurut N.J Ryan lagi, meskipun Belanda telah menetapkan bahawa
walaupun mereka telah mendapatkan tempat pertama di wilayah Asia Tenggara,
tetapi untuk lebih berjaya di sini, mereka perlu membuang pesaing mereka iaitu
Portugis dan mentadbirkan secara bersendirian perdagangan rempah di Kepulauan
Melayu ini.
5 .Menguasai Melaka, 1641
Tujuan kelima kedatangan Belanda di Kepulauan Melayu
di dalam tulisan ini ialah menguasai Melaka daripada bangsa Portugis. Seperti
yang pernah disebutkan sebelum ini, telah menjadi motif orang Belanda
menghapuskan kekuasaan Portugal di Melaka. Namun, Melaka perlu di-kuasai bagi
tujuan tertentu, khususnya sebagai pusat kawalan kapal-kapal dagang yanng
meng-gunakan perairan Selat Melaka. Menurut Khoo Kay Kim, untuk membolot
perniagaan di gugu-san Kepulauan Melayu, mereka (Belanda) perlu juga menguasai
Melaka yang menjadi tempat strategik. Tambahnya lagi, dalam rancangan orang
Belanda, Betawi yang telah didirikan pada tahun 1619 akan menjadi pusat
perdagangan dan Melaka akan menjadi pangkalan bagi Belanda untuk mengawal
negeri-negeri di Semenanjung yang kaya dengan bijih timah. Oleh sebab itu,
mereka tidak sungguh-sungguh cuba menyebarkan kuasanya di luar negeri Melaka.
Bagi pihak Belanda, Melaka tidak harus dilupakan kerana sejak dulu Melaka
menjadi tempat persinggahan yang penting bagi kapal-kapal dagang yang
menggunakan Selat Melaka, meskipun berlakunya kemerosotan perdagangan di
pelabuhan Melaka. Kedudukannya yang strategik tidak hanya di-gunakan sebagai
tempat kawalan di Selat Melaka, namun memastikan jalur perdagangan di Kepulauan
Melayu ini dapat dipastikan keselamatannya dan dibawah pentadbiran Belanda.
Oleh itu, usaha dilakukan untuk menguasai Melaka. Pelbagai usaha telah dibuat
dan serangan ke atas kota Melaka gagal ditawan. Akhirnya, pada Januari 1641,
dengan pertolongan Johor, Melaka secara rasminya ditakluki oleh Belanda.
Rumusannya, lima faktor di atas telah mendorong
kedatangan Belanda di Kepulauan Melayu pada abad ke-17. Sejak kedatangan
Belanda di Kepulauan Melayu, VOC telah memainkan peranan yang penting di dalam
mencorakkan landskap politik, ekonomi dan sosial khususnya di Indonesia.
Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 telah membahagikan Kepulauan Melayu
kepada apa yang dikenali hari ini sebagai Malaysia-Indonesia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan