Melalui tipu helah Francis Light, Pulau Pinang berjaya
menjadi milik British. Sultan Abdullah ter-paksa menyerahkan Pulau Pinang
apabila tidak dapat mempertahankan wilayah itu lagi. Malah, pada tahun 1791,
Seberang Prai turut diambil oleh British ketika pemerintahan Sultan Dhiauddin.
Ini merupakan kejayaan awal British untuk bertapak dengan kukuh di gugusan
kepulauan alam Melayu. Pun begitu, pada peringkat awal Pulau Pinang tidak
memberikan pulangan ekonomi se-perti yang diinginkan oleh British. Salah satu
faktornya ialah kedudukan Pulau Pinang yang terlalu jauh daripada laluan
perdagangan khususnya Selat Melaka. Oleh itu, British sekali lagi terpaksa
mencari tapak pelabuhan lain bagi menjamin kedudukan perdagangannya dengan
China. Selain itu, British harus berhati-hati terhadap dominasi perdagangan
yang ditunjukkan oleh Belanda yang berpusat di Betawi. Meskipun hubungan
British dengan Belanda dalam keadaan yang baik, British bimbang kegiatan
perdagangannya akan terjejas apabila monopoli Belanda terus berlanjutan. Selain
itu, kebimbingan British timbul seandainya Perancis turut melebarkan kuasanya
di Kepulauan Melayu. Oleh itu, artikel kali ini akan menjelaskan tentang
pendudukan British di Singapura sebagai cara untuk menjaga hubungan perdagangan
dengan China setelah Pulau Pinang tidak menunjukkan reaksi yang positif.
Apabila
Pulau Pinang gagal menunjukkan perkembangan positif seperti yang dijangkakan
oleh British, maka usaha untuk mencari pangkalan baharu telah dilakukan oleh
British. Untuk melaksanakan tugas ini, British telah menghantar Stamford
Raffles dan juga William Farquhar. Mereka ini mempunyai keterlibatan yang
tinggi terhadap wilayah-wilayah di Kepulauan Melayu. Misalnya, Stamford Raffles
pernah menjadi Leftenan Gabenor Jawa pada tahun 1811 sebelum ditukarkan ke
Bangkahulu. Begitu juga, William Farquhar yang berpengalaman mentadbir Melaka.
Namun begitu, apabila Belanda mengambil semula wilayah jajahannya, maka
aktiviti perdagangan British menerima saingan. Ini kerana, monopoli perdagangan
yang dikenakan kepada pedagang menyebabkan British terpaksa mencari pangkalan
baharu untuk menyaingi Betawi. Perkara ini telah mendapat perhatian daripada
Warren Hasting. Beliau telah mengarahkan Raffles dan Farquhar untuk meninjau
lokasi yang berpotensi untuk dijadikan pangkalan baharu British. Raffles pada
ketika itu mencadangkan Singapura kerana kedudukan pulau ini yang strategik,
terletak di pintu Selat Melaka dan Selat Sunda. Untuk mencapai objektif ini, Raffles
dan Farquhar telah belayar ke Singapura, berjumpa dengan Temenggung Abdul
Rahman yang menjadi wakil Sultan di sana.
Apabila
Raffles dan Farquhar sampai di Singapura, mereka telah berjumpa dengan
Temenggung Abdul Rahman. Tujuannya untuk mengadakan perjanjian bagi membolehkan
British membuka petempatan di pulau ini. Pun begitu, Temenggung Abdul Rahman
tidak dapat memenuhi tuntutan ini kerana setiap perjanjian perlu mendapat
pengesahan daripada sultan. Temenggung tidak memiliki kuasa untuk memberi izin
secara lisan atau bertulis kepada Raffles dan Farquhar. Perkara ini telah
memberikan kesulitan kepada pihak British. Ini kerana British peka dengan
situasi politik di antara pemerintah Johor-Riau dan Belanda dalam keadaan yang
baik. Oleh itu, British telah memanipulasi perebutan takhta kerajaan Johor-Riau
yang berlaku di antara Raja Hussein dan Raja Abdul Rahman. Konflik ini berlaku
apabila Sultah Mahmud Syah III mangkat, putera sulung iaitu Raja Hussein tidak
menghadiri pengkebumian kerana berada di Pahang. Raja Hussein yang memiliki hak
untuk menjadi sultan terpaksa disisihkan kerana ketidakhadirannya pada hari
pemakaman. Para pembesar istana telah melantik adiknya iaitu Raja Abdul Rahman
menjadi sultan Johor-Riau. Melihat keadaan ini, Raffles telah meminta Raja
Hussein untuk datang ke Singapura dan menjadi raja di sini. Maka, British dapat
mengadakan perjanjian dengan Sultan Hussein untuk membina loji atau penempatan
di pulau Singapura ini. Sebagai imbalannya, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul
Rahman diberi bayaran pampasan. Oleh itu, termeterai perjanjian awal di antara
British dengan Sultan Hussein.
Antara
isi perjanjian awal di antara Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman
ialah British melalui SHTI dibenarkan untuk membina pos perdagangan di pulau
Singapura. Selain itu, Temenggung Abdul Rahman berjanji tidak akan membuat
perjanjian dengan mana-mana kuasa lain. Sebagai balasannya, Temenggung Abdul
Rahman akan menerima $3,000 daripada pihak British. Seterusnya, satu lagi
perjanjian dibuat di antara Tengku Hussain, Temenggung Abdul Rahman dan
Stamford Raffles pada 6 Februari 1819. Melalui perjanjian ini, Tengku Hussain
diikitran sebagai Sultan Johor, Sultan Muhamad Syah. British akan memberi
bayaran sebanyak $5,000 kepada sultan dan $3,000 kepada Temenggung. British
dibenarkan untuk membina oenemoatan di Singapura. Temenggung juga dibenarkan
untuk menguti bayaran daripada perahu-perahu tempatan. Pada masa yang sama,
British akan memberi perlindungan kepada sultan dan Temenggung. Tetapi, British
tidak akan campur tangan dalam urusan Johor atau mengekalkan kuasa sultan
dengan kekuatan tentera. Melalui dua perjanjian ini, British telah berjaya
bertapak di Singapura, seterusnya menjadikan Singapura sebagai pangkalan baharu
British di Kepulauan Melayu. William Farquhar dilantik sebagai Residen pertama
Singapura dan diarahkan oleh Raffles untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan
Singpura dengan kadar segera.
Pendudukan
British di Singapura telah menimbulkan bantahan daripada Belanda. Bagi Belanda,
British telah memungkiri Perjanjian London pada tahun 1814. Perjanjian ini
telah menetapkan pembahagian tanah jajahan di antara British dan Belanda di
rantau Asia Tenggara. Belanda mendakwa Singapura menjadi sebahagian daripada
Kesultanan Riau-Lingga. Oleh itu, Belanda telah mendesak British untuk keluar
dari pulau Singapura. Gabenor Melaka pada ketika itu telah menghantar bantahan
kepada Gabenor Pulau Pinang. Atas desakan daripada Belanda, William Farquhar
berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Pulau Pinang. Namun, Gabenor Pulau
Pinang, Bannerman enggan memberikan bantuan dan menyarankan supaya Farquhar
segera meninggalkan Singapura. Pun begitu, Bannerman segera mengirimkan bantuan
kepada Farquhar apabila Gabenor Jeneral Hasting meminta beliau berbuat
demikian. Bannerman telah mengirimkan seramai 200 orang askar India dan
sejumlah wang. Pertikaian di antara Belanda dan British ber-kenaan dengan
wilayah Singapura ditamatkan apabila kedua-dua belah pihak menandatangani
per-janjian London pada tahun 1824. Melalui perjanjian ini berlaku pertukaran
wilayah di antara British dengan Belanda atas persetujuan bersama.
Rumusannya,
pendudukan British di Singapura merupakan satu langkah yang bijak. Sejak itu,
Singapura mula mengalami perubahan dari sudut aktiviti ekonomi apabila ramai
pedagang yang singgah di pulau ini. Penduduk di pulau ini terus bertambah
setiap tahun. Malah, dengan pendudukan ini British telah berjaya menutup
kelemahan yang terdapat di Pulau Pinang. Meskipun selepas itu Pulau Pinang mula
menunjukkan tanda-tanda positif dengan perkembangan perdagangan di sini. Oleh
itu, Singapura berjaya memenuhi keperluan British.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan