Apakah sumber pertama? Sumber pertama dapat difahami sebagai sumber yang masih dalam keadaan asli dan belum diolah atau diberi tafsiran oleh ahli sejarah. Muhd. Yusof Ibrahim (2016) menyatakan bahawa sumber pertama ini merupakan kumpulan sumber mahupun bahan yang boleh kita rujuk, tetapi keadaannya masih asli dan belum ditafsirkan serta terdapat di institusi tertentu. Menurutnya lagi, keadaan sumber ini yang menjadi sumber pertama dalam mencatatkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Ini bermaksud bahawa, sumber pertama ialah bahan yang belum disentuh, diolah, masih mentah, dan menjadi bahan penting untuk rujukan kerana sumber ini yang pertama sekali mencatatkan sesuatu kejadian di masa lalu. Sebagai contoh, untuk menulis sejarah Kesultanan Melayu Melaka, kita memerlukan data atau maklumat yang ditulis oleh jurutulis istana, pedagang, pengembara, atau orang luar yang pernah berada di zaman tersebut dan mengalami situasi yang berlaku di zaman Melaka. Misalnya, rekod-rekod kerajaan Ming dapat dijadikan sebagai sumber pertama untuk merekonstruksi sejarah Melaka di abad ke-14.
Selain itu, Ishak Saat (2010) menyatakan bahawa sumber pertama ialah pengesahan rasmi dan dokumen tidak rasmi. Sumber pertama ini dapat menolong kita mengesahkan cerita sebenar atau menggambarkan sesuatu peristiwa sebagaimana ia berlaku. Ini bermaksud, sumber pertama ini dibahagikan kepada dua iaitu dokumen bertulis yang rasmi dan tidak rasmi. Selain itu, pembahagian ini dapat difahami sebagai rekod-rekod sesuatu organisasi ataupun persatuan, pertubuhan yang disimpan dan tidak diterbitkan kepada masyarakat umum. Sebagai contoh, ada banyak rekod-rekod bertulis seperti minit mesyuarat yang disimpan oleh sesebuah organisasi yang menyimpan fakta tentang sejarah organisasi tersebut. Jika kita mengkaji sejarah penubuhan sesebuah sekolah di Malaysia, ketika abad ke-20, ada banyak dokumen yang mencatatkan tahun penubuhan, pengasas sekolah tersebut, tujuan-tujuannya dan kisah perjalanan sekolah tersebut. Biasanya, ketika penjajahan Inggeris, rekod ini ada yang disimpan oleh mereka sendiri di London.
Sumber pertama menjadi sumber ataupun bahan yang pertama mencatatkan sesuatu peristiwa. Fungsi sumber pertama ini ialah untuk rujukan ahli sejarawan khususnya dalam mereka mengkaji semula peristiwa-peristiwa yang telah lama berlaku. Tanpa adanya sumber pertama ini, tidak mungkin sejarah dapat ditulis semula sebagaimana yang ada pada hari ini. Jika kita merujuk hasil penyelidikan ahli sejarawan yang telah dibukukan, di bahagian bibliografi ada disertakan sumber pertama yang sudah dirujuk oleh mereka. Kepentingan sumber pertama ini tidak dapat dinafikan kerana mempunyai status yang tinggi tentang kebenaran sesuatu peristiwa. Juga, fakta-fakta yang dapat ditemui di dalam sumber pertama ini akan menjadi bukti yang kukuh kepada sejarawan. Misalnya, mengambil semula contoh Kesultanan Melayu Melaka, rekod Portugis atau Belanda selepas abad ke-14 memberi bukti yang kukuh tentang Kesultanan Melayu Melaka. Ini kerana penjajah Barat ini, misalnya Portugis telah menakluki Melaka pada tahun 1511 dan mendudukinya sehingga 1641. Oleh itu, komentar Tome Pires misalnya dalam Suma Oriental akan menjadi sumber penting dalam membina semula kisah sejarah Melaka.
Jeremy Black dan Donald D. MacRaild (2000) menyatakan bahawa sumber pertama ialah bahan mentah – pasir, air dan simen – dalam sejarah. Di sini, apa yang cuba disampaikan ialah, sumber pertama mempunyai persamaan dengan pasir, air dan simen sebagai analogi yang mudah. Analogi ini memberi maksud bahawa, untuk membina sebuah bangunan atau rumah, kita memerlukan pasir, air dan simen sebagai bahan utama. Bahan-bahan ini dicampurkan, digaul sehingga sebati dan seterusnya digunakan untuk menyusun batu-bata, membuat lantai rumah atau bangunan sampai ia siap. Jika bahan-bahan ini tidak digunakan, adalah mustahil untuk membina sebuah bangunan atau rumah sebagai bahan utamanya. Begitu juga seperti sumber pertama, tanpanya tiadalah sejarah kerana tiada bukti atau maklumat yang benar lagi sahih untuk digunakan dalam menulis sejarah. Sejarah tidak dapat ditulis bersama andaian atau khayalan manusia semata-mata. Oleh itu, bidang ini sangat memberatkan penggunaan sumber pertama. Namun, sesiapa yang ingin menjalankan kajian sejarah pada hari ini harus sekurang- kurangnya menguasai dengan baik tentang sumber kedua yang akan kita bincangkan di lain tulisan.
Seterusnya, Arthur Marwick (1989) memberitahu di dalam bukunya, ‘The Nature of History’ bahawa sumber pertama itu ialah sumber yang wujud bersama ketika sesuatu peristiwa sejarah itu berlaku. Peranan sejarawan ialah mengkaji bahan-bahan yang berbentuk ‘relics’ dan ‘traces’ yang sudah ditinggalkan oleh masa lampau. Ada banyak sumber yang wujud sezaman. Namun, yang menjadi kesulitan ialah apabila sumber-sumber ini terhapus oleh perubahan alam atau rosak disebabkan tidak kekal bertahan untuk bertahun lamanya. Jika kita meneliti semula pengalaman Abdullah Munsyi di dalam bukunya Hikayat Abdullah itu, ada diceritakan bahawa tuannya, Stamford Raffles membawa begitu banyak hikayat Melayu, dan kapal yang dinaikinya membawa bersama bahan ini telah tenggelam di dasar laut. Ini salah satu kesulitan yang saya maksudkan apabila tidak semua bahan tersedia dan dapat dipelihara keadaannya merentasi masa dan era. Namun, masih ada sumber-sumber ini dapat dirujuk dan dijadikan sebagai bahan kajian, misalnya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Selain itu, sumber pertama ini mempunyai peranan yang khusus untuk disiplin ilmu Sejarah dan juga sejarawan. R.G Collingwood (1994), menganggap bahawa sejarah itu dilakukan melalui interpretasi terhadap bukti, di mana bukti ini merupakan himpunan benda, yang dipanggil sebagai dokumen. Dokumen ini wujud di sini dan sekarang yang bakal digunakan oleh sejarawan, untuk mencari jawapan kepada soalan yang diajukan tentang peristiwa lampau. Sumber pertama seperti dokumen yang masih wujud, tidak akan memberi makna apa-apa seandainya tidak berlakunya tafsiran oleh penggunanya, iaitu sejarawan. Dokumen ini tetap asli dan mentah dan tetap sama kejadiannya, namun timbul pelbagai dapatan yang dilakukan oleh sejarawan kerana sudut tafsiran dan tujuan yang berbeza antara mereka. Di sini, pentafsiran menjadi keadaan yang kritikal kerana makna-makna yang diberi oleh sejarawan ini digunakan oleh mereka dalam mengarang dan menulis sejarah yang akan disampaikan kepada masyarakat umum. Misalnya, ada banyak buku tentang Sejarah Malaysia disebabkan perbezaan minat dan tujuan sejarawan yang menulisnya.
Yang terakhir sekali, melalui sumber pertama, ahli sejarah akan dapat menambah pengetahuan masyarakat umum tentang sesuatu peristiwa sejarah dan juga untuk dirinya sendiri. Tujuan kajian yang dijalankan tidak hanya untuk menulis buku, atau meletakkan nama mereka di hadapan buku tersebut sebagai penulis atau membuat sedikit wang, namun, tujuan yang lebih penting dari itu ialah untuk menyatakan masalah yang timbul dan memanjangkan dan menyebarkan ilmu di dalam sesuatu bidang yang khusus. Malah, di sini, kajian-kajian ini bukan hanya mencari sesuatu yang sudah diketahui, tetapi untuk mencari apa yang masih tertinggal dan memenuhi ruang-ruang kosong yang masih belum dipenuhi. Sejarawan tidak harus hanya duduk di ruang selesa, menulis di ruang yang sudah dieksplorasi oleh sejarawan yang lainnya, tetapi membuka satu ruang lain yang masih misteri untuk diterokai. Untuk memenuhi tuntutan ini, perlunya dicari sumber-sumber pertama yang masih belum dijumpai, yang dimiliki oleh orang perseorangan, dan terletak jauh dari negara sendiri. Jika ini terjadi, bakal memberi interpretasi baru terhadap fakta-fakta sejarah yang sedia ada.
Kesimpulannya, sumber pertama sungguh penting dalam menulis sejarah. Ada banyak sumber sejarah yang masih tersimpan di Arkib Negara Malaysia misalnya yang menunggu untuk dikeluarkan dan dijadikan bahan penulisan sejarah. Pengalaman di Arkib Negeri Sabah, ada begitu banyak laporan dan rekod North Borneo Chartered Company yang tersimpan dan dapat dimanfaatkan untuk menulis dan menambah sejarah negeri Sabah yang pada saya masih kurang dibandingkan dengan sejarah tentang negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Di tulisan yang akan datang, saya akan cuba untuk mewacanakan tentang sumber kedua, atau ‘Secondary Sources’ dalam disiplin ilmu sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan