Isnin, 2 Januari 2023

Apakah Sejarah?: Sudut Pandang Sarjana Barat

What is History? Judul sebuah buku yang dikarang oleh Edward Hallett Carr, seorang sejarawan berbangsa Inggeris. Buku ini telah diterbitkan pada tahun 1961. Sebuah buku yang cukup dikenali dalam kalangan ahli sejarah. Kandungan buku ini merupakan ucapan yang disampaikan oleh E.H Carr di Cambridge University. Setelah dicetak dan diterbitkan, buku ini meraih sambutan yang meluas di kalangan penggemar sejarah apabila ia terjual ratusan ribu salinan. Idea yang dilontar-kan oleh E.H Carr ini pastinya sesuatu yang berbaloi untuk dibaca dan dibahaskan khususnya berhubung persoalan What is History?. Jawapan terhadap persoalan ini telah banyak diusulkan oleh beberapa orang sejarawan Barat sebelum E.H Carr sendiri. Di antaranya ialah Arnold Toynbee, A.J.P Taylor, R.G Collingwood, Eric Hobsbawm, Karl Marx dan ramai lagi. Oleh itu, penulisan ini membincangkan secara ringkas tentang maksud atau definisi sejarah yang dibawa oleh ahli sejarawan ini.

            Umumnya, istilah ‘History’ berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘Historia’. Perkataan ini telah digunakan oleh Herodotus, seorang sejarawan yang hidup di zaman Yunani dahulu. Menurut Herodotus sendiri, perkataan Historia itu membawa maksud penyelidikan dan penyiasa-tan terhadap sesuatu peristiwa (event) yang telah terjadi di masa lalu. Herodotus, yang juga di-kenali sebagai Bapa Sejarah, telah menjalankan sebuah kajian sejarah tentang sejarah Perang Parsi (The Persian Wars). Melalui kajian ini, Herodotus sendiri telah membina satu asas yang cukup baik berhubung dengan penulisan sejarah. Asas yang dimaksudkan di sini ialah tentang aktiviti yang terlibat di dalam menyelidik atau menyiasat sesuatu kisah sejarah yang merangkumi perbuatan mental seperti bertanya (inkuiri), mencari bukti (sumber) dan melaporkan penemuan yang diperoleh melalui penulisan. Di sini, sejarah itu tidak hanya difahami sebagai peristiwa masa lalu atau kejadian-kejadian yang dialami oleh manusia dahulu serta tindakan-tindakan mereka. Malah, sejarah itu dapat difahami sebagai suatu proses menyelidik dan menyiasat bagi mencari jawapan terhadap persoalan yang timbul. Oleh itu, dapat dikatakan di sini sejarah itu sebagai penceritaan tentang tindakan manusia yang penting, serta sebab-sebab yang mendorong kepada berlakunya peristiwa ini.

            Jawapan terhadap soalan ‘apakah sejarah?’ turut diberikan oleh ahli sejarah selepas Herodotus dalam keadaan tersurat mahupun tersirat. Ini kerana, disiplin ilmu sejarah itu telah ber-kembang secara meluas. Pembaikan terhadap disiplin ini dilakukan oleh ahli sejarah selepasnya yang telah menyatakan pendapat mereka berkenaan penulisan sejarah itu sendiri. Misalnya, E.H Carr yang telah disebutkan sebelum ini, telah menyuarakan pandangan beliau tentang maksud sejarah. Beliau berkata, ‘sejarah, suatu proses yang berterusan interaksi di antara ahli sejarah dengan fakta-faktanya, suatu dialog yang tidak berkesudahan di antara masa kini dan masa lampau’. E.H Carr berpendirian bahawa wujud saling kebergantungan di antara ahli sejarah dengan fakta-fakta sejarah. Jika tiada ahli sejarah, maka fakta-fakta sejarah yang telah direkod-kan yang tersimpan atau masih terpelihara tidak dapat dimanfaatkan faedahnya. Oleh itu, ahli sejarah berperanan untuk menghidupkan disiplin ilmu sejarah ini agar terus berkembang kukuh dan teguh sebagai sebuah disiplin ilmu. Apa yang terjadi di masa lalu, akan memberikan panduan atau navigasi kepada manusia untuk menjalani hidup di hari ini dan masa akan datang.

            R.G Collingwood, salah seorang sarjana di Barat telah menukilkan pandangannya tentang maksud sejarah melalui sebuah buku yang berjudul ‘The Idea of History’. Buku ini telah diterbit-kan pada tahun 1946 oleh Oxford University Press. Pengisian buku ini berkisar tentang falsafah sejarah dan pengalaman pensejarahan di Barat. Sejarah, bagi Robin George Collingwood ialah semacam bentuk inkuiri dan penyelidikan. Ini seperti dikatakan oleh Herodotus bahawa sejarah itu berkaitan dengan penyiasatan dan penyelidikan. Sejarah secara umumnya memiliki ciri-ciri atau sifat seperti sains. Sains yang wujud pada hari ini merupakan disiplin ilmu yang mempunyai asas-asas yang kuat khususnya dari segi pengkaedahannya. Sejarah dapat juga ditafsirkan seperti sains di mana wujudnya persoalan yang ingin dicari jawapan melalui satu kajian yang bersistem. Hasil kajian yang dijalankan adalah diharapkan dapat menyelesaikan persoalan yang telah ditimbulkan. Selain itu, jawapan yang dijumpai diharapkan dapat memberi satu penjelasan dan penerangan yang cukup baik kepada diri seorang pengkaji dan masyarakat yang menaruh minat terhadapnya. Bagi R.G Collingwood lagi, sejarah itu ditujukan untuk manusia itu sendiri, untuk mengenali sifat yang ada dalam dirinya. Di dalam peristiwa sejarah, terdapat pelbagai ragam sikap dan tindakan manusia. Melaluinya, kita dapat mengambil panduan dan iktibar untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

            Sejarawan yang berikutnya ialah Arthur Marwick. Ahli sejarah ini telah menulis sebuah buku yang berjudul ‘The Nature of History’. Sebuah buku yang berkualiti dan harus disenaraikan dalam buku wajib baca bagi seorang pemula sejarah. Bagi Arthur Marwick, sejarah itu dapat dianggap sebagai keseluruhan masa lalu manusia, seperti sebenanrya berlaku, merupakan per-cubaan manusia untuk menghurai dan mentafsir masa lalu dan kajian yang sistematik, iaitu sejarah dianggap sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan. Sejarah melibatkan pengalaman yang dilalui oleh manusia di masa lalu. Pengalaman yang dimiliki ini dibentuk daripada hubungan yang berlaku sesama manusia dalam pelbagai lapangan dan aspek kehidupan. Keseluruhan masa lalu manusia itu dapat dianggap sebagai sejarah. Beliau turut menegaskan bahawa sejarah turut melibatkan usaha seorang ahli sejarah mentafsir dan menghuraikan fakta-fakta sejarah yang telah dia temui. Usaha ini berlandaskan kaedah dan metodologi yang terdapat dalam disiplin ilmu sejarah. Arthur Marwick sependapat dengan E.H Carr dan juga R.G Collingwood bahawa sejarah itu melibatkan dua aktiviti yang utama iaitu menyelidik dan menyiasa pengalaman atau tindakan manusia di masa lalu.

            Pandangan sarjana sejarah yang terakhir yang ingin saya bawakan di sini ialah Leopold Von Ranke, seorang sejarawan dari Jerman. Ranke telah menerbitkan beberapa buah buku di sepanjang hidupnya. Antaranya, ialah History of Reformation in Germany, A History of England, The Theory and Practice of History. Ranke telah membawa satu perubahan yang besar terhadap bidang sejarah apabila menyatakan bahawa sejarah itu ‘seperti sebenarnya yang berlaku’. Ungkapan beliau yang bersifat falsafah ini menimbulkan beberapa isu dan persoalan yang sukar untuk dijawab. Misalnya, dapatkah ahli sejarah mencapai nilai objektif ketika merungkaikan sese-buah peristiwa sejarah?. Mengembalikan semula peristiwa sejarah seperti sebenar-benarnya berlaku merupakan satu idealisme yang sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana, ahli sejarah hanya mengetahui sesuatu peristiwa sejarah melalui rekod-rekod bertulis yang kemungkinan telah mengalami perubahan dari segi fakta dan penyelewangan maklumat. Namun, usaha yang dibawa oleh Ranke ini sesuatu yang cukup baik untuk difikirkan. Ini kerana, ahli sejarah perlu berusaha untuk bersikap seobjektif mungkin ketika menjalankan penyelidikannnya dan seterusnya melaporkan hasil kajiannya melalui sebuah penulisan.

            Dapat dirumuskan di sini terdapat beberapa persamaan yang jelas. Yang pertama, sejarah itu sudah pasti melibatkan sesuatu yang telah berlaku di masa lampau. Misalnya, kemerdekaan Tanah Melayu 1957, permulaan Kesultanan Melayu Melaka 1399/1400, penubuhan Malaysia 1963, darurat di Malaysia 1948-1960, 13 Mei 1969 peristiwa rusuhan kaum. Kejadian ini sudah dilalui oleh manusia, tidak dapat untuk dijelmakan semula. Keduanya, sejarah itu wajib memiliki dua unsur asas iaitu ahli sejarah dan sumber sejarah. Kedua-duanya saling perlu dan berkait rapat walaupun ada perbezaan di antaranya. Dokumen yang dianggap sebagai sumber sejarah itu tidak bercakap sendiri, jadi di sini peranan ahli sejarah untuk mentafsir sumber-sumber ini untuk tujuan-tujuan tertentu. Yang ketiga, sudah pasti sejarah itu perlu melibatkan satu proses penyiasatan atau inkuiri yang sistematik.

            Kesimpulannya, sejarah itu adalah pengalaman-pengalaman manusia yang telah lalu. Memetik pandangan Muhd Yusof Ibrahim dalam bukunya Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan menyatakan bahawa sejarah ialah “ilmu pengetahuan tentang masa lalu yang terisi dan terdiri daripada pelbagai peristiwa dan tokoh yang berlaku serta berperanan dalam sesebuah masyarakat atau negara tentang masa lalu, sejarah megandungi bidang-bidang dan subbidang atau aspek-aspek kajiannya. Tulisan selanjutnya akan menyentuh tentang definisi sejarah yang diberikan oleh sejarawan tempatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...