Setelah
Portugis menyerang Melaka dan menduduki negeri ini pada T.M 1511, Sultan Mahmud
berserta para pembesar dan ahli keluarga berundur ke Pahang untuk menyelamatkan
diri. Pada ketika itu, Portugis mempunyai kekuatan tentera yang sukar untuk
dikalahkan, maka keputusan untuk berundur terlebih dahulu merupakan pilihan
yang tepat. Ini memberi masa kepada Sultan Mahmud Shah memikirkan jalan terbaik
untuk mengambil semula Melaka daripada Portugis. Namun, setelah usaha giat
dijalankan melalui cara peperangan dan menyekat kapal-kapal yang berdagang di
Melaka, Portugis sukar untuk ditundukkan. Sultan Mahmud Shah, di penghujung
hidupnya melakukan pelbagai cara untuk menghalau Portugis dan mendaulatkan
semula negeri Melayu ini seperti asalnya. Ini menggambarkan kecintaan Sultan
Mahmud terhadap Melaka walaupun sebelum Portugis menyerang dulu, baginda seakan-akan
membiarkan kerajaannya di dalam keadaan huru-hara. Setelah mangkat di Kampar,
putera baginda iaitu Raja Ali telah diangkat menjadi sultan yang baharu
bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II yang dikatakan oleh sesetengah penulis
sebagai pengasas Kerajaan Melayu Johor. Di tulisan kali ini saya akan
membincangkan pengasasan Kesultanan Melayu Johor pada awal abad ke-16.
Sultan Alauddin Riayat Shah II telah
dilantik menjadi sultan yang baharu pada tahun 1528 menggantikan Sultan Mahmud
Shah yang telah mangkat di Kampar. Sultan Alauddin Riayat Shah II ini merupakan
putera Sultan Mahmud Shah dengan Tun Fatimah, di mana pada suatu masa dahulu di
Melaka ahli keluarganya telah dibunuh oleh Sultan Mahmud Shah di atas dendam
terhadap Bendahara Tun Mutahir. Pengasasan Kesultanan Melayu Johor ini boleh
di-katakan disebabkan oleh kejatuhan Melayu Melaka di tangan Portugis pada
tahun 1511. Oleh itu, Kesultanan Melayu Johor sebagai ganti untuk meneruskan
tradisi kerajaan Melayu ini. Raja yang memerintah Johor merupakan keturunan
raja-raja yang memerintah Melaka dahulu. Menurut Ahmad Dahlan (2017) semenjak
Sultan Alauddin Riayat Shah II membuka negeri ini, orang dari daerah luar turut
membina perkampungan baharu dan menetap di kawasan itu. Penduduk terus
bertambah dan semakin banyak. Ini melambangkan taat setia orang Melayu terhadap
sultan/raja mereka. Oleh itu, disebabkan sultan yang mendirikan Kerajaan Melayu
Johor ini mempunyai pertalian terus dengan raja-raja Melaka, maka segala
jajahan takluk yang dimiliki oleh Kesultanan Melayu Melaka secara automatiknya
masih dipegang oleh raja-raja yang mendirikan Kesultanan Melayu Johor. Tidak
banyak diketahui tentang asal-usul nama Johor ini, namun menurut Ahmad Dahlan,
perkataan “Johor” ini berasal daripada bahasa Arab iaitu “jauhar” yang
bermaksud permata, “negeri permata”.
Berbeza dengan Melaka dahulu pusat
pemerintahan bagi Kesultanan Melayu Johor sering bertukar ganti mengikut
sultan/raja yang memerintah dan situasi yang sedang berlaku di sekitar
kepulauan Melayu, iaitu ancaman Portugis di Melaka dan Acheh di Sumatera. Hal
ini menyebabkan berlakunya beberapa siri perpindahan pusat pentadbiran
Kesultanan Melayu Johor. Misalnya, pada tahun 1535, Sultan Alauddin Riayat Shah
II terpaksa mengudurkan diri ke Sayong apabila diserang oleh Portugis. Malah,
baginda juga pernah bersemayan di Muar dan selepas itu di Bintan. Kemudian,
pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II mem-buat pusat pemerintahan di
Johor Lama. Kota ini dibina daripada batu, maka dikenali sebagai Kota Batu [1].
Hal ini bukan sahaja berlaku terhadap Sultan Alauddin Riayat Shah II sendiri,
tetapi, pengganti baginda turut mengalami hal yang sama. Misalnya, semasa
pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, baginda setelah menetap di Kota Batu
terpaksa berpindah dan mendiri-kan pusat pemerintahan di Seluyut. Begitu juga
dengan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II yang menduduki taktha kerajaan
Johor meskipun tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan raja-raja Melaka
terdahulu, telah berpindah daripada Seluyut ke Tanah Puteh, dan berikutnya ke
Johor Lama. Apabila Johor Lama diserang Portugis, baginda kemudiannya telah
membina pusat pemerintahan di Batu Sawar[2]. Ancaman daripada luar menyebabkan
pusat pentadbiran bertukar-tukar. Perubahan ini mungkin disebabkan kedudukan
Johor yang masih belum begitu ampuh untuk mendirikan sebuah kerajaan Melayu
seperti Melaka.
Tentang kegiatan ekonomi yang
dijalankan di dalam Kesultanan Melayu Johor ini tidak seperti yang dialami oleh
Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Ini kerana, pusat pentadbiran bagi kerajaan
Johor ini sering berpindah menyebabkan aktiviti ekonomi tidak dapat distabilkan
oleh pemerintah Johor. Serangan dari luar seperti Acheh dan Portugis di Melaka
mengeruhkan lagi situasi kerajaan Johor yang dalam keadaan tidak menentu. Pun
begitu, ini tidak bermaksud tidak ada langsung kegiatan yang berbentuk ekonomi
dijalankan oleh penduduk di Johor. Ini dijelaskan oleh Shahrom Husain (1995)
bahawa ketika Sultan Muzaffar Shah II menjadi sultan, dari Seluyut (Kota Batu)
hingga ke Padang Riang-riang penuh dengan pasar. Negeri yang ramai penduduknya
itu dan mewah dengan hasil-hasil dan perniagaan makin bertambah maju. Malah,
J.Kennedy (1962) juga menjelaskan bahawa ketika Sultan Alauddin Riayat Shah II
membuka negeri baru, mungkin di Johor Lama, di Sungai Johor, selepas kematian
ayahandanya, baginda meneruskan polisi menarik minat pedagang untuk datang ke
Johor serta merompak kapal-kapal yang dalam perjalanan menuju ke Melaka. Ini
sebagai satu cara mendapat pendapatan serta meneruskan kelangsungan hidup.
Selain itu, sumber kewangan yang banyak sangat diperlukan untuk membiayai ekspedisi
ketenteraan dalam usaha menawan semula Melaka daripada tangan Portugis. Oleh
itu, di peringkat awal perjalanan Kesultanan Melayu Johor ini, aktiviti ekonomi
sukar untuk mencapai kemajuan seperti Melaka dahulu.
Zaman Melaka dahulu, ancaman dari
Siam dapat dipatahkan melalui pertolongan yang diberikan oleh China. Ini
memberi ruang yang cukup baik kepada sultan Melaka membangun-kan negeri ini
sehingga menjadi sebuah kota pelabuhan yang gemilang. Di zaman Kesultanan
Melayu Johor ini, ancaman Portugis dan Acheh sering mengganggu Johor melalui
beberapa siri peperangan dan ancaman. Pertolongan dari China tidak dapat
dihulurkan kerana pada ketika itu China berdepan dengan ancaman dari orang
Tartar. Serangan Portugis terhadap Johor berlaku ketika Sultan Alauddin Riayat
Shah II memerintah apabila Estevao da Gama sebagai pemimpin tentera menyerang
Johor. Serangan ini menyebabkan Johor perlu berundur diri ke Sayong kerana
tidak dapat mengatasi Portugis. Malah, pada tahun 1536 dan 1587 Portugis juga
melancarkan serangan terhadap Johor. Selain itu, jiran terdekat iaitu Acheh
juga melakukan serangan ke atas Johor pada tahun 1564, 1570, 1582, 1613, 1618
dan 16223. Walaupun diserang oleh Portugis dan Aceh, sultan, pembesar dan
rakyat Johor masih mampu mempertahankan maruah dan kedaulatan Johor. Akibat
serangan ini pusat kerajaan Johor terpaksa dipindahkan beberapa tempat akibat
serangan Portugis dan Aceh yang memusnahkan kota-kota tersebut. Ancaman
kedua-dua kuasa ini menyebabkan Johor menjalankan dasar berbaik dengan Belanda[3].
Rumusannya, Kesultanan Melayu Johor berdepan pelbagai cabaran dan dugaan ketika di awal penubuhannya. Ini datangnya daripada serangan Portugis di Melaka dan juga Acheh di Sumatera di mana pada ketika ini Acheh menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan berpengaruh. Pun begitu, raja-raja yang memerintah Johor masih mengharapkan Melaka dapat ditawan kembali dan mendirikan semula kerajaan ini seperti asalnya. Hal ini mungkin yang mendorong Johor pada peringkat awal tidak menjadi sandaran utama sebagai pusat kerajaan Melayu yang tetap untuk raja-raja seterusnya.a