Isnin, 10 Julai 2023

Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struktur organisasi, kurikulum dan bahan pengajarannya agak berbeza jika dibandingkan dengan sistem pendidikan tradisional. Perubahan ini telah membuka peluang dan alternatif kepada masyarakat tempatan untuk memilih pendidikan yang sesuai buat anak-anak mereka. Namun, perbezaan tetap wujud apabila sekolah-sekolah yang didirikan hanya tertumpu di kawasan tertentu seperti kawasan bandar. Sudah pasti kita dapat menggambarkan keadaan masyarakat di kawasan pedalaman yang tercicir dari dunia pendidikan di peringkat awal perkembangannya. Kelompangan ini berterusan sehinggalah ada usaha pihak tertentu untuk mendirikan sekolah. Perlu ditegaskan di sini bahawa kemunculan sistem pendidikan moden ini tidak bermakna bahawa pendidikan tradisional dilupakan. Ada ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan madrasah. Wujud pelbagai jenis sekolah moden menjelang abad ke-19 & 20. Oleh itu, penulisan artikel ini akan membincangkan berkenaan sistem pendidikan moden dan perkembangannya di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

            Kerajaan Inggeris telah memperkenalkan sistem pendidikan lebih teratur, formal dan lebih luas kurikulumnya kepada masyarakat tempatan. Pembukaan Sekolah Melayu telah dibuka pada tahun 1855 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada peringkat permulaan, sekolah-sekolah ini ditubuhkan atas usaha orang perseorangan, persatuan-persatuan agama dan daya usaha masyarakat setempat. Pelbagai reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat tempatan terhadap pembukaan Sekolah Melayu di tempat mereka. Pada awalnya, masyarakat memberi sambutan yang begitu dingin dan enggan menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan. Kebimbangan ini turut dipengaruhi oleh pengasas sekolah berkenaan iaitu individu yang beragama Kristian. Ibu bapa tidak ingin anak-anak mereka menukar agama disebabkan sekolah yang baru dibuka ini. Pada masa yang sama, anak-anak lelaki misalnya diperlukan oleh keluarga untuk membantu mencari pendapatan dan menolong ibu bapa mereka melakukan aktiviti penanaman padi. Namun, masyarakat Melayu mengubah pendirian terhadap perkara ini apabila melihat anak-anak lain yang berpendidikan berpeluang untuk bekerja di dalam perkhidmatan awam. Selaras dengan dasar pihak Inggeris memberi keutamaan kepada masyarakat Melayu untuk menjawat jawatan perkhidmatan awam. Di Sabah, pembukaan sekolah ini agak perlahan kerana sikap penjajah iaitu Charted Company yang tidak memberi perhatian terhadap perkara ini. Berbeza halnya dengan di Sarawak di mana pembukaan sekolah Melayu ini mendapat tempat dalam masyarakatnya.

            Seterusnya, masyarakat Cina turut mendirikan sekolah untuk keperluan sosial anak-anak mereka. Wujud perbezaan yang ketara dari aspek kurikulum, formaliti dan bahan pengajaran jika hendak dibandingkan dengan sekolah Melayu. Pendidikan yang diterapkan kepada pelajar-pelajarnya berkiblatkan kepada negara China. Mungkin saja hal ini dipengaruhi oleh semangat patriotisme masih kekal terpaut ke negara asal dan masih lemah bertapak ke atas Tanah Melayu. Seperti sekolah Melayu, sekolah vernakular Cina ini diasaskan oleh orang perseorangan pertubuhan agama dan masyarakat setempat. Selain daripada kurikulum sekolah yang berorientasikan pendidikan di sekolah China, guru-guru yang mengajar turut dibawa masuk ke Tanah Melayu bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sikap kerajaan Inggeris yang tidak masuk campur terhadap pendidikan ini telah memberi kebebasan kepada pendukung sekolah ini untuk menentukan kurikulum yang perlu dimuatkan dalam sekolah ini. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan sekolah-sekolah berkenaan menjadi medan politik komunis ketika fahaman ini berkembang luas pada pertengahan abad ke-20. Sejak dari itu, pihak Inggeris berusaha untuk mengawal aktiviti berkenaan dengan mengarahkan sekolah-sekolah ini didaftarkan. Selain itu, pihak Inggeris menawarkan bantuan kewangan seperti geran khusus kepada sekolah-sekolah Cina. Namun, kawalan ini masih dianggap lemah kerana kerajaan masih tidak campur tangan dalam menentukan guru-guru yang mengajar dan bahan pengajarannya. Keadaan ini berubah setelah meletusnya Perang Dunia ke-2 dan sekembalinya pihak Inggeris ke Tanah Melayu. Mereka telah membuat kawalan rapi terhadap sekolah ini.

            Selain daripada sekolah Melayu dan Cina, sekolah vernakular Tamil turut didirikan di Tanah Melayu. Seperti sekolah yang lain, sekolah ini bermula dengan wujudnya sekolah-sekolah persendirian yang diusahakan oleh pertubuhan dakwah Kristian ataupun kumpulan tertentu dalam komuniti mereka. Bezanya di sini ialah kewujudan sekolah ini agak terkemudian dan bilangannya agak kecil. Hal ini bersabit dengan bilangan penduduk yang tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan imigran Cina di Tanah Melayu. Pembukaan sekolah ini tidak dapat dipastikan tarikh yang khusus dan dipercayai sekolah Tamil ini menjalankan operasinya pada tahun 1870-an. Seperti sekolah Cina, sekolah Tamil tidak mendapat perhatian daripada kerajaan Inggeris. Hal ini sudah pasti mempengaruhi perkembangan sekolah dari sudut infrastruktur dan kurikulum yang agak perlahan. Sekolah Tamil ini diwujudkan atas kesedaran pentingnya aspek pendidikan dalam kehidupan masyarakat. Kerajaan India turut meminta kerajaan Inggeris mendirikan sekolah kepada anak-anak buruh agar mereka tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan. Oleh itu, pihak Inggeris telah mengggubal akta buruh pada tahun 1923 yang menetapkan bahawa setiap pengusaha ladang perlu mendirikan sekolah di ladang masing-masing jika terdapat sepuluh atau lebih anak-anak pada usia persekolahan iaitu enam hingga dua belas tahun. Implementasi daripada dasar ini, makan banyaklah sekolah yang didirikan. Namun, pada peringkat awal pembukaan sekolah ini, keadaannya amat menyedihkan hati apabila pengusaha ladang tidak begitu prihatin soal kebajikan sekolah ini. Pembukaan sekolah hanya bertujuan memenuhi keperluan dasar British.

            Kesimpulannya, sistem pendidikan moden telah membuka peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan ilmu-ilmu baharu. Pada masa yang sama, ilmu tersebutlah dapat digunakan untuk tujuan hidup dan mencari pekerjaan yang diminati. Pendidikan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak begitu berbeza jika kita menilai dari sudut tempoh dan perkembangannya. Mungkin perkara ini disebabkan oleh tindakan atau dasar pihak kolonial British yang tidak menghiraukan pendidikan di negara kita. Namun, memasuki abad ke-20, pendidikan semakin berkembang dengan baik. Atas usaha masyarakat dan persatuan-persatuan tertentu, masyarakat kita mampu menikmati pendidikan moden. Oleh itu, sistem pendidikan ini haruslah berkembang seiring dengan keperluan semasa dan selaras dengan peredaran zaman yang semakin mencabar.


Isnin, 3 Julai 2023

Pendidikan Tradisi, Satu Kupasan Ringkas

Pendidikan merupakan komponen yang penting bagi membina sesuatu masyarakat yang bertamadun dan memiliki nilai budaya yang tinggi sifatnya. Aspek ini berperanan dalam mengekalkan kedaulatan dan keharmonian sesebuah negara. Jika perkara ini diabaikan sudah pasti perkara buruk akan mendekati bangsa tersebut. Ini telah jelas tercatat dalam sejarah peradaban manusia. Di Eropah misalnya, zaman “Dark Ages” menyaksikan kehidupan masyarakat yang terbelenggu dengan kejahilan dan kemunduran. Begitu juga semasa zaman jahiliah di Arab. Namun, bukannya kita hendak mencaci atau menghina masyarakat berkenaan, tetapi dijadikan sebagai teladan. Dalam masyarakat di Tanah Melayu, termasuk Sabah dan Sarawak, pendidikan ini telah berakar umbi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14. Sejak dari saat ini, pendidikan telah berkembang sehinggalah kolonial British berjaya menjajah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Memasuki era moden, sistem pendidikan turut mengalami perubahan yang ketara sama ada dalam aspek kurikulum mahupun kaedah pengajarannya. Namun, sebelum itu sistem pendidikan pada asalnya bersifat tradisional. Penulisan ilmiah kali ini akan membicarakan sistem pendidikan tradisional di negara kita.

            Sistem pendidikan tradisional lebih jelas kelihatan pada abad ke-18 &19. Namun begitu, kita tidak mengatakan bahawa negara kita sunyi mengenai aktiviti berkaitan pendidikan. Hal ini kerana saudagar-saudagar daripada Arab pernah singgah ke Melaka dan Sultan juga pernah belajar daripada maulana Arab ini. Latar belakang pendidikan tradisional ini bersandarkan kepada pendidikan agama khususnya di negeri-negeri Tanah Melayu. Pengajian agama berkembang dengan begitu baik apabila guru-guru yang berpengalaman membuka institusi pendidikan yang sifatnya tidak begitu formal. Pusat pengajian ini tertumpu di rumah-rumah tok guru jika bilangan muridnya sedikit dan jika ramai yang mengikuti pendidikan ini, maka surau-surau atau masjid-masjid menjadi lokasinya. Oleh itu, apabila kita meneliti sistem pendidikan agama pada zaman moden, Sekolah Agama Negeri telah banyak diwujudkan yang berkembang daripada sistem pendidikan tradisional. Hatta, hingga ke hari ini sistem pendidikan seperti ini masih lagi berjalan di kampung-kampung walaupun berlaku perubahan dalam aspek kurikulum dan teknik pengajaran yang diaplikasikan. Satu lagi ciri penting kepada sistem pendidikan tradisional ini ialah penyertaan pelajar tidak mengikut had umur dan yuran pengajian yang rendah bahkan diberikan secara percuma pada peringkat awal. Pendidikan tradisional ini boleh kita kategorikan kepada tiga iaitu pengajian pondok, madrasah dan sekolah rakyat.

            Pengajian pondok lebih tertumpu di negeri-negeri Tanah Melayu terutamanya di sebelah utara. Menjelang abad ke-18 dan 19, institusi pondok telah wujud di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sistem pengajian pondok ini dipengaruhi oleh pengajian pondok di Aceh, Indonesia dan Patani, selatan Thailand. Sekolah ini berteraskan kepada pengajian agama Islam seperti al-Quran dan hadis-hadis sahih. Pada peringkat awal, sekolah pondok telah diasaskan oleh individu yang mendapat pendidikan di Acheh atau Patani. Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Hussain Mohd Karim telah datang dan membuka pondok di Bohor, Kedah. Selain itu, pendidikan pondok ini diasaskan oleh golongan intelektual tempatan yang pernah melakukan pengajian di sekolah pondok di kedua-dua tempat yang telah disebutkan. Kewujudan sekolah pondok ini adalah disebabkan kesedaran masyarakat tempatan tentang betapa pentingnya didirikan sekolah untuk anak-anak mereka mendapat ilmu pengetahuan agama. Selain itu, masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu kebanyakannya beragama Islam. Maka, tidak hairanlah jika sambutan menggalakkan diperoleh oleh sekolah-sekolah ini. Namun, perkembangannya turut berkait rapat dengan pengasas dan sumber kewangan institusi berkenaan. Antara pondok-pondok yang wujud di Tanah Melayu ialah Pondok Haji Abbas, Tuk Jering, Pondok Padang Jelapang, Pasir Mas dan Pondok Pokok Sena, Kedah.

            Memasuki abad ke-20, pendidikan di negara kita berkembang dengan wujudnya madrasah yang turut berperanan dalam memberi pendidikan kepada masyarakat. Madrasah ini ditubuhkan oleh golongan reformis Islam yang pernah menuntut dan menetap di Tanah Arab atau Mesir. Pendidikan ini masih lagi diusahakan oleh orang perseorangan mahupun kumpulan tertentu. Bezanya dengan pengajian pondok, madrasah ini memiliki sistem pendidikan yang tersusun, lebih formal, dan penyusunan organisasinya lebih sistematik. Kurikulum lebih teratur dan memiliki peperiksaan dan ujian bagi menilai tahap dan kebolehan seseorang setelah mengikuti pengajian di Madrasah ini. Seperkara lagi, terdapat dua peringkat pengajian iaitu rendah dan menengah yang masing-masing dikenali sebagai ibtida’i dan thanawi. Apabila pelajar madrasah ini berjaya menamatkan pengajian, mereka layak diberikan sijil sebagai bukti mereka pernah menuntut di madrasah berkenaan. Mata pelajaran umum turut dimuatkan dalam pengajian madrasah ini seperti Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Apabila mereka memperoleh keputusan yang cemerlang, mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Hal ini kerana tenaga pengajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin mahir dengan keperluan sistem pendidikan di tempat tersebut. Perkembangan institusi pendidikan seperti ini terus mendapat sambutan dan antara madrasah yang terkenal ialah Madrasah al-Masriyyah.

            Selain daripada sekolah pondok dan madrasah, sekolah rakyat turut termasuk dalam sistem pendidikan tradisional. Sekolah rakyat ini diusahakan oleh masyarakat setempat yang begitu sedar peri pentingnya pendidikan kepada anak-anak mereka. Sekolah ini bertujuan untuk menyediakan peluang pendidikan yang sempurna kepada masyarakat. Penubuhan Sekolah Melayu yang hanya tertumpu di Negeri-negeri Selat memungkinkan sekolah rakyat ini ditubuhkan. Hal ini turut didorong oleh sikap pemerintah yang tidak mampu memberi pertolongan terutamanya dalam bentuk kewangan kepada masyarakat. Maka, tidak hairanlah jika sekolah ini ditubuhkan sebagai “Sekolah Rakyat”. Dari aspek pedagogi yang diajar di sekolah ini berbeza dengan sekolah pondok dan madrasah yang berfokus kepada pengajian agama Islam. Sekolah rakyat ini mengikuti kurikulum sekolah Melayu yang menumpukan kepada aspek 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Ilmu Hisab, Tawarikh dan Ilmu Alam turut disediakan kepada pelajar. Dari sudut kemudahan yang terdapat di sekolah ini jauh lebih daif daripada sekolah Melayu kerajaan. Keadaan ini disebabkan kekurangan sumber kewangan bagi melengkapi sekolah ini dengan kemudahan yang lebih baik dan selesa kepada para pelajarnya. Di negeri Kedah, pada tahun 1938 seramai 1742 orang murid yang menuntut di 24 buah sekolah rakyat. Masyarakat setempat sememangnya begitu sedar akan pentingnya pendidikan pada masa itu yang telah membawa kepada tertubuhnya sekolah rakyat ini.

            Bukan sahaja di Tanah Melayu, sistem pendidikan turut didapati di Sabah dan Sarawak. Sistem pendidikan awal ini agak kabur maklumatnya kerana mungkin berbeza dengan Tanah Melayu yang menerima pengaruh pengajian agama Islam dari Indonesia dan selatan Thailand. Namun, Sabihah Osman mengatakan bahawa sistem pendidikan tradisional di Sarawak adalah berlandaskan pengajian al-Quran. Sistem pendidikan ini tertumpu di kawasan penempatan Melayu seperti di Kuching dan kawasan pesisiran. Hal ini boleh juga dikaitkan dengan pengaruh Kesultanan Brunei kerana Sarawak pernah terletak di bawah pengaruh kesultanan ini sebelum kedatangan Brooke. Oleh itu, pendidikan di Sarawak ini memiliki persamaan dengan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Berkenaan sistem pendidikan di Sabah, Azmah Abdul Manaf (2001) dalam bukunya Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia memberitahu bahawa sistem pendidikan bersifat tekaan sahaja sebelum kedatangan pihak penjajah Inggeris. Lebih-lebih lagi masyarakat peribumi negeri berkenaan bukan beragama Islam. Bagi orang Islam di Sabah, pendidikan agama diterapkan berasaskan kepada pengajian al-Quran semata-mata. Hal ini turut sama berlaku di Sarawak kerana Sabah pernah dipengaruhi oleh Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada suatu ketika dahulu sebelum kehadiran pedagang asing Amerika dan penjajah British, Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Namun, kita tidak dapat menafikan pendidikan di rumah turut dipraktikkan lebih-lebih lagi negara kita ini kaya dengan budaya ketimuran yang sentiasa disanjung dan dihormati. Begitulah sistem pendidikan awal di Sabah dan Sarawak, kajian lebih meluas lagi perlu dilakukan bagi menambah maklumat tentang sistem pendidikan awal di dua buah negeri ini di masa akan datang.

            Kesimpulannya, sistem pendidikan awal di negara kita lebih berfokus kepada pengajian agama. Sekolah rakyat turut berkembang dengan baik akibat desakan masyarakat yang begitu sedar tentang pentingnya pendidikan. Oleh itu, aspek ini begitu penting sejak dari dahulu lagi sehinggalah ke hari ini. Pendidikan tradisional ini telah berubah kepada moden apabila memasuki abad ke-20 dan 21 dengan kurikulum serta pendekatan yang berbeza dalam menyampaikan ilmu. Sistem pendidikan awal ini turut memberi gambaran bahawa sejak dari dulu lagi masyarakat kita begitu mengambil berat soal pendidikan. Tuntasnya, tanpa pendidikan, sesebuah negara itu tidak mampu untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu dan berkongsi nilai-nilai kehidupan yang sama. Tanpa pendidikan, akan berlaku masalah sosial yang tidak menguntungkan kepada kehidupan kita.


Pendidikan Moden, Satu Huraian Ringkas

Kedatangan kolonial Inggeris telah mengubah corak pendidikan di negara kita. Pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu seperti formaliti, struk...